Di tahun 50-an dahulu, ada sebuah lagu nyanyian R Azmi yang sangat popular. Antara bait seni kata lagu itu berbunyi; ‘Dunia sekarang, sudahlah terbalik… pemudi berbaju belang, pemuda berbaju batik.’ Mungkin sahaja gambaran di dalam lagu itu tidak seteruk keadaan yang berlaku hari ini. Keadaan hari ini lebih buruk apabila yang jahat dilihat baik, yang baik dipandang jahat.
Di dalam perkembangan terbaru, pihak kerajaan bercadang mendedahkan surat mantan Perdana Menteri ke-4, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada mantan PM Israel, Ehud Barak. Hal ini disahkan oleh PM Datuk Seri Najib Razak kala mana media perdana, khususnya Utusan Malaysia heboh menuduh Anwar Ibrahim menyokong Israel.
Semua pertuduhan itu dibuat ketika baru sahaja pertengahan Februari lalu, Anwar dan saya bertemu dengan pemimpin tertinggi Hamas, Khalid Mashal di Qatar. Pertemuan tersebut juga melibatkan Sheikh Yusof Al-Qardhawi di samping Menteri Kebudayaan Qatar, TYT Dr Hamad Abdul Aziz.
Kenyataan awal Anwar yang terbit di dalam WSJ dengan jelas menyebutkan sebarang usaha damai dengan Israel wajib tertaluk kepada pra-syarat dengan Palestin. Istilah yang digunakan Anwar ialah “contingent” bagi merujuk hal tersebut, yang tetap cuba ditutup. Saban hari, PM Najib tanpa segan silu menjadikan modal kempen ke sana ke mari dengan menuduh Anwar menyebelahi atau menyokong Israel.
Pemimpin Umno bertemu PM Israel?
Dalam waktu sama, pemimpin negara tak dapat menafikan bahawa mantan PM ke-4 pernah bertemu dengan PM Israel. Bukan beliau sahaja, malah ada pemimpin Umno lainnya, yang memegang jawatan sebagai menteri juga bertemu dengan pimpinan kanan Israel. Bagi KEADILAN, kita tetap mengiktiraf kedua-dua pihak di Palestin, sama ada Fatah mahupun Hamas. Tidak kepada kerajaan Barisan Nasiona (BN) yang hanya mengiktiraf Fatah sahaja.
Pada tahun 2006 ketika Malaysia menjadi tuan rumah Persidangan Negara-negara Berkecuali (NAM), kerajaan Malaysia telah dengan sengaja membelakangkan Menteri Luar Palestin, Dr Mahmoud Al Zahar yang dilantik oleh PM Ismail Haniyeh. Tindakan biadap ini dilakukan semata-mata kerana kerajaan Palestin ketika itu ditadbir oleh Hamas.
Rakyat juga tergamam apabila di dalam riuh-riuh media perdana cuba memecah-belahkan Pakatan Rakyat di atas isu tersebut, terutama hubungan antara KEADILAN-dengan-Pas, terbongkar cerita kapal dagang Israel berlabuh dan berdagang di Pelabuhan Klang. Perairan Malaysia tercemar! Perdagangan dua negara iaitu antara Malaysia-Israel sudah berlangsung cukup lama, yang antara lain melibatkan komoditi seperti minyak sawit.
Tak dapat saya bayangkan, alangkah sebaknya hati peneroka Felda dan pekebun-pekebun kecil (teruatama yang majoritinya beragama Islam) di seluruh negara apabila mereka tahu, titik peluh mereka selama ini rupa-rupanya dijual kepada Israel. Begitu mudahkan bangsa dan umat kita diperbodohkan?
Sudah banyak kali penguasa Umno-BN cuba menutup pekung di dada sendiri dengan menuduh kepemimpin Pakatan Rakyat. Kaedah ini adalah strategi usang yang sering dilakukan banyak rejim kuku besi di dunia. Sebelum rahsia pecah, mereka akan menuduh musuh politik mereka dengan pelakuan yang sebenarnya dilakukan oleh mereka sendiri.
Apabila diajak berdebat, pelbagai alasan pula diberikan. Ya! Berani kerana benar, takut kerana salah. Ketika media perdana terus-menerus mencipta fitnah dan tohmahan baru, berita yang sebenarnya sudah pun sampai ke telinga wakyat. Mungkin elit Umno-BN tidak sedar, semakin cuba ditutup dusta, semakin terdedah nista. Benar sekali baitnya lagu; dunia sekarang sudahlah terbalik ..
sumber dari SINI