Blog ‘Tukar Tiub’ ada memaparkan salinan surat permohonan tukar milik sebidang tanah oleh salah satu Bahagian UMNO di negeri Selangor yang memohon kepada Menteri Besar Selangor supaya memindahmilikkan sebidang tanah di Selagor ( tanah Rizab Melayu agaknya) yang keputusannya ditolak oleh Menteri Besar Selangor atas alasan ‘ditolak kerana demi mengekalkan quota Bumiputera’.
Sedih dan gembira apabila aku membaca berita berkenaan. Sedih kerana yang memohon adalah Bahagian UMNO yang kononnya sentiasa memperjuangkan hak Melayu, yang kononnya bermati-matian memperjuangkan kesejahteraan orang Melayu, yang kononnya seluruh tenaga dan keringatnya meperjuangkan orang Melayu kampung, yang kononnya tidak akan berkompromi apabila kedudukan orang Melayu tergugat, yang kononnya akan mempertaruhkan ‘nyawa’ sekiranya kedudukan Melayu tergugat. Tetapi golongan inilah juga yang cuba mengkhianati bangsanya sendiri jika diberi peluang, dan golongan ini jugalah yang akan mengenepikan segala undang-undang dan peraturan yang ditetapkan sekiranya mereka berkuasa boleh menentukan sesuatu, dan golongan ini jugalah yang akan ‘mempersetankan’ pandangan rakyat terbanyak, dan golongan ini jugalah yang bermuka tebal melakukan apa saja yang menguntungkan diri dan keluarga mereka. Dan golongan ini jugalah yang sanggup ‘merompak’ wang peruntukan yang diperuntukan kepada golongan miskin di kampung. Dan golongan inilah yang terpekik terlolong ke sana ke mari meneriakkan slogan, ‘ akulah pembela Melayu!’
Aku gembira kerana golongan yang dikatakan mengkhianati rakyat Selangor, khususnya orang Melayu telah bermati-matian memepertahankan undang-udang dan peraturan yang melindungi hak Melayu terutama yang berkaitan dengan tanah rizab Melayu. Sekiranya Menteri Besar tidak berindak sepatutnya, maka sekeping lagi tanah rizab Melayu akan terlepas tangan kepada kaum bukan Melayu yang ‘dinodai’ oleh golongan Melayu UMNO yang kononnya ‘bermati-matian’ mempertahankan orang Melayu.
Perhimpunan UMNO yang akan datang sepatutnya membincangkan hal sebegini yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin UMNO. Ahli-ahli UMNO harus peka dan harus merupakan mata dan telinga rakyat untuk membongkar hal yang sedemikian. Ahli UMNO yang tulus ikhlas di kampung-kampung yang benar-benar berjuang untuk bangsa dan negara tercemar nama disebabkan oleh pemimpin UMNO yang rasuah dan yang tidak bertanggungjawab ini. Nama UMNO tercemar adalah berpunca daripada pemimpin UMNO yang tidak bertanggungjawab. Golongan ahli UMNO terbanyak dipandang rendah oleh rakyat terbanyak bukan disebabkan tindakan ahli UMNO dari kampung tetapi buruknya nama UMNO di mata rakyat terbanyak adalah berpunca daripada tindakan pemimpjin UMNO yang sebegini. Yang harus membersihkan nama UMNO bukan orang luar tetapi harus dibersihkan dari dalam. Ingatlah kata orang tua-tua. “ Yang boleh menumbangkan pokok adalah kapak juga’
Akta Tanah Simpanan Melayu yang diluluskan pada 25 November 1913 oleh Majlis Mesyuarat Persekutuan adalah untuk menjamin kelangsungan masa depan ekonomi, sosial dan politik orang Melayu di Tanah Melayu. Ia bertujuan untuk mengelakkan tanah milik orang Melayu berpindah kepada orang asing. Seolah-olah penjajah dulu amat tahu tentang perangai orang Melayu ia itu akan menjualkan tanahnya kepada siapa sahaja demi untuk mendapatkan wang segera tanpa perlu bekerja keras untuk mendapatkannya. Aku berkata demikian seolah-olah menepati peribahasa Melayu yang mengatakan, ‘ berludah ke langit yang akhirnya jatuh ke muka sendiri’. Aku adalah Melayu tulin.
Melalui akta ini, Residen berkuasa mengisytiharkan mana-mana kawasan tanah milik orang Melayu sebagai Tanah Simpanan Melayu. Pengisytiharan sebegitu akan menyelamatkan tanah dikawasan tersebut daripada dijual, dipajakgadaikan atau ditukar milik kepada orang bukan Melayu. Walaupun tujuan British itu mempunyai musihat yang terselindung, namun sekurang-kurangnya dapat menyelamatkan tanah orang Melayu berpindah tangan. Dalam hal ini aku terpaksa memuji tindakan penjajah British. Betul ke atau tidak betul tindakan aku, dari satu segi aku sokong apa yang penajajah buat. Jikalau tidak disebabkan tindakan ‘orang putih’, akan habis punahlah tanah milik orang Melayu di Tanah Melayu. Dan aku tidak dapat membayangkan keadaan orang Melayu kini sekiranya langkah sedemikian tidak diambil oleh British.
Dan kini golongan UMNO di salah sebuah bahagian di Selangor mahu menukar status itu semata-mata untuk menjualkannya kepada kaum bukan Melayu (mungkin). Dan mungkin sudah banyak tanah-tanah kepunyaan Melayu berpindah tangan sebegini, yang dilakukan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Kegiatan seperti ini harus dibongkar supaya didedahkan kepada rakyat ramai. Ini merupakan satu pengkhianatan kepada orang Melayu. Tidak guna para pemimpin UMNO terpekik dan terlolong ke sana ke sini, kononnya berjuang menyelamatkan orang Melayu sedangkan apa yang dilakukan oleh setengah pemimpin ini amat bertentangan dengan apa yang dikatakan. ‘Cakap tak serupa bikin’. Serupalah dengan peribahasa Melayu yang berbunyi, ‘ kokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi’.
Sekurang-kurangnya Menteri Besar Selangor dari Pakatan Rakyat telah memberikan sumbangan pada orang Melayu walaupun kecil pada anggapan ‘kaum kerabat’ UMNO. Sekurang-kurangnya TS Khalid Ibrahim telah menyelamatkan sebidang tanah dari terlepas dari tangan orang Melayu.
Mungkin sebelum Pakatan Rakyat memerintah Selangor, entah berapa ribu ekar yang telah berpindah tangan. Elok disiasat dan didedahkan.
abuhassanadam