Beli Rakyat Satu Malaysia...?

on Jun 10, 2012


10 JUN 2012  -

Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin baru-baru ini dilaporkan telah membentangkan kepada kabinet agar program Bantuan Rakyat 1Malaysia atau BR1M bernilai RM500 kepada rakyat yang berpendapatan bawah RM3000 diberikan lagi untuk kali kedua. Kemudian Najib telah menyambut saranan itu dengan berkata, kerajaan sedia menimbangnya demi kepentingan rakyat yang didapati banyak terbeban dengan kenaikan harga barang serta kos sara hidup yang meningkat.

Jika BR1M ini mahu diberikan lagi, ia tentunya akan dilaksanakan sebelum pilihanraya umum yang dijangka akan diadakan September atau mungkin awal tahun hadapan.

Kesediaan Najib mahu memberikan lagi bantuan RM500 kepada rakyat tentunya memberi gambaran bahawa bantuan sebelum ini tidak cukup berkesan untuk menarik sokongan rakyat.

Dengan tindakan Najib menaikkan harga minyak beberapa kali, menaikkan harga gula sebanyak empat kali, menaikkan tarif letrik serta memotong subsidi beberapa barangan pengguna sejak tiga tahun lalu, memanglah diakui bahawa pemberian RM500 tidak banyak meringankan beban rakyat. Dengan nilai RM500 itu di ketika harga ikan, sayur dan semua barangan keperluan harian lainnya sentiasa meningkat, ia mungkin habis untuk sekali atau dua kali mengunjungi hyper market sahaja.

Ia juga mungkin hanya cukup untuk perbelanjaan dapur bagi tempoh tidak sampai sebulan bagi sebuah keluarga miskin yang mempunyai anak seramai lima atau enam orang.

Bukanlah rakyat tidak bersyukur dengan pemberian itu tetapi oleh kerana di ketika rakyat diberikan hanya RM500 sejak lebih 50 tahun UMNO memerintah, pelbagai berita mengenai amalan rasuah, penyelewengan dan pembaziran yang meibatkan pemimpin termasuk Najib dan keluarganya juga, lantas menjadikan pemberian itu yang diharapkan mampu menjelmakan sokongan kepada UMNO dan BN tidak menjadi kenyataan.

In kerana rakyat merasakan nilai itu terlalu kecil atau sekadar untuk menutup kepincangan yang kian bermaharajalela sahaja. Najib yang kini sedang berkira-kira memilih tarikh yang sesuai untuk mengadakan pilihanraya tentunya kebingungan kerana BR1M kali pertama tidak mendatangkan impak seperti yang diharapkan.

Lantaran itu, timbullah idea untuk melaksanakan BR1M kali kedua meskipun tidak diketahui dari mana Najib mahu mengorek wang kali ini.

Jika BR1M kali pertama berjumlah RM500 dilihat tidak mendatangkan hasil seperti yang diharapkan, tidak mustahil BR1M kali kedua ini ditambah jumlahnya. Mungkin menjadi RM1000 atau RM2000. Jika RM500 juga jumlahnya pemberian kali kedua ini, hasilnya mungkin tidak seberapa.

Dengan pelbagai musim perayaan bakal menjelang tiba, BR1M kali kedua ini bukan saja bertambah jumlahnya tetapi ia juga menandakan tarikh pilihanraya bakal ditangguh lagi. Mungkin selepas Hari Raya atau awal tahun 2013. Yang penting piliharaya hanya akan diadakan selepas sejumlah wang tunai lagi dimasukkan ke dalam poket rakyat.

Untuk menang pilihanraya, Najib dipercayai sanggup bergolok bergadai dan berbuat apa saja.

Sejak kebelakangan ini, rating Najib di mata rakyat juga didapati merudum dengan teruknya. Selepas Bersih 3.0 dan perkhabaran perbicaraan kes kapal selam Scorpene akan diadakan di Perancis, rating Najib di mata rakya telah menurun daripada 69 peratus pada bulan Februari kepada 65 peratus.

Jika dibandingkan rating Pak Lah ketika mengadakan pilihanraya umum 2008, kedudukan beliau ketika itu ialah 72 peratus sebagaimana yang dikaji oleh Merdeka Center. Dengan rating 72 peratus Pak Lah hilang majoriti dua pertiga, logiknya dengan rating hanya 65 peratus sekarang, sudah tentulah kedudukan Najib lebih parah lagi.

Ditambah dengan pelbagai isu, kebarangkalian untuk UMNO dan BN tumbang amat besar sekali.

Dengan kesediaan Najib untuk menimbang pemberian BR1M kali kedua ini mengesahkan bahawa kedudukan Najib, UMNO dan BN masih belum selamat lagi. BR1M kini dilihat sebagai satu-satunya talian hayat untuk menyelamatkan nasib dan masa depan UMNO.

BR1M kini sudah dianggap "rasuah yang halal" untuk membeli undi dan sokongan demi kepentingan UMNO walaupun wang itu adalah wang rakyat. UMNO memberi BR1M kepada rakyat seolah-olah wang itu datangnya daripada poket Najib atau kantung UMNO. Pemimpin UMNO berebut-rebut dengan masa mengadakan program untuk menyampaikan sumbangan itu sedangkan ia boleh disalurkan secara mudah melalui jentera kerajaan seperti Pejabat Daerah jika pemberian itu benar-benar diberi secara ikhlas dan tidak bersalut muslihat politik.

BR1M kini tidak lebih menjadi program "Beli Rakyat Satu Malaysia" menjelang pilihanraya dan jika rakyat menerima program ini dengan terus mengekalkan UMNO dan BN sebagai sebuah kerajaan, BR1M yang seterusnya hanya akan muncul kembali lima tahun akan datang sahaja. Tepuk dada tanyalah iman!!


shahbudindotcom
Photobucket

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List