Mustaffa Kamil Ayub vs Saifuddin Nasution......???

on Oct 6, 2010



Naib presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mustafa Kamil Ayub menafikan dakwaan setiausaha agung parti itu Saifuddin Nasution, bahawa Umno dan Barisan Nasional (BN) terlibat mendalangi kekecohan yang berlaku dalam beberapa mesyuarat cabang PKR.

Beliau berkata pemimpin dan anggota PKR sedia maklum bahawa sistem satu anggota satu undi yang diperkenalkan untuk pemilihan parti itu mempunyai kekurangan dan perlu dibaiki.

"Saya kurang bersetuju (dengan dakwaan itu). Bagi saya, apabila wartawan ajukan soalan ini, saya kata ini proses kali pertama kita menggunakan pendekatan satu anggota satu undi, dan rekod telah membuktikan daripada 180 cabang yang telah mengadakan mesyuarat, hanya tujuh cabang yang ada masalah.

"Sedikit kelemahan mesti diperbaiki, kita telah bincang dan memang ada ruang untuk kita baiki, tetapi saya tidak cenderung untuk menyalahkan Umno dan Barisan Nasional," katanya pada sidang akhbar di sini Jumaat.

Pada sidang akhbar itu, Mustafa Kamil turut mengumumkan keputusannya untuk bertanding jawatan timbalan presiden PKR pada pemilihan parti tersebut bulan depan.

Beliau menyifatkan dakwaan Umno menjadi dalang insiden kekecohan pada pemilihan cabang parti itu sebagai tidak berasas, malah katanya, PKR sepatutnya bertanggungjawab ke atas masalah tersebut, dan bukannya menuding jari kepada orang lain.

Selasa lalu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mencabar Saifuddin supaya mendedahkan identiti mereka yang didakwa menjadi "ejen Barisan Nasional" di dalam parti pembangkang itu

Mengenai keputusannya bertanding jawatan kedua tertinggi dalam PKR itu, Mustafa Kamil berkata ia diputuskan atas kepercayaan meneruskan kesinambungan perjuangan yang bermula sejak 12 tahun lalu, dan menjadikan parti itu sebagai parti masa depan rakyat Malaysia.

Keputusan beliau menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mustafa Kamil, naib presiden parti Azmin Ali dan pengerusi PKR Wilayah Persekutuan Datuk Zaid Ibrahim.

Mustafa Kamil berkata walaupun kedua-dua lawannya mempunyai kehebatan tersendiri, beliau akan terus komited dengan hasratnya untuk bertanding, malah bertegas tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak, sekiranya ada cubaan untuk memujuknya menarik diri.

Beliau berkata tinjauan ke peringkat akar umbi dan maklum balas yang diterimanya menunjukkan kejutan boleh berlaku ke atas dua calon pilihan tersebut.

"Keputusan saya muktamad...saya tidak akan menarik diri sehingga hari pemilihan, dan jika tewas, kita akan bawakan khidmat dalam bentuk lain.

"Tak perlulah saya menyaingi kenyataan Azmin dan Zaid dalam soal ini. Walaupun saya fahamsaya calon 'underdog', saya bukan ahli yang berhormat, bukan senator, bukan juga bekas menteri," katanya. -- BERNAMA



0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List