Showing posts with label Lelaki. Show all posts
Showing posts with label Lelaki. Show all posts

Dua lelaki “pembuat senapang” ditahan

on Sep 29, 2010

KUALA PILAH – Dua lelaki bersaudara pakar membuat senapang dan seorang pelanggan mereka ditahan oleh polis dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Sungkak kira-kira pada pukul 2 pagi semalam.
Enam pucuk senapang yang dirampas oleh polis itu diledakkan oleh letusan angin dan menggunakan bebola besi sebagai peluru.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Supt. Jaafar Baba berkata, pada awalnya polis menyerbu mereka disebabkan terdapat maklumat tentang dadah dan ketika dikepung, suspek berada dalam keadaan khayal dan mereka turut menjumpai dua bungkus dadah jenis syabu.
"Suspek berusia 37 dan 28 tahun. Suspek membuat senapang angin itu dengan bahan terpakai dan menjual senjata itu dengan harga RM300 selaras,” katanya kepada pemberita di pejabatnya hari ini.
Selepas disoal siasat, polis menahan seorang lagi lelaki berusia 33 tahun dari Kampung Sungai Dua Kecil pada pukul 4.30 petang hari yang sama yang dipercayai telah membeli senapang itu daripada mereka, katanya.
Mereka semua akan didakwa di bawah Seksyen 36 (1) Akta Senjata Api 1960 di mana jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih setahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-dua sekali. – Bernama

Suami mithali.....???

on Sep 24, 2010


KUANTAN - “Beginilah keadaan isteri saya sejak sembilan tahun yang lalu, tidak bergerak-gerak malah langsung tidak berikan tindak balas,” kata bekas tentera, Salleh Daud, 54, suami kepada Rusminah Mahusin, 50, yang masih tidak sedarkan diri selepas menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) membuang ketumbuhan dalam otak pada 14 Disember 2001. 

Salleh berkata, ketika kejadian, bahagian kiri badan isterinya lumpuh manakala bahagian kanan masih boleh bergerak sebelum Rusminah dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk menerima rawatan. 

Bagaimanapun, Rusminah kemudian terpaksa dipindahkan ke HKL untuk pemeriksaan lanjut sebelum doktor mengesan terdapat ketumbuhan dalam otak sebesar dua sentimeter menyebabkannya terpaksa menjalani pembedahan. 

Menceritakan semula, Salleh berkata, selepas selesai menjalani pembedahan, keadaan isterinya tidak ubah seperti `mayat hidup’ apabila masih tidak sedarkan diri serta mampu bergerak dengan bebas. 

Menurutnya, berikutan itu, dia terpaksa bekerja lebih gigih demi menyara kos kehidupan isterinya yang memerlukan lampin pakai buang setiap bulan, susu selain menanggung anak bongsunya, Mohd Farish Aiman, 10. 

Salleh yang berasal dari Kelantan dan tinggal di Felda Panching Utara, di sini, berkata, waktu siang dia terpaksa bergelar `ibu’ untuk menyiapkan Mohd Farish ke sekolah manakala waktu malam dia bertugas pula di Sekolah Integrasi Indera Mahkota di sini sebagai pengawal keselamatan. 

”Begitulah kehidupan saya selama sembilan tahun untuk menguruskan rumah tangga tetapi saya tidak pernah merungut kerana saya sayangkan keluarga biarpun terpaksa menempuh kehidupan yang amat menyeksakan. 

”Sudah berpuluh-puluh khidmat pengamal perubatan tradisional digunakan demi memulihkan keadaan isteri tersayang namun sehingga kini masih gagal,” katanya. 

Perkahwinan Salleh dan Rusminah yang hampir mencecah 23 tahun dikurniakan empat cahaya mata yang berumur antara 10 hingga 21 tahun dan kesemua mereka masih belajar lagi. 

Salleh yang pernah berkhidmat dengan Tentera Darat Malaysia, berkata Rusminah mendapat bantuan RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tetapi wang itu digunakan untuk membeli lampin pakai buang serta empat tin susu dalam tempoh sebulan. 

”Saya reda dan akan setia menjaga isteri sampai akhir hayat. Saya terlalu sayangkannya kerana dia (isteri) seorang yang baik serta bertanggungjawab dalam hal menguruskan rumah tangga dan anak-anak sepanjang dia sihat,walau apa pun terjadi kepadanya selepas ini saya pasrah,” katanya.

Polis rekod kenyataan Namewee

on Sep 1, 2010

Polis hari ini merekodkan kenyataan penyanyi rap dan pengarah filem Wee Meng Chee berhubung video kontroversi terbarunya berjudul 'Nah'.

Tiba di balai polis Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur kira-kira 9.15 malam tadi, beliau - yang lebih dikenali sebagai 'Namewee' - memberikan sidang media ringkas sebelum masuk ke balai berkenaan.

Merujuk kepada kematian Teoh Beng Hock selepas disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Namewee secara nakal memberitahu pemberita beliau tidak pernah bermaksud untuk membunuh diri sendiri.

"Saya masih waras, tiada kerosakan dan saya tidak akan bunuh diri," katanya yang ditemani peguam Ravin Singh.

Namewee juga berkata beliau percaya tidak membuat sebarang kesalahan.



Sumber:- Malaysiakini

30 TIPS MENJADI SUAMI MITHALI IDAMAN ISTERI.

on Aug 30, 2010

Berikut adalah petua bagaimana hendak memenuhi aspirasi berkenaan dan
anda mungkin mampu memenuhinya jika piawaian yang anda ada menepati
apa yang dicari golongan hawa.



1. Pasang niat dan berdoa untuk menjadi suami terbaik. Tanpa berniat
dan berdoa anda tidak mungkin jadi suami yang cemerlang. Ramai suami
terlupa mengenai hal ini.

2. Jika sudah mendirikan rumah tangga, bersyukur kerana mempunyai
pasangan. Yakinlah isteri anda pasangan terbaik yang Tuhan tentukan
untuk anda. Ketentuan Tuhan adalah yang terbaik.

3. Suami ‘mithali’ menjadi kebanggaan isteri. Pastikan anda membentuk
sifat positif dan istimewa.. Cuba tanya diri apakah sifat atau amalan
yang boleh dibanggakan isteri anda.

4. Pastikan anda ada masa untuk berbual dengan isteri setiap hari.
Semua isteri bahagia apabila dapat berbual dengan suami. Berapa minit
yang anda luangkan untuk berbual dengan isteri setiap hari?

5. Setiap hari pulang dengan senyum dan bersemangat. Apabila suami
tersenyum, isteri dan anak-anak akan bahagia dan rahmat Tuhan akan
turun. Senyumlah apabila sampai ke rumah.

6. Pastikan anda bergurau senda dengan isteri di dalam kenderaan
semasa dalam perjalanan ke tempat kerja ataupun ke mana sahaja. Ramai
suami membazir masa dengan membisu semasa di dalam kenderaan.

7. Telefon isteri ataupun hantar SMS sekadar untuk menyatakan yang
anda sayang ataupun rindu pada isteri. Isteri anda akan berasa seronok
dan bahagia apabila mendapat panggilan ataupun mesej tersebut.

8. Hiburkan hati isteri anda dengan bercerita, buat lawak atau gurauan
yang mesra. Setiap gurauan mengubat hati isteri dan mengeratkan
hubungan suami isteri.

9. Amalkan makan bersama setiap hari. Berbual mesra dan nasihat
menasihati semasa makan. Amalan ini akan menarik hidayat Tuhan dan
mengeratkan hubungan. Elakkan berbual perkara yang melalaikan semasa
makan.

10. Ajak isteri mandi bersama sekali sekala. Bergurau senda semasa
mandi bersama adalah sunnah yang dapat mengeratkan hubungan suami
isteri.

11. Bantu isteri melakukan kerja rumah. Ini adalah sunnah yang dapat
meringankan beban isteri, mengeratkan kasih sayang dan membahagiakan
pasangan anda.

12. Amalkan mesyuarat keluarga sekerap mungkin. Amalan bermesyuarat
menarik hidayat Tuhan, mengeratkan hubungan dan menyelesaikan banyak
masalah.

13. Pastikan penampilan anda anggun, kemas, bersih, wangi, sihat dan
ceria. Ramai suami inginkan isteri yang mengancam, tetapi mengabaikan
penampilan diri sendiri. Mana adil ?

14. Didik isteri dengan memberi nasihat dan peringatan secara hikmah.
Jadikan tindakan dan amalan anda sebagai contoh teladan yang
cemerlang. Elakan cakap tak serupa bikin.

15. Berikan nafkah kepada isteri mengikut keperluan keluarga dan
kemampuan suami. Ramai suami mengabaikan nafkah kerana isteri bekerja.
Ramai suami yang kedekut dan berkira. Ini menyebabkan isteri derita
dan rumah tangga terancam.

16. Jadikan penawar hati kepada isteri. Ambil berat keperluan,
kemahuan dan peka kepada emosi dan situasi isteri. Isteri yang bahagia
membentuk keluarga sejahtera.

17. Sentiasa taat kepada semua perintah Tuhan dan memastikan keluarga
juga patuh kepada Tuhan.

18. Suami mithali sentiasa menyimpan rahsia isteri. Ramai suami secara
sengaja ataupun tidak sengaja menceritakan keburukan isteri kepada
orang lain. Ini wajib dihentikan.

19. Muliakan keluarga isteri seperti keluarga sendiri. Ada suami yang
membeza-bezakan antara keluarganya dan keluarga isteri. Ada suami
memusuhi keluarga isteri. Anda bagaimana?

20. Bentuk sifat cemburu yang positif. Cemburu tanda beriman, sayang
dan endah. Suami yang tidak cemburu adalah dayus. Isteri amat suka
apabila suaminya ada sifat cemburu. Dia rasa dihargai.

21. Jadilah suami yang pemaaf. Syurga isteri di bawah tapak kaki
suami. Maafkanlah isteri setiap malam sebelum tidur supaya rumah
tangga bahagia dan isteri mudah masuk syurga.

22. Tegur kesilapan isteri dengan hikmah dan kasih sayang. Isteri
merajuk bukan sebab ditegur tetapi cara ditegur yang kasar. Apabila
suami kasar, isteri jadi takut, bingung, hiba dan memberontak.

23. Gunakan Nabi Muhammad s.a.w sebagai ‘role model’. Hidupkan amalan
sunnah dalam rumah tangga. Sebut nama rasul apabila mendidik dan
menasihati keluarga bagi mendapat hikmah.

24. Mendahulukan keperluan isteri daripada orang lain.. Ini adalah
tertib memberi khidmat. Ramai suami yang melebihkan orang lain
daripada isterinya. Elakan kesilapan ini.

25. Suruh isteri dirikan sembahyang dan ibadah lain. Apabila
berjauhan, telefon atau SMS bagi mengingatkan sembahyang. Wasiatkan
isteri untuk sembahyang fardu dan sunat. Buat pesanan ini sehingga
suami meninggal dunia.

26. Cintai isteri sepenuh hati. Cintai tanpa syarat, bertambah
mengikut usia, penuh kemaafan, memberi tenaga, tidak pernah sengsara
serta berteraskan iman dan takwa.

27. Sentiasa berubah secara positif. Sebelum cuba ubah isteri dan
keluarga, ubah diri dulu. Apabila suami berubah, keluarga akan turut
berubah. Apabila suami cemerlang, isteri akan gemilang.

28. Pamer keprihatinan yang tinggi terhadap keluarga. Ramai suami
tidak ambil kisah dengan keluarga mereka.Cuba tanya apa lagi khidmat
tambahan yang patut diberikan kepada keluarga.

29. Pamer kematangan yang tinggi. Orang yang matang tenang, sabar,
waras, bijaksana, dapat membuat keputusan dan cekap menyelesaikan
masalah.

30. Memuliakan semua perempuan bukan sekadar isterinya. Ramai lelaki
cuba hormat wanita tertentu sahaja. Ramai isteri yang kecewa terhadap
suami yang menghina atau tidak hormat sebarang wanita termasuk
pembantu rumah.

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List