Harakah hantar USD 10,000 ke Pakistan sumbangan bencana banjir

on Aug 30, 2010

Bagi melaksanakan amanah sebagai saudara seIslam dan menunaikan tuntutan membantu rakyat yang sedang dilanda bencana banjir besar di Pakistan, Harakah telah memperuntukkan kira-kira USD 10,000 untuk didermakan kepada mangsa bencana.

Ia adalah sebahagian daripada hasil sumbangan kepada Tabung Kemanusiaan Harakah yang telah diwujudkan sejak tahun 2009. Pengerusi Ahli Lembaga Jemaah Harakah, Dato' Mustafa Ali berkata buat masa ini Harakah telah menghulurkan sumbangan hasil kutipan orang ramai kepada mangsa di Gaza sebanyak RM1.7 juta.


"Pelbagai agensi antarabangsa telah menyatakan peranan dan komitmen mereka bagi membantu mangsa banjir di Pakistan dengan mewujudkan pelbagai bentuk bantuan.  Begitu juga dengan Harakah, kami berharap akan dapat membantu semampu yang boleh," katanya pada sidang media pelancaran Tabung Kemanusiaan Mangsa Bencana Banjir Pakistan di Pejabat Harakah dekat sini.
Mustafa memberikan keyakinan kepada rakyat negara ini untuk menghulurkan sumbangan ikhlas bagi mengurangkan penderitaan dan kesengsaraan yang ditanggung rakyat Pakistan khususnya umat Islam dalam menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadan ini.

"Saya yakin kita dapat sama-sama menunjukkan keprihatinan dan tanggungjawab sosial bagi menghulurkan sumbangan bagi meringankan penderitaan yang dialami mangsa bencana banjir di Pakistan, apatah lagi umat Islam sedang menjalani ibadah pada Ramadan yang mulia ini," ujarnya.

Bagaimanapun, Pengarah Urusan Harakah, Dato' Kamaruddin Jaffar berkata pihak Harakah masih merayu sumbangan-sumbangan daripada pembaca dalam tempoh terdekat untuk dibawa terus kepada mangsa banjir Pakistan.

"Ekoran begitu banyak masalah dan bagi memastikan sumbangan pembaca disampaikan terus ke tangan mangsa banjir di sana, kita akan menghantar sendiri hasil kutipan dalam pelbagai bentuk termasuk barang-barang keperluan. Tabung ini masih dibuka dan berharap jumlahnya meningkat sebelum rombongan wakil kita bertolak ke sana," ujarnya pada sidang media yang sama.
Sementara itu, Ketua Pengarang Kumpulan Harakah, Ahmad Lutfi Othman berkata pihaknya telah membuat keputusan untuk menghantar wartawan, Intan Abdullah dan jurufoto, Wan Zahari Wan Salleh menyertai misi menghantar sumbangan tersebut ke Pakistan.

"Kita akan menghantar dua wakil untuk sama-sama mengikuti rombongan badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Yayasan Amal Malaysia pada 31 Ogos ini, yang akan membawa sumbangan awal pembaca kepada mangsa banjir," katanya.

Mereka dijangka bertolak pada 31 Ogos ke Lahore, Pakistan dan pulang pada 6 September ke Kuala Lumpur. Menurut maklumat semasa, kira-kira 25 juta penduduk negara tersebut terjejas teruk akibat banjir yang melanda disebabkan empangan yang pecah sehingga mengundang kira-kira 2,000 kematian.

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List