Kuasa Melayu UMNO di hujung tanduk

on Dec 1, 2012






KAK Ijat mungkin dengan cemerlangnya mengeluarkan perkataan penting daripada ucapannya di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) kali ini. Ketua Pergerakan Wanita United Malays National Organisation itu dilaporkan media hari ini sebegai berkata bahawa ‘kuasa Melayu bagai telur di hujung tanduk’.

Beliau yang sejak tahun lalu begitu sinonim dengan projek Pusat Fidlot Nasional yang menternak lembu barangkali dengan jayanya mengecualikan perkara UMNO dan lembu daripada ucapan beliau. Ayat yang sepatutnya beliau tuturkan ialah, “kuasa Melayu UMNO, bagai telur di hujung tanduk lembu”.
Namun sebagai politisi yang berpengalaman, pastilah beliau tidak lagi mahu mengingatkan sekalian peserta PAU tahun ini mengenai kisah kantoi beliau yang memalukan. Apatah lagi meletakkan perkataan ‘UMNO’ dan ‘lembu’ dalam ayat yang sama. Itu kan pasti menjadi faktor gelak ketawa maha hebat dan modal lelucon politik buat pihak kawan dan lawan.

Tidak ada gunanya untuk kita mengikuti acara di PWTC tahun ini. Jika begitulah trend ucapan dan perbahasan serta fokus PAU di akhir usianya, maka tiada lain yang dapat kita lakukan kecuali menyedekahkan doa dan bacaan Al-Fatihah dengan harapan supaya UMNO tidak terlalu terseksa dan bergelut pada saat akhir rohnya berlepas pergi daripada jasad.

Sudah menjadi kelaziman sekalian yang bernyawa itu untuk menemui ajal. UMNO juga tidak dapat lari daripada ketentuan alam ini. Dan menjadi kelaziman juga untuk jasad yang sedang nazak itu untuk meroyan tak tentu hala mengingatkan dosa-dosanya yang lalu, sambil mengenang masa depan yang tidak lagi menjadi miliknya.

Kelaziman meroyan ini ada kalanya membuat kita simpati. Namun ada kala lainnya pula membuat kita rasa geli hati. Mengambil contoh ayat Kak Ijat yang tadi itu, kita dapat melihat jelas betapa efisyennya pemimpin UMNO menyukat kata-kata yang mahu dilontar demi menyampaikan mesej yang tidak sepatutnya disampaikan sebagai sebuah parti pemerintah.

Penyakit meroyan ini tidak sekadar wujud pada yang menternak lembu di kondominium sahaja. Malah presidennya juga tidak dapat lari daripada kelaziman meroyan di akhir usia yang menimbulkan keyakinan bahawa memang benarlah UMNO ini dan juak-juaknya tidak lagi layak menjadi pemerintah.
Kita dikhabarkan dengan ucapan mereka yang tiada lain hanya menyumpah seranah pihak lawan, tanpa sebarang idea atau aspirasi segar. Jika kita membuat perbandingan ucapan sang Presiden UMNO merangkap Perdana Menteri dan Menteri Wanita, Datuk Seri Najib Razak dengan ucapan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada muktamarnya yang baru selesai, pastilah kita akan dapat melihat betapa jauhnya perbezaan idea dan kapasiti intelek yang dihidangkan kepada ahli parti masing-masing.

Najib Razak berucap mengenai Malaysia bakal hilang kedaulatan jika Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran negara sambil terus menerus menyerang idea Pakatan Rakyat serta kepimpinan bakal penggantinya Datuk Seri Anwar Ibrahim tanpa sedikit pun menunjukkan sebarang keberanian untuk berdebat dengan orang itu secara terbuka.

Tidak pula ia berjanji untuk memerangi korupsi yang begitu menular hatta menjadi budaya dan adat partinya. Tidak pula ada ketetapan untuk terus komited dengan agenda politik baru yang lebih sihat untuk menolak tepi politik longkang yang balik-balik berpaut pada skandal seks dan perkauman. Apa harapan lagi yang ada pada UMNO ini selain janji untuk menjaga kepentingan kaumnya sahaja.
Bila disebut kaumnya, saya maksudkan suku sakat dan kroni yang taat setia dengan UMNO sahajalah. Bukan orang Melayu secara menyeluruh. Kalau benar UMNO ini sayangkan Melayu, tidak dibiarkan sekalian Melayu Kelantan itu tanpa mendapat hak royalti minyaknya.

Memahami bahawa ini adalah PAU terakhir mereka sebelum berhadapan dengan pilihan raya, kita mungkin boleh memaafkan tindakan membakar semangat ahli dengan api-api perkauman dan ketakutan hilangnya kuasa Melayu. Ini ketakutan yang amat berasas bagi sekalian pemimpin UMNO yang bakal kehilangan kerusi empuknya di kementerian dan jabatan. Kita dapat melihat ketakutan ini jika kita tenung mata mereka lama-lama. Sinar yang ada di situ makin hari makin kelam.

Ketakutan yang dirasakan UMNO ini adalah ketakutan yang ‘real’; dan kita bersimpati. Barangkali ketakutan ini adalah berasaskan ketidaksiagaan UMNO untuk menjadi pembangkang di Parlimen Malaysia. Walaupun sebenarnya kita melihat begitu ramai pemimpinnya mengambil peluang untuk bercakap mengenai ‘pembangkang’ di PAU kali ini. Mungkin sudah tidak sabar-sabar lagi mahu mengkantoikan kerajaan Pakatan Rakyat dan kemudian buat sidang media dengan kain rentang besar bertulis ‘Kan aku dah cakap..’

Sebenarnya UMNO tidak pernah berada dalam keadaan yang lebih lemah berbanding sekarang. Ini menjelaskan kenapa intipati ucapan pemimpinnya tidak begitu memberansangkan dan tidak memiliki idea baru yang memukau. Ini kegagalan yang tidak sepatutnya berlaku dalam sebuah parti yang sudah lebih setengah abad menjadi pemerintah yang dihormati sehingga sanggup disujud sembah tanpa sebarang bantah untuk sekian lama.

Apa yang sewajarnya menjadi mesej politik UMNO adalah pernyataan komitmennya terhadap perubahan dan pembaharuan yang begitu seronok dicanang dua tiga tahun sudah. Meski kita melihat babak-babak akhir drama UMNO ini seperti hero filem tamil yang sedang bergelut dengan maut di setengah jam akhir cerita, atas semangat demokrasi UMNO sewajarnya diberi peluang untuk insaf dan bertaubat dan melakukan perubahan. Namun mungkin sudah sifatnya UMNO itu tiada peduli pada suara rakyat mahupun akar umbinya yang mendesak perubahan, kekal lah ia dalam penafian dan kebejatan sampai ke akhir usia.

Najib Razak boleh menitis air mata memohon maaf kepada rakyat Malaysia untuk segala kesilapan lampau. Bahkan pada setiap kali hari raya puasa juga kita melihat ungkapan maaf ini dibuat. Tetapi salah silapnya diteruskan juga. Rakyat tetap ditekan dan diinjak juga. Walaupun rakyat baik hati mengampunkan kesilapan UMNO, tidak bermakna rakyat akan melupakan segala salah silapnya itu. Apatah lagi untuk meletakkan nasib dan masa depannya ke dalam tangan sebuah parti politik yang melazimi kerja buat silap dan minta maaf untuk beberapa tahun lagi.

Rakyat Malaysia sudah cukup matang dan sudah lama keluar daripada gelap pembodohan UMNO untuk menyedari bahawa politik ketakutan yang direncanakan hanyalah gimik semata-mata. Marilah kita sama-sama mengucap selamat tinggal kepada parti politik ini dan mendoakan rohnya bersemadi dengan tenang. Harapan baru bakal bersinar di Pulau Pinang apabila DAP pula bersidang di sana pertengahan bulan depan. 

Roketkini.com



Photobucket

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List