Dr Mahathir: Apa bukti saya diktator?

on Jul 18, 2012


Mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengadakan tinjauan ke atas pengunjung blognya untuk mengenalpasti sama ada beliau dilihat sebagai seorang diktator.

Mahathir dalam tulisannya di blog http://chedet.cc/blog itu meminta pengunjung menyatakan perkara yang telah dilakukannya sehingga disamakan dengan sifat dan perbuatan seorang diktator.

"Saya ingin tahu daripada pelawat ke blog saya tentang apakah yang saya telah lakukan semasa saya menjadi perdana menteri Malaysia yang menjadi bukti bahawa saya adalah seorang diktator?"
NONEKatanya, beliau sebelum ini menerima banyak gelaran termasuk "Mahazalim" dan "Firaun" yang dicipta oleh musuh politiknya.

Malah perkara itu juga sering ditanya oleh orang yang tidak bermusuh dengannya.

"Apabila saya ditemuramah sekarang, walaupun oleh orang yang tidak bermusuh dengan saya, soalan-soalan mereka ternampak yang mereka agak percaya bahawa gelaran terutama gelaran diktator yang diberi kepada saya adalah tepat dan berasas kepada kepercayaan bahawa saya adalah seorang diktator," katanya.

Mahathir seterusnya meminta pembaca membandingkan dirinya dengan beberapa bekas pemimpin negara lain yang pernah merangkul gelaran sama, termasuk bekas presiden Mesir Hosni Mubarak yang didakwa membunuh beribu ahli Ikhwan Muslimin dan mengumpul harta kekayaan yang besar.

"Musuh Mubarak tidak dibenarkan berpolitik, sering ditangkap, dikurung tanpa bicara dan dihilangkan," katanya.

Mahathir berkata, tiada kebebasan bersuara atau akhbar bebas di bawah Mubarak dan jawatan presiden itu tidak pernah ditandingi orang lain selama 30 tahun Mubarak menjadi presiden.

Mahathir juga membariskan nama bekas presiden Romania Nicolae CeauÅŸescu, bekas pemimpin Libya Muammar Gadaffi serta bekas presiden Iraq, Saddam Hussein.

Tidak ketinggalan, pengasas parti Nazi Jerman, Adolf Hitler yang pernah bertanggungjawab mendirikan pemerintahan kuku besi di negara itu.

"Apakah yang saya lakukan yang menyamakan sifat dan perbuatan seorang diktator?," soalnya lagi.


malaysiakini

Photobucket

Ketua UMNO Bahagian Berkomplot Di Jakarta Untuk Tolak Calon Winnable

on


Masalah utama yang dihadapi oleh Najib untuk meletakkan calon-calon yang dianggap winnable tetapi berada di luar kepimpinan UMNO bahagian ialah sikap-sikap kebanyakan Ketua-Ketua UMNO Bahagian yang didapati masih kemaruk untuk bergelar YB walaupun sudah menjadi wakil rakyat lebih daripada dua penggal.

Mereka ini didapati masih belum bersedia memberi ruang kepada orang lain mengganti-pakai gelaran YB itu walaupun Najib sudah berulang kali menyebut tentang keinginan untuk meletakkan calon yang dianggap winnable itu.

Disebalik Najib bercakap soal winnable yang bermaksud calon baru yang bersih serta boleh diterima rakyat, wakil-wakil rakyat lama ini tetap juga beranggapan mereka juga adalah winnable walaupun dalam  pilihanraya lalu kemenangan yang diperolehi sekadar cukup makan sahaja.

Di Selangor, wakil-wakil rakyat lama yang terdiri daripada pemegang jawatan Ketua Bahagian dan lain-lain jawatan dalam UMNO didapati masih ghairah melobi dan menonjolkan diri dengan harapan dipilih lagi sebagai calon pilihanraya.

Selain Dr. Khir Toyo yang masih menghadapi kes mahkamah dan mengumumkan mahu berundur, didapati tiada pemimpin lain yang berbuat demikian.

Mereka bukan saja didapati masih ghairah melobi untuk menjadi calon tetapi beberapa wakil rakyat Selangor juga sudah mengadakan pertemuan sulit di Jakarta untuk membentuk 'kesatuan' bagi membolehkan mereka melakukan desakan yang lebih mantap dan tersusun kepada pucuk pimpinan.

Dengan melakukan komplot sehingga ke Jakarta bagi membolehkan terus dipilih sebagai calon pilihanraya, bermakna harapan pucuk pimpinan untuk meletakkan calon-calon winnable yang berada di luar kepimpinan UMNO Bahagian pastinya melalui jalan sukar dan tidak mustahil hanya tinggal angan-angan saja.

Difahamkan antara perbincangan yang dibuat selain mendesak untuk terus dipilih sebagai calon, mereka juga turut menyentuh mengenai proses pemilihan UMNO yang akan diadakan selepas pilihanraya nanti.

Di Johor pula, beberapa wakil rakyat yang sudah lebih tiga penggal memegang jawatan itu turut didapati masih ghairah melobi dan tidak segan-segan bercerita tentang hasrat mahu terus bertanding dalam pilihanraya akan datang ini.

Sebahagian daripada mereka juga didapati makin rancak memasang kain rentang di seluruh pelusuk kawasan masing-masing memuji-muji kepimpinan Najib dengan pelbagai ungkapan manis sambil meletakkan gambar mereka bersebelahan dengan Perdana Menteri di kain rentang tersebut.

Keadaan ini tentunya  tidak lain adalah didorong oleh keghairahan yang tidak pernah padam untuk terus menjadi wakil rakyat. Dan sekali lagi keghairahan ini turut menyukarkan kemasukan calon-calon baru yang dianggap winnable untuk dipilih sebagai calon pilihanraya.

Di Sabah juga keadaan yang sama berlaku di mana sebahagian besar wakil rakyat UMNO sedia ada secara terbuka menyatakan keinginan untuk terus bertanding.

Di sebuah negeri di utara pula berlaku keadaan yang lebih terbuka di mana beberapa wakil rakyat yang terdiri daripada pimpinan UMNO Bahagian bukan saja meluahkan hasrat untuk terus menjadi calon, bahkan terdapat yang menggambarkan kemungkinan untuk bertanding sebagai calon Bebas jika diketepikan oleh UMNO.

Tinjauan secara rambang di semua negeri sebenarnya mendapati kebanyakan wakil rakyat yang terdiri daripada Ketua Bahagian dan pemegang lain-lain jawatan dalam UMNO masih mahu terus menjadi calon walaupun menyedari usia mereka makin meningkat dan sudah pun merasai nikmat beberapa penggal menjadi wakil rakyat.

Pimpinan UMNO Bahagian ini langsung tidak peduli soal kemenangan UMNO dan BN secara keseluruhannya, apatah lagi mahu memberi ruang kepada calon-calon baru menjadi wakil rakyat. Apa yang difikir dan diusahakan ialah memastikan mereka terus dipilih sebagai calon pilihanraya.

Dalam hal ini Najib sudah tentu serba salah kerana jika  Ketua Bahagian dan wakil-wakil rakyat  yang sudah lama terus dipilih sebagai calon ia akan menyukarkan impian kemenangan yang ingin digapai kerana rakyat akan menilai Najib gagal dalam transformasinya serta tidak mengotakan janji untuk meletakkan calon-calon baru yang dianggap winnable.

Di sisi yang lain, jika Ketua Bahagian terlalu ramai diketepikan ia mungkin pula menjejaskan kedudukan Najib dalam pemilihan UMNO selepas itu, terutama jika UMNO dan BN cuma menang tipis saja dalam PRU 13 nanti. Ketua-ketua Bahagian yang diketepikan ini kemungkinan akan bersuara lantang  mendesak agar Najib mengundur diri dan digantikan dengan pemimpin lain.

Soalnya mampukah Najib menjadi seorang yang tegas dan tidak tunduk kepada pelbagai karenah yang ditimbulkan oleh wakil-wakil rakyat usang serta pimpinan UMNO Bahagian ini sedangkan selama ini beliau sudah dicop sebagai Perdana Menteri paling lemah dalam sejarah Malaysia?


shabudin
Photobucket

Dacing serupa ini dah tak dipakai orang lagi

on




Petang tadi saya ke PJ Old Town menghantar seorang rakan membeli sesuatu di sana. Saya berjalan di kaki lima kedai-kedai di sebelah belakang bandar itu dan saya telah terjumpa satu kedai yang masih menggunakan dacing lama yang masih menggunakan sukatan kati dan tahil. Dacing yang saya maksudkan itu ialah dacing yang menjadi simbol Barisan Nasional (BN).

Sudah begitu lama saya tidak menengok dacing lama ini dan saya bertanya kepada kedai itu bagaimana dia membuat perkiraan harga barang kerana sukatannya sudah tidak dipakai lagi sekarang. Sekarang semua orang menggunakan sukatan kilogram dan gram, bukan lagi tahil dan kati. Saya pun tidak pasti samada anak-anak muda di bawah tiga puluhan tahu apa dia tahil dan kati itu kerana sukatan itu sudah lama kita tinggalkan.

Dacing itu tidak dipakai oleh sesiapa lagi termasuklah pekedai-pekedai runcit di mana-mana. Dacing ini hanya masih dipakai oleh BN untuk dijadikan simbol parti itu. Agaknya itulah yang menyebabkan BN tidak begitu mendapat perhatian rakyat kerana baik dari simbol dan cara mereka berfikir sudah begitu ketinggalan zaman.

Agaknya itulah sebabnya kenapa BN sudah tidak begitu mendapat sokongan kerana dacing itu sudah tidak lagi dipakai oleh orang ramai. Mungkin BN terpaksa menggantikan simbol baru kerana simbol dacing sekarang ini adalah satu simbol yang tidak lagi dipakai oleh masyarakat.

Mungkin itulah juga sebabnya kenapa pihak BN bercakap, berfikir dan bertindak berlainan yang tidak ‘compatible’ dengan masyarakat sekarang ini. Orang sudah bercakap pasal kilogram dan gram, mereka (BN) masih bercakap tentang kati dan tahil.

Sudah jarang-jarang sangat orang menggunakan dacing itu. Jika ada yang hendak menjual dacing itu, mungkin saya beli untuk dijadikan hiasan ruang tamu di rumah sahaja.

Maksud saya dacing itu hanya boleh dijadikan sebagai salah satu daripada barang perhiasan di rumah sahaja.




ASPAN ALIAS



Photobucket

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List