Peguam gagal hadir punca Felda tewas...... Betul ker tu...!!!!!!!

on Aug 27, 2010

Kegagalan peguam Felda untuk hadir ke Mahkamah Persekutuan menjadi penyebab organisai itu tewas dalam kes tuntutan 354 orang peneroka Felda Kemahang 3 hari ini, kata Pengerusi Felda Tan Sri Dr Yusof Noor. 

Beliau berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan ini bukan disebabkan wujudnya penipuan, konspirasi dan sebagainya seperti yang dinyatakan oleh sesetengah pihak. 

"Kegagalan kes ini sebenarnya disebabkan oleh peguam yang dilantik oleh Felda gagal hadir semasa perbicaraan kes tersebut di Mahkamah Tinggi Kota Bharu," katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini. 

Oleh yang demikian, Felda tidak dapat membela tuntutan yang dikemukakan oleh kumpulan peneroka itu sebagaimana sepatutnya dalam mana-mana tindakan sivil. 

Felda sedang mengkaji dan meneliti tindakan yang boleh diambil terhadap firma guaman terbabit kerana menjadi punca utama kekalahan kes ini, katanya. 

Beliau berkata, berikutan keputusan itu, Felda telah mengarahkan peguamnya untuk melepaskan jumlah wang penghakiman bertarikh 13 Januari 2008 yang mana telah didepositkan ke dalam akaun bersama kedua-dua peguam dalam tempoh terdekat ini.

Wang penghakiman berjumlah RM11 juta itu akan dilepaskan kepada peguam peneroka untuk membolehkan mereka mengagih-agihkan wang tersebut kepada kumpulan peneroka berkenaan. 

Kenyataan Bekas KP BPR Buktikan SPRM Tidak Bebas

on

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mengucapkan terima kasih kepada bekas bekas Ketua Pengarah Biro Pencegahan Rasuah-BPR (kini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia-SPRM), Datuk Shafee Yahaya kerana mendedahkan kepada rakyat bahawa badan itu sebenarnya bukanlah sebuah badan bebas.

Dalam kenyataannya bersama Malaysiakini, beliau menyebut “Untuk mengatakan perkhidmatan awam atau ahli politik korup sepenuhnya, adalah tidak benar kerana, kadang-kadang, ia merupakan gabungan antara kedua-duanya.

Kadang-kadang, ahli politik yang korup, dan tekanan untuk kakitangan awam bersubahat atau melihat cara lain dan pada masa yang sama, mendapat imbuhan bagi diri mereka.”

Dalam temubual itu juga beliau menyatakan bahawa terdapat halangan-halangan untuk menangkap perasuah ini khususnya kalangan ahli politik yang menguasai Kerajaan (Menteri).

Tidak hairanlah, jika dilihat senarai mereka yang didakwa itu tidak ada Menteri-menteri pun. Walaupun Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan mengakui 41 peratus daripada mereka yang didakwa atas tuduhan rasuah adalah kakitangan awam tapi mereka bukanlah Menteri.

Kakitangan awam ini seperti yang dinyatakan oleh Shafee, telah menjadi korban kepada orang-orang Politik ini yang mengambil kesempatan ke atas mereka.

Dalam kes AP yang melibatkan Rafidah Aziz, walaupun banyak laporan dibuat, akhirnya yang ditangkap hanyalah kerani cabuk. Dalam kes kehilangan enjin kapal terbang, Sarjan pula yang kena.

Menteri-menteri dan timbalannya yang juga ahli politik ini mempunyai kroni yang telah beri banyak sumbangan pada mereka masa Pilihanraya. Bila mereka dilantik, mereka kena bagi projek pada kroni. Mereka tidak akan keluar surat arahan kerana mereka tahu itu boleh jadi bahan bukti SPRM.

Jadi mereka hanya keluarkan arahan lisan atau nota arahan mengunakan Setiausaha sulit mereka untuk dilaksanakan oleh Pengarah atau Ketua Setiausaha Kementerian atau kakitangan lain.

Kakitangan Kerajaan inilah yang keluarkan surat kelulusan rasmi dengan slogan “Saya yang menurut perintah” tanpa berfikir panjang atau mahu menegur Menteri kerana takut dimaki atau ditukar ke jabatan lain.

Akhirnya, bila perkara ini bocor pegawai Kerajaan biasa ditahan tapi Menteri itu lepas. Pendedahan Shafee ini baru sedikit, DPPWP yakin lebih banyak kisah kecurangan pemimpin BN yang jadi menteri kerana bilangan orang politik yang rasuah yang dilaporkan begitu sedikit berbanding dengan apa yang beliau gambarkan.

DPPWP melihat SPRM tidak mempunyai kuasa yang cukup bebas kerana Ketua Pengarahnya dilantik dan dibayar gaji oleh Kerajaan dimana yang mengetuai Kerajaan adalah orang-orang Politik yang Korup ini.

Jadi tidak hairanlah jika hingga ke hari ini SPRM masih menyimpan fail-fail laporan ke atas Mahathir, Pak Lah, Najib, Rafidah, Samy Vellu dan ramai pemimpin BN tanpa berbuat apa-apa.

Yang didedahkan hanya pemimpin dari MCA. Nampak seperti ada sesuatu yang tidak kena kerana pemimpin Umno yang lebih banyak dilaporkan tidak disiasat.

DPPWP berharap agar Pengerusi SPRM berani untuk mengheret orang-orang politik ini termasuk Perdana Menteri. Setiap laporan haruslah disiasat segera dan didedahkan statusnya pada rakyat.

Herman Samsudeen
Pemangku Ketua
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

Program Lawatan Dato' Seri Anwar Ibrahim Ke Sarawak

on Aug 26, 2010

31 Ogos – 01 September 2010 (Selasa dan Rabu)
31 OGOS 2010 (Selasa) – Lawatan ke Limbang / Lawas
11.30 am – Perjumpaan dengan masyarakat N68 Bukit Kota di Pekan Limbang
2.00 pm – Perjumpaan dengan masyarakat N70 Bakelalan di Lun Bawang
3.30 pm – Perjumpaan dengan masyarakat Lawas sempena perasmian

Pejabat Khidmat P222 Lawas, N71 Bukit Sari

6.32 pm – Berbuka puasa di Restoran Musbee bersama
Jawatan Kuasa Pakatan Rakyat Limbang / Lawas
7.42 pm – Solat Isya’ dan Tarawikh
di Masjid Bahagian Limbang
01 Sept. 2010 (Rabu) – Lawatan ke Kucing
02.00pm Perjumpaan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dengan
Pimpinan dan Ahli Parti Keadilan Rakyat
Tempat : Grand Continental Hotel, Kuching
03.00pm Mesyuarat Biro Politik MPN dengan Dato’ Seri Anwar Ibrhim

Tempat : Grand Continental Hotel, Kucing

04.30pm Sidang media
06.48pm Berbuka puasa di N6 Tupong

Rumah Datuk Hjh. Hafsah Harun

7.58 pm Solat Isya’ dan Tarawikh
di Masjid Kpg.Pinang Jawa, Kuching

Pakatan Rakyat: Kembalikan makna Kemerdekaan melalui Politik Baru

on

Pakatan Rakyat sedar wujudnya satu muslihat politik oleh pimpinan UMNO-BN untuk mengapi-apikan sentimen perkauman sempit dan agama bertujuan memecah-belahkan keharmonian masyarakat.  Politik usang bersifat peras ugut dan memesongkan fakta ini digunakan oleh pimpinan UMNO-BN kerana mereka berada dalam keadaan terdesak untuk meneruskan kelangsungan kuasa mereka.
Demi mencapai cita-cita politik tersebut pelbagai jentera kerajaan seperti BTN (Biro Tatanegara) dan media seumpama Utusan Malaysiadiperkuda untuk menggugat kesejahteraan rakyat.  Berhadapan serangan bertali arus itu, Pakatan Rakyat tetap beriltizam untuk melaksanakan Perubahan demi kemaslahatan rakyat keseluruhannya.  Kita beriltizam untuk memastikan keharmonian dan perpaduan masyarakat dapat diperteguh serta politik perkauman sempit akan sirna dari negara ini.

Pakatan Rakyat menghormati perjuangan parti masing-masing dalam Permuafakatan Pakatan Rakyat.  Permuafakatan ini sememangnya berlandaskan Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang telahpun disepakati.
Dasar Pakatan Rakyat menyatakan: "Pakatan Rakyat bertekad untuk menyemai persefahaman dan perpaduan di kalangan rakyat berteraskan prinsip memelihara kepentingan bersama.  Perpaduan negara mesti mencerminkan kesepakatan, persefahaman serta muafakat sejati antara kaum, budaya dan agama."
Kita akui sememangnya terdapat perbezaan di antara komponen Pakatan Rakyat, walaupun begitu kita tuntas menggalakkan perbincangan dan bersikap terbuka.  Ini berbeza sekali jika dibandingkan dengan politik dalaman BN yang mana komponennya sering bertelagah dan bersikap menyembunyikan segala permasalahan.

Pakatan Rakyat tidak mempunyai keraguan untuk tetap bersatu melawan kemungkaran dan penganiayaan UMNO-Barisan Nasional terhadap rakyat.  Kami beriltizam untuk menentukan hala tuju baru buat rakyat dan negara ini.  

Menjelang 53 tahun kemerdekaan, sudah tiba masanya negara ini meninggalkan politik perkauman sempit yang seumpama barah merosak masyarakat.  Pakatan Rakyat merasa bertanggungjawab untuk memaknai kembali Kemerdekaan yang berlandaskan Politik Baru yang lebih matang dan mengutamakan kemaslahatan rakyat serta negara ini.

Kita percaya antara lainnya serangan ini adalah untuk menutup kegagalan kerajaan UMNO-BN menguruskan khazanah negara seumpama skandal rompakan saham untuk rakyat termiskin bernilai RM 52 billion.  Kita menggesa satu Suruhanjaya Di Raja ditubuhkan bagi menyiasat kehilangan hak rakyat tersebut.

*Kenyataan bersama oleh Nasharuddin Mat Isa (selaku Timbalan Presiden PAS ), Anwar Ibrahim (Ketua Umum PKR) dan Lim Guan Eng (selaku Setiausaha Agung DAP).

-MerdekaReview-

Kim Quek menyelar tindakan polis rampas bukunya...!!!!!!!!

on

"Tangan kiri tidak sedar apa yang tangan kanan lakukan", demikianlah sindiran yang dilontarkan oleh Nathaniel Tan, penyunting buku berjudul "Di manakah keadilan?" (Where is Justice?) ketika mengulas dakwaan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bahawa mereka tidak terlibat dalam rampasan buku yang dijalankan oleh polis.
Nathaniel Tan berkata sedemikian dalam satu sidang media bersama Kim Quek (gambar kiri), yang juga ditimpa nasib seperti dirinya.  Kim Quek, penulis buku Perarakan ke Putrajaya (The March to Putrajaya) menyelar tindakan polis untuk merampas bukunya sebagai perbuatan yang melanggar undang-undang, malah bercanggahan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Kim Quek dimaklumkan pada 19 Ogos 2010 bahawa bukunya telah dirampas oleh polis, tetapi pihak polis tidak memberi sebarang penjelasan berhubung rampasan tersebut.

Apa yang menarik, ketika dihubungi Malaysiakini pada 21 Ogos, Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran KDN, Zaitun Ab Samad berkata bahawa KDN bukanlah pihak yang bertanggungjawab dalam tindakan rampasan berkenaan, malah menambah bahawa buku tersebut mungkin diambil polis, tetapi bukan KDN.

Lantaran daripada itu, Kim Quek menyelar polis kerana memberi "jawapan yang teruk", tanpa melihat kepada realiti bahawa pasukan polis berada di bawah bidang kuasa KDN.  Dengan sinis Nathaniel Tan pula menyindir, "Tangan kiri kerajaan langsung tidak sedar apa yang tangan kanan lakukan!"

Buku The March to Putrajaya adalah koleksi artikel Kim Quek yang diterbitkan oleh Oriengroup Sdn.Bhd pada Mac tahun ini.  Khabar rampasan buku oleh polis hanya tersebar selepas enam bulan selepas buku diedarkan dalam pasaran.  Rampasan buku dikhabarkan berlaku di Pahang, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan sebagainya sehingga hari ini.

Bilangan buku yang dirampas belum diketahui, tetapi maklumat yang diperolehi menunjukkan bahawa buku ini dirampas oleh pegawai special branch.  Pihak special branch hanya meninggalkan satu dokumen, namun tidak dinyatakan pegawai yang bertanggungjawab, unit mana yang menjalankan rampasan, malah tiada tandatangan pegawai penguatkuasa.

Polis mengambil keterangan penerbit

Sementara itu, tiga orang polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman telah mengambil keterangan daripada Pengarah Eksekutif Oriengroup Sdn.Bhd, Low Chee Chong di pejabatnya, semalam.  Selain daripada soalan biasa, satu-satunya soalan yang menyentuh kandungan buku itu berbunyi, "Apakah kamu menganggap buku ini akan menimbulkan suasana ketidakstabilan di Malaysia?"
Low Chee Chong (gambar kanan, kanan) yang diambil keterangan selaku saksi diberitahu bahawa siasatan dijalankan di bawah seksyen 112 Kanun Keseksaan.

Dalam kenyataan Kim Quek pada hari ini, beliau menganggap bahawa seandainya tulisannya memberi kesan yang buruk kepada mana-mana pihak, maka langkah yang tepat adalah menyamannya di bawah Akta Fitnah.  "Adalah satu kesalahan dari segi moral mahupun undang-undang jikalau bertindak mengganggu kedai buku, menjejaskan kelarisan pengedaran buku saya."

Low: Debat seandainya tidak bersetuju

Malah, Low Chee Chong bagi pihak penerbit merakamkan penghargaan terhadap Kim Quek yang menyarat bukunya dengan idea-idea yang bernas.  Low mengalu-alukan sebarang kritikan terhadap kandungan buku ini, bahkan bersikap terbuka untuk sebarang perbincangan, bahkan perbahasan berhubung pandangan yang diketengahkan dalam buku tersebut.

Selain The March to Putrajaya, buku berjudul Where is Justice? dan 1 Funny Malaysiayang diterbitkan Malaysiakini book juga ditimpa nasib yang sama.  Ketua Pegawai Eksekutif Malaysiakini, Premesh Chandran yang turut hadir dalam sidang media berkata, tindakan polis untuk merampas buku menunjukkan bahawa "kerajaan kita kekurangan sense of humor", malah bertentangan dengan halatuju kerajaan Najib yang mahu menuju ke arah keterbukaan.
Pihak Malaysiakini books dan kartunis, Zunar telah membawa kes ini ke mahkamah, yang akan dibicarakan pada pagi esok.
Penyunting buku Where is Justice, Nathaniel Tan juga mengkritik siri tindakan kerajaan yang mengganggu kedai buku sejak kebelakangan ini.  Pihak kedai buku diselubungi ketakutan untuk menjual buku dari penerbit berkenaan lantaran daripada tindakan polis sedemikian, katanya.  Beliau menyeru agar polis menghentikan segera gangguan terhadap kedai buku, malah menambah, "Tiada baiknya untuk negara."

Selain Kim Quek, Nathaniel Tan, Low Chee Chong dan Premesh Chandran, mereka yang turut hadir dalam sidang media pagi ini termasuklah anggota WAMI (Writers Alliance for Media Independence) Josh Hong, Ng Yap Hwa dan Chong Ton Sin dari GerakBudaya.

Josh Hong dan Ng Yap Hwa menyeru semua penulis, penerbit dan pencetak agar bersatu untuk menentang pencabulan terhadap kebebasan bersuara, malah menggalakkan aktiviti protes bercorak karnival, agar orang awam dapat menyertainya tanpa rasa ketakutan.


-MerdekaReview-

Zaid sokong Kelantan saman Petronas

on

Penyelaras Pakatan Rakyat, Datuk Mohd Zaid Ibrahim menyokong penuh langkah kerajaan negeri mengemukakan writ saman ke atas Petronas.
Menurutnya, langkah berkenaan begitu wajar memandangkan kerajaan negeri telah dinafikan haknya dalam royalti minyak dari Petronas sejak sekian lama.
Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily ketika diminta mengulas berhubung langkah yang diambil oleh kerajaan Kelantan semalam selepas Petronas tidak melangsaikan royalti kepada kerajaan negeri.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyampaian sumbangan Hari RayaYayasan Orang Kurang Upaya (Yokuk), di perkarangan pejabat berkenaan, dekat sini tengah hari tadi.
“Walaupun kita tidak tahu tindakan itu akan memihak kepada kita atau sebaliknya, namun sekurang-kurangnya Kelantan telah mengemukakan haknya.
“Pada masa yang sama, cara ini akan menyedarkan masyarakat berhubung apa yang berlaku,” ujarnya.
Tambahnya, mahkamah pula hak mereka, jadi sebarang kemungkinan boleh berlaku.
Zaid seterusnya memberitahu, begitu juga keputusan beliau untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor baru-baru ini.
Tambahnya, walaupun sudah menduga kes saman itu tidak memihak kepadanya, namun sekurang-kurangnya rakyat tahu perkembangan itu.
“Kita berharap kerajaan Kelantan tidak mengalami nasib yang sama sebagaimana Terengganu di mana kes saman yang telah dikemukakan oleh kerajaan negeri itu ketika di bawah PAS lenyap hingga kini,” ujarnya.
Zaid seterusnya berkata, tindakan yang diambil oleh kerajaan Kelantan sekarang belum terlewat, malah langkah yang diambil begitu tepat.
“Kelantan tidak begitu tergopoh-gopoh dalam soal ini malah membuat kajian yang terperinci sebelum mengambil tindakan mahkamah.
“Saya mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri di atas tindakan yang berani ini.

Raya : Kakitangan Selangor RM500, guru Kafa RM250

on



SHAH ALAM, 26 Ogos: Kakitangan Kerajaan Negeri Selangor akan menerima bayaran bantuan khas hari raya sebanyak RM500  sebagai persediaan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bulan depan.

Menteri Besar, Tan Sri Datuk Seri Abdul Khalid Ibrahim berkata bayaran bantuan khas hari raya ini akan dibayar sebelum 1 Syawal kepada semua kakitangan kerajaan negeri kecuali  kakitangan Gred JUSA ke atas.

Seramai 9,089 kakitangan awam akan mendapat manfaat daripada keputusan ini yang melibatkan kos pembayaran sebanyak RM4.5 juta.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga telah memperuntukkan bayaran khas sebanyak RM250 kepada 5,297 guru Kelas Agama dan Fadhu Ain (Kafa) yang akan melibatkan pembayaran sebanyak RM1.3 juta.

Menteri Besar berharap bantuan Hari Raya  ini dapat meringankan beban kakitangan awam untuk membuat persiapan menyambut Aidilfitri terutama mereka yang mempunyai ahli keluarga yang ramai.

Menteri Besar juga menasihatkan kakitangan awam dan guru KAFA supaya bersederhana dalam segala hal dan berbelanja secara berhemah mengikut kemampuan serta keperluan.

Kilang arak : UMNO melutut pada siapa.....???

on

KUALA LUMPUR, 26 Ogos: Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar bagai meludah ke langit, apabila mendakwa PAS takutkan DAP berhubung penutupan kilang arak di Selangor.
Yang Dipertua PAS Shah Alam, Khalid Samad berkata, Noh yang juga Menteri Pertanian tidak sedar bahawa perkara dibangkitkan tersebut seperti meludah ke muka sendiri.
"Saya nak tanya lah, kalau kilang Carlsberg itu tak tutup sebab PAS takutkan DAP, maka Umno waktu buka kilang tu diorang melutut pada siapa?" soalnya yang juga Ahli Parlimen Shah Alam.
Beliau menyoal demikian ketika diminta mengulas kenyataan Noh dalam wawancara dengan Malaysiakini baru-baru ini.
Noh dalam wawancara tersebut secara khusus mengaitkan nama Khalid dalam isu penutupan kilang arak tersebut.
Khalid katanya ada berjanji mahu menutup kilang arak jika Pakatan Rakyat memerintah Selangor, namun belum dibuat.
Khalid bagaimanapun menjelaskan Pakatan Rakyat Selangor masih baru dan dalam fasa memberi kefahaman kepada rakyat negeri itu dan tidak boleh bertindak melulu.
Jelasnya, lawatan ke kilang Carlsberg baru-baru ini kerana mahu bertanya sama ada pengusaha kilang tersebut mempunyai perancangan untuk berpindah tapak atau tidak.
"Berbanding Umno, mereka bangga letak kilang Carlsberg di pintu masuk Shah Alam.
"Seperti didedahkan bekas ahli Umno, Saifudin Nasution di parlimen, pemuda Umno ni 'berenang' dalam arak, sebab itu diorang tak peduli," katanya lagi.
Mengulas isu 'berbeza kitab' antara Selangor dan Kelantan yang dibangkitkan Noh, Khalid berkata bukan kitab yang berbeza tetapi suasana.
"Saya rasa Noh Omar tak mengaji Siasah Syar'iyyah, ini bukan masalah kitab berbeza, tetapi suasana dan realiti itu berbeza," katanya.
PAS Selangor, jelasnya sedang berusaha memberi kefahaman berhubung Syariat Islam termasuk kepada bukan Islam negeri itu.
"Bukan orang bukan Islam je menolak Syariat lslam sebab tidak faham, tetapi orang Islam sendiri yang menyokong Umno pun menolak.
"DAP tak halang kita memberi kefahaman Islam tetapi yang banyak halang kita dulu dan sekarang adalah Umno," katanya lagi.
Mengulas kesan kempen 'Selamatkan Selangor' yang dibuat Umno negeri itu, Khalid berkata beliau yakin rakyat Selangor adalah bijak, bermaklumat dan mampu menilai.
"Kita tak nampak akan menjejaskan kedudukan kita dan kita tidak akan halang kerja mereka," katanya.
-Harakahdaily-

Pemilihan AMK : Badrul anggap persaingan 'adik beradik'

on

KUALA LUMPUR, 26 Ogos: Pertembungan tiga penjuru pada pemilihan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) November depan seharusnya mengajak setiap ahli parti itu mengangkat semangat baru dalam PKR.

Demikian harapan salah seorang calon Ketua AMK, Badrul Hisham Shaharin ketika dihubungi Harakahdaily pagi tadi.

"Saya tidak akan umum bertanding, biarlah 'adik beradik' dalam AMK yang menentukan pemimpin mereka dengan ruang demokrasi ini.

"Ini pertandingan dalam keluarga, pertandingan adik beradik takkan perlu abang memburukkan adik atau sebaliknya," ujarnya.

Padanya, Shamsul Iskandar Md Akin telah memberi sumbangan yang termampu sejak mengetuai AMK selama ini.

Rekod kepemimpinan Shamsul menurutnya sudah tentu memberi kelebihan pada Ketua AMK itu berbanding dirinya dan seorang lagi calon Ketua AMK, Rafizi Ramli.

"Kita perlu menyuntik budaya politik baru, bukan atas atas arahan atau sentimen atau retorik semata-mata.

"Cara berkempen harus seiring dengan semangat demokrasi yang melebar dalam AMK yang memberi kuasa pada ahli.

Menurutnya inisiatif akar umbi AMK Perak mengadakan dialog calon ketua AMK menjelang pemilihan kelak adalah baru dalam parti itu dan seharusnya disambut secara sihat oleh semua.

"Seharusnya dipertemukan semua, diberi ruang yang sama, bentangkan apakah tawaran (manifesto) yang nak dibawa serta ke mana AMK ini nak dihalakan," ujarnya.

Selain itu, pemilihan AMK kali ini juga jelasnya penting dalam suasana menjelang pilihanraya Sarawak yang dijangka tidak lama lagi.

Sehingga kini menurutnya, AMK tidak mempunyai satu cabang pun di Sarawak dan tindakan segera perlu diambil.

"Sarawak tidak lama lagi akan hadapi pilihan raya tetapi tidak ada satu pun cabang rasmi AMK sedangkan AMK mesti bina jentera dan kekuatan di sana...sebab potensi kita ada di sana," tambahnya.

-Harakahdaily-

Zakaria tidak tunduk kemahuan Zahid

on

Kontroversi doa khutbah Jumaat



PETALING JAYA: Khatib Zakaria Ahmad berkata tiada keperluan baginya untuk memohon maaf secara terbuka kepada Yang Dipertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.
"Tiada keperluan untuk saya memohon maaf kerana perkara ini telah dipolitikkan," kata beliau yang mencetuskan kontroversi kerana berdoa untuk Ketua Menteri Pulau Pinang ketika bacaan khutbah kedua Jumaat di sebuah masjid di negeri itu baru-baru ini.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi Free Malaysia Today hari ini berikutan desakan memohon maaf ini dibuat oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Sambil mempertahankan tindakannya itu, beliau mendakwa isu tersebut sengaja dipolitikkan malah doa yang dibacakan berbentuk umum walaupun tidak menyebut nama Yang Dipertuan Agong.
"Bagi saya tidak perlu memohon maaf secara terbuka, sedangkan saya tidak bersalah dalam isu ini. Saya tidak gentar, saya benar dan betul. Saya sebut secara umum, tidak menyebut nama Yang Dipertuan Agong bukanlah derhaka.
Zahid harus bantu laksana hukum hudud
"Benda ini perlu dihentikan, kerana mereka sengaja memperbesar dan mempolitikkan isu ini," katanya.
Beliau menasihatkan Zahid agar memfokuskan hal-hal yang lebih penting berbanding isu tersebut.
"Zahid sebahagian daripada ahli majlis agama…..sepatutnya dia bantu kerajaan untuk laksanakan hukum hudud. Itu lebih penting, sebab hudud dapat membantu mengurangkan kes-kes jenayah yang semakin meningkat kini.
"Beliau patut bantu selesaikan masalah lain, bukan cuba memperbesarkan isu ini. Cukup-cukuplah, ini bulan puasa…," kata beliau.
Berhubung tindakan saman, beliau berkata ia masih dalam proses dan akan dilakukan selewat-lewatnya pada minggu hadapan.
Zahid dilaporkan semalam berkata, khatib yang dikaitkan dengan isu itu diminta membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Yang Dipertuan Agong.
Beliau juga berharap agar Majlis Fatwa Kebangsaan dapat membuat satu keputusan rasmi berkaitan perkara tersebut.

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List