ANTARA ARAHAN KETUA DAN UNDANG-UNDANG........???

on Oct 6, 2010

WarkahDaily – Dengar macam biasa tapi satu tindakan yang dilakukan pihak berkuasa ke atas orang awam yang mengatasi undang-undang boleh menyebabkan negara dalam bahaya.

Bagaimana pihak berkuasa (polis) boleh mengikut arahan orang atasan (ntah siapa) untuk ambil tindakan terhadap orang awam tanpa mempedulikan undang-undang. Tindakan pihak berkuasa yang cuba membelakangi undang-undang boleh menimbulkan satu persepsi buruk dan negara boleh dilanda bahaya.

Orang atasan akan mengawal negara sesuka hati termasuk secara kuku besi walaupun berlaku zalim kerana ianya mendapat kerjasama pihak berkuasa (polis).

Komplot orang atasan (penguasa) dengan pihak berkuasa (polis) boleh dilihat dalam kes perbicaraan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu dan sembilan yang lain kerana dituduh menghalang anggota polis berpangkat Superitenden Mohd Nasir Salleh daripada menyerahkan waran tangkap yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret.

Menurut laporan Harakahdaily, perkara itu telah berlaku di hadapan Plaza Tol Bukit Tambun, Seberang Perai Selatan, lebuhraya PLUS berhadapan susur keluar lebuhraya dari arah Kuala Lumpur ke Pulau Pinang pada jam 7.45 malam 9 Disember 2007.

Kesemua mereka juga dituduh menurut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang mana membawa humuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10 ribu atau kedua-duanya sekali sekiranya disabit akan kesalahan.

Dalam perbicaraan yang diadakan semalam, kesemua yang dituduh terdiri dari Mohamad Sabu, Fauzi Saharat, Abd Rahim Md Ariff, Zairun Azrul Zainal Abidin, Zamarul Aini Abdul Malek, Mohd Bunyamin Ishak, Md Lazim Osman, Abd Razak Ramli, Mohd Sabri Said dan Mohamed Salleh hadir.

Mohamad Hanipa Maidin bersama-sama dengan Aminuddin Zulikifli dan Yusnita Yusoff mewakili kesemua tertuduh.

Apa yang menariknya semasa sesi perbicaraan tersebut, apabila Hanipa menyoal balas saksi pendakwa dalam perbicaraan tadi telah beberapa kali memohon kepastian sama ada ada atau tidak waran tangkap diterima secara bertulis dan diserahkan kepada Mohamad Sabu semasa tangkapan hendak dilakukan.

Saksi pendakwa yang berpangkat ASP itu beberapa kali menyatakan bahawa beliau hanya menurut arahan pihak atasan secara lisan dan tidak ada waran tangkap secara bertulis yang diserahkan kepada tertuduh.

Hanipa untuk beberapa kali mengulangi soalan yang sama kepada saksi pendakwa apakah arahan boleh mengatasi undang-undang atau dari mana-mana kuasa sekalipun sedangkan tertuduh tidak dibekalkan secara hitam putih waran tangkap untuk diserahkan kepadanya.

Namun begitu saksi pendakwa tetap menyatakan beliau hanya menurut arahan pihak atasan walaupun bertindak tanpa waran tangkap yang perlu diserahkan kepada tertuduh.

Antara beberapa soalan menarik yang ditanya oleh Hanipa.

Hanipa: Tertuduh (Mohamad Sabu) tidak ditunjukkan surat waran tangkap, apakah beliau boleh ditangkap begitu sahaja.

Saksi pendakwa: Saya hanya mengikut arahan pihak atasan.

Hanipa: Apakah arahan boleh mengatasi undang-undang atau dari mana-mana pihak sekalipun.

Saksi pendakwa: Saya hanya menerima arahan.

Hanipa: Jika terima arahan apakah tangkapan ini tidak bercanggah dengan undang-undang. Kenapa tidak minta waran tangkap.

Saksi pendakwa: Saya terima arahan ketua sahaja.

Hanipa: Antara arahan ketua dan undang-undang mana yang perlu dipatuhi?

Saksi pendakwa: Undang-undang.

Melalui jawapan yang diberikan saksi pendakwa, amat jelas tindakan yang dibuat oleh pihak polis telah mengatasi undang-undang. Mereka meletakkan orang atasan (penguasa) lebih tinggi daripada undang-undang walaupun saksi mengakui undang-undang lebih tinggi daripada arahan orang atasan.

Jika tidak, mengapa pihak berkuasa (polis) boleh menangkap orang awam tanpa ditunjukkan waran terlebih dahulu. Jika undang-undang lebih tinggi, nescaya tangkapan itu tidak akan berlaku sama sekali walaupun ada pihak tertentu yang mempunyai kepentingan politik sempit cuba mengarahkan tangkapan dibuat.

Jadi amatlah jelas, negara kita berada dalam bahaya jika keadaan itu tidak diperbetulkan. Mungkin pihak yang mempunyai kepentingan politik sempit yang mempunyai kuasa (kerajaan) akan melakukan tangkapan sewenang-wenangnya demi mempertahankan kuasa mereka.

Tak mustahil ianya akan berlaku jika PRU 13, Pakatan Rakyat berjaya menempa sejarah, menang dan menuju ke Putrajaya.

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List