Nakhaie gesa pimpinan Najib keluar ‘ketiak’ pengaruh Barat

on Oct 6, 2010

 Bekas Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Mohd Nakhaie Ahmad menggesa kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya tidak terperangkap dengan pengaruh Barat dan memastikan pentadbiran negara berpandukan ajaran Islam.

“Sekiranya Islam mahu bebas dari penjajahan, pemimpin negara perlu memastikan segala pentadbiran negara perlu bebas daripada pengaruh dan jaringan dari Barat.


“Jika kita mahu memastikan Islam menjadi keutamaan dalam pentadbiran negara, maka pemimpin-pemimpin kita perlu berubah dan memastikan supaya tidak terperangkap dengan pengaruh Barat,” kata beliau pada forum perdana Islam sempena Persidangan Antarabangsa Islam Dalam Masyarakat Malaysia di Universiti Malaya malam tadi.

Forum bertajuk “Cabaran Islam di Malaysia: Kini dan Masa Hadapan” turut disertai Exco Kerajaan Selangor Datuk Dr Hasan Ali dan Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan PKR Dr Muhammad Nur Manuty.
Nakhaie berkata, pentadbiran negara masih lagi berada di bawah “ketiak” penjajah iaitu sistem pentadbiran daripada Barat.
“Pembangunan dan pemikiran dalam pembentukan negara Islam masih lagi berada di bawah ketiak Barat.
“Kita masih lagi tidak dapat menentukan haluan sendiri. Dalam perkara ini kita tidak boleh menyalahkan orang lain kerana ia tidak dapat menyelesaikan masalah yang berlaku,” katanya.

Menurut Nakhaie, pemimpin negara ini masih memberi keutamaan dalam perkara yang remeh yang dilihat menyumbang kepada kegagalan negara untuk melakukan perubahan yang besar.
“Pemimpin kita masih lagi dikongkong dengan mentaliti, mereka memberikan keutamaan kepada perkara yang remeh-temeh, sebaliknya perkara yang besar tidak pula dijadikan isu.
“Apa yang dipertikaikan hanya soal Wahabi dan perkara kecil lain dan ini jelas menunjukkan tiada perubahan dari segi pemikiran serta pengetahuan.
“Jadi saya minta supaya pemimpin-pemimpin dapat melakukan perubahan yang besar dengan memastikan masa depan Islam tidak gelap,” katanya.

Hassan pula berkata, Islam dilihat gagal di Malaysia kerana ia berpunca daripada sistem pentadbiran negara yang tidak menerapkan hal-hal berkaitan agama sejak dari kecil lagi.
“Penyelesaian kepada semua masalah yang berlaku adalah kembali kepada ajaran Islam. Ubat untuk mengubati manusia adalah Islam.
“Kita sudah 53 tahun merdeka tetapi pemimpin kita gagal menerapkan ajaran Islam kepada orang Islam sejak dari bangku sekolah.

“Kenapa Islam ini tidak diterapkan di peringkat tadika lagi?” soal pemimpin PAS ini.
Exco Hal Ehwal Islam, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor itu berkata, satu tranformasi perlu dilakukan bagi memastikan Islam terus menjadi pegangan utama.
“Kalau kita mati tidak mengapa tapi jangan Islam yang mati, ataupun biar kita mati kerana Islam,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Nor berkata isu utama kegagalan Islam adalah disebabkan oleh soal kepimpinan.
“Rakyat dan kekuatan agamanya bergantung kepada pemimpin.
“Saya tahu cabaran yang dialami Islam begitu hebat, jadi kita jangan berputus asa untuk memartabatkan Islam,” katanya.

Persidangan selama dua hari itu bertujuan untuk membincangkan isu-isu terkini seperti sejarah, pembelajaran, pengajaran dan kontemporari Islam di Malaysia

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List