Pertemuan Sulit........??? Apa Cerita Nya......???

on Jan 4, 2011




Dalam pertemuan dengan pemimpin2 PAS, aku selalu di'assured'kan bahawa cakap2 mengenai UG ni adalah merupakan satu sejarah.

"Tak payah bincang lagi! Sudah tutup buku." Kata salah seorang dari mereka.

TGHApun dalam beberapa kenyataannya telah memastikan isu perpaduan ini adalah kisah zaman Pak Lah jadi PM.

TGNA apatah lagi. Sering kali beliau merujuk kepada keputusan beberapa Muktamar parti yang memutuskan untuk tidak berkerjasama dengan UMNO.

Tup tup cerita ni muncul lagi.

Khabarnya kali ini adalah inisiatif Pak Lah. Aku ingatkan dia tidur kat Sg. Pencala...he he!!

Namun apa jua bendanya, aku cuma mahu bersangka baik. Mungkin pemimpin PAS hadir pada majlis itu atas tanggungjawab mereka untuk memenuhi jemputan DYMM Yang DiPertuan Agong untuk bersantapan dengan baginda pada hari itu.

Atas dasar itu aku tak ada masalah. 

Cumanya kalau timbul isu UG lagi dan ianya atas inisiatif belah kita, aku rasa letih sangat. Lebih2 lagilah Konvensyen PR baru saja berlangsung tak berapa hari.

Wallahu'alam.

Hadi temu Nik Aziz selesai ‘isu’ pertemuan UG 24 Dis
Oleh Adib Zalkapli dan G. ManimaranJanuary 04, 2011

Gambar fail Datuk Seri Abdul Hadi AwangKUALA LUMPUR, 4 Jan — Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan setiausaha agungnya Datuk Mustafa Ali akan mengadakan pertemuan dengan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini berhubung isu perbincangan kerjasama kerajaan perpaduan atau yang lebih dikenali sebagai “UG” dengan pemimpin-pemimpin Umno akhir bulan lalu.

Pertemuan itu dikatakan telah diusahakan oleh bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

The Malaysian Insider difahamkan pertemuan enam mata hari ini dipanggil ekoran siri pertanyan dan kemusykilan ekoran laporan bahawa pertemuan sulit telah diadakan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 24 Disember lalu di Istana Terengganu di sini.

Difahamkan Hadi dan timbalannya Nasharudin Mat Isa juga hadir sama pada pertemuan tersebut yang memfokus perundingan menyentuh soal kerajaan perpaduan sempena majlis santapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Hadi dan Nasharudin dikatakan sebagai pihak utama kumpulan pro-Umno dalam parti Islam berusia enam dekad itu.

“Mereka (Nik Aziz, Hadi dan Mustafa) akan menangani kontroversi yang sudah tercetus ekoran pertemuan dan perundingan ke arah kerjasama kerajaan perpaduan sebelum Tuan Guru Nik Aziz secara rasmi memberikan penjelasan bagi pihak parti,” kata seorang pemimimpin parti itu.

The Malaysian Insider difahamkan ibu pejabat PAS akan mengeluarkan kenyataan rasmi hari ini ataupun esok.

Semalam, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan mengakui pertemuan seumpama itu diadakan di ibu negara.

Bagaimanapun, Nik Aziz enggan mendedahkan hasil pertemuan itu demi menjaga peraturan yang sepatutnya diikuti setiap pemimpin yang hadir.

Ketika ditanya adakah sebarang perkara dibincangkan antara pemimpin tertinggi negara itu, Nik Aziz turut mengakui ada.

“Tentu ada perkara yang dibincangkan, mana boleh bertemu dengan Perdana Menteri untuk bersembang biasa,” kata beliau.

“Saya tidak boleh sebut (isi perbincangan) kerana ia didakan secara tertutup, kita perlu jaga peraturan jumpa orang besar, macam mana saya nak ulas,” katanya di Kota Baru semalam.

Pertemuan ketiga-tiga pemimpin itu akan diadakan di Kota Baru.

Laporan pagi semalam The Malaysian Insider menyebut, pemimpin-pemimpin PAS kini berhadapan dengan satu lagi ‘perbalahan’ ekoran khabar angin bahawa kepimpinan tertinggi parti itu mengadakan pertemuan dengan rakan mereka dari Umno di ibu negara baru-baru ini.

Khabar angin ini muncul hanya tinggal enam bulan sebelum PAS dijadual mengadakan pemilihan dwitahunannya.

Malah dakwaan ini mengulangi ‘krisis’ yang pernah disaksikan pada 2008 dan 2009.

Kedua-dua Najib dan Muhyiddin berulang kali pernah melahirkan hasrat dan kesediaan untuk mengadakan perbincangan dengan Nik Aziz dan pemimpin-pemimpin kanan PAS sejak dua tahun lalu.

Sumber-sumber yang rapat dengan usaha terbaru itu untuk membawa ke pangkuan Barisan Nasional (BN) mendedahkan bahawa kedua-dua Hadi dan Nasharudin akan diberikan peranan penting di Putrajaya jika parti berkenaan memutuskan untuk keluar Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun Nik Aziz terus bertegas menolak kerjasama sedemikian berdasarkan pengalaman masa lalu di bawah BN.

Sehubungan itu, The Malaysian Insider difahamkan majoriti anggota jawatankuasa kerja pusat PAS masih kabur mengenai pertemuan sulit itu dengan ada yang menyifatkan langkah sedemikian akan membawa malapetaka kepada parti itu memandangkan ia diadakan kira-kira seminggu selepas konvensyen kedua Pakatan Rakyat yang diadakan di Kepala Batas, Pulau Pinang.

Abdullah merupakan Ahli Parlimen Kepala Batas.

“Saya ada mendengar mengenainya tetapi tiada pihak yang menawarkan penjelasan rasmi (sehingga sekarang). Saya merasakan ia satu langkah gila memandangkan pilihan raya umum akan diadakan tidak lama lagi.

“Sukar bagi kami untuk membetulkan kerosakan (politik) yang wujud sekarang,” kata pemimpin itu yang tidak mahu namanya didedahkan.

Seorang lagi pemimpin PAS menggambarkan tindakan mengadakan pertemuan pemimpin-pemimpin Umno sebagai satu pelanggaran resolusi mahu kekal dalam kerjasama Pakatan Rakyat.

“Pada tiga muktamar yang lalu kami telah memutuskan bahawa parti harus kekal dalam Pakatan Rakyat dan bekerja ke arah usaha mengambil alih peranan Umno,” kata seorang pemimpin Biro Politik PAS.

“Pertemuan itu tindakan melanggar disiplin dan mengkhianati (keputusan parti),” katanya.

Dalam pada itu, bekas setiausaha agung PAS Datuk Kamaruddin Jaafar mahu kepimpinan PAS mengeluarkan penegasan mereka mengenai pertemuan 24 Disember.

“Sebagaimana dikatakan oleh Datuk Nik Aziz, mesti ada perkara yang telah dibincangkan. Ahli-ahli ingin tahu apa yang dibincangkan dalam pertemuan ini, yang bukan sahaja dihadiri oleh pemimpin-pemimpin PAS, tetapi juga Umno, lebih daripada seorang pemimpin, malah ada yang mengatakan kehadiran Yang di-Pertuan Agong.

“Maka perlu ada satu penjelasan, saya rasa bukan sahaja di pihak PAS, malah Umno juga,” kata Ahli Parlimen Tumpat ini.

Kamaruddin juga tidak menolak isu itu mendapat perhatian ahli-ahli Pakatan Rakyat memandangkan ia diadakan kira-kira seminggu selepas konvensyen kedua mereka di Pulau Pinang.

“Ketika konvensyen Pakatan Rakyat, kesemua pemimpin melahirkan pendirian mereka untuk bersatu dan memperkukuhkan Pakatan Rakyat, tetapi tiba-tiba isu ini mendapat perhatian... jika dua hari lalu cuma orang cakap-cakap sahaja, tetapi sekarang Datuk Nik Aziz sudah mengesahkannya,” kata beliau yang turut merujuk kepada penerimaan Buku Jingga yang menjanjikan Program 100 Hari, yang menurutnya adalah usaha manifesto Pakatan Rakyat menjelang pilihan raya umum ke-13.

“Tetapi sekarang ada perkembangan pertemuan ini, jadi ahli-ahli Pakatan Rakyat juga memerlukan penjelasan,” katanya.

Soal kerjasama politik dengan Umno menjadi isu kempen utama dalam pemilihan PAS 2009 ekoran pendedahan bahawa Nasharudin dan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali mengadakan pertemuan dengan Abdullah dan bekas menteri besar Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo selepas pilihan raya umum 2008 bagi menerokai kemungkinan usaha membentuk kerajaan perpaduan di negeri itu.

Usaha sedemikian juga dikatakan diadakan di Perak.

Pemimpin-pemimpin yang memihak kepada Nik Aziz kemudian menuduh Nasharudin berkonspirasi untuk membawa keluar PAS dari Pakatan Rakyat, tetapi timbalan presiden itu berjaya mempertahankan jawatannya dalam saingan tiga penjuru.

PAS memiliki 23 kerusi Parlimen dalam perikatan Pakatan Rakyat dan dua pemimpinnya menerajui pentadbiran kerajaan negeri Kelantan dan Kedah. Kepimpinan negeri Pulau Pinang dan Selangor pula diketuai wakil DAP dan Parti Keadilan Rakyat.

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List