10 JUN 2012 -
Kerajaan Barisan Nasional (BN) hari ini masih lemah kerana Pak Lah?............
Begitulah dilaporkan oleh Editor The Malaysian Insider, Jahabar Sadiq pada 2 Jun 2012, yang memetik sumber berita mengatakan bahawa Mahathir semasa berjumpa dengan kakitangan awam Johor dan Ketua UMNO Bahagian Johor baru-baru ini, telah memberikan penerangan berhubung keadaan politik dan kesediaan BN untuk Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). Menurut Mahathir, kelemahan Kerajaan BN hari ini kerana zaman Pak Lah menjadi Perdana Menteri.
Cukup mudah bagi seorang bekas Perdana Menteri yang memegang tampuk kuasa melebihi dua dekad untuk melakarkan zaman seorang Perdana Menteri yang pendek hayat kekuasaannya sebagai faktor kelemahan Kerajaan UMNO-BN sehingga hari ini. Tetapi penulis percaya, analisis ahli akademik berhubung perkembangan politik Malaysia pada masa depan bakal memberi rumusan yang berbeza, dan kemungkinan besar permasalahan zaman Mahathir yang menjadi tumpuan faktor menyumbang kepada kelemahan UMNO-BN sehingga hari ini.
Tinjauan sejarah politik negara yang sudah biasa dengan pertukaran rejim pemerintahan, acapkali memaklumkan kepada warga negara yang belum pernah mengalami pertukaran rejim pada peringkat persekutuan seperti Malaysia, bahawa adalah tidak rasional apabila seorang pemimpin negara yang terlalu lama berkuasa dipertuhankan. Lazimnya kitaran pertukaran rejim bakal menyaksikan silih-ganti pemimpin negara dengan pelbagai sifat kepemimpinan, tidak kurang juga pemimpin karismatik lahir daripada kedua-dua parti pemerintah dan oposisi yang saling bertukar peranan selepas pertukaran rejim. Semua ini dapat berlaku secara aman asalkan parti yang berdepan dengan krisis kelangsungan kuasa pemerintahan mencatur strategi politik mengikut hukum masyarakat bertamadun dan mengangkat prinsip-prinsip negara hukum, bukan memupuk politik ketakutan bertopengkan kegiatan samseng.
Namun, bagi sebuah negara yang belum pernah mengalami pertukaran rejim, sebenarnya mudah untuk seorang pemimpin politik, khususnya seorang pemimpin negara yang tempoh kekuasaannya begitu lama untuk menyakinkan kelompok yang kehilangan arah ekoran berdepan dengan krisis yang dmaksudkan sebentar tadi dengan apa sahaja rumusan, biarpun rumusan tersebut tidak benar atau penuh dengan pertikaian.
Di negara Amerika Syarikat - di mana gaya kempen seorang Presiden kelihatan sedang dicontohi Perdana Menteri Najib biarpun Malaysia tidak memiliki sistem Presidensi - Presidennya Barack Obama yang pada permulaan pentadbiran beliau menjadi tumpuan dan topik perbincangan warga Amerika, dalam jangka masa yang dikira pendek, juga berdepan dengan pertikaian dan kritikan. Barack Obama dilihat sebagai seorang pemimpin negara yang karismatik, namun segala tindak-tanduk dan budi bicaranya diperhalusi oleh warga Amerika. Hal ini tidak bermaksud warga Amerika lebih bijak berbanding rakyat Malaysia.
Seperti yang disentuh di atas, pengalaman pertukaran rejim merupakan satu faktor penting yang dapat mempengaruhi pembentukan wacana dan pemikiran warga secara amnya. Jikalau warga Amerika berada dalam konteks politik kenegaraan yang sama dengan rakyat Malaysia, maka Barack Obama akan diangkat sebagai pemimpin yang tiada tandingannya, malah segala perbicaraannya mungkin dipertuhankan. Tetapi Barack Obama tidaklah bernasib baik seperti Perdana Menteri Malaysia. Pertukaran rejim merupakan sesuatu yang lumrah kepada warga Amerika.
Kalaulah saudara-saudari yang membaca artikel ini rela memberhentikan seketika pemikiran politik kepartian dan memikir bersama penulis kerangka lebih besar yang membentuk wacana politik, maka izinkanlah penulis berkongsi bersama pandangan seorang ahli falsafah Perancis Paul-Michel Faucault. Menurut Faucault, pembentukan wacana melibatkan andaian dan hubungkaitnya dengan struktur tersembunyi yang perlu didedahkan yang dirujuk oleh beliau sebagai episteme.
Kajian Paul Strathern mengenai Faucault menjelaskan bahawa, maksud episteme menurut Faucault berbunyi, "The episteme marks out the limits of the period's experience, the extent of its knowledge, and even its notion of truth."
Penulis memetik petikan di atas untuk membicarakan betapa pentingnya pengehadan pemahaman politik tanah air ekoran kekurangan pengalaman pertukaran rejim semenjak kemerdekaan bumi Malaysia, berbeza dengan pengalaman Amerika. Kekurangan tersebut membawa kepada andaian dan sturktur tersembunyi tertentu yang membataskan kerangka pemahaman kita terhadap politik tanah air khususnya politik kepartian dan sistem dua gabungan parti.
Dalam sejarah politik Amerika, Barack Obama bukanlah pemimpin pertama yang sifat karismatik beliau diperhebatkan. Terlalu ramai pemimpin Amerika daripada kedua-dua parti pemerintah dan oposisi yang kemudian bersilih-ganti peranan mereka telah menampilkan sifat kepemimpinan yang berbeza tetapi menarik. Maka, pemimpin sehebat mana pun tidak dapat merumuskan sesuatu tanpa berdepan dengan permasalahan yang mungkin penuh dengan pertikaian.
Contohnya dalam buku "The Reagan Presidency: Pragmatic Conservatism & Its Legacies" yang disunting oleh W. Elliot Brownlee & Hugh Davis Graham, penyunting dalam bab pengenalan telah membangkitkan persoalan samada kajian era Presiden Ronald Reagan atau era presidensi lain lebih bermakna. Petikannya berbunyi, "Such controversy has followed other presidencies…… Historians generally agree that Roosevelt did much that warranted sustained debate…… Whether or not Reagan changes America and the world as much as Roosevelt did remains very much in dispute." Mahu atau tidak, Barack Obama bakal berdepan dengan tinjauan permasalahan seperti yang dihadapi Presiden sebelumnya. Kerana itu, seorang Presiden yang bijak yang terpanggil atau merancang sebagai sebahagian daripada strategi politik untuk menilai zaman Presiden lain akan melakukan penilaian dan kritikan terhadap zaman pentadbiran diri dahulu sebelum berbuat demikian.
Begitu juga dalam karya "The Power of Speech: Australian Prime Ministers Defining the National Image", James Curran dalam peninjauannya terhadap sebuah "negara jiran" bernama Australia yang cukup lama mempraktikkan budaya politik bertapakkan pertukaran rejim telah memperlihatkan kepada kita bahawa, setiap Perdana Menteri Australia samada pemimpin Parti Buruh di sebelah kiri atau pemimpin Parti Liberal di
sebelah kanan, di mana kedua-dua parti pernah berada pada paksi pemerintahan dan paksi oposisi pada titik sejarah tertentu, samalah seperti pengalaman politik kepartian di Amerika, telah meninggalkan legasi yang berbeza, selari atau bertentangan dengan kehendak zaman tertentu, dan harus dipermasalahkan.
Menurut James Curran, bekas Perdana Menteri Paul Keating sebelum kalah pada pilihan raya tahun 1996, dalam ucapan beliau sehari sebelum hari mengundi, telah menyatakan bahawa, pertukaran rejim adalah sesuatu yang lumrah apabila dilihat kembali sejarah pertukaran pemimpin negara melibatkan "transitions from McMahon to Whitlam, from Whitlam to Fraser and from Fraser to Hawke."
Menurut James Curran, mesej penting dalam ucapan Paul Keating sebelum mengalami kekalahan adalah bahawa, "In political leadership could be found the most reliable barometer of social change and national renewal," dan bahawa, "it was equally an admission that the arguments for change are there and that they are gathering momentum."
Begitulah lakaran wacana dan paras pemahaman pemimpin politik terhadap politik kenegaraan dalam sebuah negara yang mempunyai banyak pengalaman pertukaran rejim. Pemimpin dalam negara seumpama tidak melarikan diri daripada hakikat bahawa masyarakat mahukan perubahan dan bahawa refleksi diri senantiasa dititikberat biarpun menjelang saat kegentingan.
Malangnya, dalam negara yang belum pernah mengalami pertukaran rejim pada peringkat persekutuan, apa yang kita saksikan hanyalah keangkuhan pemimpin masa lampau dan masa kini dan kekotoran politik mereka demi memanjangkan kelangsungan hayat kekuasaan tanpa merenung dan mempertikaikan kesalahan dan ketidakadilan yang telah dilakukan sekian lama mereka berada pada paksi pemerintahan. (Bahagian pertama, bersambung)
*Ooi Heng ialah Pengarah Eksekutif Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) dan kolumnis MerdekaReview.
0 comments:
Post a Comment