Najib Akan Bincang "Hati Ke Hati" Dengan Taib Mahmud Mengenai Hasrat Berundur

on Aug 28, 2010


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengadakan perbincangan terperinci dengan presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Tan Sri Abdul Taib Mahmud berhubung hasrat Ketua Menteri Sarawak itu untuk berundur daripada jawatan politik.
Perdana Menteri selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, sebarang keputusan yang dibuat hendaklah berdasarkan semangat setiakawan antara BN dan PBB.
Katanya PBB merupakan rakan setia BN yang telah menyumbang kepada kejayaan BN di Sarawak dan tunggak kerajaan BN negeri itu. Sehubungan itu, beliau akan berbincang dari hati ke hati dengan Ketua Menteri Sarawak itu sebelum sebarang keputusan dibuat, katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Tertinggi Umno di sini, Jumaat.
Baru-baru ini, pemimpin berusia 74 tahun itu yang merupakan Ketua Menteri yang paling lama berkhidmat iaitu selama 29 tahun sejak 26 Mac, 1981, berkata beliau tidak dapat membuat keputusan mengenai perkara itu kerana ia perlu dibincangkan dan diluluskan oleh pucuk pimpinan.
Taib yang menjadi presiden PBB sejak 1981 dan pengerusi BN Sarawak dilaporkan berkata, beliau sebenarnya mahu berundur daripada politik pada 2006 tetapi ramai di kalangan dalam parti menentang hasratnya itu dan akhirnya beliau memutuskan untuk tidak bersara.
Sementara itu, Najib ketika diminta mengulas mengenai tindakan Jawatankuasa Surau Al-Huda, Kajang Sentral yang didakwa mengundang ahli politik daripada kalangan bukan Islam untuk mengadakan majlis serta menyampaikan ceramah dalam dewan solat surau berkenaan, berkata perkara itu terletak di bawah bidang kuasa Majlis Agama Islam dan terserah kepada mereka untuk mengambil tindakan.
"Kalau dia (Majlis Agama Islam) anggap sebagai bertentangan dengan peraturan, mencemar Islam dan sebagainya, dia kena ambil tindakan...kita minta dia ambil tindakan," katanya.
Akhbar dan beberapa laman blog menyiarkan gambar anggota Parlimen Serdang daripada DAP, Teo Nie Ching, memasuki ruang solat surau itu pada satu majlis penyampaian bantuan, Ahad lalu.
Berhubung tuduhan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Umno yang menjadi punca dan terlibat dalam perbalahan berhubung isu hukum hudud antara PAS dan DAP, Najib berkata sudah menjadi kebiasaan kepada pembangkang untuk menjadikan Umno sebagai mangsa tuduhan sekiranya berlaku perselisihan di antara mereka.
"Kita tak tahu menahu... dia asyik tuduh kita saja, apa-apa berlaku dia tuduh kita," katanya dan menurut Perdana Menteri percanggahan pendirian antara parti-parti pembangkang itu menunjukkan hubungan mereka sebenarnya terlalu rapuh.
Najib berkata beliau tidak nampak bagaimana kedua-dua parti itu boleh jujur di antara satu sama lain kalau bertentangan pegangan atas isu yang asas dan begitu penting seperti hala tuju negara.
Katanya, PAS masih komited kepada konsep negara Islam walaupun debat tentang penafsiran negara Islam masih lagi terbuka tetapi bagi DAP mereka tetap menentang sekeras-kerasnya.
"Jadi ini menyebabkan sesuatu yang agak serius yang tak boleh dipandang ringan oleh rakyat Malaysia," katanya.
Baru-baru ini tercetus pertelingkahan secara terbuka antara Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Pengerusi DAP Karpal Singh berhubung pelaksanaan hukum hudud di negara ini sekiranya pakatan pembangkang berjaya memerintah negara. - BERNAMA

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List