PERTEMUAN TS KHALID DENGAN PEMIMPIN PR

on Jan 4, 2011

Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim mengadakan siri pertemuan dengan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat hari ini bagi menyelesaikan krisis perlembagaan ekoran pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru. 

The Malaysian Insider difahamkan beliau mengadakan dua pertemuan penting termasuk bersama pemimpin-pemimpin kanan Pakatan Rakyat antaranya dengan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali.

Pertemuan pagi berlangsung sekitar 10 pagi dan satu lagi pada sebelah petang.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Teng Chang Khim juga akan mengadakan sidang media berhubung perkembangan semasa tengah hari ini.

Kedua-dua pertemuan membabitkan Menteri Besar itu dijangka akan cuba mencari formula penyelesaian termasuk usaha meminda perlembagaan dan tindakan pentadbiran kerajaan negeri yang tidak mengiktiraf pelantikan Khusrin.

Malah usaha kerajaan negeri meminda perlembagaan memerlukan sokongan dua pertiga.

Pertemuan ini diadakan sebelum Exco mengadakan mesyuarat mingguan mereka esok.

“Saya diminta hadir satu mesyuarat khas pemimpin-pemimpin kanan dengan Menteri Besar, saya difahamkan ini membabitkan pemimpin kanan PKR, saya belum sampai di bangunan SUK, dan oleh itu, tidak pasti sama ada pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat lain akan hadir sama,” kata Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin kepadasini.

“Setahu saya YB Azmin akan hadir sama,” katanya.
Azmin juga merupakan Pengerusi PKR Selangor.

Beliau yang juga Ketua Wanita PKR berkata, satu pertemuan dengan semua wakil rakyat Pakatan Rakyat Selangor akan diadakan pukul 4 petang ini.

“Pertemuan petang ini membabitkan kesemua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Selangor berhubung isu pelantikan SUK,” kata beliau.

Adun Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad juga mengesahkan pertemuan petang ini.

“Ia mengenai isu SUK, kita tunggu dulu hasil mesyuarat petang ini,” kata beliau yang juga Pengarah Komunikasi PKR ketika dihubungi.

Ahli Parlimen PKR Kuala Langat Abdullah Sani Abdul Hamid juga mengesahkan pertemuan petang ini yang menurutnya akan memberi peluang kepada wakil rakyat-wakil rakyat mendapatkan penjelasan mengenai perkembangan semasa selepas Khalid menghadap Sultan Selangor semalam.

“Isu ini jelas di mana kami sudah pun memberikan pandangan agar perlembagaan negeri dipinda dalam soal pelantikan SUK, jadi kami akan mendapatkan penjelasan Menteri Besar mengenai perkembangan semasa,” kata beliau.

“Tindakan susulan ialah bagaimana usaha meminda perlembagaan boleh diterjemahkan,” kata beliau lagi.

Semalam, Khalid mengumumkan bahawa Selangor akan mengadakan sidang khas Dewan Undangan Negeri bagi meminda Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor bagi mengembalikan kuasa melantik tiga pegawai eksekutif iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-undang Negeri kepada Sultan dan Menteri Besar.

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List