Pakatan Rakyat tetap bersatu lawan kemungkaran Umno Bn

on Aug 27, 2010

Pakatan Rakyat tidak mempunyai keraguan untuk tetap bersatu melawan kemungkaran dan penganiayaan Umno Barisan Nasional terhadap rakyat.
“Kami  beriltizam untuk menentukan hala tuju baru buat rakyat dan negara ini. Menjelang 53 tahun kemerdekaan, sudah tiba masanya negara ini meninggalkan politik perkauman sempit yang seumpama barah merosak masyarakat,” ujarnya Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam kenyataan akhbar Pimpinan Pakatan Rakyat, petang ini.
Menurut mereka, Pakatan Rakyat merasa bertanggungjawab untuk memaknai kembali Kemerdekaan yang berlandaskan Politik Baru yang lebih matang dan mengutamakan kemaslahatan rakyat serta negara ini.
Pakatan Rakyat, kata mereka sedar wujudnya satu muslihat politik oleh pimpinan Umno BN untuk mengapikan sentimen perkauman sempit dan agama bertujuan memecahbelahkan keharmonian masyarakat.
Bagi mereka, politik usang bersifat peras ugut dan memesongkan fakta itu digunakan oleh pimpinan Umno BN kerana mereka berada dalam keadaan terdesak untuk meneruskan kelangsungan kuasa mereka.
Menurut kenyataan itu lagi, demi mencapai cita-cita politik tersebut, pelbagai jentera kerajaan seperti BTN dan media seumpama Utusan Malaysia diperkuda untuk menggugat kesejahteraan rakyat.
Berhadapan serangan bertali arus itu, uajr mereka Pakatan Rakyat tetap beriltizam untuk melaksanakan perubahan demi kemaslahatan rakyat keseluruhannya.
“Kita beriltizam untuk memastikan keharmonian dan perpaduan masyarakat dapat diperteguh serta politik perkauman sempit akan sirna dari negara ini,” ujar mereka.
Pakatan Rakyat, tambah mereka menghormati perjuangan parti masing-masing dalam Permuafakatan Pakatan Rakyat di mana permuafakatan itu sememangnya berlandaskan Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang telahpun disepakati.
Dasar Pakatan Rakyat menyatakan: “Pakatan Rakyat bertekad untuk menyemai persefahaman dan perpaduan di kalangan rakyat berteraskan prinsip memelihara kepentingan bersama. Perpaduan negara mesti mencerminkan kesepakatan, persefahaman serta muafakat sejati antara kaum, budaya dan agama.”
“Kita percaya antara lainnya serangan ini adalah untuk menutup kegagalan kerajaan Umno-BN menguruskan khazanah negara seumpama skandal rompakan saham untuk rakyat termiskin bernilai RM52 billion,” ujar mereka lagi.
Ehubungan itu, mereka menggesa satu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan bagi menyiasat kehilangan hak rakyat tersebut.
“Kita akui sememangnya terdapat perbezaan di antara komponen Pakatan Rakyat, walaupun begitu kita tuntas menggalakkan perbincangan dan bersikap terbuka.
“Ini berbeza sekali jika dibandingkan dengan politik dalaman BN yang mana komponennya sering bertelagah dan bersikap menyembunyikan segala permasalahan,” kata mereka.
Sementara itu, pada sidang media di ibu pejabat PKR, Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat mengulangi konsesus bersama, iaitu mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi Persekutuan di samping menjamin menjamin kebebasan agama-agama lain.
Menurut Anwar yang juga Ketua Pembangkang, sama ada PKR, DAP mahupun PAS masing-masing menyedari perbezaan ideologi sejak sebelum penubuhan Pakatan Rakyat lagi.
Namun, katanya lagi, perbezaan itu tidak boleh menjadikan ketiga-tiga tonggak Pakatan Rakyat itu mengetepikan kezaliman Umno BN ke atas rakyat sejak merdeka, 53 tahun lalu.
Bercakap pada sidang yang sama, Nasharudin berkata, perbezaan pendapat berhubung amalan undang-undang syariah di Malaysia bukan sahaja dihadapi oleh DAP dan PAS.
Malah, katanya negeri-negeri di bawah kerajaan Persekutuan sendiri tidak mengamalkan undang-undang syariah secara seragam.
Sambil menganggap perbezaan pendapat sebagai lumrah, beliau menasihatkan kerajaan persekutuan supaya terlebih dahulu menyeragamkan kaedah perundangan syariah di tanah air daripada melaga-lagakan PAS dan DAP berhubung isu hudud seperti belakangan ini.
Menyambut saranan Nasharudin itu, Lim Guan Eng menegaskan bahawa keutamaan Pakatan Rakyat adalah menghapuskan politik perkauman dan kezaliman yang dilakukan Umno BN.
Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, Pakatan Rakyat menentang kezaliman Umno BN adalah lebih diutamakan daripada mempopularkan ideologi kepartian masing-masing yang hakikinya adalah memperjuangkan keadilan.
Harakahdaily

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List