Zam: Kesilapan besar Tunku dan Dr Mahathir...?

on Jun 10, 2012



10 JUN 2012  -

Tan Sri Zainuddin Maidin mendakwa banyak pihak tidak menyedari bahawa Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Tun Dr Mahathir Mohamad telah melakukan "kesilapan besar" semasa menyandang jawatan perdana menteri iaitu masing-masing dalam kes Singapura menyertai Malaysia dan membawa masuk Datuk Seri Anwar Ibrahim ke dalam kerajaan dan Umno.
Wartawan veteran dan bekas Menteri Penerangan itu berkata, tindakan Tunku Abdul Rahman membawa masuk Singapura ke dalam Malaysia pada 1963, yang mana turut sama membawa bersamanya dasar 'Malaysian Malaysia' telah memberikan kesan kepada negara.

Singapura keluar dari Malaysia dua tahun kemudian.

Dalam pada itu, Zainuddin juga mendakwa Dr Mahathir membawa masuk Datuk Seri Anwar Ibrahim juga satu kesilapan kerana tindakannya yang dikatakan memporak-perandakan perpaduan bangsa.

"Ramai antara kita tidak menyedari, dua pemimpin Agung dari Kedah, Tunku Abdul Rahman dan Dr. Mahathir telah membuat dua kesilapan besar yang menjadi masalah kepada negara ini hingga sekarang.

"Tunku membawa masuk Singapura ke dalam Malaysia yang mana turut sama membawa bersamanya Malaysian Malaysia sementara Dr. Mahathir membawa masuk Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kemudianya telah memporakperandakan perpaduan bangsa," katanya lagi.

Dr Mahathir memecat Anwar pada September 1998. Ketika dipecat, Anwar merupakan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

"Di sebalik kesilapan Tunku dan Dr Mahathir mempunyai terlalu banyak tugu-tugu jasa yang mereka bina bagi melindungi kelemahan mereka," kata beliau yang dipetik dari entri blognya.

Zainuddin yang lebih dikenali sebagai Zam juga berkata, "tercatit sebagai sejarah mulia, dengan sokongan kuat seorang nasionalis rakyat, Allahyarham Tun Ghafar Baba, Dr Mahathir dengan berani menunjukkan kuasa rakyat bila maruah mereka mula terjejas dengan mengingatkan raja-raja tentang Raja Berperlembagaan demi untuk mengikis feudalisme."

Beliau yang turut memuatkan kenyataan Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri yang pertama berkata, walaupun berketurunan diraja, beliau tetap menyedari kuasa rakyat yang disebutkan dalam tulisannya.

"Ketika itu beliau berada dalam krisis dengan Sultan Selangor dan juga dengan abangnya Sultan Kedah. Saya akan mendedahkannya dalam ruangan Z fail di blog ini," katanya.

Zainuddin yang mula aktif sebagai blogger menggunakan moto 'Setiakawan Demi Warisan, Kemanusiaan dan Kerukunan' memaparkan tiga ruang utama pendedahan maklumat untuk dikongsi dengan rakyat sepanjang penglibatan beliau sebagai wartawan sehinggalah menjadi seorang menteri Kabinet.

Antara ruangnya Z fail, Pintas dan cerita Zam merupakan rangkuman daripada pengalaman kewartawanan yang dilalui yang telah diterbitkan dalam bentuk buku pada tahun 1980 bertajuk 'Pertama dan Terakhir'. -SH

Thamrin nasihat ahli tinggalkan Umno

PETALING JAYA: Agak melucukan apabila seorang veteran Umno menasihati ahli-ahli Umno supaya meninggalkan parti yang usang itu dalam ceramahnya.

Bekas Exco Pergerakan Pemuda Umno Thamrin Ghafar berkata, Umno dahulu dan Umno sekarang sudah tidak sama dan lebih baik ahli- ahli Umno meninggalkan parti itu untuk menjamin masa depan yang lebih cerah.

“Pemimpin Umno dahulu berjuang dengan ikhlas, kerana bangsa dan agama tetapi pemimpin Umno sekarang lebih berminat untuk menimbun kekayaan dan terlibat dengan rasuah,” katanya dalam satu ceramah di Markas PAS Titi Seorang, Parit Buntar semalam.

Beliau yang masih menjadi ahli Umno meluahkan rasa kesalnya dengan perkembangan mutakhir ini di mana perjuangan Umno jauh menyimpang dari matlamat asalnya.

Menurut Thamrin, banyak penipuan berlaku dalam daftar pemilih di antaranya, dengan membawa masuk warga asing dari Kemboja untuk menjadi pengundi pada pilihan raya umum (PRU) ke 13 nanti.

“Umno sudah tidak betul, tidak gentleman, banyak penyelewengan dan rasuah serta mereka merasa bimbang untuk berdepan dengan rakyat pada PRU13,” ujar beliau.

Mengenai perhimpunan Bersih 3.0 beliau berkata, Barisan Nasional mungkin boleh jatuh sekiranya lebih ramai rakyat bangkit untuk menentang kezaliman dan kejahatan mereka.

Bersih 3.0 katanya, ialah suatu usaha murni yang harus disokong kerana NGO itu menuntut lapan perkara bagi menjamin pilihan raya yang bersih dan adil.

Beliau berjanji untuk mendedahkan lebih banyak lagi keburukan dan kedurjaan Umno pada masa-masa yang akan datang.

Mengenai pendedahan ini dengan menggunakan pentas PAS beliau berkata, ”biar Umno pesat saya, saya tidak hairan.”

Lebih 1,000 penyokong PAS dan Pakatan Rakyat hadir pada majlis ceramah itu. Turut hadir Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang dan juga Ahli Parlimen Parit Buntar, Mujahid Yusof Rawa. 
-FMT




Photobucket

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List