Musa Hassan :- Berbahaya dan juga dalam bahaya...?

on Dec 9, 2012





Diekori Cawangan Khas? Banyak yang mahu dikongsi oleh Musa yang TERDESAK

Apabila kita mempunyai perdana menteri (PM) yang licik seperti Mahathir Mohamad, ketua polis negara (KPN) yang patuh seperti Musa Hassan dan Peguam Negara (AG) yang dipersoalkan kredibilitinya seperti Abdul Gani Patail, terlalu banyak perkara yang boleh dipalsukan untuk mengekalkan status quo dan menyembunyikan sistem yang dibina dengan begitu teliti oleh Mahathir dan parti UMNO untuk mengaut keluar wang negara sehingga ke ringgit yang terakhir.

Kita semua tahu salah laku Mahathir seperti penyalahgunaan kuasa dan wang serta pembaziran ke atas perbendaharaan negara tanpa rasa perlu menabung untuk kecemasan, sekali gus meninggalkan orang Melayu ‘kering kontang’ seperti pengemis di tempat kelahiran mereka sendiri.

Walau bagaimanapun, Mahathir berjaya mewujudkan beberapa orang jutawan Melayu dan juga beberapa bilionaire Melayu, namun seperti apa yang dikatakan bekas pengerusi MRCB, "Apalah maknanya mempunyai beberapa orang jutawan apabila puluhan ribu yang lain hilang punca pendapatan?
"


Tetapi, dalam buku Mahathir, seperti biasa, dia merupakan penyelamat dan wira bangsa dan tiada siapa yang berani untuk mempersoalkannya. Seperti biasa, bukan dirinya tetapi orang Melayu lah yang tidak "bersyukur" dan patut dipersalahkan atas nasib yang menimpa diri mereka sendiri.

Lubuk buaya



Sekarang, mari kita kembali kepada Musa Hassan, yang telah bersara sebagai Ketua Polis Negara pada September 2010 yang pada masa yang sama sedang bertelingkah dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Musa bersama dua lagi adik beradiknya iaitu pelakon terkenal Jalaluddin dan Fuad, bekas ahli parlimen UMNO Ampang Jaya, telah dilahirkan dalam keluarga yang berpegang teguh dengan ajaran agama. Mereka membesar dalam persekitaran yang kuat didikan namun tidak terlalu kaya. Akibatnya, mereka terpaksa bekerja keras untuk menyara diri sendiri.

Dengan latar belakang sedemikian, ia tidak menghairankan jika Musa mampu untuk menunjukkan bahawa dia mempunyai pendapatnya sendiri walaupun telah menjadi anjing peliharaan Mahathir selama beberapa dekad – lebih-lebih lagu sejak tuduhan liwat dikenakan terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998.



Musa pernah menjadi Ketua Polis Johor dan kebanyakan rakyat Malaysia telah tahu mengenai khabar penglibatannya dengan bos sindiket pinjaman Ah Long, Tengku Goh di Muar. Ya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia telah melaksanakan 'penyiasatan' acuh tak acuh mereka tetapi AG mengarahkan kes itu ditutup walaupun sebelum siasatan selesai, kerana mendakwa mereka kekurangan bukti! Tetapi itulah kebiasaan Gani.

Peguam Negara juga telah dituduh melakukan beberapa perbuatan yang tidak patut sebagai ketua peguam negara. Pada satu masa, Gani telah dituduh memiliki perempuan simpanan dan dia telah membeli sebuah rumah untuknya di Alor Gajah dengan wang yang kononnya diberikan oleh pengarah kumpulan pembinaan tempatan. Khabarnya, Gani telah memberi ‘pertolongan’ dalam kes yang berkaitan dengan beberapa perniagaan yang dihadapi oleh syarikat itu.

Gani yang juga rapat dengan Tajudin Ramli, bekas pengerusi MAS yang juga pernah menjadi anak emas Mahathir dan kroninya bekas menteri kewangan Daim Zainuddin.

Tidak syak lagi bahawa Musa seperti Gani, merupakan orang yang tidak jujur, yang juga dikelilingi oleh rakan-rakan yang dua kali lima, mereka ini semuanya ada kaitan dengan Mahathir, yang ramai pasti bersetuju semakin hari semakin kabur kredibiliti mereka .

Berpatah arang



Jadi mengapa Musa tiba-tiba memilih keluar dari kumpulan yang diketuai dirinya sendiri? Adakah dia mula beralih menjadi pro-pembangkang dan kenapa? Adakah dia bakal menyertai PKR atau PAS dan mengapa? Tidak syak lagi, kita akan mengetahui jawapannya tidak lama lagi.

Tetapi sehingga cerita sebenar diketahui, plot yang paling menarik perhatian melibatkan Musa, Gani dan Mahathir adalah dakwaan merangka tuduhan liwat yang pertama ke atas Anwar Ibrahim pada tahun 1998. Hukuman digugurkan dan Anwar dibebaskan pada September 2004 selepas merana dalam penjara selama 6 tahun.

Musa, yang pada ketika merupakan pegawai penyiasat, telah memainkan peranan penting dalam penganiayaan Anwar. Walau bagaimanapun, pemenjaraan Anwar inilah yang menaikkan pangkat Musa kepada jawatan KPN oleh Mahathir dan selanjutnya seperti apa yang kita sudah ketahui sekarang.

‘U-turn’ mengejutkan Musa bermula pada Oktober lalu apabila dia tiba-tiba menarik balik saman fitnah 'Mata Lebam' dirinya terhadap Anwar. Laporan berita pertemuan Musa dengan Mursyidul Am PAS Nik Aziz juga hebat diperkatakan dan mengejutkan ramai pihak.


Spekulasi Musa ingin menyertai PAS sedang bertiup kencang malah ia telah menjadi satu trend bagi bekas penjawat awam terutamanya polis untuk menyertai sama ada PAS atau PKR untuk 'menebus' dosa-dosa yang mereka katakan tidak punyai pilihan untuk lakukan semasa bekerja di bawah pentadbiran Umno-BN.

Masa untuk mencari perhatian maksima pemimpin Umno



Sekarang, Musa Hassan mendakwa bahawa sepupu Najib, Hishammuddin Tun Hussein Menteri Dalam Negeri,sering mencampuri urusan polis. Mengapa Musa membuka cerita ini apabila UMNO sedang mengadakan perhimpunan Agung ke-66 pada akhir bulan lepas?

Ramai yang telah merasakan mungkin ada beberapa "orang kuat" dari dalam UMNO sendiri dan bukan Pembangkang yang telah menghasut Musa untuk berbuat demikian.

Ia adalah sesuatu yang aneh apabila cerita ini dibuka serentak dengan Deepak yang juga membuat pendedahan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, isterinya Rosmah Mansor dan Ketua Wanita Selangor Raja Ropiaah berkenaan penipuan penswastaan ​​tanah.

Apabila testimoni Musa memalukan Hishammuddin, Deepak pula menjerit-jerit bahawa sepupu Hisham - Najib dan isterinya Rosmah bukan juga dari golongan yang baik-baik.

Terpijak jari kaki




Apa pun motif Musa atau mana-mana pihak terlibat dalam perang saudara UMNO yang cuba dibantu olehnya, jelas sekali bekas ketua polis itu sedang berusaha menyelamatkan dirinya sendiri. Ya,Musa Hassan yang sedegil keldai itu telah menyedari kebodohan dirinya sendiri.

Semasa zaman kegemilangannya, dia begitu berpengaruh dan banyak bergaul dengan orang-orang seperti Tengku Goh, Gani, Mahathir dan orang-orang besar yang lain, Musa tidak sedar akan mereka yang telah disakiti pada masa itu. Dia hanya menyedari bahawa masanya sudah hampir tamat apabila dia tidak lagi arahan Hishamuddin.

Ini telah menyebabkan perkhidmatannya telah ditamatkan tanpa diberikan apa-apa keistimewaan sebagai pengerusi dalam beberapa GLC terkenal atau syarikat berkaitan kerajaan. Mungkin agak keterlaluan untuk mengatakan bahawa Musa telah ditinggalkan kering kontang tetapi yang pasti sebagai bekas penjawat awam yang tertinggi, dirinya telah diketepikan untuk mendapat habuan persaraan.



Musa enggan mengikut telunjuk kerana dia berfikir dirinya masih boleh menggunakan 'pengalaman' atau keistimewaan hubungannya dengan Mahathir. Tetapi dia telah mendapat tahu bahawa waris Mahathir tidak menyimpan niat untuk meneruskan kerjasama dengannya. Jadi tinggallah Musa dengan tangan kosong dan bertahi.

Apa yang lebih menyakiti lagi, Mahathir berpura-pura tidak tahu pada usia 87 tahun, dialah yang menarik tali boneka untuk mengawal Najib 'panglima’ UMNO yang lain untuk mengayakan anak-anaknya.

Namun, realitinya Mahathir sudah terlalu tua untuk bertahan lebih lama manakala UMNO pula sudah jauh tenggelam dalam masalah. Jadi, Musa telah sedar bahawa lebih baik dia melakukan sesuatu yang boleh menyelamatkannya sebelum Pakatan Rakyat mengambil alih Putrajaya dan memerintahkan siasatan berskala penuh ke dalam semua sandiwara Mahathir. Musa juga pasti takut akan salah lakunya sendiri yang bakal mendatangkan masalah baginya. Dia tahu dia terpaksa menjauhkan dirinya daripada watak-watak jahat ini dan membersihkan dirinya agar mempunyai peluang untuk mengelakkan diri dari didakwa dan dipenjarakan dalam penglibatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Terdapat ramai telah menerima nasib yang sama, apabila tidak diperlukan lagi oleh UMNO, dicampak ibarat kain buruk. Satu lagi contoh baru-baru ini adalah Musa Hitam, bekas timbalan perdana menteri yang tiba-tiba 'meletak jawatan' sebagai pengerusi Sime Darby. Seperti Musa Hitam, Musa yang seorang lagi ini pasti sudah mengira harinya. Kedua-dua mereka sudah tiada penyokong dari belakang.

Dalam keadaan sedemikian, sudah semestinya Musa tiba-tiba 'sedar' dan cuba membuktikan dia masih boleh kembali ke pangkal jalan dan bersuara untuk rakyat - walaupun ini merupakan sesuatu yang dia sepatutnya lakukan sedekad yang lalu ketika dia masih berpengaruh dan benar-benar boleh membantu masyarakat.

Faktor Ramli Yusoff



Seperti kata pepatah, perkara jahat, walau sebutir pasir pun akan di balas jua, (what goes around comes around). Setakat ini, tidak ramai yang bersedia untuk membantu Musa kerana dirinya itu tidak boleh dipercayai. Dengan latar belakang dan rekod buruk, siapa atau parti mana yang mahu mengambil risiko dianiya olehnya nanti? Sedih juga untuk diakui, Musa Hassan adalah racun yang amat berbisa.

Tetapi selain dari menyelamatkan dirinya sendiri ada 'satu perkara' yang sebenarnya menakutkan Musa Hassan, menurut sumber dalaman, “Perkara' inilah yang menjadikannya mengambil keputusan untuk membuka cerita orang-orang kuat dalam UMNO. Dan apakah 'perkara' yang telah menjadikan lelaki seperti Musa ketakutan dan tergesa-gesa untuk membuka mulut yang pada suatu masa tertutup rapat?

Jawapannya adalah tidak lain tidak bukan, kes Ramli Yusoff dengan AG dan dirinya sendiri. Bekas penjawat jawatan tinggi polis, Ramli mendakwa dirinya diperangkap SPRM dalam “kes polis bernilai 27 juta ". Tuntutan mahkamah Ramli benar-benar mengganggu fikiran Musa kerana kes itu begitu jelas. Peguam yang berpengalaman mengatakan fakta-fakta boleh didedahkan di mahkamah dan Musa akan dijadikan kambing hitam bagi AG dan SPRM kerana dialah yang didakwa diberikan "bukti" untuk mereka terhadap Ramli.

Mungkin Musa kini cuba untuk mengatakan kepada semua bahawa "Hei, saya bersih, saya tidak melakukan apa-apa yang kesalahan dan merekalah yang memaksa saya untuk melakukan semua perkara-perkara jahat itu!"

Diekori Cawangan Khas



UMNO dan Najib harus mengambil serius dakwaan Musa Hassan kerana aka nada banyak yang mahu dikongsinya apabila dia semakin terdesak. Dia banyak menyimpan rahsia gelap UMNO dan menjadi satu tindakan yang agak bodoh dan angkuh bagi mereka untuk mengabaikannya.

Pembangkang juga harus membuka mata kerana apa yang membahayakan UMNO biasanya akan memberi banyak manfaat kepada mereka. Anwar dan pemimpin PR perlu cuba untuk mendekati Musa agar dapat mencari jalan penyelesaian untuk membantu Musa 'memulihkan' dirinya dalam supaya dia menjadi orang yang berguna, amanah dan boleh diterima semula oleh masyarakat.

Musa, dalam keadaan yang terdesak, telah gagal untuk menyedari bahawa dia telah menjolok sarang tebuan. Ya, sarang dua sepupu iaitu Najib dan Hishamuddin. Turut menerima tempias adalah Rosmah, yang bersedia untuk melakukan serangan balas. Musa pasti tahu bahawa serangan merupakan pertahanan yang terbaik dan bukan dia sahaja yang tahu akan ini malah ia boleh digunakan juga oleh musuh-musuhnya.

Sumber mengatakan inilah sebabnya polis Cawangan Khas sering mengekori Musa, bekas ketua mereka sendiri hanya 2 tahun yang lalu. Jelas sudah bahawa Najib terpaksa menghentikan Musa daripada melakukan lebih banyak kerosakan keatas kerjaya politiknya dan menjejaskan survival UMNO pada masa yang sama, terutama sekali dengan pilihan raya umum ke-13 yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Musa, sepertimana yang mereka katakan berada dalam keadaan yang genting. Berbahaya dan juga dalam bahaya!


dipetik dari :- pkrl.blogspot.com

Photobucket

Pendedahan Deepak." fitnah atau realiti"

on





Bukan saja ahli UMNO Sabah yang tak senang dengan kenyataan PM Najib berhubung isu 3 orang Naib Presiden UMNO dipanggil 3 ekor oleh Presiden pada penggulungan Persidangan Agong UMNO baru-baru ini.

Ramai Ahli merasakan adalah tidak kena apabila perbandingan Naib Presiden parti terbesar itu dengan diberi gelaran 3 ekor kerana ekor itu ada kaitan dengan binatang sama ada binatang dihutan atau binatang peliharaan.

Ahli-ahli UMNO Johor dan Perak pun memprotes dalam senyap terhadap ucapan tersebut. Yang tentunya mereka amat tersinggong, ada dikalangan pemimpin UMNO dari negeri tersebut menaruh kebimbangan, takut nanti ahli UMNO menzahirkan kemarahan dengan menolak BN dalam PRU13 nanti.

Kerana sudah menjadi rahsia umum ahli UMNO di Perak pernah menolak UMNO kerana tidak puas hati dengan pentadbiran Tun  Abdullah yang dianggap terlalu ikut dengar cakap menantunya Khairy Jamaluddin. Yang mengakibatkan negeri Perak hanyut kepada PR.

Begitu juga ahli UMNO Johor, yang mana pengaruh Ghani sudah tidak kuat dan sedikit tercalar apabila ada puak yang tidak begitu senang dengan cara pentadbiran Ghani kini, manakala Faktor Hishamuddin pula diremehkan oleh sepupunya sendiri yang menyebabkan ahli UMNO tawar hati.

Apabila Sabah, Johor dan Perak diletak dalam keadaan berjaga-jaga, suasana politik Malaysia tentunya akan berada dalam mood berjaga-jaga. Kebiasaannya dalam sesebuah negara demokrasi apabila tempat tradisi sesautu pihak itu tergugat maka keadaan keseluruhannya tidak akan selamat.

Begitulah yang nampak akan berlaku, semuanya ditambah dengan ucapan Presiden parti UMNO yang meletakkan Naib-Naib presiden dalam delima kerana dimalukan didepan ribuan perwakilan dari seluruh negara.

Apakah motif Presiden UMNO sanggup mengeluarkan perkataan sedemikian kepada anak buahnya. Adakah disebabkan dalam ucapan penggulungan Naib-Naib Presiden tidak cuba mempertahankan tuduhan yang dilapurkan oleh media yang pro PR yang boleh membaculkan keluarga Presiden.

Contohnya, bagaimana tak ada suara yang keras dalam Perhimpunan Agong UMNO untuk melanyak isu yang dibawa oleh Deepak yang mengaitkan keluarga PM Najib terlibat dalam urusan tanah dan pembelian kapal selam serta akuan bersumpah P. Balasurbamaniam berhubung kes Altatunya,

Rakyat kini masih tertanya-tanya apakah benar pendedahan yang dibuat oleh peniaga karpet itu atau satu fitnah. Sekiranya fitnah kenapa PM Najib dan keluarganya tidak mengambil tindakan bagi membersih namanya yang telah dicemarkan itu.


yang ku dengar dan lihat

Photobucket

13 Mei Bukan Lagi Senjata Yang Tajam Untuk Menakutkan Rakyat

on




Menjelang pilihanraya umum akan datang, salah satu senjata yang digunakan oleh UMNO untuk mengekalkan kuasa ialah menakut-nakutkan rakyat. Selain ditakutkan dengan isu agama dan kaum, rakyat juga ditakutkan dengan kemungkinanan kononnya negara akan huru-hara jika UMNO tidak lagi berkuasa.

Bayangan tragedi 13 Mei 1969 kerapkali didendangkan untuk memperingatkan rakyat tentang perkara itu. Dalam perhimpunan UMNO baru-baru ini, Shahrizat Jalil yang kehilangan jawatan menteri kerana ditanduk lembu NFC, secara terang-terangan menyebut tentang kemungkinan 13 Mei akan berulang jika UMNO kehilangan kuasanya.

Kononnya rakyat akan memberontak kerana tidak sanggup melihat UMNO hilang kuasanya.

Sebelum itu, dalam nada yang berbeza, Mahathir juga pernah membayangkan bahawa jika PR kalah dalam pilihanraya akan datang itu, mereka juga kemungkinan akan mencetuskan huru-hara dalam negara ini. 

Logik Mahathir ialah rentetan demonstasi yang dianjurkan pembangkang sejak kebelakangan ini adalah usaha tersusun ke arah itu walaupun sebenarnya demonstasi itu digerakkan adalah kerana adanya isu-isu yang spesifik dalam negara dan tidak sama-sekali berunsur keganasan kecuali jika ada provokasi daripada pihak lain.

Beberapa pemimpin UMNO lainnya termasuk Najib, Muhyiddin dan lain-lain juga pernah mengeluarkan kenyataan tentang kemungkinan negara ini tidak lagi stabil jika UMNO hilang kuasa. Bagi mereka ini hanya UMNO yang mampu menganugerahkan kestabilan kepada Malaysia.

Rata-rata pemimpin UMNO sekarang ini juga cuba menakutkan rakyat bahawa negara ini tidak akan aman, keadaan akan jadi huru-hara dan peristiwa 13 Mei akan berulang melainkan jika UMNO kekal berkuasa.

Negara juga digambarkan seolah-olah akan aman seaman-amannya jika UMNO dan BN mampu menang dengan majoriti dua pertiga.

Dengan membawa cerita huru-hara dan kemungkinan 13 Mei berulang tidak lain membuktikan bahawa UMNO berada dalam suasana ketakutan nyata yang tidak mampu diselindungkan lagi.

Bagi pihak pembangkang, kekalahan adalah perkara biasa dan sepanjang 12 kali pilihanraya sebelum ini, mereka dapat menerimanya dengan reda. Yang mungkin tidak dapat menerima kekalahan ialah UMNO dan BN kerana belum pernah hilang kuasa di peringkat Pusat.

Jika kalah, lihatlah bagaimana cara Perak dirampas kembali. Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan yang mana UMNO kalah pula tidak habis-habis ditekan.

Peristiwa 13 Mei sendiri berlaku kerana adanya unsur-unsur UMNO yang tidak mampu menerima kekalahan dalam pilihanraya 1969 itu.

Tetapi menjelang pilihanraya akan datang, rata-rata rakyat sudah matang dan dapat menerima perubahan dengan bijaksana. Memainkan terus lagu 13 Mei bukanlah sesuatu yang menguntungkan UMNO dan BN.

Selain rata-rata pengundi muda adalah mereka yang lahir pasca 13 Mei, rakyat biasa pula tentunya tidak mahu lagi peristiwa itu berulang. Dengan beberapa peristiwa keganasan politik sebelum ini dan yang terbaru berlaku di Gombak, Selangor, penilaian rakyat tentang kemungkinan UMNO akan menggunakan sentimen menakut-nakutkan rakyat amatlah jelas.

Dengan melakukan kacau-ganggu terhadap program pihak lain dan kemudian tercetusnya huru-hara, UMNO seolah-olah ingin memberi isyarat bahawa kejadian yang lebih ganas akan berlaku jika mereka kalah pilihanraya nanti.

Bacaan politik UMNO ialah dengan demikian rakyat akan menjadi lebih takut, lantas tanpa teragak-agak terus mengekalkan kuasa dalam pelukan UMNO dan BN.

Tetapi adakah realitinya demikian?

Dengan lebih 40 paratus pengundi PRU 13 terdiri daripada pengundi muda yang merupakan generasi pasca 13 Mei dan sebahagian lagi adalah pasca merdeka, memainkan terus sentimen keganasan dan huru-hara mencerminkan UMNO tidak bergerak selati dengan kehendak rakyat yang mahukan pemimpin dan kerajaan lebih memikirkan masa depan daripada mendendangkan lagu masa lalu yang pahit untuk dikenang.

Bagi generasi yang terlibat dengan 13 Mei, pedihnya peristiwa itu mungkin masih terrasa tetapi bagi generasi selepasnya, apa yang diutamakan mereka ialah masa depan. Parti yang lebih menjanjikan masa depan lebih menarik perhatian dan menjadi pilihan mereka.

Setelah lebih 40 tahun peristiwa 13 Mei berlaku, tetapi UMNO masih memainkan sentimen itu untuk menang pilihanraya. Ini menunjukkan UMNO dan pemimpinnya masih mempunyai kematangan yang terhad dan seolah-olah tidak ada tawaran lain yang mampu dilakukan untuk memenangi pilihanraya.

Menyebut-nyebut selalu peristiwa 13 Mei sebenarnya hanya menjadikan rakyat terutama generasi muda semakin jauh dengan UMNO dan BN. Pengundi Cina dan bukan Melayu tentulah menjadi semakin menjauh lagi.

Ia juga mungkin merangsang rakyat untuk memberi kemenangan yang lebih besar kepada perubahan kerana jika perubahan itu terlalu besar, kemungkinan berlaku huru-hara dan keganasan dapat diminimakan. Keganasan hanya lebih mudah tercetus jika kedua-dua pihak mempunyai kekuatan seimbang dan kedudukan sama-sama kuat.

Semakin lama peristiwa 13 Mei berlalu, ia semakin ingin dilupakan oleh rakyat. Ia juga mulai menjadi senjata yang semakin tumpul jika mahu digunakan untuk menakut-nakutkan rakyat.

Semua rakyat ingin bergerak ke hadapan. Jika UMNO terus terkepung dengan nostalgia, mereka akhirnya pasti lemas dan tenggelam dengan gelombang kebangkitan rakyat. 


shahbudindotcom

Photobucket

Manusia merancang, Tuhan merancang tetapi ingatlah bahawa perancangan Tuhan sentiasa menang

on




Minggu-minggu kebelakangan ini kedudukan Najib terus dicalar dan dirobek oleh pelbagai pendedahan yang dilakukan oleh ahli perniagaan karpet, Deepak yang pernah mempunyai hubungan rapat dengan Rosmah Mansor dan juga bekas IGP, Musa Hassan.

Deepak yang kini sudah bertalak tiga dengan keluarga Najib mendedahkan pelbagai perkara termasuk dakwaan memberi sejumlah wang kepada Najib, bagaimana beliau dikhianati dan juga dakwaan bahawa isteri PM itu mengumpul projek berjumlah RM26 bilion sejak Najib mengambil alih kuasa pada 2009 lalu.

Walaupun Deepak dipercayai akan terus membuat pendedahan demi pendedahan mengenai Najib, Rosmah dan keluarga PM itu, sehingga ini pasangan Najib-Rosmah masih mengunci mulut dan enggan menjawab dakwaan yang ditimbulkan.

Ini sekaligus menjadikan sekali lagi persepsi rakyat memihak kepada Anwar dan PR serta menjadi mimpi yang amat buruk kepada Najib di ketika beliau sedang memikir-mikir tarikh yang sesuai untuk mengadakan pilihanraya umum ke 13.

Musa Hasan pula mula muncul menghangatkan atmosfera politik negara dengan pendedahan bahawa Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Tun Hussein sering canpurtangan dalam urusan dan mengetepikan kedudukannya sebagai IGP. Beliau mendakwa Hishammuddin sering memberi arahan langsung melalui pegawai polis junior dan ketua polis daerah.

Sehingga ini Musa Hassan menjadi individu yang sentiasa dinanti-nantikan oleh semua orang atas keyakinan behawa beliau akan mendedahkan lebih banyak lagi mengenai kepincangan dalam PDRM serta campurtangan orang politik dalam tugas seharian polis.

Tiada siapa menyangka Musa Hassan yang mula melonjak namanya selepas Anwar dipecat pada 1998 di mana beliau ketika itu diberi peranan mengetuai pasukan penyiasat dalam kes liwat yang membabitkan Anwar dan Azizan Abu Bakar, boleh melawan arus dengan kerajaan sekarang ini.

Walaupun Musa tidak secara terbuka menyokong Anwar dan PR tetapi pelbagai pendedahannya mengenai campurtangan orang politik dalam tugas polis, jelas menguntungkan perjalanan politik Anwar yang kini bersaing hebat dengan Najib untuk menguasai Putrajaya.

Lebih-lebih lagi serangan terbuka Musa kepada Hishammuddin adalah ibarat "pukul anak sindir menantu" kerana Hishammuddin adalah sepupu dan antara orang kepercayaan Najib.

Gambaran yang terbentang sekarang menunjukkan bahawa Musa tidak akan berhenti bercakap. Selepas Rais Yatim menjawab bagi pihak Hishammuddin mengenai peranan Menteri Dalam Negeri dalam urusan polis, Musa tidak menunggu lama untuk bingkas balik menangkis jawapan Rais itu.

Dalam masa yang sama, Musa juga bersetuju untuk menjadi ahli panel wacana politik semasa mengenai budaya politik samseng yang dianjurkan akhbar Sinar Harian pada Khamis, 6 Disember ini. Sudah tentu ada lagi lahar panas yang akan terus terpacul dari mulut beliau dalam wacana itu nanti.

Siapalah menyangka Musa Hasan boleh menjadi seperti sekarang ini. Daripada mengetuai pasukan penyiasat kes liwat Anwar, diberi peluang kenaikan pangkat sehingga menduduki kerusi IGP, menjadi pendokong kuat kerajaan beberapa lama dan menjadi musuh utama pembangkang selama ini, tiba-tiba boleh membuat pusingan 360 darjah.

Inilah yang selalu diperingatkan kepada kita dalam mengatur perjalanan hidup di dunia ini, "Manusia merancang, Tuhan merancang tetapi ingatlah bahawa perancangan Tuhan sentiasa menang"

Pendek kata, dengan Deepak dan Musa Hassan terus bersuara, mereka akan terus menyusahkan kedudukan Najib.

Jika Musa Hassan selama ini pendokong kuat kerajaan, Deepak pula adalah antara deretan kawan rapat dan kroni Najib dan Rosmah sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Beberapa nama yang lain turut menjadi sebutan umum yang diketahui sebagai mempunyai hubungan rapat dan memperolehi nikmat kekayaan melalui hubungan itu. Antaranya ialah bekas pelari pecut negara, Mumtaz Jaafar yang sebelum ini sering dilihat bersama dan mengiringi di mana saja Rosmah berada.

Keintiman dan tidak mahu berenggangnya dengan Rosmah menyebabkan kadangkala beliau digelar kembar siam kepada isteri Perdana Menteri. Dan manfaat yang diperolehi Mumtaz daripada hubungan yang rapat itu juga menjadi bualan umum dan diperkatakan di mana-mana.

Sebagaimana Deepak, difahamkan hubungan Mumtaz dengan Rosmah juga sudah berakhir. Mereka kini menjadi kembar siam yang sudah dipisahkan.

Apabila Deepak mula bersuara mendedahkan pelbagai kepincangan mengenai Najib dan Rosmah, khabar angin juga mulai bertiup di bursa politik Malaysia mengenai kedudukan Mumtaz. Jika selama ini beliau hanya diam dan memencilkan diri, mungkinkah beliau juga akan menuruti jejak langkah Deepak selepas ini?

Mumtaz yang diketahui umum mempunyai hubungan rapat dengan Rosmah dan keluarga Najib dalam tempoh beberapa tahun serta sering bersidai dan keluar masuk rumah Najib tentunya turut menjadi buruan media jika beliau beliau turut membuka mulut seperti Deepak dan Musa Hassan.

Tentunya bermacam-macam cerita yang menarik serta sensasi akan keluar dan terdedah dari mulutnya mengenai Najib dan Rosmah. Bak kata iklan Astro "macam-macam ada" dalam pengetahuan Mumtaz.


http://shahbudindotcom.blogspot.com/

Photobucket

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List