Kekalahan BN bukan perkara pelik

on Jun 22, 2012

 

Sesudah lima puluh empat tahun berkuasa dan bermaharajalela, UMNO Baru akan sampai ke penghujungnya dan sudah terlalu banyak dalil dan tanda-tanda yang menunjukkan ia akan berlaku. Tidak payah disebut dan diulangi kali ini kerana kenyataan itu sudah dirasai oleh ramai rakyat dan ia dirasakan di dalam naluri mereka yang memerhati keadaan ini.
Ia tidak usah disedihkan kerana ia perlu berlaku bagi menjauhkan negara daripada terjerumus ke lembah kerosakan kepada budaya politik negara kita yang kita sayangi ini. Parti Liberal Demokrat Jepun (LDP) telah tumbang setelah memerintah negara matahari terbit itu selama lima puluh tahun.
LDP merupakan parti yang telah berjasa kepada negara Jepun. LDPlah yang telah membangunkan Jepun dengan begitu pantas setelah negara itu mengalami kekalahan yang menghinakan dalam peperangan dunia ke-2 dahulu. Negara Jepun yang telah hancur lebur hasil dari ledakan bom atom di Hiroshima yang menjadi penyebab kepada kekalahan Jepun itu, telah dibangunkan kembali oleh LDP sehinggakan Jepun menjadi kuasa ekonomi yang besar di dunia ini.
Jasa LDP kepada negaranya begitu ‘quantifiable’ kerana dalam tempoh lima dekad dalam pentadbiran dan pemerintahan parti LDP itu, Jepun telah menebus kekalahan yang dialaminya yang begitu hina, menjadi sebuah negara yang tidak boleh ditinggalkan dalam segala urusan antarabangsa, khususnya dalam bidang ekonomi dan perdagangan antarabangsa. Keributan kecil di Jepun boleh menjejaskan keadaan ekonomi dan seterusnya politik dunia, lebih-lebih lagi rantau Asia ini.
Pemimpin LDP tahu dan faham apa yang mereka lakukan dan mereka tidak melakukan sesuatu tindakan itu berdasarkan kepada politik kepartian semata-mata. Jepun khususnya pimpinan LDP membangunkan negara bukan kerana diasaskan kepada kepentingan kepartian LDP semata-mata tetapi berdasarkan kepada matlamat yang ‘ultimate’ bagi rakyat dan negara iaitu untuk mencapai pembangunan negara (nation building) dalam erti kata yang sebenarnya.
Negara Jepun setelah mengalami kekalahan peperangan dunia kedua tidak menunggu lama untuk memperbaiki keruntuhan hasil dari peperangan itu. Jepun terus sahaja membangunkan industri negaranya dengan memilih ‘formula’ dan pendekatan yang radikal dan prakmatik.
Yang pertama dilakukan oleh Jepun ialah untuk membangunkan industri ‘precision’nya dengan disampingi oleh ‘R&D’ nya kerana mereka tahu yang cara untuk menyaingi pembangunan negara-negara lain yang sedang membangun dengan pesatnya ialah dengan mencapai ‘perfection’ yang tinggi. Jepun tahu yang cara untuk mencapai ‘competitiveness’ yang tinggi ialah untuk membina industri kepada produk-produk yang mampu di‘export’ dan mudah diterima oleh pasaran antarabangsa.
Jepun di bawah pimpinan LDP sedar bahawa negara itu tidak mempunyai kekuatan ‘export’ untuk apa-apa komoditi kerana Jepun merupakan negara secara ‘geographic’nya merupakan negara yang tidak mempunyai keluasan untuk kediaman yang besar. Jepun hanya  mempunyai satu pertiga  kawasan negaranya yang boleh didiami oleh manusia dan negara itu tidak  mempunyai hasil bumi yang besar seperti di negara kita ini.
Mahu tidak mahu Jepun terpaksa menumpukan usahanya untuk pembangunan industri sahaja semasa itu. Pembangunan industri ‘precision’ itu telah membantu pembangunan industri yang lain kerana kos pengeluaran barangannya menjadi rendah kerana kos yang dibelanjakan terhadap ‘capital goods’ dalam sesuatu  pengeluaran itu menjadi rendah. Ini ialah kerana mesin-mesin untuk mengilang itu dikeluarkan oleh negara Jepun sendiri hasil dari ‘R&D’nya yang berjaya itu.
Di sebaliknya, di negara kita sampai ke hari ini kita belum pun lagi mempunyai industri Malaysia itu sendiri. Malaysia belum lagi mempunyai barangan industri kita sendiri untuk di‘export’ atau menjadi kegunaan masyarakat antarabangsa. Kesemua industri yang ada di negara kita hanyalah merupakan industri ‘footloose’ yang boleh dipindah dan dianjak kemana-mana oleh pengilang-pengilang antarabangsa yang ada disini.
Malahan banyak di antara kilang-kilang gergasi kepunyaan negara lain yang beroperasi di negara kita telah memindahkan operasinya di negara-negara jiran kita seperti Thailand dan Vietnam.
Begitulah besarnya jasa LDP kepada negara Jepun tetapi setelah memerintah selama lima dekad rakyat menolak parti itu kerana kepentingan negara dan rakyat. LDP telah melakukan kesilapan demi kesilapan kerana mereka (LDP) telah mengambil segala-galanya ‘for granted’ kerana telah terlalu biasa dengan kuasa yang rakyat mandatkan.
Rakyatnya mementingkan kepentingan negara sebagai perkara yang utama. LDP sudah mula diselaputi oleh kegiatan rasuah dan salahguna kuasa dan kadar rasuahnya tidaklah sebesar apa yang berlaku di negara kita. Itu pun rakyat Jepun menolaknya setelah berjasa kepada Jepun selama lima puluh tahun.
Itulah sebabnya jika UMNO Baru mengungkit-ngungkit apa yang mereka telah lakukan terhadap rakyat dan meminta rakyat mengenang jasanya untuk meneruskan kuasa itu, ia merupakan satu penganiayaan kepada negara sendiri. UMNO Baru mahukan rakyat mengenagkan jasa-jasa lama dan melupakan sahaja isu rasuah yang berluas-luasa yang mereka lakukan. Bagi UMNO Baru ‘aku boleh rasuah kerana aku telah lama berjasa’ itu merupakan budaya dan pemikiran yang amat hina terhadap rakyat.
UMNO Baru telah mengungkit sampai ke perkara yang kecil dan di kampung saya suatu ketika dahulu pemimpin UMNO Baru mengungkitkan bantuan gigi palsu sebagai cara untuk menyambung sokongan terhadap mereka (UMNO) Baru.
Kita perlu mengambil contoh yang baik seperti contoh yang dilakukan oleh rakyat Jepun. Mereka (rakyat Jepun) mengutamakan nasib dan masa depan negara. Mereka tidak termakan dengan cerita jasa lama dan membiarkan negara mereka dipunah-ranahkan oleh pemimpin-pemimpi parti yang telah berjasa lebih besar kepada rakyatnya dari jasa UMNO Baru kepada rakyat Malaysia.
Kita juga elok mengkaji apa yang berlaku kepada Parti Kongress India yang telah ditumbangkan oleh rakyat negara India setelah hampir lima dekad berjasa kepada negara demokrasi terbesar di Asia itu. Semuanya mengambil giliran untuk turun apabila masanya tiba.
Begitu juga Parti Golka dari Indonesia. Ini semuanya merupakan contoh-contoh yang hampir dengan kita yang sejarahnya masih baru dan muda. Kita  tidak payah membaca tentang sejarah lama seperti kejatuhan Empire Roman dan sebagainya.
Apa yang berlaku di sekeliling kita sudah memadai untuk dijadikan contoh dan teladan.

ASPAN ALIAS

 

Impian Musnah

on

 

 IMPIAN MUSNAH! Barangkali itulah perkataan yang paling sesuai ditujukan kepada sebahagian besar rakyat Malaysia yang masih menaruh harapan untuk melihat debat terbuka antara Najib Tun Razak dan Anwar Ibrahim menjadi kenyataan. Hakikatnya, debat itu tidak akan menjadi realiti sama-sekali.

Tidak setakat itu saja, malahan debat-debat lain yang melibatkan pemimpin UMNO juga tidak akan muncul lagi selepas ini.

Debat yang berlangsung pada 19 Julai lalu antara Ahli MT UMNO, Saifuddin Abdullah dengan Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub juga adalah merupakan debat terakhir yang melibatkan pemimpin UMNO, sekurang-kurangnya di era UMNO berpresidenkan Najib.

Selepas ini, pemimpin UMNO dilarang sama-sekali berdebat dengan pemimpin pembangkang.

Ini berikutan UMNO difahamkan telah mengambil langkah mengharamkan para pemimpinnya daripada berdebat dengan para pemimpin pembangkang atas apa juga isu atau topik.

Sebelum Saifuddin berdebat dengan Salahuddin atas tajuk demonstrasi jalanan, Khairy Jamaluddin, Ketua Pemuda UMNO juga telah berdebat dengan Pengerusi Bersama Bersih, S Ambiga dan Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli berkenaan tajuk piliharaya yang bersih dan tabung pendidikan TPTN.

Khairy dan Rafizi juga pernah berdebat di London di hadapan pelajar-pelajar Malaysia di sana.

Langkah terbaru mengharamkan debat kepada pemimpin UMNO ini dipercayai atas inisiatif Menteri Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Rais Yatim berikutan respon daripada sebahagian pimpinan UMNO yang melihat debat yang telah berlangsung itu lebih banyak memberi kesan buruk kepada UMNO, lebih-lebih lagi kerana ianya disiarkan secara langsung melalui tv.

Ini berikutan ia dilihat telah memberi ruang kepada pihak pembangkang untuk berkempen dan membangkitkan pelbagai perkara mengenai UMNO dan kerajaan serta ditonton oleh jutaan orang.

Bagi UMNO pula, debat itu tidak memberi kesan yang banyak kepada rakyat kerana tanpa debat pun mereka masih boleh menyampaikan pelbagai perkara berikutaan penguasaan yang meluas terhadap media cetak dan elektronik.

Lebih dari itu, oleh kerana Najib sendiri kelihatan tidak berani berdebat walaupun berkali-kali dicabar oleh Anwar, sudah tentu langkah membiarkan pemimpin lain pula berdebat bagaikan suatu penghinaan dan perlekehan kepada Najib.

Atas asas-asas tersebutlah debat yang melibatkan pemimpin UMNO dengan pihak pembangkang dicadangkan untuk diharamkan.

Dalam hubungan ini, Rais difahamkan telah memaklumkan secara lisan kepada KJ dan Saifuddin, dua pemimpin UMNO yang masih ghairah dengan idea debat, agar tidak lagi menyahut atau terlibat dengan mana-mana debat dengan pembangkang selepas ini.

Dijangkakan Rais Yatim sendiri akan membentangkan langkah megharamkan debat ini dalam Mesyuarat MT UMNO yang akan diadakan pada Jumaat, 22 Jun ini agar ia menjadi peraturan rasmi yang mesti dipatuhi oleh semua pemimpin UMNO.

Langkah ke belakang yang dibawa Rais ini, walaupun mungkin mendapat sokongan ahli-ahli MT UMNO tetapi ianya pasti memberi kesan kepada undi yang bakal diperolehi oleh UMNO dan BN, khususnya daripada pengundi muda dalam pilihanraya umum akan datang ini.

Bagi generasi muda, langkah mengharamkan debat adalah bertentangan dengan prinsip kebebasan bersuara, keterbukaan, keberanian berhujah serta kepintaran bermain dengan hujah dan kata-kata dalam mempertahankan idealisme perjuangan.

Lebih dari itu, dalam usaha Malaysia menuju negara maju juga, langkah UMNO mengharamkan debat ini langsung tidak seiring dengan perjalanan sebuah negara yang sedang menuju kemajuan dan kematangan sebagaimana yang telah terpamer dalam budaya sebahagian besar negara-negara maju yang menghalalkan debat terbuka diadakan.

Di Amerika dan Britain misalnya, debat dalam pemilihan pucuk pimpinan kedua negara itu sudah menjadi budaya yang bukan saja ditunggu-tunggu oleh rakyatnya sebelum mereka membuang undi malahan menjadi perhatian seluruh dunia.

 http://shahbudindotcom.blogspot.com/

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List