Tanda-tanda kejatuhan BN bertambah jelas......

on Jun 14, 2012



14 JUN 2012  -

Mencapai matlamat perjuangan sememangnya susah dan terpaksa menghadapi pahit maungnya dengan tabah dan sabar yang maksima. Mencari kebaikan akan berhadapan dengan halangan yang rintangannya kadangkala kita rasakan tidak akan tercapai. Tetapi usaha ini terpaksa juga diteruskan kerana dalam keadaan yang mendesak mesti ada pihak yang berani dan sanggup berkorban dan menghadapinya walaupun ianya berhadapan dengan berbagai-bagai  risiko yang tidak ramai  sanggup menghadapinya.

Apa sebenarnya yang membuatkan ada pihak yang sanggup melakukan usaha untuk kebaikan ini? Jika tercapai akhirnya matlamat yang dicari itu, siapakah yang akan menikmatinya? Apakah sebenarnya kepuasan kepada siapa yang berjuang itu? Sebelum itu persoalannya apakah yang menjadi penyebab seseorang atau kumpulan itu sanggup berjuang sambil menghadapi segala rintangan yang bukan kecil itu?

Bagi kita rakyat di Malaysia sekarang ini, perjuangan yang berada di hadapan sekali ialah perjuangan untuk mengembalikan negara kepada landasan yang sebenar dan hakiki itu. Perjuangan setengah pihak sekarang ialah untuk menjaga negara kita yang dianugerahi kekayaan yang melempah-ruah untuk rakyatnya diuruskan dengan baik dan sempurna. Keadaan negara sekarang berada di dalam keadaan yang paling menyayat hati kepada sesiapa yang berfikir dan sayangkan negara ini.

Kebanyakan kemerdekaan dan tamadun sesebuah negara dan ‘empire’ yang tertulis di dalam sejarah dunia ini ialah kerana isu rasuah yang besar-besar. Rasuah merupakan isu yang tidak ada tolok bandingnya kerana rasuah itu boleh menjahanamkan seluruh sistem ampuh sesebuah negara dan jajahan itu.

Negara kita sekarang sedang berada dalam keadaan yang sama semasa ‘Empire Rome’ ketika tamadunnya hendak runtuh dan berkecai dahulu. Begitu juga semasa kekuasaan Uthmaniah dahulu dan banyak lagi contoh-contoh yang sama berlaku di dalam negara dan tamadun  yang  telah  hilang  dimamah sejarah.

Di antara dua puluh enam ‘dynasty China’, dinasti Qing merupakan dinasti yang terakhir yang menghadapi keadaan yang sama sehinggakan dinasti itu jatuh bergelimpangan dengan “people’s power” pada 1910 dahulu dan akhirnya dinasti yang kuat dan kukuh itu telah jatuh dengan penolakan rakyat. Semua tamadun ini merupakan tamadun yang kuat yang tidak ada siapa yang menyangka tatkala itu yang mereka akan jatuh tersembam oleh  kehendak rakyat.

UMNO Baru dan BN juga sedang berada di dalam keadaan yang sama, dalam mana kekuasaan yang telah mereka perolehi selama lebih lima dekad itu nampaknya sudah menunjukkan tanda-tanda akan jatuh. Segala dalil dan petanda kejatuhan yang kita lihat sekarang ini dialami oleh rakyat negara  kita  hampir sama dengan apa yang dialami oleh rakyat ‘empire’ dan negara yang saya sebutkan tadi.

Di antaranya rasuah yang tidak terkawal lagi, kuasa diperguna dengan salah dan ketidakadilan dilakukan terhadap mereka yang berusaha untuk memperbaikinya. Memfitnah dan menggunakan institusi kerajaan sebagai egen kebobrokkan mereka menjadi perkara biasa. Yang benar menjadi salah dan yang salah dijadikan perkara benar.

Inilah yang berlaku apabila kuasa yang dipegang itu berada di dalam tangan dalam tempoh yang terlalu lama. Gerakan yang sama juga sedang dilakukan oleh rakyat negara ini. Reaksi kepada yang berkuasa kita sekarang juga sama dengan pemimpin-pemimpin negara dan ‘empire’ yang telah hilang ditelan sejarah itu. Yang berkuasa selalunya akan hilang hidayah untuk mentadbir secara baik dan sesuai dengan kehendak dan keperluan rakyat semasa

Apa yang perlu kita semua lakukan ialah untuk menunjukkan perbezaan di antara kumpulan reformis dan yang sedang berkuasa. Itu sebabnya saya selalu menulis supaya pendukung perubahan melalui Pakatan Rakyat kali ini perlu dilakukan dengan penuh berhemah dan demokratik. Pihak PR tidak boleh respons dengan tindak tanduk kasar pihak BN dan inilah dia sebenarnya dugaan bagi pihak-pihak yang inginkan perubahan.

Kita mesti ingat yang pihak berkuasa sekarang sedang dalam keadaan ‘desperate’ maka kerja-kerja kasar dan kata-kata yang kotor yang keluar dari mulut pimpinan kerajaan sekarang merupakan perkara yang ‘normal’ yang lazim dilakukan oleh pihak yang akan jatuh tersungkur.  Berbohong adalah sifat mustahil bagi Allah swt dan Tuhan Semesta Alam ini akan memberikan hidayah kepada pihak yang sabar dan istiqomah dalam perjuangannya.

Kejayaan akan hanya didapati oleh mereka yang berusaha, bersabar dan istiqomah dalam perjuangannya. Tidak ada pihak yang sabar itu yang tidak berjaya akhirnya. Percayalah tentang kehendak ‘nature’ ini dan kita hanya menunggu sambil berusaha keras untuk mencapai  apa-apa  matlamat yang  baik itu.

Kepayahan dan kesusahan itu memang pakaian mereka yang berjuang. Perjuangan yang baik itu tidak ada yang mudah dan senang, begitu jugalah kita dalam usaha untuk membina negara untuk kemajuan yang hakiki. Media massa yang digunakan oleh pihak pemerintah secara tidak adil itu telah menjemukan rakyat sebenarnya. Apa yang harus dilakukan oleh mereka yang bertentangan dengan kuasa yang zalim kini ialah dengan memberikan penerangan yang sehabis baik dan jujur tentang isu-isu yang berbangkit di pihak pemerintah pada hari ini.

Apabila rakyat mendapat maklumat yang sebenarnya tidak ada kuasa yang boleh mengalihkan pandangan rakyat dari pemerintah kepada pihak yang bertentangan. Kejayaan akhirnya akan tercapai dan persoalan siapa yang akan menikmati dari kejayaan ini mudah untuk dibayangkan.

Kejayaan usaha pihak yang hendak mengambilalih mandat ini akan memberikan kebaikan kepada rakyat yang sedang hidup dalam kongkongan pemerintah yang memerintah tanpa hidayah ini. Rakyat ramai akan berpeluang untuk bersama hidup dalam harmonis tanpa isu-isu rasis yang diperkayakan oleh UMNO Baru yang 'desperate' ini.

Rakyat akan berpeluang untuk tidak lagi mendengar slogan-slogan kosong yang sekarang dipergunakan oleh pihak pemerintah untuk mengelirukan rakyat. Rakyat juga mempunyai harapan untuk menyekat pengaliran wang negara secara haram seperti yang berlaku sekarang yang jumlahnya melebihi RM1.3 trillion sejak sepuluh tahun yang lalu.

Mungkin juga rakyat tidak akan mendengar kejadian memelihara lembu dengan belanja RM179 juta untuk mengeluarkan hanya seribu ekor lembu sahaja. Rakyat juga tidak mahu lagi mendengar pemimpin miskin yang mampu membina rumah dan mahligai yang berharga puluhan juta ringgit.

Dengan peralihan kuasa kita berharap tidak akan ada lagi isteri-isteri pemimpin yang lebih 'kuah dari sudu' atau seperti 'kera mendapat bunga' dengan membelanjakan wang rakyat yang jumlahnya amat besar dan tidak dapat dikira.

Jika berlaku peralihan kita berharap tidak ada lagi pemimpin yang berbelanja dengan sewenang-wenangnya wang rakyat seperti apa yang berlaku hari ini. Hari ini pemimpin-pemimpin besar tidak malu-malu membelanjakan wang rakyat dengan pembaziran di hadapan mata rakyat yang bertungkus lumus membina sumber kewangan negara kita. Tetapi dalam masa yang sama mereka menyeru rakyat berbelanja secara berwasatiyah kononnya.

Tetapi seperti yang saya katakan tadi jalan untuk menuju ke arah kebajikan ini amat sukar tetapi insyaallah kita akan berjaya akhirnya. Tanda-tandanya semakin jelas kita lihat.

Bersabarlah dan teruskan usaha… Insyaallah perjuangan kita tidak akan sia-sia.




ASPAN ALIAS


Photobucket

Mohamad Hassan Bermimpi Di Siang Hari

on


14 JUN 2012  -
Saya telah dihubungi oleh beberapa pemimpin UMNO Baru di Negeri Sembilan dan meminta saya membuka Free Malaysia Today kerana ada berita hangat yang akan saya temui. Bila saya bertanya apa beritanya dia menjawab, “Bacolah bang. Ado coghito Mad Hasan nak botanding di Paroi. Nak tumpaskan PAS terus bang,” katanya.

Setelah sampai ke rumah saya pun membelek-belek apakah benar cerita yang dikatakan oleh AJK Bahagian UMNO itu. Benar, ada berita tentang kecenderungan MB Negeri Sembilan untuk bertanding di DUN Paroi untuk menentang YB Taufek yang kini ahli Legislatif Negeri Sembilan mewakili  DUN Paroi itu.

Sebenarnya saya percaya apa yang ditulis oleh FMT itu. Kalau berita itu datangnya dari Utusan, kita terpaksa berfikir panjang untuk memastikan berita itu benar atau pun tidak Ini adalah kerana akhbar milik UMNO itu belum lagi berjaya menulis berita-berita yang benar. Akhbar milik UMNO itu tidak ‘professional’ dan tugasnya hanyalah untuk memecah-belahkan pihak-pihak yang hendak bersatu. Akhbar itu tidak sedar bahawa semua rakyat kini mahu bersatu, tetapi di luar UMNO dan BN.

Saya tidak terkejut jika Mohamad mengambil keputusan beralih kawasan dari Rantau ke mana-mana kawasan DUN yang lain.  Saya tidak perlu memberikan sebab-sebab secara ‘detail’ kenapa beliau mahu berhijrah ke kawasan yang baru tetapi cukuplah jika saya katakan yang Rantau tidak lagi kawasan yang selamat bagi beliau. Pengundi Rantau hanya menunggu masa untuk menolak beliau di dalam PRU yang akan datang.

Ramai pengundi Rantau pasti kecewa kerana tidak sampai hajat mereka untuk melihat Mohamad ditewaskan oleh orang-orang kampungnya sendiri. Tindakan Mohamad untuk berhijrah ke Paroi itu memang mudah untuk beliau lakukan kerana beliau adalah Ketua Bahagian Rembau dalam mana Paroi adalah salah satu kawasan DUN dalam kawasan Parlimen Rembau. Beliau juga adalah Pengerusi kepada Badan Perhubungan Negeri Sembilan.

Mengikut berita itu, Mohamad bertindak berpindah itu kerana beliau mahu menambah aura pilihanraya dengan bertanding melawan satu-satunya ADUN PAS dan ia kononnya akan memberikan uumph yang lebih untuk beliau memenangi kembali kerusi-kerusi yang telah jatuh ke tangan pembangkang dalam pilihanraya yang lalu.

Baguslah kalau begitu niatnya, tetapi apakah itu sebab yang sebenarnya beliau hendak menukar kawasan itu? Jawapannya ada pada pemikiran pengundi-pengundi di NS dan tidak payah kita sebut-sebut lagi.

Bolehkah Mohamad menumpaskan YB Taufek dari PAS itu sedangkan beliau hanya berjaya memenangi kerusi Rantau dengan majoriti kecil semasa menentang tukang jahit dari PR dalam pilihanraya yang lalu? Kalau di Rantau tempat kariah dan kampungnya sendiri beliau tidak berani bertanding, bagaimanakah perkiraan beliau yang beliau boleh berjaya dengan cemerlang di Paroi?

Bagaimanakah perkiraan pengundi-pengundi di seluruh Negeri Sembilan dengan penghijrahan itu? Tidakkah mereka terfikir bahawa penghijrahan itu adalah untuk lari dari kawasan yang beliau wakili sekarang kerana beliau telah merasakan bahawa pengundi di DUN Rantau sudah tidak lagi diyakini memberi beliau sokongan kali ini?

Tidakkah beliau merasakan bahawa walaupun mungkin beliau merupakan ‘winnable candidate’ untuk Paroi, tetapi tindakan itu akan menjejaskan prestasi UMNO di kawasan-kawasan lain di Negeri Sembilan. Berita ini merupakan berita yang amat menarik, kerana seorang yang bergelar MB yang bertindak lari dari kawasan beliau sendiri dengan alasan yang melakukannya sebagai ‘gerakan strategik’ untuk menumpaskan PAS.

Kalau beginilah keadaannya maka teori saya yang mengatakan bahawa sekarang ini hakikatnya BN sebenarnya sedang melawan PAS, bukannya PAS yang hendak melawan BN. Lain-lain perkataan PAS dan PR di Negeri Sembilan sedang mendahului BN secara psikologinya. BN pula yang sedang bersilat mengikut rentak dan tari PR pula.

Bagaimanapun kita tahu PAS tidak akan mampu ditumpaskan lagi. PAS sudah menyelinap jauh ke dalam sanubari rakyat, bukan sahaja di kalangan orang Melayu tetapi juga mendapat sambutan dari semua kaum di negara ini, termasuk di Negeri Sembilan sendiri.

YB Taufek akan tetap menjadi wakil bagi rakyat kawasan Paroi di Dewan Legislatif Negeri Sembilan itu, Insya-Allah. “Takut-takut Mohamad Hasan hanya bermimpi di siang hari sahaja,” kata beberapa orang pimpinan UMNO di Negeri Sembilan.

Kalaulah benar berlaku pertembungan di antara Mohamad dengan Taufek di Paroi, ianya adalah pertandingan di antara seorang yang sentiasa merendah diri dan berkeperibadian baik dengan seorang yang sombong dan meninggi diri yang merasakan dirinya sebagai pemimpin yang datangnya dari langit.



ASPAN ALIAS


Photobucket

Gelagat Umno sebelum dipaksa turun takhta

on


14 JUN 2012  -


Regim yang hampir tumbang sepatutnya melakukan usaha pembaharuan bagi merebut kembali sokongan rakyat, dengan berusaha sebaik mungkin menjinakkan hati dan minda pengundi, supaya dapat terus bertakhta.
Malangnya, apa yang sering berlaku, kebanyakan penguasa yang dibenci massa itu, selalu bertindak di luar jangka, dengan meneruskan -- malah meningkatkan lagi -- tahap kejahatan dan kezaliman, sehingga menyebabkan kebencian dan kemarahan orang ramai bertambah.

Mereka seolah-olah gagal membaca isyarat kejengkelan rakyat yang muncul di mana-mana.
Sekadar contoh, perhatikan saja bagaimana perilaku bekas Presiden Indonesia di ambang kejatuhannya, 14 tahun lalu. Di kala rakyat mula memberontak dan menunjukkan aksi protes secara terbuka, ketika itu jugalah Suharto cuba memperkukuh kedudukannya dengan melantik suku-sakat dan anak-anaknya ke jawatan atau posisi strategik, yang menambah-parah amarah rakyat. Dua bulan sebelum berundur secara paksa, selepas 31 tahun memerintah, Suharto masih ghairah bertanding untuk penggal ketujuh.

tetap angkuh

Bagaimana pula dengan Hosni Mubarak, yang memerintah Mesir sejak 1981 dan dihukum penjara seumur hidup baru-baru ini? Masakan agensi perisikan yang berpengaruh besar di zamannya gagal mengesan mood rakyat, hinggakan menjelang perletakan jawatan pada Februari 2011, Hosni tetap angkuh mahu mewariskan Mesir buat anak-anaknya, menyebabkan kemarahan rakyat yang tertindas sejak sekian lama meledak.

Di negara kita, Najib Razak dan pemimpin-pemimpin Umno-BN kelihatan resah gelisah mencari strategi terbaik untuk memastikan kekal berkuasa. Jangkaan tarikh PRU13 -- ibu segala pilihan raya -- terus berubah-ubah, tanda sang penguasa tidak yakin bahawa  rakyat sekali lagi akan memberi mandat, walaupun pelbagai insentif one-off dicurahkan, selain dana "durian runtuh" ditabur, misalnya kepada peneroka Felda.

Malah, semasa berkempen di Kulim, dalam program Jelajah Janji Ditepati, pada 8 Jun lalu, Najib membayangkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM500 untuk keluarga berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan akan diberikan buat pusingan kedua. Ternyata, peruntukan hampir RM3 bilion untuk giliran pertama baru-baru ini belum cukup untuk membeli sokongan rakyat.

Najib tidak senang duduk berkejar ke sana sini melaksanakan program yang diatur buatnya, semata-mata untuk meraih simpati pengundi. Ada segmen berbeda buat khalayak berlainan, bukan saja dikategorikan oleh perbedaan kaum dan agama, juga meliputi himpunan khusus buat anak-anak muda, terutama pemilih yang baru pertama kali mengundi.

Himpunan Jutaan Belia di Putrajaya hujung Mei lalu, digambarkan Menteri Belia dan Sukan, Ahmad Shabery Cheek, sebagai mendapat sambutan luar biasa, dengan 2.4 juga pengunjung. Hanya segelintir yang percaya angka tersebut, namun lebih ramai mengingati program itu dengan kemunculan artis Korea dalam persembahan sensasi K-Pop, yang turut dihadiri Perdana Menteri dan isteri di atas pentas. Gambar Najib bersalaman dengan penyanyi berpakaian seksi itu menjadi bualan ramai.

kumpulan K-Pop

Kontroversi timbul bukan saja berpunca daripada bentuk persembahan dan pakaian menjolok mata tiga kumpulan K-Pop itu, tetapi kos besar membawa mereka datang ke Malaysia. Ada blogger mendedahkan invois bernilai RM2.4 juta tetapi Kementerian Belia dan Sukan menjelaskan jumlah itu dibuat berdasarkan perkiraan awal dan hasil perbincangan kos akhirnya adalah RM900,000 (masih terlalu tinggi, 'kan?).

Sukar untuk dipastikan apakah kos yang membazir itu boleh membawa keuntungan politik kepada Umno-BN? Terujakah generasi muda untuk menyokong BN selepas menghadirinya? Apakah formula lapuk BN, dengan menyogokkan hiburan tanpa adab itu kepada anak muda, akan memberi kelebihan  kepada mereka, bagi memastikan Putrajaya tidak terlepas? Saya yakin, jika itulah strateginya, dengan melekakan generasi muda, target tersebut pasti tersasar.


Sekonyong-konyong, debat Rafizi Ramli dan Khairy  Jamaluddin, yang disiarkan secara langsung Astro Awani, membicarakan isu yang menarik tumpuan anak-anak muda, berkaitan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Rata-rata penonton berpendapat hujah dan argumen Pengarah Strategi KeADILan itu lebih memikat dan bernas. Generasi muda terpelajar dapat diyakinkan bahawa Malaysia di bawah Pakatan, yang memerangi rasuah dan ketirisan, mampu menyediakan pendidikan percuma, apabila khazanah kekayaan negara dilindungi oleh pemerintah yang beramanah.

Dua tahun lalu, dalam jawapan di Dewan Rakyat, Menteri Pengajian Tinggi, Khaled Nordin menjelaskan, sehingga April 30 April 2010, seramai 1.5 juta pelajar mendapat pinjaman PTPTN. Tentulah jumlah peminjam sehingga kini menghampiri 2 juta orang, satu angka yang cukup besar dan dapat mempengaruhi PRU13. Pengundi seramai itu, dan mempunyai kelayakan akademik yang tinggi, tidak boleh diremehkan kecenderungan mengundi mereka.

Seterusnya, Najib dan timbalannya, Muhyiddin Yasin (juga mentornya, Dr Mahathir Mohamad) dikejutkan dengan kehadiran lebih 100,000 ahli dan penyokong PAS di Himpunan Hijau ke Putrajaya, di Stadium Darul Aman,  malam 1 Jun lalu. Siapa sangka, dengan persiapan tidak sampai dua minggu, gelombang lautan hijau mencipta sejarah baru dan menggegarkan Alor Setar?

beku pinjaman

Gugup dengan situasi yang semakin mengasak Umno-BN itu, tanpa diketahui siapa perancang dan penasihatnya, tiba-tiba, pada Selasa lalu, kita dikejutkan dengan berita pembekuan pinjaman PTPTN untuk pelajar baru Unisel dan Kuis, dua IPT di bawah Kerajaan Negeri Selangor.

Tidak syak lagi, ini merupakan amalan politik dendam kesumat berniat jahat Umno-BN, bukan saja untuk merampas Selangor tetapi bertujuan memburuk-burukkan imej Pakatan Rakyat yang menjanjikan pendidikan percuma. Umpama kata pepatah, tiada tanduk, telinga dipulas. Pelajar yang tidak berdosa -- dan 80 peratus daripada mahasiswa baru Unisel itu adalah Melayu -- menjadi mangsa politik bebal Umno.

Arahan yang dibuat Menteri Pengajian Tinggi Khalid Nordin -- seperti disahkan Pengerusi PTPTN, Ismail Mohamad Said, yang juga Ahli Parlimen BN Kuala Krau -- yang direstui Muhyiddin dan pastinya disokong sepenuhnya oleh Noh Omar, Timbalan Pengerusi Umno Selangor, telah mendapat reaksi yang cukup mengejutkan Najib: Tentangan dan kecaman cukup meluas dan merata!

Beberapa pemimpin Umno, misalnya Khairy dan Saifuddin Abdullah, yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi secara terbuka membantah langkah primitif itu.

Ya ... dalam suasana genting BN mengharapkan undi anak muda, tiba-tiba Umno mempamerkan wajah hodoh dan jelik. Tentu pelik dan aneh, 'kan? Reaksi awal MB Khalid Ibrahim bahawa Unisel akan mencairkan asetnya, hartanah seluas 500 ekar yang diperolegi hasil penyusunan semula hutang Talam, makin menambahkan gelabah Umno.

Noh, yang selalunya kelihatan berang dan garang, terkedu seribu bahasa. Sebelumnya, beliau berkata pembekuan PTPTN hanya akan ditarik balik jika kerajaan PKR (istilah ciptaannya) "mengaku salah dan mengiytiharkan tidak mampu memberikan pendidikan percuma dan tidak membuat janji kosong".

kelam kabut

Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin melihat daripada perspektif yang menarik: "Nampaknya kedua-dua menteri (Khalid dan Muhyiddin) dari Johor ini tidak tetap pendirian. Mereka mula kelam kabut kerana Johor yang menjadi kubu kuat Umno selama ini sedang menjadi sasaran utama Pakatan Rakyat. Pada pilihan raya akan datang,  Pakatan Rakyat akan pastikan Johor bukan lagi deposit tetap bagi Umno BN.

"Kita percaya pembekuan ini ditarik balik kerana tidak tahan dengan desakan dalaman dan luaran atau juga Khaled  baru sedar bahawa pembekuan ini seumpama menggali kubur untuk dirinya dan Umno.  Kita berterima kasih kepada Khaled yang juga disebut-sebut bakal menggantikan MB Abdul Ghani Othman ... Selepas ini, Khaled akan dijadikan kambing hitam sebagai punca kekalahan Umno-BN, nasib yang sama dialami Dr Khir Toyo."

Mungkin suasana kelam-kabut, flip-flop dan keliru ini, membayangkan Umno sengaja menempah maut, sepertimana tindak-tanduk penguasa zalim atau diktator tua di penghujung pemerintahan mereka, misalnya kes Hosni Mubarak dan Suharto tadi.



sumber
Photobucket

Kokok Berderai-Derai, Ekor Bergelumang Taik

on


14 JUN 2012 -

Apabila bercakap tentang penganutan agama Islam, perkara utama yang wajib dipegang ialah iman dan taqwa. Kesemuanya bersandarkan Al-Quran dan Hadis. Sehubungan itu, seseorang yang mengaku dirinya Islam wajib mematuhi perintah dan menjauhi larangan yang disampaikan Allah melalui Rasul-Nya dalam semua laku perbuatan, tidak kiralah dalam bidang sosial, ekonomi, mahupun politik.

Politik Islam mengamalkan dasar perjuang
an yang berteraskan Al-Quran dan Hadis. Tentulah hal ini tidak sama dengan kebangsaan yang menjurus kepada kepentingan bangsa dan sekularisme, yakni fahaman yang menolak nilai-nilai keagamaan dalam kehidupan sosial manusia.


UMNO ialah singkatan kepada United Malays National Organization @ Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu. Sesuai dengan namanya, parti itu memperjuangkan kepentingan orang Melayu dalam era penjajahan British sehingga mencapai kemerdekaan. Era tersebut telah lama berlalu. Serentak dengan itu, isu kebangsaan menjadi tidak relevan lagi dalam era globalisasi sekarang ini. Hanya golongan yang masih bergayut pada konsep assabiyah atau perkauman saja terus diselubungi "kata keramat" itu.

Di samping itu, parti ini berpegang kepada sekularisme, iaitu satu idealisme yang sangat cocok dengan prinsip kolonialisme (yang terhasil selepas gerakan Renaissance di Eropah) ketika itu. Maka dipisahkanlah agama dengan politik. Tidak terpakailah Islam sebagai dasar perjuangan UMNO. Situasi sedemikian berlarutan sehingga kini.

Bagi UMNO, Melayu mendahului Islam. Istilahnya ialah Melayu-Islam. Sebab itulah slogan mereka "Hidup Melayu". Selepas itu barulah diikuti dengan takbir dan selawat. Lihatlah hal ini dipraktikkan setiap kali mereka mengadakan perhimpunan agung. Pada hakikatnya, umat Islam wajib mendahulukan Islam, kemudian barulah diikuti dengan bangsa. Istilahnya ialah Islam-Melayu. Bangsa menduduki tempat kedua dalam Islam. Oleh sebab itu, kita sebut Islam untuk semua bangsa. Mustahil semua bangsa itu Islam apabila kita bersepakat menerima kebebasan beragama dalam masyarakat.

Konsep Melayu-Islam yang dipegang oleh UMNO telah dengan sendirinya meletakkan hal-hal keagamaan pada tempat yang kedua. Apabila Islam tidak diutamakan, pemimpin dan ahli UMNO pun tidak terdidik dengan roh keislaman. Oleh sebab itu, mereka menolak Islam. Mereka mengguna pakai bahagian-bahagian tertentu sahaja dalam ajaran Islam. Sebagai pemerintah, mereka mendirikan masjid. Mereka memuliakan hari-hari kebesaran Islam. Mereka mendirikan mahkamah syariah. Mereka mendirikan sekolah agama. Mereka menubuhkan bank Islam. Mereka menubuhkan universiti Islam. Dan macam-macam lagi.

Pada masa yang sama, kes qazaf tidak dibicarakan di mahkamah syariah yang mereka dirikan. Sumpah muhabalah yang sebenarnya membabitkan isu berkaitan akidah seolah-olah mahu divalidkan untuk kes jenayah syariah seperti liwat dan zina. Hukum rejam kepada penzina yang terkandung dalam hudud dicap sebagai primitif. Undang-undang Islam tidak mau dilaksanakan atas alasan negara akan huru-hara. Mereka bertempik ke sana sini menuduh orang mengamalkan seks di luar tabii tanpa mengemukakan empat orang saksi. Melalui NGO yang pro mereka, disuruh pula pihak yang dekat dengan orang yang dituduh tampil membuat penafian terhadap tuduhan yang dikeluarkan oleh orang bukan Islam.

Maka merebaklah fitnah, rasuah, penyelewengan, ketirisan, penyalahgunaan kuasa, dan sebagainya. Kesemuanya merupakan manifestasi kebobrokan yang berlaku akibat ketipisan taqwa dalam diri. Inikah parti yang didakwa memperjuangkan Islam? Tidakkah parti ini mempersendakan Islam apabila tiga bulan yang lalu BERSIH 3.0 difatwakan haram, sekarang dikategorikan sebagai nasihat sahaja? Inikah parti yang berjuang memartabatkan Melayu apabila lebih 90% bangsa itu miskin dan layak menerima BR1M RM500; apabila Melayu hanya memperoleh 18% ekuiti sepanjang berlangsungnya DEB; apabila RM52 bilion saham Bumiputera lenyap entah ke mana?

Tidakkah UMNO itu pengkhianat bangsa apabila menyonglap 1.3 juta hektar Tanah Simpanan Melayu (TSM) daripada 3 juta hektar yang diwariskan penjajah; bukan pengkhianatkah jika ketirisan berjumlah RM28 bilion setiap tahun seperti yang dilaporkan oleh Ketua Audit Negara? Masih boleh dimaafkankah kalau mahkamah suruh bayar hutang sebanyak RM598 juta tapi UMNO/BN kata tak payah bayar?

Mereka ini kokok berderai-derai, ekor bergelumang taik. Mereka memang tidak boleh dipercayai. Orang Islam berpegang kepada prinsip "amar makruf nahi mungkar". Orang Islam dalam UMNO mengamalkan amar makruf amar mungkar. Tidakkah amalan ini bertentangan dengan ajaran Islam? Bolehkah mereka menafikannya?"
 



sumber
Photobucket

Mahathir Berkongsi Kejayaan, Najib Pula Berkongsi Kegagalan...?

on


14 JUN 2012  -


Sejak kebelakangan ini Mahathir dilihat begitu kerap bersuara dan memberi pandangan tentang politik negara. Daripada mencadangkan tentang tarikh yang sesuai untuk diadakan pilihanraya, mengupas tentang demokrasi, kebangkitan rakyat dan demonstrasi jalanan sehinggalah kepada kemungkinan Anwar dan Pakatan Rakyat akan mencetuskan huru-hara selepas pilihanraya umum akan datang ini.

Selain itu, hampir semua isu semasa yang panas akan mendapat reaksi daripada bekas Perdana Menteri selama 22 tahun itu. Seperti biasa komen Mahathir tetap mempunyai nada sindiran dan kritikan yang tajam.

Ternampak bahawa menjelang pilihanraya ini, Mahathir mahu memainkan peranannya sebagai mentor kepada Najib. Oleh kerana musuh yang bakal dihadapi oleh Najib ialah Anwar Ibrahim yang juga merupakan musuh yang hampir menyingkirkannya jika tidak dipecat pada 1998, Mahathir seolah-olah terpanggil untuk sama-sama menyingsing lengan.

Tujuannya hanya satu - menghalang Anwar daripada menjadi Perdana Menteri.

Mahathir adalah satu-satunya rakyat Malaysia yang paling tidak sanggup melihat Malaysia ini berperdana-menterikan individu yang bernama Anwar Ibrahim. Bagi Mahathir, dunia ini akan menjadi gelap segelap-gelapnya jika Anwar jadi Perdana Menteri.

Bukan saja kepentingan keluarga dan legasi yang dibina bertahun-tahun bakal musnah, malah ego dan maruah Mahathir juga akan turut ranap kerana Anwar yang sebelum ini dikaitkan dengan pelbagai salah laku seks sehingga akhirnya dipecat daripada UMNO dan Timbalan Perdana Menteri, tiba-tiba menjadi pilihan rakyat untuk menerajui negara pula.

Atas sebab itu, Mahathir sedaya upayanya akan menghalang kemaraan Anwar. Bersama dengan Najib yang dilihat masih bergelut untuk meraih sokongan secukupnya bagi menubuhkan kerajaan selepas PRU 13 ini, Mahathir tentunya merasakan beliau masih mempunyai pengaruh serta kekuatan untuk membantu UMNO dan BN.

Memang tidak dinafikan, di kalangan ahli dan penyokong UMNO serta sebilangan rakyat, Mahathir masih mempunyai pengaruhnya yang tersendiri. Dengan kelebihan menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun dan pelbagai rekod menyingkirkan musuh politiknya, Mahathir seakan mahu menggunakan pengalamannya itu untuk mengetepikan Anwar sekali lagi setelah berjaya menyingkirkannya kali pertama pada 1998 lalu.

Kiranya dalam pilihanraya umum nanti, Mahathir berjaya membantu Najib mencipta kemenangan, walaupun mungkin dengan cuma kemenangan tipis, Mahathir sebenarnya mahukan kejayaan itu dikongsi bersamanya. Ia bukan saja bagi memelihara maruah dan egonya tetapi juga bagi memastikan legasinya terus kekal. Dalam masa yang sama, pastinya satu-satunya kepentingan Mahathir yang masih tinggal iaitu masa depan anaknya, Mukhriz akan terus terpelihara.

Jika Najib sedia memberi laluan kepada peranan Mahathir dalam pilihanraya ini, sudah barang tentu juga Mukhriz akan diberikan laluan yang lebih selesa untuk terus mendaki tangga kejayaan dalam UMNO. Jika tidak dijadikan Menteri Besar Kedah, Mukhriz juga mungkin bakal menjadi menteri penuh selepas pilihanraya ini.

Soal apa yang bakal berlaku kepada masa depan UMNO adalah perkara kedua. Jika Mahathir sudah memainkan peranan penting dalam pilihanraya ini, tentunya sukar juga untuk memastikan Mahathir daripada tidak campurtangan dalam pemilihan UMNO selepas itu. Jika UMNO dan BN menang tipis, masa depan Najib bukan lagi perkiraan utama Mahathir. Beliau mungkin menonjolkan Muhyiddin dan seterusnya menyediakan laluan "smart tag" untuk Mukhriz sebagai pelapis seterusnya.

Tetapi bagi Najib pula, kebergantungannya kepada bantuan Mahathir bukan saja untuk menciptakan kemenangan malahan juga untuk berkongsi kegagalan. Dengan prestasi Najib yang sentiasa merosot di mata rakyat serta ratingnya yang menurun daripada 69 peratus kepada 65 peratus dan keyakinan untuk menang masih goyah, Najib juga sebenarnya memerlukan Mahathir untuk disandarkan kesalahan jika berlaku kekalahan.

Jika Najib benar-benar cukup kuat untuk menjelmakan kemenangan bagi UMNO dan BN, beliau tentunya mahukan kemenangan itu miliknya seorang supaya lebih mudah mencatur perjalanan politik UMNO dan negara selepas itu tanpa campurtangan sesiapa. Tindakan Najib menangguh beberapa kali untuk mengadakan pilihanraya adalah dipercayai kerana beliau masih diberi laporan yang tidak memihak kepadanya.

Dengan keyakinan Pakatan Rakyat untuk menang sekurang-kurangnya 105 kerusi, ditambah dengan suara kebangkitan rakyat terutama generasi muda sentiasa meningkat, harapan Najib untuk membawa UMNO dan BN mencapai kemenangan memang dilihat masih sukar. Kadangkala insting kepada kekalahan lebih dekat berbanding kemenangan.

Dengan membiarkan Mahathir banyak berperanan, Najib sedang mempertaruhkan dirinya. Mungkin menang dan mungkin kalah. Tetapi jika kalah, kelebihan Najib ialah beliau ada Mahathir untuk dikongsi kekalahan itu. 


Oleh Shahbudin Husin
Photobucket

STOP All The Rubbish........

on

NONE

14 JUN 2012 -

PKR S'gor berbalah, setpol MB jadi sasaran...................


Perbalahan dalam PKR Selangor, yang menyebabkan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim terpaksa berundur daripada jawatan ketua PKR Selangor pada 2010, nampaknya kembali berulang.

Sasaran kali ini ialah ke atas setiausaha politik menteri besar, Faekah Husin.

Kempen dalam talian dengan nama Kami Sayangkan PKR itu pada awalnya nampak remeh, namun tetap mencuri perhatian apabila ia dilihat mendapat sokongan oleh timbalan presiden PKR Azmin Ali.

NONEAzmin yang kini ketua PKR Selangor, minggu lalu menerbitkan semula satu tulisan diTwitter yang menggesa Faekah "dipecat".

Tindakannya itu mencetus spekulasi sama ada satu lagi perbalahan akan berlaku di dalam parti tersebut di Selangor.

Ditanya mengenai perkara itu, MP Gombak tersebut menganggap bahawa perkara itu tidak penting kerana beliau menerbitkan semula tulisan tersebut secara "tidak sengaja."

Azmin bagaimanapun menambah, banyak rungutan mengenai Faekah yang diterima seja beberapa bulan, "termasuk daripada penjawat awam."

Katanya, pengadu berkenaan diberitahu bahawa parti dan menteri besar tidak boleh membuat banyak tindakan melainkan pengadu berkenaan membuat aduan rasmi dan mengemukakan bukti.

Beliau enggan mendedahkan dakwaan berkenaan namun aduan sama ke atas Faekah itu malah diterima daripada individu dari Sabah, katanya.

Faekah yang tidak memegang apa-apa jawatan dalam parti semenjak dilantik sebagai setiausaha politik meteri besar pada Jun 2010, dikatakan berdepan dengan tindakan pemecatan pada Mac akibat tekanan daripada parti.

Sumber di peringkat tertinggi PKR mengesahkan bahawa aduan ke atas Faekah ditimbulkan dalam beberapa mesyuarat biro politik, namun tiada tindakan diambil setakat ini. - MK


Photobucket

Dr M: Saya tak takut Pakatan tawan P'jaya

on



14 JUN 2012  -
Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak takut Pakatan Rakyat mengambil alih kuasa - kecuali beliau akan didakwa atas pertuduhan palsu.

Beliau mengulas kenyataan ketua anggota parlimen DAP Lim Kit Siang bahawa beliau bekerja keras memastikan pembangkang tidak berjaya kerana takut dakwaan salah lalu didedahkan.

NONE"Dia betul. Saya takut," tulis Dr Mahathir dalam blognya.

"Saya takut pada bentuk salah guna kuasa seperti sudah ditunjukkan oleh seorang pemimpin besar Pakatan yang pegawai polis kanan di pihaknya untuk menakutkan Dr Ristina Majid dan Umi Hafilda Ali supaya menarik balik surat Umi kepada saya."

Dr Mahathir Mohamad pada 31 Mei lalu dilaporkan mendakwa, tindakan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan pegawai tinggi kerajaan melakukan sesuatu bukanlah perkara yang luar biasa, laporUtusan Malaysia.

Menurut Dr Mahathir, Anwar ketika didakwa di mahkamah sewaktu menjadi timbalan perdana menteri pada penghujung 1990-an, pernah mengarahkan polis untuk menakutkan beberapa saksi yang terlibat dalam pertuduhan salah guna kuasa dan liwat dihadapinya.

"Selain ini saya tidak takut. Saya selalu berhati-hati untuk tidak menyalahgunakan kuasa yang saya ada sebagai perdana menteri kerana saya berhati-hati untuk meletakkan jawatan dan hilang kuasa pada tahap tertentu.

"Sekiranya saya menyalahgunakan kuasa, pengkritik saya akan sangat teruja dan mendedahkan saya dan memastikan saya disumbat dalam penjara," sambung Dr Mahathir. _ MK

Photobucket

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List