Tangkapan 3 pegawai Indo: M'sia tak akan minta maaf.

on Aug 27, 2010


Malaysia tidak akan meminta maaf atas insiden penangkapan tiga pegawai kementerian kelautan dan perikanan Indonesia yang didakwa menceroboh ke kawasan perairan Malaysia baru-baru ini, sekalipun benar mereka telah digari dan dipakaikan baju banduan, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

"Kalau betul mereka digari dan sebagainya kita tidak meminta maaf kepada sesiapapun sebab itu adalah undang-undang negara kita, dan sesiapapun yang masuk ke negara Malaysia haruslah menghormati undang-undang Malaysia," katanya kepada Bernamaselepas menerima kunjungan rombongan Duta Belia 2010 Indonesia di Wisma Putra di Putrajaya, semalam.

Anifah mengulas tuntutan parlimen Indonesia yang mahu Malaysia meminta maaf kerana menggari dan memakaikan baju banduan kepada tiga petugasnya itu.

Bagaimanapun, Anifah berkata beliau sedia berbincang dengan kementerian dalam negeri untuk menyemak semula prosedur berkenaan sekiranya ia tidak mendatangkan manfaat kepada mana-mana pihak, memandangkan pencerobohan kawasan itu bukanlah jenayah yang berbahaya.
Pada masa yang sama, Anifah berkata Malaysia tidak mengharapkan permohonan maaf daripada Indonesia berhubung tindakan rakyatnya yang melempar najis ke kawasan kedutaan besar Malaysia di Jakarta Isnin lalu.

Ini memandangkan ia hanya perbuatan segelintir pihak dan bukannya mewakili seluruh rakyat dan kerajaan Indonesia, katanya.
Dalam perkembangan lain, Anifah berkata pihak media, dari kedua-dua Malaysia dan Indonesia juga harus bertanggungjawab dengan laporan masing-masing, dengan memberi laporan yang tepat berdasarkan fakta dan menjaga sensitiviti antara negara.

"Saya menyokong kebebasan media, tapi janganlah kebebasan media itu sehingga mengundang masalah yang lain. Janganlah kebebasan media itu digunakan oleh orang yang punya agenda yang lain," katanya.

Beliau juga memaklumkan bahawa mesyuarat jemaah menteri pada Rabu lalu sepakat untuk menyelesaikan perkara itu secara baik dan meminta rakyat Malaysia supaya bersabar dan bersikap rasional dengan mengelakkan kejadian yang sama di negara ini.

Anifah berkata kementerian dalam negeri juga diminta untuk memastikan keselamatan warga Indonesia di negara ini tidak terjejas berhubung insiden itu.

Katanya Malaysia berharap Indonesia dapat mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang melakukan "perlakuan keji" tersebut memandangkan tanah Kedutaan Besar Malaysia itu mempunyai keistimewaan dan kekebalannya sendiri sepertimana yang tertakluk mengikut Artikel 22 Konvensyen Vienna mengenai hubungan diplomatik 1961.

Beliau berkata lebih-lebih lagi apabila ketua kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat (BENDERA) yang mendalangi serangan itu sendiri mengakui melakukan perbuatan berkenaan dalam blognya, yang boleh dijadikan bahan bukti.

"Jika ia salah di sisi undang-undang Indonesia, saya harap tindakan akan diambil terhadap mereka yang terlibat. Tetapi saya bukannya mahu mengajar Indonesia mengenai apa yang mereka harus lakukan mengikut undang-undang mereka. Kita menghormati," katanya.

Malaysiakini

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List