Shafee serang Anwar...?

on Feb 15, 2015




Shafee percaya Anwar bersalah berani sumpah di Mekah.


Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang terus menyerang Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun beliau kini tidak dapat mempertahankan dirinya selepas dihukum penjara 5 tahun mengundang kritikan peguam.  – Gambar fail The Malaysian Insider, 14 Februari, 2015.

Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berani melafazkan sumpah di masjid atau di tanah suci Mekah berhubung kes Liwat II Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana beliau percaya ketua pembangkang itu sememangnya bersalah.
Bercakap dalam satu temubual eksklusif dengan Mingguan Malaysia, beliau yang mengetuai pendakwaan kes tersebut menafikan menganiayai Anwar semasa mengemukakan petisyen rayuan supaya Ketua Umum PKR itu disabitkan hukuman mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan 3 tahun lalu.
"Kalaulah saya aniaya Anwar, tidak payah tunggu saya mati masuk neraka. Di sini, di dunia saya sudah masuk neraka. Kalau tidak jadi kepada saya, mungkin jadi kepada anak atau keluarga saya. 
Shafee berkata demikian menjawab pelbagai teori konspirasi dan tuduhan yang mengatakan Anwar tidak bersalah, sebaliknya dianiaya “orang jahat” seperti yang didakwa beliau sendiri semasa di dalam mahkamah.
Kes Liwat II melibatkan Anwar yang bermula sejak 2008 menemui noktahnya pada 10 Februari lalu apabila Mahkamah Persekutuan memutuskan beliau bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan dan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini yang menjatuhkan hukuman 5 tahun penjara.
Shafee berkata, beliau langsung tidak ada isu peribadi dengan Anwar dan hanya melaksanakan tugas yang diberikan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.
Katanya, beliau tidak akan mengambil kes itu jika percaya Anwar dianiaya pihak tertentu.
"Tetapi saya percaya apabila saya lihat rekod rayuan tersebut. Hari pertama saya dapat (rekod rayuan), saya sudah baca sampai pagi sebab saya hendak tahu dengan jelas. 
"Tidak ada langsung keraguan bagi saya yang Anwar bersalah. Saya terkejut dengan keputusan Mahkamah Tinggi melepaskan Anwar dan sebab asas hanyalah berkenaan dengan beg plastik," katanya.
Beliau juga berkata, Anwar sepatutnya berterima kasih kepada Gani kerana mendakwanya dibawah Seksyen 377B, dan bukannya 377C yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 5 tahun dan maksimum 20 tahun serta rotan.
"Orang lebih 50 tahun tidak boleh dirotan, kecuali kes 377C sebab kes itu serius. 
"Mungkin sebab itu Peguam Negara tidak mahu kontroversi sangat, sebab Anwar sudah berumur dekat 70 tahun. 
"Dia patut berterima kasih kepada Peguam Negara," katanya.
Shafee juga mencadangkan Gani mengambil tindakan terhadap bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk S Ambiga kerana mengaitkan insitusi kehakiman dengan kerajaan Barisan Nasional (BN). 
Katanya, Ambiga sepatutnya didakwa menghina mahkamah kerana menyabitkan mahkamah seolah-olah terlibat dalam sebahagian langkah BN mahu memenjarakan Anwar.
"Saya cadangkan Peguam Negara ambil tindakan. Kalau perkara begini dikeluarkan, takkan kita tidak boleh jawab? Kalau kita tidak jawab, rakyat masih percaya," katanya.
Ambiga pada 13 Februari dilaporkan berkata, Shafee mengeluarkan kenyataan menghina terhadap Anwar dan beliau terkejut kerana tiada peguam negara atau timbalan pendakwa raya membuat kenyataan seperti itu selepas Mahkamah Persekutuan membuat keputusan.
Responsnya dibuat terhadap Shafee yang mengeluarkan kenyataan 20 perenggan kepada media, mengkritik ahli Parlimen Permatang Pauh itu kerana memberi kenyataan dari kandang tertuduh, dan tidak mahu duduk di kandang saksi untuk disoal balas seperti Saiful. 
Mengulas lanjut, Shafee berkata, Anwar penakut dan cuba menyembunyikan perkara sebenar apabila hanya beri keterangan dari kandang tertuduh.
"Selalunya keterangan dari 'dock' ini, orang-orang yang lemah fikiran dan otaknya tidak pandai. Mungkin orang terlalu muda atau ada cacat sedikit cara pemikirannya. 
"Anwar bukan sebegitu. Anwar cakap lancar, bijak fikiran dan orang yang petah. Pasal apa dia tidak masuk dalam kandang saksi? 
"Walhal subjek, Saiful ini, 7 hari disoal balas dan Saiful sekali pun tidak tersilap dari segi beri keterangan. Jadi, mahkamah jelas. Anwar main sandiwara banyak sangat," katanya. – 15 Februari, 2015.




Cukuplah menyerang Anwar, kata peguam kepada Shafee


Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata menafikan Datuk Seri Anwar Ibrahim dianiaya dan tidak bersalah dengan mengatakan beliau berani bersumpah di tanah suci Mekah yang ketua pembangkang itu memang bersalah. –  Gambar fail The Malaysian Insider, 15 Februari, 2015.

Tindakan peguam yang mengetuai barisan pendakwaan dalam kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terus menyerang pemimpin pembangkang itu walau beliau kini di penjara, mengundang kritikan para peguam.
Peguam menyifatkan perbuatan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah itu tidak boleh diterima dan sangat tidak profesional memandangkan beliau dianggap sedang menganiaya seorang yang tidak dapat mempertahankan dirinya.
Mereka berkata, Shafee tidak perlu terlalu banyak bercakap mengenai kes itu sekarang kerana beliau sudah memenangi kes mahkamah itu dan tidak seharusnya membincangkan kes itu memandangkan beliau juga di pihak yang berkepentingan.
"Shafee tidak sepatutnya membuat temu bual dengan media dan menggunakannya untuk menyerang seorang yang disabit bersalah," katanya sambil menambah tindakan itu sangat tidak profesional.
Syahredzan meluahkan kekecewaan kerana seorang anggota kanan Majlis Peguam seperti Shafee sanggup membuat kenyataan yang memperkecilkan orang lain, sedangkan katanya, beliau boleh membatasi kenyataannya dengan memuji pihak pendakwaan kerana memenangi kes itu.
"Bukan begitu tahap profesionalisme yang kita jangkakan dari seorang peguam kanan dan terkemuka seperti Shafee," katanya merujuk kenyataan dibuat Shafee melalui media milik Umno, akhbar Berita Harian dan New Straits Times semalam.
Shafee memberitahu Berita Harian, mereka yang mengkritik keputusan kes Liwat II silap kerana tidak berhujah berdasarkan fakta melalui merit kemenangan pihak pendakwaan.
“Mereka tidak berani berdepan dengan situasi sebenar dengan menilai fakta yang ada. Kami melihat terus kepada perkara yang kritikal ketika berhujah. Malah, turut mengambil langkah berani dengan memanggil Mohd Saiful Bukhari Azlan sebagai saksi pendakwaan pada hari pertama perbicaraan,” katanya.
Sementara itu, bercakap kepada akhbar The New Straits Times, Shafee mendakwa Anwar "bersembunyi di sebalik kain" apabila beliau memilih untuk tidak disoal balas.
Shafee juga "puas hati" Anwar didapati bersalah dan kalau boleh, beliau sendiri mahu memberitahu Anwar "hentikan tabiat ini dan bertaubatlah".
Peguam Ramesh Sivakumar berkata mengikut kefahamannya, pendakwa raya tertakluk kepada protokol perkhidmatan dan ia termasuk tidak memberi pendapat undang-undang berdasarkan pandangan peribadi.
"Shafee boleh memberi pendapat profesionalnya sekiranya beliau tidak terlibat dalam kes ini tetapi beliau sama sekali tidak sepatutnya memberi pendapat atas kapasiti sebagai timbalan pendakwa raya," katanya.

Ramesh berkata, selepas mendakwa Anwar di kamar mahkamah, kenyataan Shafee itu sama seperti menganiayai ahli Parlimen Permatang Pauh itu.
Beliau bertanya sama ada pendakwa lain selepas ini boleh melakukan perkara sama setelah menang di mahkamah tertinggi.

Bekas pengerusi Majlis Peguam, Ragunath Kesavan, berkata Shafee patut berhenti membuat ulasan mengenai kes itu memandangkan prosiding perbicaraannya kini berakhir.
Ragunath berkata, Shafee tidak sepatutnya membuat spekulasi dan menimbulkan hipotesis dengan berkata "kalau" dan "tetapi" kerana mahkamah sudah memutuskan penghakimannya.
"Tingkah lakunya tidak wajar kerana beliau bertindak keterlaluan dalam kes ini," kata Ragunath.

"Beliau orang terakhir yang sepatutnya membincangkan kes ini sebaik tugas sebagai timbalan pendakwa raya selesai, lainlah kalau beliau bertindak sebagai pemerhati bebas," katanya.
Peguam jenayah, RSN Rayer berkata keputusan Anwar memilih memberi kenyataan tidak bersumpah ialah salah satu daripada tiga pilihan yang diberi kepada seseorang tertuduh apabila diminta membela diri.
"Saya rasa tidak patut Shafee bertindak seperti hakim dan menyerang Anwar hanya kerana Mahkamah Persekutuan tidak menerima hujah pihak pembela," katanya.
Rayer berkata tindakan Shafee sejak 10 Februari lalu apabila keputusan mahkamah diumumkan membuatkan beliau dilihat seperti dahagakan nama dan kemahsyuran.
Katanya terdapat kelemahan ketara dalam kes pihak pendakwa, seperti kredibiliti Saiful sebagai saksi utama dan hakikat yang Anwar sepatutnya dibebaskan apabila selesai kes pendakwaan sebelum ini.
Katanya, atas dasar hormatkan mahkamah, beliau menerima penghakiman itu tetapi alasan mensabitkan Anwar akan terbuka kepada penilaian warga undang-undang dan ahli akademik. – 14 Februari, 2015.


Photobucket

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List