KITA pun tidaklah terlalu tidak cerdik untuk mengetahui bahawa melantik anggota Kabinet adalah hak dan budi bicara Perdana Menteri.
Orang macam kita tidak ada hak dan bukan “prerogative” kita melantik anggota Kabinet. Tetapi, sebagai rakyat jelata, pengundi dan pembayar cukai, kita ada hak dan “prerogative” kita memberi pandangan, menegur dan mengkritik Perdana Menteri.
Atas dasar dan semangat itulah, saya akan memberi nasihat yang tidak diminta dan, boleh jadi juga, sangat-sangat tidak disenangi oleh Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak, yang kita semua tahu mempunyai banyak penasihat, perunding dan pegawai khas, termasuk lima yang kalah PRU 5 Mei lalu.
Pembaca dan pembahas pun bebas bersetuju dan tidak bersetuju dengan saya, dan bebas juga membuat cadangan.
Berikut adalah pemikiran dua sen saya mengenai Kabinet yang bakal Perdana Menteri tubuhkan.
1. Ia hendaklah jangan terlalu besar. Kita tidak perlu sampai 30 orang Menteri. Yang kita mahu bukan kuantiti tetapi kualiti. Maksimum mungkin 25 sahaja.
2. Mohd Najib perlu jadi Perdana Menteri sahaja. Seperti sudah berbuih mulut saya katakan, Perdana Menteri tidak boleh jadi Menteri Kewangan atau Menteri lain kerana beliau adalah “adjucator of last resort”. Lagipun tugas Perdana Menteri sudah cukup berat.
3. Wajib beri keutamaan kepada calon yang menang pilihan raya, tetapi mereka perlulah bersih dan dilihat bersih oleh rakyat jelata.
4. Hanya calon tewas yang luar biasa kebolehannya dan besar jasanya kepada negara sahaja boleh dipertimbangkan. Dalam konteks ini, saya setuju dengan Lim Kit Siang supaya Abdul Ghani Othman, bekas Menteri Besar Johor yang beliau kalahkan di Gelang Patah, diberikan jawatan Kerajaan Pusat.
5. Tambah bilangan Menteri dan Timbalan Menteri di kalangan YB muda dan wanita. Saya ulangi cadangan agar YB Khairi Jamaluddin diberikan jawatan menteri penuh dan diberikan portfolio Luar Negeri. Dia Ketua Pemuda Umno, pintar dan petah berhujah dalam bahasa Inggeris. Kalau YB Mukhriz Mahathir yang kalah pertandingan Pemuda diberikan jawatan Timbalan Menteri dan kini Menteri Besar Kedah, adalah tidak adil meminggirkan Khairi.
6. Wanita Umno wajib diberikan semula jawatan Menteri yang hilang apabila ketua mereka, Shahrizat Abdul Jalil, terpaksa berundur akibat kontroversi yang membabitkan suami beliau. Dalam PRU kali ini, Pergerakan Wanita tawar hati dan nyata tidak 100% komited kepada parti kerana kurang pengiktirafan kepada mereka dalam pelantikan calon. Lagipun, perwakilan wanita dalam dewan perundangan di negara kita adalah antara yang terhambar di dunia.
7. Hidupkan semula Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (sekarang Kementerian Dalam Negeri) kerana keselamatan negara nyata sangat membimbangkan dengan jenayah semakin berleluasa dan lantik seorang penjawat yang benar-benar berwibawa, tegas dan berwawasan. Tolonglah.
8. Hidupkan semula Kementerian Pembangunan Usahawan yang pada masa hayatnya (sebelum ditamatkan oleh Mohd Najib) sangat berguna kepada usahawan kecil dan sederhana, khasnya Bumiputera yang kurang modal, kepakaran dan pasaran. Berani mengaku silap adalah tanda orang berhemah. Ular menyusur akar tidak hilang bisanya.
9. Kementerian Sumber Manusia perlu dinaikkan taraf dan diberikan kepada seorang Menteri yang kreatif dan boleh berunding secara berkesan dengan negara-negara jiran yang membekalkan pekerja kepada kita. Masalah kita dengan Indonesia dalam hal pekerja adalah kerana kita menghantar Menteri “junior” berunding dengan mereka. Menteri Melayu/Bumiputera lebih sesuai untuk kementerian ini.
10. Tamatkan amalan mengekhaskan Kementerian tertentu kepada kaum atau parti tertentu. Jangan kosongkan Kementerian atau buat pemangkuan semata-mata kerana parti dan kaum tertentu tidak diwakili.
11. Berikan keutamaan yang lebih besar kepada Sarawak dan Sabah melalui pelantikan Kabinet (dan jawatan-jawatan pusat yang lain) kerana menyelamatkan BN daripada kekalahan dengan mengakui bahawa kedudukan kaum dan agama di dua buah negeri itu adalah unik.
12. Dan boleh lantik perwakilan Cina dan India dari kalangan bukan politik, misalnya perniagaan, profesional dan akademik, tetapi mereka bukanlah wakil orang Cina dan India sebaliknya berkhidmat atas kapasiti individu.
Itulah yang terlintas dalam fikiran saya buat masa ini. Wallahualam.
A KADIR JASIN