Secara peribadi saya ingin mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor yang telah mengambil keputusan untuk memanggil sidang Dewan Undangan Negeri Selangor untuk mengembalikan kuasa melantik 3 Ex-offico dalam barisan Exco Kerajaan Negeri kepada Kebawah Duli Tuanku Sultan Selangor dengan nasihat Menteri Besar. Ketiga-tiga jawatan yang dimaksudkan itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri.
Dalam peruntukkan sekarang Kebawah Duli Tuanku telah dilucutkan kuasa melantik ini semasa krisis perlembagaan 1993 yang dicetuskan oleh UMNO pimpinan Dr Mahathir. Saya telah menulis isu ini acapkali didalam blog ini beberapa ketika dahulu untuk membayangkan kekesalan diri saya sendiri diatas tindakkan pemimpin UMNO semasa itu yang beriya-iya benar untuk menghakis kuasa Raja-Raja Melayu termasuklah kuasa Raja-Raja Melayu untuk melantik 3 jawatan Ex-Officio dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri-Negeri diseluruh Negara.
Tuanku Sultan telah bertitah yang Baginda tidak ada kuasa untuk menerima dan menolak nama sesiapa yang dicadangkan oleh PSC kepada Baginda kerana kuasa itu telah ditarik balek hasil dari krisis perlembagaan pada tahun 1993 dahulu. Semasa itu UMNO bertindak tanpa sebarang ‘mercy’ kepada Raja-Raja Melayu dan kata-kata pemimpin kita semasa itu sangat mengguris hati orang Melayu seperti saya yang tahu tidak ada Melayunya seseorang itu tanpa Raja yang berdaulat.
Saya sedang tercari-cari potongan-potongan akhbar yang boleh membuktikan perlakuan pemimpin-pemimpin kita semasa itu tetapi sampai sekarang saya belum terjumpa lagi. Saya pernah berucap dimerata-rata diseluruh negara mebidas tindakkan UMNO ‘menderhaka’ kepada Raja-Raja Melayu tetapi seperti biasa saya menjadi mangsa kutukkan pihak pimpinan UMNO kerana kononnya saya dan ramai yang lain telah menderhaka kepada UMNO.
Sekarang UMNO baru merasakan betapa lemahnya mereka dan dimana-mana pimpinan mereka sedang berlindung dicelah ketiak Raja-Raja Melayu. Sekarang Najib baru merasakan betapa pentingnya Raja-Raja Melayu dan pernah berkata didalam perhimpunan agung UMNO yang lalu yang Raja-Raja masih ada kuasa untuk melantik pimpinan Kerajaan jika ada pihak yang akan cuba untuk mengambil alihnya. Tetapi beliau selaku Ketua Pemuda semasa itu bersama-sama berlegar keseluruh negara untuk mendapat sokongan untuk melakukan kepada pindaan perlembagaan itu.
Sekarang UMNO pula yang menuduh pihak pembangkang yang menderhaka sedangkan kuasa Raja telah menjadi tirus seperti tali gasing yang dilakukan oleh pindaan perlembagaan dicetusan oleh UMNO semasa itu. Kepada semua yang membidas saya tidak berapa lama dahulu elok berfikir; siapa yang durhaka kepada Raja-Raja Melayu….UMNO kah atau pembangkang?
Saya bergembira kerana Negeri Selangor akan memanggil sidang tergempar Dewan Undangan Negeri Selangor untuk mengembalikan kuasa Kebawah Duli Tuanku dengan nasihat Menteri Besar seperti sebelum pindaan yang dilakukan oleh UMNO pada tahun 1993 dahulu.
Rupa-rupanya Pakatan Rakyat (PR) yang membuktikan mereka adalah pihak yang mengembalikan kedaulatan Raja-Raja Melayu. Jika UMNO jujur dengan apa yang mereka katakan sekarang Negeri-Negeri yang ditadbirnya mengembalikan peruntukan itu kepada peruntukkan asal semasa perjanjian persekutuan ditanda tangani dahulu. Ikutlah contoh Kerajaan Negeri Selangor jika benar UMNO mendaulatkan Raja-Raja Melayu. Jangan bercakap manis dimulut sahaja ibarat menanam tebu dihujung bibir.
Setelah dululuskan oleh DUN Selangor pindaan ini nanti maka Negeri Selangor akan menjadi Negeri yang pertama yang telah sedar dan bertindak membetulkan kesilapan yang dilakukan oleh UMNO pada tahun 1993 dahulu.
Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada rakyat Negeri Selangor diatas kejayaan saudara-saudari sekelian.