Kemelut Politik Parti Sukarkan Pilihan Pengundi

on Oct 6, 2010

PERTIKAMAN lidah di kalangan beberapa orang pemuka baru Parti Keadilan Rakyat berkaitan kedudukan Anwar Ibrahim bukanlah sesuatu yang di luar jangkaan atau luar biasa jika kita memahami “psyche” atau cara mereka berfikir. Begitu juga pergeseran perwatakan yang sedang berlaku dalam DAP.

Kedua-dua parti ini menampilkan ciri-ciri kepelbagaian watak, gaya dan agenda yang luar biasa. Persaingan dalaman ini ada kaitan dengan tanggapan bahawa patrti-parti ini kuat dan semakin relevan kerana parti-parti Barisan Nasional lemah sejak pilihan raya umum 2008.


Dengan Umno, MCA, Gerakan dan MIC masih mencari formula penyatuan dan penyemarakan semula, tanggapan umum adalah parti-parti Pakatan Rakyat kuat dan berkeyakinan.

Tetapi di sebalik penampilan yang positif itu, parti-parti PR pun sedang mengalami perentapan dalaman yang hebat akibat perebutan kuasa di peringkat parti dan kerajaan.

Misalnya, di Selangor percubaan mengganggu-gugat dan menjatuhkan Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar bukanlah olok-olok atau wayang kulit, tetapi sesuatu yang nyata.

Hatta di Kedah, di mana Pas menjadi peneraju kerajaan PR dan Menteri Besar Azizan Abdul Razak cukup popular di kalangan rakyat kerana kesederhanaan dan gaya santainya, namun di belakang tabir wujud kedinginan hubungan antara Pas dan PKR.

Bisik-bisik di kalangan kepemimpinan Pas adalah mereka kurang selesa dengan apa yang sedang berlaku dengan PKR, khasnya perbicaraan kes liwat Anwar Ibrahim dan kemasukan bekas-bekas anasir BN ke dalam kepemimpinan parti itu.

Sementara perhubungan antara Pas dan DAP terus runcing mengenai isu pokok perjuangan kedua-dua parti iaitu Negara Islam bagi Pas dan negara sekular bagi DAP. Tanpa PKR sebagai broker, kelangsungan kerjasama Pas-DAP adalah dipertikaikan.

Sebaliknya jika kerjasama Pas-DAP berakhir, Pas akan menjadi ancaman lebih besar kepada Umno kerana lebih ramai orang Melayu dan orang Islam akan menyokong Pas atas dasar perjuangan Islamnya.

Justeru itu, apa yang sedang berlaku dalam pemilihan kepemimpinan PKR sekarang akan memberi kesan besar bukan sahaja kepada parti itu, tetapi juga kepada PR dan BN.

Media massa memetik salah seorang naik presiden Umno, Hashammuddin Hussein, sebagai berkata masalah dalam PKR adalah baik bagi Umno.

Keputusan pemilihan PKR akan menentukan watak mana yang akan muncul mendominasi kepemimpinan parti itu yang sekali gus memberi kesan kepada PR.

Kemenangan atau kekalahan watak-watak yang kini menonjolkan diri dalam pemilihan parti itu seperti Mohd Azmin Ali, Mohd Zaid Ibrahim dan Abdul Khalid akan menentukan corak kepemimpinan, agenda dan ideologi PKR.

Anwar Lawan Wan Azizah

Azmin pasti cuba mengekalkan status quo dan memperkukuhkan pengaruh dan peranan Anwar manakala Zaid pula nampak mirip kepada merombak kepemimpinan PKR, termasuk mendefinisikan semula kedudukan dan peranan Anwar.

Zaid dilaporkan mempertikai kekaburan kedudukan Anwar yang disifatkannya sebagai tidak boleh mengatasi kuasa presiden (Dr Wan Azizah Wan Ismail) yang dipilih perwakilan.

Ini menarik respons bekas rakan seperjuangannya dari BN, Chua Jui Meng yang berkata kedudukan Anwar sebagai ketua de facto adalah lebih tinggi.

Bahas ini pastinya sensitif kerana Dr Wan Azizah adalah isteri Anwar dan peranan beliau tidak begitu menonjol dalam PKR, apatah lagilah dalam PR yang didominasi oleh Anwar, Lim Kit Siang, Abdul Hadi Awang, Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Karpal Singh.

Di kalangan parti anggota PR pula, DAP nampaknya lebih selesa dengan Mohd Zaid kerana latar belakangnya sebagai peguam dan bekas menteri BN. Atas alasan itulah DAP memberi sepenuh sokongan kepadanya sebagai pengerusi penaja Pakatan Rakyat.

Dalam PKR, Azmin nampaknya lebih diterima luas oleh kepemimpinan bahagian. Ini terbukti kerana setakat ini dia mendahului Zaid dan calon-calon lain untuk jawatan Timbalan Presiden.

Azmin dilihat sebagai “loyalist” Anwar yang boleh bekerjasama dengan Wan Azizah dan tidak akan menggoyangkan bahtera, apatah lagi menderhaka kepada bosnya.

PKR Sedang Disusupi

Selepas beberapa orang pemuka kanan PKR keluar parti dan sebilangannya menyertai parti-parti BN, pasti wujud kebimbangan di kalangan kepemimpinan asal era reformasi bahawa PKR sedang disusupi oleh anasir-anasir luar yang tidak berjiwa reformasi dan tidak setia kepada Anwar.

Orang luar ini masuk PKR bukan sahaja kerana mereka terpelanting daripada parti-parti BN, tetapi kerana mereka berpendapat PKR adalah buah ranum yang menunggu untuk dipetik.

Oleh kerana itu, keputusan pemilihan yang sedang berjalan sekarang akan menentukan sama ada PKR kekal sebagai parti yang berpaksikan perjuangan reformasi dan ketaatan kepada Anwar atau sebuah parti liberal yang dasar serta komitmennya berubah-ubah mengikut siapa yang menerajuinya dan siapa yang lebih berkuasa.

Perentapan juga sedang berlaku dalam DAP yang menyaksikan perang terbuka antara pengerusi Perak Ngeh Koo Ham dan sepupunya, Nga Kor Ming dengan timbalan pengerusi negeri, M. Kulasegaran.

Portal berita Malaysian Insider melaporkan yang Ngeh terpaksa menanggung malu dengan memohon maaf kepada orang ramai di atas cara beliau mentadbir DAP Perak dan meminta agar dia dan sepupunya tidak diadili.

Serentak itu, parti-parti BN juga sedang melalui masalah dalaman masing-masing. Proses pemulihan Umno terus dihantui oleh masalah kewibawaan kepemimpinan, dasar, program dan cogan kata yang dicurigai dan dipertikai oleh orang Melayu.

Di sesetengah negeri, khasnya di mana BN tewas dalam PRU lalu, Umno ketandusan kepemimpinan dan kemunculan bakat baru terus disabotaj oleh penyandang yang mabuk kuasa.

MCA sudah mula menampakkan kesepaduan suara manakala MIC akan memasuki fasa baru Januari ini apabila S Samy Vellu mengundurkan diri selepas 32 tahun menerajui parti itu.

Tetapi Gerakan nampaknya terus terumbang ambing dan mungkin wujud hanya pada nama setelah dinyahkan dari Pulau Pinang. Kepemimpinannya yang lemah menjadi lebih terancam apabila bekas presiden dan penasihatnya, Lim Keng Yaik meletakkan jawatan kerana kecewa dengan presiden sekarang, Dr Koh Tsu Koon.

Kekalutan dalam parti-parti politik nasional ini, sama ada di pihak BN atau PR, akan memberi kesan kepada pemerintahan dan seterusnya mempengaruhi cara pengundi membuat pilihan pada pilihan raya umum akan datang.

Jika antara sekarang dengan PRU akan datang, parti-parti politik utama tidak memantapkan dasar dan kepemimpinan mereka, pengundi akan mengalami dilema untuk memilih siapa yang akan memerintah di Putrajaya dan di negeri-negeri.

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List