Apakah PKR realistik atau berfantastik dalam mensasarkan kemenangan sebanyak 40 kerusi dalam Pilihan Raya DUN Sarawak akan datang?
Berdasarkan perkiraan semasa, PKR telah diberikan kerusi yang paling banyak dalam PR DUN Sarawak berbanding rakan pembangkang lain. Dan, atas alasan itu juga Pakatan Pembangkang bersetuju melantik Baru Bian menjadi Ketua Menteri Sarawak sekiranya Pakatan Pembangkang menang dalam PR DUN Sarawak.
Dalam merealisasikan hasrat Baru Bian, PKR Pusat perlu membantu PKR Sarawak dalam merancang strategi dan pendekatan ke arah mencapai kemenangan. Disebabkan itu, Ketua Wanita PKR Kebangsaan, Zuraida Kamaruddin dengan yakin mensasarkan kemenangan 40 kerusi DUN Sarawak. Walaupun sukar dan berat, atas pertimbangan strategi gerak saraf, PKR mahu melihat reaksi Barisan Nasional (BN) Sarawak yang berusaha mempertahankan kemenangan DUN 2006 atau lebih baik.
Sasaran 40 kerusi yang dinyatakan Zuraida Kamaruddin perlu dilihat dari sudut positif. Ini disebabkan situasi dan suasana politik Sarawak dan Semenanjung adalah berbeza. Walaupun angka 40 kerusi itu terlalu besar, namun dalam politik adalah tidak mustahil untuk dicapai memandangkan setiap parti politik dan calon akan bertungkus lumus mencapai kemenangan. Untuk itu, BN Sarawak perlu bekerja lebih kuat dalam mempertahankan kemenangan.
BN perlu bertindak lebih bijak dalam menangani provokasi PKR dan tidak mengikut rentak PKR. Manakala, ADUN BN tidak perlu memikirkan kenyataan PKR sebaliknya fokus ke atas prestasi dan permasalahan rakyat yang menjadi tunjang kepada sokongan rakyat. Berbeza dengan Pakatan Pembangkang yang memainkan sentimen perkauman dan rasis serta fitnah dalam meraih simpati rakyat terhadap mereka.
Dalam pada itu, BN boleh menyatakan apa saja tentang sasaran 40 kerusi yang mampu diraih PKR dan itulah yang dimahukan PKR. Kalau boleh apa saja yang diumumkan PKR, mereka mahukan penjelasan dan kenyataan daripada BN. Dengan harapan, kenyataan itu akan diperbesarkan dan mendapat royalti umum seperti yang sedang dilakukan PKR sekarang.
Cita-cita dan harapan menggunung PKR seperti yang mereka perolehi di Selangor menjadi sandaran utama untuk mendapatkan Sarawak. PKR beranggapan, kalau Selangor boleh ditakluki apatah lagi Sarawak. Setiap kali turun berceramah, PKR mahupun DAP dan PAS akan menjadikan Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan sebagai negeri contoh dan terbaik yang diperintah Pakatan Pembangkang berbanding negeri-negeri di bawah pentadbiran BN.
Secara asasnya, kenyataan PKR dalam sebarang isu politik adalah semata-mata mahu mengelirukan rakyat menjelang pilihan raya negeri. Sama ada mahu meraih simpati atau mendapatkan simpati, terpulanglah kepada rakyat.
Walau bagaimanapun, secara realistiknya PKR boleh menyatakan berapa banyak angka, tetapi secara fantastiknya apakah sasaran ini mampu dicapai?