Warga Emas Maut Dirempuh Motosikal, Diseret Kereta Selepas Solat Tarawih

on Aug 27, 2010

YAN, 27 Ogos (Bernama) -- Seorang warga emas yang dalam perjalanan pulang selepas selesai menunaikan solat Tarawih maut apabila dirempuh sebuah motosikal dan kemudian diseret oleh sebuah kereta dalam kejadian di Batu 16, Jalan Alor Setar-Sungai Petani di sini Khamis malam.

Ketika kejadian 10.30 malam itu, Manis Md Hassan, 77, hendak melintas jalan untuk pulang ke rumah setelah selesai solat Tarawih di masjid berhampiran rumahnya.

Semasa hendak melintas jalan itu secara tiba-tiba sebuah motosikal jenis Honda C70 yang tidak mempunyai lampu dinaiki dua remaja lelaki yang datang dari arah Sungai Petani Ke Alor Setar, merempuh mangsa sebelum beliau diseret sebuah kereta sejauh 300 meter.

Mangsa yang tinggal di Batu 16, Padang Lumat dekat sini cedera parah di kepala serta di bahagian perut dan mati di tempat kejadian manakala pembonceng dan penunggang motosikal itu hanya mengalami cedera ringan.

Seorang saksi yang juga jiran mangsa, Azizan Abdullah, 60, berkata beliau terdengar bunyi rempuhan yang kuat dan segera ke tempat kejadian untuk menolong mangsa namun tidak dapat berbuat apa-apa ekoran sebuah kereta datang dari arah sama terlalu laju dan hanya terkaku melihat jirannya itu diseret kereta kerana kejadian tersebut berlaku dengan begitu pantas.

"Saya lari dari rumah nak tolong dia (mangsa) setelah dia menggapai tangan meminta pertolongan kerana dia betul-betul ada di tengah jalan namun tak sempat sebab sebuah kereta datang laju mengheret mangsa sejauh 300 meter dari tempat kejadian," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Hospital Yan di sini malam tadi.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Yan bagi bedah siasat sebelum dituntut keluarga untuk dibawa ke rumahnya dan dikebumikan di Masjid Kampung Batu 16.

Sementara itu, Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan Insp Ahmad Salimi Md Ali ketika dihubungi Bernama hari ini mengesahkan kejadian itu dan masih menyiasat kes tersebut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes berkenaan boleh menghubungi IPD Yan di talian 04-4655222.

-- BERNAMA

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List