Beli Rakyat Satu Malaysia...?

on Jun 10, 2012


10 JUN 2012  -

Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin baru-baru ini dilaporkan telah membentangkan kepada kabinet agar program Bantuan Rakyat 1Malaysia atau BR1M bernilai RM500 kepada rakyat yang berpendapatan bawah RM3000 diberikan lagi untuk kali kedua. Kemudian Najib telah menyambut saranan itu dengan berkata, kerajaan sedia menimbangnya demi kepentingan rakyat yang didapati banyak terbeban dengan kenaikan harga barang serta kos sara hidup yang meningkat.

Jika BR1M ini mahu diberikan lagi, ia tentunya akan dilaksanakan sebelum pilihanraya umum yang dijangka akan diadakan September atau mungkin awal tahun hadapan.

Kesediaan Najib mahu memberikan lagi bantuan RM500 kepada rakyat tentunya memberi gambaran bahawa bantuan sebelum ini tidak cukup berkesan untuk menarik sokongan rakyat.

Dengan tindakan Najib menaikkan harga minyak beberapa kali, menaikkan harga gula sebanyak empat kali, menaikkan tarif letrik serta memotong subsidi beberapa barangan pengguna sejak tiga tahun lalu, memanglah diakui bahawa pemberian RM500 tidak banyak meringankan beban rakyat. Dengan nilai RM500 itu di ketika harga ikan, sayur dan semua barangan keperluan harian lainnya sentiasa meningkat, ia mungkin habis untuk sekali atau dua kali mengunjungi hyper market sahaja.

Ia juga mungkin hanya cukup untuk perbelanjaan dapur bagi tempoh tidak sampai sebulan bagi sebuah keluarga miskin yang mempunyai anak seramai lima atau enam orang.

Bukanlah rakyat tidak bersyukur dengan pemberian itu tetapi oleh kerana di ketika rakyat diberikan hanya RM500 sejak lebih 50 tahun UMNO memerintah, pelbagai berita mengenai amalan rasuah, penyelewengan dan pembaziran yang meibatkan pemimpin termasuk Najib dan keluarganya juga, lantas menjadikan pemberian itu yang diharapkan mampu menjelmakan sokongan kepada UMNO dan BN tidak menjadi kenyataan.

In kerana rakyat merasakan nilai itu terlalu kecil atau sekadar untuk menutup kepincangan yang kian bermaharajalela sahaja. Najib yang kini sedang berkira-kira memilih tarikh yang sesuai untuk mengadakan pilihanraya tentunya kebingungan kerana BR1M kali pertama tidak mendatangkan impak seperti yang diharapkan.

Lantaran itu, timbullah idea untuk melaksanakan BR1M kali kedua meskipun tidak diketahui dari mana Najib mahu mengorek wang kali ini.

Jika BR1M kali pertama berjumlah RM500 dilihat tidak mendatangkan hasil seperti yang diharapkan, tidak mustahil BR1M kali kedua ini ditambah jumlahnya. Mungkin menjadi RM1000 atau RM2000. Jika RM500 juga jumlahnya pemberian kali kedua ini, hasilnya mungkin tidak seberapa.

Dengan pelbagai musim perayaan bakal menjelang tiba, BR1M kali kedua ini bukan saja bertambah jumlahnya tetapi ia juga menandakan tarikh pilihanraya bakal ditangguh lagi. Mungkin selepas Hari Raya atau awal tahun 2013. Yang penting piliharaya hanya akan diadakan selepas sejumlah wang tunai lagi dimasukkan ke dalam poket rakyat.

Untuk menang pilihanraya, Najib dipercayai sanggup bergolok bergadai dan berbuat apa saja.

Sejak kebelakangan ini, rating Najib di mata rakyat juga didapati merudum dengan teruknya. Selepas Bersih 3.0 dan perkhabaran perbicaraan kes kapal selam Scorpene akan diadakan di Perancis, rating Najib di mata rakya telah menurun daripada 69 peratus pada bulan Februari kepada 65 peratus.

Jika dibandingkan rating Pak Lah ketika mengadakan pilihanraya umum 2008, kedudukan beliau ketika itu ialah 72 peratus sebagaimana yang dikaji oleh Merdeka Center. Dengan rating 72 peratus Pak Lah hilang majoriti dua pertiga, logiknya dengan rating hanya 65 peratus sekarang, sudah tentulah kedudukan Najib lebih parah lagi.

Ditambah dengan pelbagai isu, kebarangkalian untuk UMNO dan BN tumbang amat besar sekali.

Dengan kesediaan Najib untuk menimbang pemberian BR1M kali kedua ini mengesahkan bahawa kedudukan Najib, UMNO dan BN masih belum selamat lagi. BR1M kini dilihat sebagai satu-satunya talian hayat untuk menyelamatkan nasib dan masa depan UMNO.

BR1M kini sudah dianggap "rasuah yang halal" untuk membeli undi dan sokongan demi kepentingan UMNO walaupun wang itu adalah wang rakyat. UMNO memberi BR1M kepada rakyat seolah-olah wang itu datangnya daripada poket Najib atau kantung UMNO. Pemimpin UMNO berebut-rebut dengan masa mengadakan program untuk menyampaikan sumbangan itu sedangkan ia boleh disalurkan secara mudah melalui jentera kerajaan seperti Pejabat Daerah jika pemberian itu benar-benar diberi secara ikhlas dan tidak bersalut muslihat politik.

BR1M kini tidak lebih menjadi program "Beli Rakyat Satu Malaysia" menjelang pilihanraya dan jika rakyat menerima program ini dengan terus mengekalkan UMNO dan BN sebagai sebuah kerajaan, BR1M yang seterusnya hanya akan muncul kembali lima tahun akan datang sahaja. Tepuk dada tanyalah iman!!


shahbudindotcom
Photobucket

Zam: Kesilapan besar Tunku dan Dr Mahathir...?

on



10 JUN 2012  -

Tan Sri Zainuddin Maidin mendakwa banyak pihak tidak menyedari bahawa Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Tun Dr Mahathir Mohamad telah melakukan "kesilapan besar" semasa menyandang jawatan perdana menteri iaitu masing-masing dalam kes Singapura menyertai Malaysia dan membawa masuk Datuk Seri Anwar Ibrahim ke dalam kerajaan dan Umno.
Wartawan veteran dan bekas Menteri Penerangan itu berkata, tindakan Tunku Abdul Rahman membawa masuk Singapura ke dalam Malaysia pada 1963, yang mana turut sama membawa bersamanya dasar 'Malaysian Malaysia' telah memberikan kesan kepada negara.

Singapura keluar dari Malaysia dua tahun kemudian.

Dalam pada itu, Zainuddin juga mendakwa Dr Mahathir membawa masuk Datuk Seri Anwar Ibrahim juga satu kesilapan kerana tindakannya yang dikatakan memporak-perandakan perpaduan bangsa.

"Ramai antara kita tidak menyedari, dua pemimpin Agung dari Kedah, Tunku Abdul Rahman dan Dr. Mahathir telah membuat dua kesilapan besar yang menjadi masalah kepada negara ini hingga sekarang.

"Tunku membawa masuk Singapura ke dalam Malaysia yang mana turut sama membawa bersamanya Malaysian Malaysia sementara Dr. Mahathir membawa masuk Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kemudianya telah memporakperandakan perpaduan bangsa," katanya lagi.

Dr Mahathir memecat Anwar pada September 1998. Ketika dipecat, Anwar merupakan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

"Di sebalik kesilapan Tunku dan Dr Mahathir mempunyai terlalu banyak tugu-tugu jasa yang mereka bina bagi melindungi kelemahan mereka," kata beliau yang dipetik dari entri blognya.

Zainuddin yang lebih dikenali sebagai Zam juga berkata, "tercatit sebagai sejarah mulia, dengan sokongan kuat seorang nasionalis rakyat, Allahyarham Tun Ghafar Baba, Dr Mahathir dengan berani menunjukkan kuasa rakyat bila maruah mereka mula terjejas dengan mengingatkan raja-raja tentang Raja Berperlembagaan demi untuk mengikis feudalisme."

Beliau yang turut memuatkan kenyataan Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri yang pertama berkata, walaupun berketurunan diraja, beliau tetap menyedari kuasa rakyat yang disebutkan dalam tulisannya.

"Ketika itu beliau berada dalam krisis dengan Sultan Selangor dan juga dengan abangnya Sultan Kedah. Saya akan mendedahkannya dalam ruangan Z fail di blog ini," katanya.

Zainuddin yang mula aktif sebagai blogger menggunakan moto 'Setiakawan Demi Warisan, Kemanusiaan dan Kerukunan' memaparkan tiga ruang utama pendedahan maklumat untuk dikongsi dengan rakyat sepanjang penglibatan beliau sebagai wartawan sehinggalah menjadi seorang menteri Kabinet.

Antara ruangnya Z fail, Pintas dan cerita Zam merupakan rangkuman daripada pengalaman kewartawanan yang dilalui yang telah diterbitkan dalam bentuk buku pada tahun 1980 bertajuk 'Pertama dan Terakhir'. -SH

Thamrin nasihat ahli tinggalkan Umno

PETALING JAYA: Agak melucukan apabila seorang veteran Umno menasihati ahli-ahli Umno supaya meninggalkan parti yang usang itu dalam ceramahnya.

Bekas Exco Pergerakan Pemuda Umno Thamrin Ghafar berkata, Umno dahulu dan Umno sekarang sudah tidak sama dan lebih baik ahli- ahli Umno meninggalkan parti itu untuk menjamin masa depan yang lebih cerah.

“Pemimpin Umno dahulu berjuang dengan ikhlas, kerana bangsa dan agama tetapi pemimpin Umno sekarang lebih berminat untuk menimbun kekayaan dan terlibat dengan rasuah,” katanya dalam satu ceramah di Markas PAS Titi Seorang, Parit Buntar semalam.

Beliau yang masih menjadi ahli Umno meluahkan rasa kesalnya dengan perkembangan mutakhir ini di mana perjuangan Umno jauh menyimpang dari matlamat asalnya.

Menurut Thamrin, banyak penipuan berlaku dalam daftar pemilih di antaranya, dengan membawa masuk warga asing dari Kemboja untuk menjadi pengundi pada pilihan raya umum (PRU) ke 13 nanti.

“Umno sudah tidak betul, tidak gentleman, banyak penyelewengan dan rasuah serta mereka merasa bimbang untuk berdepan dengan rakyat pada PRU13,” ujar beliau.

Mengenai perhimpunan Bersih 3.0 beliau berkata, Barisan Nasional mungkin boleh jatuh sekiranya lebih ramai rakyat bangkit untuk menentang kezaliman dan kejahatan mereka.

Bersih 3.0 katanya, ialah suatu usaha murni yang harus disokong kerana NGO itu menuntut lapan perkara bagi menjamin pilihan raya yang bersih dan adil.

Beliau berjanji untuk mendedahkan lebih banyak lagi keburukan dan kedurjaan Umno pada masa-masa yang akan datang.

Mengenai pendedahan ini dengan menggunakan pentas PAS beliau berkata, ”biar Umno pesat saya, saya tidak hairan.”

Lebih 1,000 penyokong PAS dan Pakatan Rakyat hadir pada majlis ceramah itu. Turut hadir Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang dan juga Ahli Parlimen Parit Buntar, Mujahid Yusof Rawa. 
-FMT




Photobucket

BN masih lemah kerana Mahathir (Bahagian I)

on


10 JUN 2012  -

 Kerajaan Barisan Nasional (BN) hari ini masih lemah kerana Pak Lah?............

Begitulah dilaporkan oleh Editor The Malaysian Insider, Jahabar Sadiq pada 2 Jun 2012, yang memetik sumber berita mengatakan bahawa Mahathir semasa berjumpa dengan kakitangan awam Johor dan Ketua UMNO Bahagian Johor baru-baru ini, telah memberikan penerangan berhubung keadaan politik dan kesediaan BN untuk Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).  Menurut Mahathir, kelemahan Kerajaan BN hari ini kerana zaman Pak Lah menjadi Perdana Menteri.
 
Cukup mudah bagi seorang bekas Perdana Menteri yang memegang tampuk kuasa melebihi dua dekad untuk melakarkan zaman seorang Perdana Menteri yang pendek hayat kekuasaannya sebagai faktor kelemahan Kerajaan UMNO-BN sehingga hari ini.  Tetapi penulis percaya, analisis ahli akademik berhubung perkembangan politik Malaysia pada masa depan bakal memberi rumusan yang berbeza, dan kemungkinan besar permasalahan zaman Mahathir yang menjadi tumpuan faktor menyumbang kepada kelemahan UMNO-BN sehingga hari ini.
 
Tinjauan sejarah politik negara yang sudah biasa dengan pertukaran rejim pemerintahan, acapkali memaklumkan kepada warga negara yang belum pernah mengalami pertukaran rejim pada peringkat persekutuan seperti Malaysia, bahawa adalah tidak rasional apabila seorang pemimpin negara yang terlalu lama berkuasa dipertuhankan.  Lazimnya kitaran pertukaran rejim bakal menyaksikan silih-ganti pemimpin negara dengan pelbagai sifat kepemimpinan, tidak kurang juga pemimpin karismatik lahir daripada kedua-dua parti pemerintah dan oposisi yang saling bertukar peranan selepas pertukaran rejim.  Semua ini dapat berlaku secara aman asalkan parti yang berdepan dengan krisis kelangsungan kuasa pemerintahan mencatur strategi politik mengikut hukum masyarakat bertamadun dan mengangkat prinsip-prinsip negara hukum, bukan memupuk politik ketakutan bertopengkan kegiatan samseng.
 
Namun, bagi sebuah negara yang belum pernah mengalami pertukaran rejim, sebenarnya mudah untuk seorang pemimpin politik, khususnya seorang pemimpin negara yang tempoh kekuasaannya begitu lama untuk menyakinkan kelompok yang kehilangan arah ekoran berdepan dengan krisis yang dmaksudkan sebentar tadi dengan apa sahaja rumusan, biarpun rumusan tersebut tidak benar atau penuh dengan pertikaian.
 
Di negara Amerika Syarikat - di mana gaya kempen seorang Presiden kelihatan sedang dicontohi Perdana Menteri Najib biarpun Malaysia tidak memiliki sistem Presidensi - Presidennya Barack Obama yang pada permulaan pentadbiran beliau menjadi tumpuan dan topik perbincangan warga Amerika, dalam jangka masa yang dikira pendek, juga berdepan dengan pertikaian dan kritikan.  Barack Obama dilihat sebagai seorang pemimpin negara yang karismatik, namun segala tindak-tanduk dan budi bicaranya diperhalusi oleh warga Amerika.  Hal ini tidak bermaksud warga Amerika lebih bijak berbanding rakyat Malaysia.
 
Seperti yang disentuh di atas, pengalaman pertukaran rejim merupakan satu faktor penting yang dapat mempengaruhi pembentukan wacana dan pemikiran warga secara amnya.  Jikalau warga Amerika berada dalam konteks politik kenegaraan yang sama dengan rakyat Malaysia, maka Barack Obama akan diangkat sebagai pemimpin yang tiada tandingannya, malah segala perbicaraannya mungkin dipertuhankan.  Tetapi Barack Obama tidaklah bernasib baik seperti Perdana Menteri Malaysia.  Pertukaran rejim merupakan sesuatu yang lumrah kepada warga Amerika.
 
Kalaulah saudara-saudari yang membaca artikel ini rela memberhentikan seketika pemikiran politik kepartian dan memikir bersama penulis kerangka lebih besar yang membentuk wacana politik, maka izinkanlah penulis berkongsi bersama pandangan seorang ahli falsafah Perancis Paul-Michel Faucault.  Menurut Faucault, pembentukan wacana melibatkan andaian dan hubungkaitnya dengan struktur tersembunyi yang perlu didedahkan yang dirujuk oleh beliau sebagai episteme.
 
Kajian Paul Strathern mengenai Faucault menjelaskan bahawa, maksud episteme menurut Faucault berbunyi, "The episteme marks out the limits of the period's experience, the extent of its knowledge, and even its notion of truth."
 
Penulis memetik petikan di atas untuk membicarakan betapa pentingnya pengehadan pemahaman politik tanah air ekoran kekurangan pengalaman pertukaran rejim semenjak kemerdekaan bumi Malaysia, berbeza dengan pengalaman Amerika.  Kekurangan tersebut membawa kepada andaian dan sturktur tersembunyi tertentu yang membataskan kerangka pemahaman kita terhadap politik tanah air khususnya politik kepartian dan sistem dua gabungan parti.
 
Dalam sejarah politik Amerika, Barack Obama bukanlah pemimpin pertama yang sifat karismatik beliau diperhebatkan.  Terlalu ramai pemimpin Amerika daripada kedua-dua parti pemerintah dan oposisi yang kemudian bersilih-ganti peranan mereka telah menampilkan sifat kepemimpinan yang berbeza tetapi menarik.  Maka, pemimpin sehebat mana pun tidak dapat merumuskan sesuatu tanpa berdepan dengan permasalahan yang mungkin penuh dengan pertikaian.
 
Contohnya dalam buku "The Reagan Presidency: Pragmatic Conservatism & Its Legacies" yang disunting oleh W. Elliot Brownlee & Hugh Davis Graham, penyunting dalam bab pengenalan telah membangkitkan persoalan samada kajian era Presiden Ronald Reagan atau era presidensi lain lebih bermakna.  Petikannya berbunyi, "Such controversy has followed other presidencies…… Historians generally agree that Roosevelt did much that warranted sustained debate…… Whether or not Reagan changes America and the world as much as Roosevelt did remains very much in dispute."  Mahu atau tidak, Barack Obama bakal berdepan dengan tinjauan permasalahan seperti yang dihadapi Presiden sebelumnya.  Kerana itu, seorang Presiden yang bijak yang terpanggil atau merancang sebagai sebahagian daripada strategi politik untuk menilai zaman Presiden lain akan melakukan penilaian dan kritikan terhadap zaman pentadbiran diri dahulu sebelum berbuat demikian.
 
Begitu juga dalam karya "The Power of Speech: Australian Prime Ministers Defining the National Image", James Curran dalam peninjauannya terhadap sebuah "negara jiran" bernama Australia yang cukup lama mempraktikkan budaya politik bertapakkan pertukaran rejim telah memperlihatkan kepada kita bahawa, setiap Perdana Menteri Australia samada pemimpin Parti Buruh di sebelah kiri atau pemimpin Parti Liberal di
sebelah kanan, di mana kedua-dua parti pernah berada pada paksi pemerintahan dan paksi oposisi pada titik sejarah tertentu, samalah seperti pengalaman politik kepartian di Amerika, telah meninggalkan legasi yang berbeza, selari atau bertentangan dengan kehendak zaman tertentu, dan harus dipermasalahkan.
 
Menurut James Curran, bekas Perdana Menteri Paul Keating sebelum kalah pada pilihan raya tahun 1996, dalam ucapan beliau sehari sebelum hari mengundi, telah menyatakan bahawa, pertukaran rejim adalah sesuatu yang lumrah apabila dilihat kembali sejarah pertukaran pemimpin negara melibatkan "transitions from McMahon to Whitlam, from Whitlam to Fraser and from Fraser to Hawke."
 
Menurut James Curran, mesej penting dalam ucapan Paul Keating sebelum mengalami kekalahan adalah bahawa, "In political leadership could be found the most reliable barometer of social change and national renewal," dan bahawa, "it was equally an admission that the arguments for change are there and that they are gathering momentum."
 
Begitulah lakaran wacana dan paras pemahaman pemimpin politik terhadap politik kenegaraan dalam sebuah negara yang mempunyai banyak pengalaman pertukaran rejim.  Pemimpin dalam negara seumpama tidak melarikan diri daripada hakikat bahawa masyarakat mahukan perubahan dan bahawa refleksi diri senantiasa dititikberat biarpun menjelang saat kegentingan.
 
Malangnya, dalam negara yang belum pernah mengalami pertukaran rejim pada peringkat persekutuan, apa yang kita saksikan hanyalah keangkuhan pemimpin masa lampau dan masa kini dan kekotoran politik mereka demi memanjangkan kelangsungan hayat kekuasaan tanpa merenung dan mempertikaikan kesalahan dan ketidakadilan yang telah dilakukan sekian lama mereka berada pada paksi pemerintahan. (Bahagian pertama, bersambung)
 
*Ooi Heng ialah Pengarah Eksekutif Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) dan kolumnis MerdekaReview.



Photobucket

Belum pernah ada PM yang takut akan pilihanraya

on



Dr M pun tidak mampu selamatkan diri, apa lagi kamu, Najib: PRU masih tertunda!


10 JUN 2012  -
Bagaimana boleh jadi begini? Bagaimana UMNO yang mempunyai 3 juta ahli, menjadi pemerintah selama 5 dekad, dengan kejayaan demi kejayaan seperti yang diakui para pemimpinnya, masih tidak pasti jika pilihanraya ke 13 patut diadakan atau tidak.
Tidak hairanlah jika akar umbi parti dan panglima UMNO menunding jari pada perdana menteri Najib Razak yang juga merupakan presiden UMNO. Ada dikalangan pemimpin yang akan mempertahankannya. Ia terpulang padanya, dialah boss, ia adalah keputusannya. Namun, yang lebih ktitis terhadapnya akan menyalahkannya- ini semua salah Najib kerana tidak mempunyai keyakinan pada dirinya sendiri dan rakyat untuk memberi Umno-BN mandate untuk memerintah selama 5 tahun lagi.
Biarpun mereka menyokong atau menentang Najib, pilihanraya umum ke-13 yang lambat tidak akan memberi manfaat kepada sesiapa pun. Ekonomi global sedang mengecut dan pasaran saham Asia sedang merundum. Menambahkan ketidaktentuan politik akan memburukkan lagi keadaan ini. Paling menyedihkan, rakyat Malaysia yang masih menyokong kepimpinan lemah yang tidak mampu berubah kerana perbalahan dalaman partinya sendiri iaitu UMNO dan ini sememangnya akan menuju kehancuran.
Belum pernah ada PM yang takut akan pilihanraya
Jadi, mengapakah Najib begitu gerun akan pilihanraya umum ke-13? Jika pemerhati Umno betul, BN masih boleh mendapatkan kemenangan walaupun dengan majoriti kecil. Ia mungkin tidak akan sehebat yang dimahukan oleh Najib namun ia tetap kemenangan. Dengan perasaan lega, Najib sepatutnya berterima kasih kerana setakat lulus dan tidak mengimpikan untuk cemerlang seperti memenangi dua pertiga daripada 222 kerusi parlimen.
Pungutuan suara dalaman UMNO juga menunjukkan bahawa Parti Pakatan Rakyat pimpinan Anwar Ibrahim bakal menang 107 ke 109 kerusi dan ini menjmungkin menyebabkan Parlimen yang tergantung memberi peluang untuk ramai melompat ke Pakatan, yang bakal menyaksikan perubahan rejim pemerintah sejak Malaysia mendapatkan kemerdekaan dari British pada tahun 1957.
“UMNO tidak patut menyangka bahawa duit boleh membeli segalanya. Ada ramai pemimpin BN yang menunggu untuk menyertai kami, namun masa akan menentukan segalanya. Mereka tidak akan melakukannya sehingga mereka boleh menentukannya dengan
konstituensi mereka,” MP Batu dari PKR, Tian Chua memberitahu Malaysia Chronicle.
Pada Pilihanraya Umum ke-12 2008 pun Pakatan telah memenangi lebih dari separuh undi popular namun kalah dari segi jumlah kerusi akibat penyelewengan sempadan undi kerajaan BN yang dahulu pimpinan Mahathir Mohamad.
Sekarang, setelah 5 tahun berlalu, Pakatan telah membuktikan bahawa mereka boleh melaksanakan tugas dengan baik sebagai pemerintah dan ini dibuktikan melalui pentadbiran di Selangor dan Pulau Pinang. Semakin ramai yang inginkan perubahan kerajaan daripada terus bersama kerajaan lama kerana takut atau mahu mengekalkan keadaan yang sedia ada.
‘Zaman selesa’ BN sudah tamat: Sila berhenti bermimpi sekarang Najib!
Pilihanraya Umum ke 13 hangat diperkatakan akan berlangsung pada Jun tahun ini, kemudian Julai dan September pula dan akhirnya tinggal cakap-cakap sahaja. Tiada yang berani untuk mengadakan pilihanraya pada bulan Julai. Najib sendiri telah membuktikan bahawa PRU ke-13 tidak akan diadakan pada bulan September apabila menyatakan bahawa Bajet 2013 akan diawalkan pada 28 September.
Spekulasi hangat menyatakan bahawa Najib sedang cuba untuk mendapakan kelebihan dengan mengadakan pilihanraya pada musim haji pada bulan Oktober namun ini tidak akan menjadi malah akan menaikkan kemarahan pengundi beragama Islam sepertimana amaran Abdullah Badawi walaupun telah ditujukan buat pembangkang.
“Adakah perdana menteri akan adakan pilihanraya pada masa itu? Dia juga seorang Islam,” kata Abdullah pada pemberita pada hujung minggu.
Ya, amaran Abdullah, walaupun tidak secara langsung- namun ia jelas. Najib, dimana undi popularitinya turun dari 69% ke 65% selepas memerintahkan polis menyerang penyokong Bersih 3.0 pada 28 April untuk pilihanraya yang bersih dan adil, juga nampaknya seperti keliru dan perlukan petunjuk daripada orang lama.
Najib sedang menggigit jari, berharap akan masa yang paling sesuai untuk mengadakan PRU ke-13. Tetapi, nampaknya, dia sedang bermimpi kerana masa itu tidak akan ada, sekurang-kurangnya sehingga bulan Mac 2013 apabila mandat BN akan berakhir dan Parlimen secara otomatiknya dibubarkan.
“Isu sebenarnya ialah untuk membersihkan daftar undi tapi Umno tak mahu buat. Najib sedang mencari kesempatan untuk memastikan kemenangan miliknya, ini termasuk mengadakan pilihanraya pada musim haji. Najib tahu bahawa penyokong PAS , ramai di antara mereka akan berada di tanah suci pada masa itu,” kata Presiden PAS, Hadi Awang pada hujung minggu lalu.
Disokong Dr M: Perbalahan dalam memecahkan parti
Tiada apa yang dilakukan oleh Najib telah berjaya; dari polisi ekonomi dan program sosial- semuanya telah kecundang. Semuanya tidak menjadi dan dia sedang berpaut pada kuasa dengan pertolongan bekas PM Mahathir Mohamad
Pada usia 86 tahun, dia merupakan panglima dan pembroker kuasa yang paling kuat didalam parti- dengan keupayaan untuk mempengaruhi siapa yang layak menjadi presiden Umno yang seterusnya, pada pemilihan parti yang dijangka berlangsung pada akhir tahun ini.
Menurut pengkritik BN, rakyat Malaysia boleh hidup dalam keadaan aman dan harmoni dengan lebih baik tanpa campurtangan atau input dari UMNO. Atau untuk lebih tepat lagi, untuk mengakhiri politik samseng yang hanya memperjuangkan kepentingan segelintir elit pemerintah dengan mengorbankan rakyat biasa.
UMNO tidak baik untuk Negara dan ia telah terbukti dengan rasuah yang berleluasa dan penyelewengan kekayaan negara dimana pemimpin UMNO cuba sedaya upaya untuk lindungi dari pengetahuan awam. Apabila seorang pembroker kuasa mempunyai kelebihan, dia akan memerintah mengikut citarasanya sendiri kerana baginya, Malaysia adalah miliknya dan keluarganya,” kata seorang ahli akademik yang mengajar sains politik di sebuah universiti awam. Dia meminta untuk tidak dinamakan.
“UMNO juga akan menjadi tidak baik untuk Malaysia apabila tiada panglimanya yang cukup berkuasa untuk mengawal parti, yang akan mendedahkannya kepada polisi cacamarba dan campurtangan kerana puak-puak dalam UMNO akan berebut kuasa dan peluang dalam parti mereka sendiri.
Pentingkan diri sendiri dan sekatan keatas bakat baru dalam UMNO
Bagaimana ini boleh berlaku? Mementingkan diri sendiri mungkin juga jawapannya, mengikut kata pemerhati.
Kata mereka, sikap mementingkan diri pemimpin tertinggi seperti Mahathir dan Najib telah menjauhkan orang baru dan ini menjadikan situasi dimana walaupun UMNO mempunyai 3 juta ahli, realitinya, UMNO hanyalah sebuah kelab orang lama yang tertutup.
Umno sememangnya adalah sekumpulan pemimpin yang menjadi terkenal pada tahun 1960-an dan 70-an dan masih lagi berpegang pada itu. Mereka nampaknya cuba sedaya upaya untuk mewariskan kuasa dan autoriti dalam parti kepada anak-anak serta keluarga.
Namun masa sudah berubah, dan sumber dalaman UMNO telah mengesahkan bahawa Najib telah tersilap dalam urus tadbir parti dan Malaysia dengan begitu teruk sekali sehingga ia tidak boleh lagi disembunyikan. Dia gagal memahami bahawa masalah yang sedang membuak didalam UMNO telah menjadikan ia berada di tahap dimana tiada siapa boleh menyelamatkannya lagi, sekalipun orang itu adalah Mahathir.
Betul, Mahathir pun tidak akan mampu untuk menyelamatkan Najib. UMNO sudah muak dengan Mahathir dan bagi kebanyakkan puak-puak dalam UMNO, mereka telah sampai kepada tahap ia sama ada kami atau mereka- dengan mereka merujuk kepada Najib dan Mahathir. Parti sudah berpecah- mereka yang menyokong Mahathir dan dengan tidak langsung Najib dan mereka yang menyalahkan mereka berdua kerana menenggelamkan UMNO.
Jadi, apabila pemimpin parti pembangkang, Anwar Ibrahim dan Pakatan Rakyat masih menjadi ancaman bagi mereka, Najib dan Mahathir mungkin akan dapat hidangan ‘pemanis mulut’ yang tidak dijangka dari ahli dalam parti dan bukan dari musuh di luar.
Situasi UMNO tidak boleh diselamatkan lagi
Walaupun begitu, Najib masih berdegil dan terus berpegang kepada agendanya dengan sokongan Mahathir.
Najib terus mengabaikan apa yang sedang berlaku dalam UMNO dan cuba memberi tumpuan pada PRU ke-13. Walaupun menerima amaran yang tegas dari perhimpunan Bersih 3.0, dia tetap berdegil dengan mempergunakan lebih banyak jentera kerajaan untuk memenangi undi walaupunb mendapat kritikan hebat, dia juga mengedarkan gula-gula pilihan raya seperti pemberian wang tunai kepada rakyat untuk membeli undi secara terang-terangan
serta memanipulasi undi.
Namun rakyat Malaysia telah berubah dengan peredaran masa dan Najib mungkin tidak akan berjaya walaupun semua cubaan
untuk menjamin kemenangan dengan apa jua cara untuk PRU ke-13 nanti. Dia boleh memperolehi keputusan yang dimahukannya tetapi adakah rakyat akan menerima kesudahannya jika ia jelas bertentangan
dengan kehendak mereka dan yang diperolehi itu adalah dengan cara menipu.
Melihat ribuan rakyat Malaysia yang datang untuk menyokong Bersih untuk membersihkan daftar undi, Najib dan
Mahathir lebih baik sahaja lupakan idea mereka untuk merampas mandat rakyat dengan cara yang licik.
Mahathir juga nampaknya telah kehabisan idea-idea baru tentang bagaimana untuk memperbaiki keadaan di dalam UMNO kecuali menyalahkan Badawi untuk semua masalah parti. Mahathir tidak mampu untuk menjadikan UMNO kuat dan bersatu. Di dalam hatinya, Dr Mahathir tahu bahawa dialah yang telah merosakkan kedua-dua UMNO dan Malaysia. Dia juga mengakui ini sudah beberapa kali. Dukacita untuk dikatakan, ia sudah terlambat dan keadaan di dalam UMNO tidak boleh diperbetulkan lagi.
Mod kemusnahan
Senarai ‘calon boleh menang’ Najib untuk PRU ke-13 masih belum dimuktamadkan. Khabar-khabar angin dari BN menyatakan bagi satu kerusi akan ada sekurang-kurangnya dua calon boleh menang dan Najib - yang seperti biasanya, sentiasa berada dalam keraguan - tidak berani untuk membuat keputusan muktamad lagi kerana takut kehilangan sokongan dari pihak sendiri.
Tetapi tiada satu pun dalam senarai sanggup berkorban untuk UMNO atau BN. Suka atau tidak, Najib akan menjadi ‘orang jahat' dalam membuat keputusan. Sebagai contoh, siapakah yang boleh menjadi Menteri Besar Selangor jika UMNO benar-benar berjaya mendapatkan kembali trofi berharga ini?
Tidak juga terdapat kepastian bahawa UMNO-BN boleh memenangi semula lima negeri walaupun sudah banyak fitnah dan serangan terhadap pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat disebarkan. Sebaliknya, Pakatan Rakyat nampaknya sangat berpeluang untuk memenangi Terengganu, Perlis, Negeri Sembilan dan Perak.
MuhyiddinYassin timbalan Najib juga mula bimbang kerana bencana yang bakal berlaku kepada UMNO BN-begitu jelas untuk dilihat oleh semua kecuali Najib dan kumpulan penasihat teras, yang sebenarnya telah gagal menangani setiap isu utama negara. Beberapa bekas kakitangan awam dan personaliti terkemuka juga telah menyertai Pakatan Rakyat. Kita boleh yakin bahawa Pakatan Rakyat tidak lama lagi akan mendedahkan 'rahsia gelap' pemimpin-pemimpin UMNO-BN sebagaimana mereka memerangi mereka dengan habis-habisan untuk memerintah kerajaan persekutuan.
Anak Mahathir, Mukhriz telah secara terbuka ditolak oleh UMNO Kedah sebagai Menteri Besar yang seterusnya. Ini merupakan tamparan hebat dan amaran sebenar untuk si ayah, yang berkelakuan seperti Perdana menteri de-facto, dan untuk Najib yang mengharapkan Mahathir untuk memihak kepadanya apabila memberikan Mukhriz negeri Kedah. Sudah tentu, ini akan berlaku jika UMNO boleh merampas kembali Kedah dari Pakatan Rakyat terlebih dahulu.
Tanda-tanda besar bagi masalah ini termasuk beberapa pemimpin tertinggi UMNO yang mengumumkan akan bertanding di kerusi selain daripada di kawasan kubu kuat tradisi mereka. Apakah mesej yang mahu mereka sampaikan untuk Najib?
UMNO juga dibelenggu masalah dalam bentuk skandal yang melibatkan pemimpin teratas mereka. Diisytiharkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sebagai 'tidak bersalah', ini tidak akan mengembalikan kredibiliti Ketua Wanita UMNO Shahrizat Jalil yang telah hilang. Skandal rasuah RM250 juta NFC masih melekat dalam sanubari dan sudah pasti, sayap wanita akan menunjukkan kemarahan mereka ke atas sikap "double standard" Najib dalam perkara ini. Atas sebab-sebab yang diketahui hanya Najib sendiri, dia telah bertegas untuk menyebelahi Shahrizat apabila skandal itu melanda keluarganya.
Ia kelihatan seperti UMNO adalah akan menjadi sejarah sahaja dengan parti komponen BN lain juga dalam keadaan kucar-kacir, penganalisis politik berkata rakyat Malaysia harus bijak sekarang. Mungkin ada kestabilan yang lebih baik jika perubahan rejim berlaku daripada terus dengan keadaan seperti sedia ada yang sudah bertukar kepada mod kemusnahan !


malaysia chronicle

Photobucket

Belajar main politik cara bijak

on





10 JUN 2012  -

Semasa belajar ilmu mantik di sekolah agama dulu, ustaz ada menyebut bahawa ilmu ini penting ketika berhujjah dan berbalas hujjah. Tetapi pada waktu itu aku tidak temui ilmu yang dimaksudkan itu. Mungkin contoh yang diberi ketika itu tidak relevan dengan apa yang berlaku pada waktu itu. Tetapi apabila tamat pengajian dan berkecimpung dalam masyarakat, ilmu itu mula tampak sedikit demi sedikit.


Rupa-rupanya ilmu ini amat berguna kepada orang politik. kepetahan mereka menjawab tuduhan dan mematah hujjah lawan adalah menggunakan ilmu mantik. Malah kadang-kadang upacan musuh akan diguna semula untuk membunuhnya secara KO.
Saya teringat suatu ketika dahulu, Datuk Mohamad Asri Muda, Presiden PAS merangkap Menteri Besar Kelantan, ketika kempen pilihanraya di RTM katanya, “Saya dengar Tunku Abdul Rahman dalam ceramahnya mengistiharkan akan membina lebuh raya timur - barat (Jeli – Grik sekarang) kalau Perikatan menang di Kelantan. Saya hubungi Tunku dan minta penjelasan, bagaimana kalau PAS memang juga? Tunku sepontan menjawab, kita akan buat juga.” Berdasarkan jawapan itu, Datuk Asri mengakhiri ceramahnya di RTM itu katanya, “Kalau PAS memang, kerajaan pusat akan buat lebuh raya juga, jadi tuan-tuan dan puan-puan undilah PAS.”
Tahun 2012 menjelang pilihanraya ke 13 kempen sudah bermula secara tidak rasmi. Semuanya bermula daripada demontasi minta kerajaan hapuskan bayaran balik pinjaman PTPTN. Dalam pada itu Datuk Seri Anwar Ibrahim berjanji, bayaran baliknya akan dimansuhkan jika Pakatan menawan Putrajaya dalan pilihan raya umum akan datang. Kempen ini memang menarik terutama pelajar yang terlibat dengan pinjaman itu.
Setelah isu itu dilupakan semua pihak, tiba-tiba sahaja pihak Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengumumkan telah membekukan pinjaman kepada mahasiswa UNISEL. Keesokannya Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengesahkan PTPTN membekukan pinjaman kepada mahasiswa baru Universiti Industri Selangor (Unisel) milik kerajaan Selangor.

Alasan pembekuan itu adalah bertujuan memberi peluang kepada Pakatan Rakyat membuktikan mereka mampu memberikan pendidikan percuma di negeri itu. Pada masa yang sama Timbalan Perdana Menteri menyifatkan tindakan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) membekukan pinjaman kepada mahasiswa Universiti Industri Selangor (Unisel) sebagai "adil" kerana ia hanya reaksi kepada dasar PKR.
Ekoran tindakan itu, banyak pihak termasuk Menteri Besar Selangor, Exco kerajaan, ABIM menyatakan kekesalan terhadap tindakan kerajaan itu, malah tidakan itu dikira tidak adil dan menzalimi pelajar. Mereka mahu PTPTN tidak dibekukan pada waktu ini. Walau bagaimanapun bagi menyelamat keadaan MB mengumumkan untuk mencairkan harta UNISEL untuk membiayai urusan pendidikan sekali gus membolehkan pelajar meneruskan pengajian.
Berdasarkan itu, menteri dan perdana menteri segara mengumumkan penarikan balik pembekuan itu. Sehubungan itu, seorang pegawai tinggi PTPTN ketika menjawab SMS daripada wartawan Malaysiakini, mengesahkan keputusan menarik balik pembekuan pinjaman kepada Unisel dan KUIS. Cuma menariknya PM semasa berucap di Kedah semalam beliau berkata, “kita tarik balik pembekuan PTPTN setelah mendapati kerajaan Selangor tidak mampu membiayai pendidikan percuma kepada pelajar di negerinya.”
Nampaknya PM menggunakan peluru Pakatan Rakyat untuk membunuh balik mereka. Yalah kalau Pakatan berjuang supaya pelajar tidak perlu membayar balik pinjaman PTPTN, maknanya mereka belajar secara percuma. Jadi sekarang buatlah sebegitu. Agaknya itulah maksudnya. Tetapi yang paling penting di sini menampakkan, kerajaan BN baik hati dan bersimpati kepada pelajar di Selangor.
Begitulah fikiran orang politik, begitulah hujjah orang politik dan begitulah tektik orang politik. Cuma persoalannya adakah jawapan itu memuaskan semua pihak dan memberi mata kepada BN atau tidak?
Pembaca artikel ini tentu tahu jawapannya dan saya pasti, kisah yang berlaku pada zaman tunku dengan zaman najib amat jauh. Hujjah yang diberi ini bukan boleh menyelamatkan BN tetapi menggelapkan masa depannya. Mengapa?
Perhatikan, Pakatan Rakyat berjuang untuk menghapuskan bayaran balik, bukan pendidikan percuma. Pendidikan tetap berbayar tetapi ada pihak lain yang perlu membayarnya. Dan yang kedua, perjuangan ini hanya akan dapat direalisasikan setelah menguasai Putrajaya, maknanya setelah memerintah Malaysia. Jadi, perjuangan ini bukan untuk Selangor pada waktu ini.
Berdasarkan itu tindakan kerajaan pusat itu ternyata tersalah langkah. Rakyat tetap menilainya sebagai kerajaan tidak bertanggungjawab dan tidak adil kepada rakyat. Malah tindakan kerajaan menarik balik itu ada kemungkinan besar kerana tidak mahu aset beku UNISEL dicairkan. Hal ini kerana mereka kini menunggu peluang untuk merampas Selangor pada pilihanraya nanti. Ya, bagaimana kalau harta beku itu dicairkan? Kuranglah harta yang boleh diwarisi nanti.


Ahmad Baei Jaafar
Photobucket

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List