ANWAR DIDAPATI BERSALAH...?

on Sep 1, 2011



Berdasarkan penilaian bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim akan terus menjadi ancaman kepada Umno sekurang-kurangnya sehingga pilihan raya umum akan datang, ketua pembangkang itu akan didapati bersalah kerana meliwat - hukuman keduanya dalam tempoh 10 tahun.

azlanPerkara itu didedahkan oleh kabel diplomatik Amerika Syarikat yang dibocorkan oleh portal Wikileaks yang juga melaporkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan pemimpin utama Umno memutuskan segala padah dan kos politik bagi mendakwa Anwar "boleh diterima". Mereka juga mahu perkara berkenaan diteruskan secara agresif di dalam dan juga di luar mahkamah.

Menurut nota diplomatik 2009 yang diklasifikasikan sebagai sulit oleh Mark D Clark, kaunselor politik di Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur, matlamat utama mereka adalah bagi memenjarakan Anwar semula dan menyingkirkannya secara tetap dari politik.

azlan"Walaupun mengakui perkara itu adalah semata-mata tindakan penguatkuasaan undang-undang, kerajaan berpendapat tekanan politik adalah diperlukan, dan sanggup menerima risiko reputasi dalam proses berkenaan supaya akhirnya mencapai keputusan bersalah selepas drama berprofil tinggi berbulan-bulan di mahkamah," kata kabel, yang telah dihantar kepada Jabatan Negara Amerika di Washington dua tahun lalu oleh Duta James R Keith.

"Mahkamah akan membicarakan dan menolak rayuan Anwar pada kadar yang segera sebelum menjelang pilihan raya umum negara pada tahun 2012 atau 2013," kata kabel itu.

Menurut Keith, senario itu berlaku semasa bulan-bulan awal kes itu dibicarakan terutamanya menjelang tarikh September 2008, di mana Anwar sepatutnya mengambil alih Putrajaya, tetapi kesannya berkurangan sejak itu.

Kabel yang bertajuk 'Perbicaraan liwat II Anwar Ibrahim' memberi tiga senario berhubung bagaimana kes itu akan berakhir.

Dalam senario berkenaan, Kedutaan Amerika mengandaikan bahawa Najib akan berperanan sebagai "suara pemutus" berhubung keputusan perbicaraan, walaupun beliau juga perlu mendapatkan pendapat dan pandangan golongan elit Umno yang lain.

Dalam senario pertama, kerajaan akan memastikan dalam “apa cara sekalipun” Anwar akan didapati bersalah.

Senario kedua pula menurut Keith, kerajaan akan meneruskan pendakwaan tetapi tidak memberi tekanan yang sewajarnya untuk mendapatkan keputusan bersalah.

Ini akan berlaku sekiranya kerajaan percaya bahawa bukti-bukti yang dikemukakan semasa prosiding mahkamah itu sendiri cukup telah merosakkan maruah atau reputasi Anwar sehingga tidak mampu menjejaskan kredibiliti Najib, kata Keith.


Photobucket

MENTERI PEMBOHONG...?

on Aug 31, 2011




Keengganan saksi untuk bekerjasama telah menyebabkan kelewatan melengkapkan siasatan dakwaan bahawa gas pemedih telah dilepaskan di dalam kawasan Hospital Tung Shin di Jalan Pudu di Kuala Lumpur semasa perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai lalu. 

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata saksi terdiri daripada doktor, jururawat dan pesakit di hospital berkenaan enggan tampil untuk membantu dalam siasatan insiden tersebut. Katanya beliau telah meminta Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Kamarul Zaman Md Isa supaya mempercepatkan siasatan. Bagaimanapun, saya dimaklumkan beberapa saksi gagal hadir semasa siasatan, katanya kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sempena Aidilfitri di Seri Perdana, di Putajaya hari ini. Liow berkata laporan siasatan itu akan dikemukakan kepada Kabinet. Katanya dua pasukan, satu dari kementeriannya dan satu dari pihak polis, ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan terhadap pasukan polis atas kejadian itu. - Bernama 

Ulasan GB Awal-awal dulu, Menteri Kesihatan sudah membuat kenyataan karut dengan menyalahkan angin, bukan polis yang melepaskan tembakan gas ke kawasan hospital. Da pihak kakitangan hospital Tung Shin lebih tahu apa yang sebenarnya yang terjadi. Justeru tidak salah untuk pihak Hospital Tung Shin tidak mahu memberi kerajasama kepada pihak kementerian yang telah awal-awal berbohong dan berdusta. Malah tindakan Menteri kesihatan yang secara melulu membuat andaian yang karut itulah yang sepatutnya dipersalahkan. 

Sebelum ini GB sudah ulas di SINI. Petikan: 

Terlalu mendukacitakan dan memalukan seorang menteri kesihatan mengambil sikap mempertahankan tindakan polis tetapi membelakangkan keselamatan pesakit di hospital.

Katanya, polis menembak gas pemedih mata itu ke arah jalan besar dan asap berkenaan mungkin dibawa angin ke arah hospital berkenaan.

Bukankah polis mengetahui kawasan itu adalah kawasan sebuah hospital dan jika sekalipun benar ia tak membidik hospital tetapi jalan besar ia tetap merupakan satu kesalahn serius.

Seperti orangramai tidak boleh membunyikan hon kenderaan di jalanraya di hadapan sekolah kerana menganggu para pelajar, apatah lagi menembak gas pemedih mata di jalanraya di hadapan sebuah hospital.

Alasan menteri berkenaan hanyalah bertujuan politik. Mempertahankan tindakan polis yang ternyata jelas bersalah sedangkan sudah sedia maklumkan asap tembakan sudah pasti merebak ke kawasan di sekelilingnya.

Namun yang jelas dan nyata, tembakan yang dilakukan sebenarnya memang ke arah hospital. Gambar dan video yang dirakam membuktikannya tetapi menteri berkenaan masih dengan sikap membodek agar jawatan menterinya tidak terlepas.

Dasar menteri kabinet BN memang kaki pendusta!



sumber  :- http://greenboc.blogspot.com
Photobucket

MAT INDERA PAHLAWAN ATAU PENGGANAS...?

on




UMCO ternyata silap besar kerana memperbesarkan isu Mat Indera dan peristiwa Bukit Kepong yang diselitkan dalam ceramah Mat Sabu di Tasek Gelugor pada 21 Ogos lalu, namun dilaporkan oleh Utusex pada 27 Ogos lalu. Jika tarikh ceramah pun sudah salah, apatah lagi laporan yang ditulis oleh akhbar itu. Mat Sabu dilabel seolah-olah menyokong komunis dan tidak menghormati polis-polis British yang terkorban semasa peristiwa itu.

Siapa Mat Indera yang menyerang rumah pasung British? Kisahnya ada disiarkan di Berita Harian. Jangan terkejut, walaupun dilabelkan sebagai pengganas oleh British kerana menyerang Rumah Pasung Bukit Kepong, orang yang mengenalinya menganggap beliau sebagai pejuang menentang penjajah British.



atau klik  sini

Dalam berita di atas, Mat Indera Ahmad Indera atau dikenali sebagai Mat Indera dikatakan berdarah pahlawan daripada keturunan Datuk Bentara Husin Lela Pahlawan Siak Seri Inderapura yang menjadi panglima kanan Sultan Sharif di Siak. Beliau diangkat sebagai pejuang kemerdekaan yang mengangkat senjata menentang British. Mat Indera ditangkap selepas British mengugut beberapa penduduk kampung yang apat dengannya.

Apa implikasi isu ini kepada UMCO dan masyarakat? Sebelum melihatnya dengan mendalam. Cuba lihat fakta Peristiwa Bukit Kepong. Peristiwa ini berlaku pada tahun 1950 dan JELAS bahawa semasa kejadian negara kita masih BELUM MERDEKA. Tanah Melayu pada waktu itu dijajah oleh BRITISH. Seperti yang dibangkitkan oleh TT, mata-mata yang berkhidmat di rumah pasung itu ialah orang yang berkhidmat dengan penjajah British, bukannya polis diraja Malaysia. Persoalan yang wajib kita fikirkan, adakah mata-mata yang berkhidmat di rumah pasung Bukit Kepong itu akan diberi penghormatan yang sama jika mereka berkhidmat di bawah pemerintahan Jepun? Jawab!!!

Fakta ini sebenarnya dikaburkan oleh buku sejarah kita dan sudah tentu filem Bukit Kepong yang acap kali disiarkan ketika negara menyambut Hari Kebangsaan. Sehingga kontroversi ini, saya yakin banyak orang yang tidak sedar akan fakta itu. Banyak yang menganggap perisitiwa itu berlaku selepas negara merdeka. Jika selepas negara merdeka, maka tindakan Mat Indera itu sewajarnya dipersoal dan dikecam kerana beliau menentang polis yang berkhidmat dengan YDP Agong.

Dengan pendedahan ini, banyak orang yang mula membaca untuk mendapatkan info yang tepat dan jelas. Selepas pendedahan isu ini, banyak orang mula mempersoal: Mengapa berkhidmat atau menjadi tali barut penjajah seperti Belanda, Portugis, Jepun dilabel sebagai PENGKHIANAT, KEJI, dll, tetapi mereka yang berkhidmat dengan penjajah British tidak dikenakan label yang sama?

Jawapannya, sila lihat sejarah, cuba lihat pekerjaan dan hubungan pembesar UMCO dengan British. Rata-rata mereka berkhidmat sebagai pegawai dalam sistem pentadbiran British di Tanah Melayu.  Malah banyak juga pemimpin UMCO yang mempunyai hubungan yang baik dengan British.  Jika berkhidmat dengan Jepun dihina, mengapa dengan British tidak dilabel begitu? Walhal dari segi kekejaman, kerakusan, kesialan, kekeparatan, TIADA beza antara Jepun, Belanda, Portugis, dan British!!!



Photobucket

IRENE MENGAMUK

on Aug 29, 2011



Taufan Irene mengamuk di kawasan pantai timur Amerika Syarikat. Topan dengan kecepatan sekitar 128 km/jam itu melanda Kota New York.

Taufan ini menyebabkan air laut bergolak. Gelombang besar dan kuat menghentam rumah-rumah penduduk di Fairhaven, Massachusetts,   28 Ogos  2011. Bahkan, gelombang besar juga menghancurkan jalan-jalan. Sejumlah rumah hancur berantakan. Pohon-pohon   tumbang , sejumlah di antaranya menimpa atap rumah dan kenderaan  para penduduk.

Hujan bercurah sekitar 356 milimeter menghunjam deras, menyebabkan banjir di mana-mana. Sekurang-kurang nya, 21 orang terbunuh akibat bencana ini. Selain itu, 370 ribu penduduk dipindahkan dari New York. Ribuan penerbangan juga dibatalkan.

Badai Irene menyebabkan kota New York dikepung banjir. Sekitar 4.5 juta rumah terendam. Pusat bisnes di kota metropolitan itu juga lumpuh. Hujan lebat akibat badai ini juga menyebabkan banjir dari Carolina Utara hingga Delaware.





VIVAnews

Photobucket

POPULARITI NAJIB MEROSOT

on



Tahap kepopularan atau puas hati dengan kepemimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah merosot enam mata kepada 59 peratus, menurut laporan terbaru oleh badan banci bebas dan pusat penyelidikan pendapat, Merdeka Center.

Menurut Merdeka Center kemerosotan itu mempunyai kaitan dengan kos sara hidup yang terus meningkat apabila pengguna mula merasai kesan atau impak kenaikan kos bahan api dan elektrik baru-baru ini.

Pusat banci itu juga mendapati bahawa cara kerajaan menangani dan mengendalikan perhimpunan BERSIH 2.0 juga mempengaruhi persepsi umum kerana ia mempunyai kesan negatif dan telah menghakis sokongan kepada perdana menteri.

azlanHasil kajian turut menunjukkan Najib masih gagal mendapatkan sokongan masyarakat Cina dengan hanya 38 peratus yang berpuas hati dengan kepimpinan beliau.

Hanya kaun India sahaja yang memberi sokongan tambahan kepada Najib dengan peningkatan 4 peratus kepada 69 peratus berbanding Mei lalu.

Kaum Melayu bagaimanapun dilihat semakin kurang yakin dengan Najib apabila sokongan yang diterima semakin berkurang daripada 76 peratus pada Mac tahun ini, 73 peratus pada Mei dan kini 69 peratus berpuas hati dengan kepimpinan beliau.

Selain itu hampir setengah (49 peratus) dari responden menyatakan mereka memahami permintaan BERSIH 2.0 mengenai penambahbaikan sistem pilihan raya negara ini.

NONEHanya 39 peratus yang puas hati dengan cara kerajaan mengawal isu berkenaan BERSIH dengan 48 peratus menyatakan sebaliknya.

Lebih menarik, majoriti bersetuju dengan beberapa permintaan BERSIH 2.0. Lebih dua pertiga menyatakan sokongan membenarkan pemantau dari dalam dan luar negara memantau pilihan raya kita (70 peratus), membenarkan akses media kawalan kerajaan kepada pembangkang untuk kempen pilihan raya (68 peratus), penggunaan dakwat kekal (70 peratus) dan pembersihan daftar pemilih (88 peratus).

Hasil kajian ini juga menunjukkan rakyat Malaysia masih berbelah bahagi dalam pelbagai isu penting dengan hanya 51 peratus, berbanding 54 peratus Mei lalu yang bersetuju bahawa negara ini menuju ke arah yang betul.

azlan"Kajian menunjukkan kebimbangan awam masih berkaitan ekonomi dengan 38 peratus menyatakan demikian diiikuti masalah sosial - 10 peratus. Isu kebimbangan berkaitan politik pula di tangga ketiga dengan 9 peratus dan berkenaan jenayah dan keselamatan awam, 7 peratus," mengikut laporan tersebut.

Kajian ini melibatkan 1,027 responden dengan agihan kaum 59 peratus Melayu, 32 peratus Cina dan 9 peratus India. Mereka dipilih mengikut metodologi sampel berdasarkan etnik, umur, jantina dan negeri kelahiran dari seluruh semenanjung.





Photobucket

MCA TERPINGGIR...?

on




MCA pada satu mesyuarat tertutup dengan pegawai diplomat Amerika Syarikat mengakui bahawa masyarakat Cina di negara ini turut dipinggirkan tetapi tidak boleh mendedahkannya kerana terikat untuk menyokong kerajaan, khususnya Umno yang memerintah negara.

Menurut pendedahan oleh Wikileaks, kabel rahsia antara Washington dan kedutaannya di Kuala Lumpur, memperincikan mesyuarat pejabat politik kedutaan itu dengan naib presiden MCA, ketika itu, Datuk Seri Ong Tee Keat.

Kabel yang bertarikh 19 Oktober 2006 itu didedahkan bulan ini.

"Sudah tentu kami dipinggirkan, dari perniagaan yang besar kepada pemilik gerai kecil, semuanya tahu - tetapi MCA tidak boleh mengakuinya," beliau dipetik memberitahu diplomat Amerika.

Ong yang kemudian dilantik menjadi presiden MCA sebelum disingkirkan oleh Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, mengikut kabel berkenaan, berkata parti itu terpaksa berdiam diri walaupun rata-rata masyarakat Cina cukup tidak berpuas hati.

Ong juga dipetik sebagai berkata bahawa "berdiam diri kadang-kadang adalah jawapan sah yang mampu diberikan” sebagai reaksi kepada rasa tidak puas hati masyarakat Cina terhadap MCA dan Gerakan yang menyokong kerajaan.

Kabel itu memperincikan rungutan bekas Presiden MCA bahawa parti itu sebelum ini boleh mendapat "saki-baki" projek-projek pembangunan Umno tetapi kini terpaksa bergantung kepada ehsan dan cebisan sisa daripada rakan kongsinya yang dominan itu.

"Dulu, MCA pernah n mendapat saki-baki, tetapi sekarang kita hanya berharap mendapatkan cebisan sisa daripada Umno," kata Ong seperti laporan kabel itu.

Antara contoh yang diberikan ialah dalam Rancangan Malaysia Kesembilan di mana tiada satu pun daripada 180 sekolah yang dirancang itu adalah sekolah vernakular dan hanya dua diberikan selepas bantahan daripada masyarakat minoriti.

Menurut kabel itu, Ong juga mengakui rasa tidak puas hati yang sebegitu menebal di kalangan masyarakat Cina terhadap status quo dan bahawa MCA akan menghadapi cabaran paling getir pada pilihan raya umum akan datang.

Kebimbangan mempunyai asas apabila pada pilihan raya umum 2008, separuh daripada kerusi MCA di Parlimen dirampas iaitu hanya mampu mempertahankan 15 daripada 31 kerusi yang dimilikinya sebelum itu. Gerakan yang memerintah di Pulau Pinang tumbang apabila semua kerusi Dewan Undangan Negeri yang ditandingi tewas.

Usaha berulang-kali Malaysiakini bagi mendapatkan ulasan Ong masih belum berjaya.



sumber :-  http://jalanpulang1978.blogspot.com


Photobucket

Mengapa PAS bersahabat dengan DAP...?

on




Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu sudah terkenal dengan pendekatan ceramah beliau yang acap kali diselit jenaka dan sidiran tajam – salah satu kepakaran beliau.

Inilah yang membuatkan beliau sentiasa dekat dengan rakyat bawahan, selain kerap turun padang dan suka bersembang dengan mereka. Adalah suatu lumrah alam seperti pejuang rakyat yang lain, perjalanan beliau dipenuhi ranjau dan duka serta pahit manis.

Tokoh yang popular dengan gelaran Mat Sabu yang penuh kontroversi ini, masih bertongkat akibat sikap agresif polis sewaktu bermotosikal ketika perhimpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.
Walau pun begitu, dengan pengalaman beliau yang pernah dipenjarakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri, dan sudah beribu kali difitnah media kawalan Barisan Nasional, beliau masih selamba dan bersemangat ketika Roketkini bertemu dengannya di sebuah restoran di ibu kota selepas berbuka puasa baru-baru ini.

Hubungan PAS-DAP


Penuh santai dan selesa, dan restoran pula berkumandang didendangan pula dengan lagu-lagiu Hari Raya, perbualan kami tidak menyentuh langsung tentang Aidilfitri. Dalam wawancara itu, antara yang disentuh adalah merayakan kepelbagaian budaya di antara DAP dan PAS – dua parti pembangkang pusat paling aktif.

Begitu pun, perbualan singkat kami penuh makna, dek kejujuran dan kenyataan beliau yang bersifat kritis tetapi lembut, langsung menyerikan suasana Aidilfitri yang bakal menjelma.
Bila disoal tentang perkembangan hubungan kerjasama parti komponen dalam Pakatan Rakyat, terutama di antara DAP dan PAS, Mat Sabu menjawab mudah bahawa selepas tsunami politik 2008, hubungan itu menjadi semakin akrab.

“Hubungan sangat baik sehingga diari saya penuh dengan jemputan DAP. Saya hairan kenapa DAP gemar dengan saya. Inilah realiti yang saya hadapi,” jelasnya.
Bagaimana pun beliau masih kritikal tentang keakraban hubungan ini. “Adakah kita berpuas hati dengan hubungan baik ini? Bagi saya, belum. Kita sentiasa harus memperbaiki lagi dari masa ke semasa.”
Ibarat berumah tangga, katanya, DAP dan PAS akan sentiasa berselisih pendapat walau bersama pendirian dalam banyak perkara.

“Inikan pula sebuah parti yang besar dengan latar belakang yang agak berlainan. Kita sentiasa mesti mencari jalan, berusaha dan setakat ini, PAS, DAP, dan PKR bersetuju dalam dasar bila mengambil alih pemerintahan, dan membuat pembaharuan kepada rakyat Malaysia, tidak akan mengetepikan sama sekali Perlembagaan Malaysia,” sambungnya.

Menyentuh tentang hubungan peringkat akar umbi antara DAP-PAS pula, Mat Sabu mengaku berasa terkejut kerana menurutnya selama 32 tahun penglibatan dalam politik, beliau sendiri seolah-olah sudah berada di alam lain apabila melihat evolusi hubungan antara kedua-dua parti itu.
“Kalau di peringkat awal sebelum wujud hubungan erat ini, kami sendiri dalam PAS, kalau kata tengok muka Lim Kit Siang, kalau boleh tak mahu tengok langsung… Apa beliau cakapkan kita pun tak tahu (ketawa). Tetapi bila kita damping dia, kita nampak ada sesuatu…

“Sekarang saya macam dalam alam yang lain kalau dibandingkan dulu yang mana perkauman cukup tebal. Sekarang, rakyat boleh duduk dalam suasana yang saya andaikan kalau perpaduan ini pecah, agak sukar untuk dipulihkan,” katanya.

Menurut beliau, teras perjuangan Islam PAS melalui Negara Berkebajikan dan asas demokrasi sosial DAP mempunyai banyak persamaan untuk kesejahteraan rakyat, terutamanya dalam usaha mewujudkan peluang saksama untuk semua.
Tambahnya, hanya mereka yang dangkal fikiran akan menuduh PAS menggadaikan Islam kerana Islam itu adil untuk semua umat manusia.

Budaya


“Dalam pilihan raya, nak ambil hati pengundi terlalu berlainan budayanya. Cina lain, Melayu lain, India lain, Kadazan lain, Iban pun lain,” katanya bila diaju mengenai perbezaan budaya antara masyarakat di Malaysia.
Dalam keadaan yang lebih khusus, beliau member contoh tentang perbezaan budaya dan amalam politik di antara PAS dan DAP di mana baginya, DAP tidak perlu banyak ahli atau banyak cawangan seperti PAS.
Katanya, kaum Cina lebih menumpukan kepada isu sementara orang Melayu lebih kepada pendekatan.

“Saya beri contoh, Ahli Parlimen kaum Melayu, dia selalu melawat kampung, pergi kenduri, ziarah orang meninggal dan di Parlimen dia tidak cakap apa pun, tetapi orang kampung boleh terima dia.
“Tidak pula dalam kalangan masyarakat Cina, mereka hendak lihat apa wakil rakyat mereka perjuangkan untuk mereka sama ada di peringkat DUN atau Parlimen,” katanya sebelum menyambung menghirup kopi.
Jadi, tambah beliau, sebaik meletak cawan kopinya, kerjasama itu perlu berterusan dengan mencampuradukkan budaya yang berlainan ini.

“(Pengerusi DAP) Karpal Singh misalnya, sebelum dia berkerusi roda. berapa kali dia balik dalam setahun ke kawasan Parlimen dia? Tetapi rakyat tetap pilih dia, bukan sebab nak tengok dia pergi makan kenduri, melawat orang, tetapi orang nak tengok otak dia, kata-kata dia, perjuangan dia di Parlimen. Begitu juga dengan Lim Kit Siang.

“Berbanding pula dengan masyarakat Melayu, ia lebih konservatif. Inilah hasil pendekatan Kemas, pendekatan sogok duit, bantuan yang buat UMNO bertahan begitu lama,” jelasnya sedikit tegas.
Bagaimana pun, beliau tidak merujuk kepada semua Melayu, jelasnya, seperti di Kelantan, pemikiran orang Melayu di sana agak unik.

“Di Kelantan, orang yang dilihat perlu ada di Parlimen, mereka akan undi walau pun tak pernah jumpa atau bersalam atau berpeluk dengan kita,” katanya.
Tambah Mat Sabu, budaya ini yang perlu digabungkan untuk memastikan perpaduan di kalangan rakyat berbeza kaum dan budaya.

“DAP perlu faham budaya orang Melayu dalam PAS, dalam UMNO, dalam PKR, dan Melayu kena faham budaya Cina dan kaum lain,” jelasnya.
Menurutnya, kadang-kadang DAP cuma ada satu cawangan sahaja tetapi boleh menang pilihan raya kerana DAP menyentuh tentang soal dasar berbanding tentang pendekatan.
“Jadi pemahaman budaya yang berbeza dan kerjasama ini, kita mesti berdasarkan dua budaya ini,” katanya.

Media


“Kata sesetengah orang, media is the new god. Tuhan baru. Media yang menentukan arah fikiran masyarakat awam,” jelasnya bila disoal tentang peranan media yang membentuk persepsi masyarakat.
Beliau berkata orang Melayu sensitif terhadap isu agama, raja, dan isu-isu kaum Melayu sendiri.
“Sebab perkara ini telah di pupuk begitu lama sejak sebelum dan selepas Merdeka. Misalnya ditubuhkan Askar Melayu Diraja untuk menjaga orang Melayu.

“Kemudian UMNO itu sendiri mencanang untuk jaga Melayu. Jadi, sebarang pengurangan kuasa UMNO, dianggap sebagai pengurangan kuasa Melayu. Perkara ini kita kena lawan sebab saluran media terutama dalam dunia ketiga, memang dikawal pemerintah,” ujarnya.

Beliau memberi contoh manipulasi media di peringkat antarabangsa mengenai kebangkitan rakyat di Syria.
“Amerika sokong rakyat untuk jatuhkan kerajaan diktator. Sedangkan di negara Arab, mana ada negara demokrasi. Amerika tak beritahu mereka nak tumbangkan kerajaan Bashar al-Assad (Presiden Syria) kerana kerajaan itulah yang membuka tapak kepada pejuang-pejuang Palestin, Hamas, dan Hisbullah.

“Amerika nak serang bukan sebab demokrasi. Yang paling tiada demokrasi, Arab Saudi itulah, dilindungi pula oleh Amerika. Malah difahamkan bala tentera Arab Saudi masuk ke Bahrain, membunuh rakyat Bahrain yang bangkit menentang kerajaan zalim. Tapi media tidak liputi kes ini, maka isu ini tidak jadi besar.
“Jadi, begitulah juga kita di Malaysia,” jelasnya panjang lebar, masih berlemah lembut.

Mat Sabu mengakui usaha untuk Pakatan Rakyat memecahkan persepsi yang dibentuk oleh media kawalan BN itu bukan perkara mudah.
“Saya ambil contoh di Terengganu, naik sepanduk di banyak tempat, ‘Kalau UMNO kalah, DAP akan menang.’ Padahal DAP tidak bertanding langsung di Terengganu. UMNO guna cara ini kerana dia anggap Melayu di Terengganu tidak bijak.

“Sementara kita seronok di Kuala Lumpur, dengar ceramah, pergi forum, tapi kita lupa orang di Rompin, di Baram, di Kanoit, di Jeli… Pergantungan mereka hanya kepada RTM, TV3. Semua itu berita UMNO dan BN saja yang paling baik di dunia. Ya, memang bukan mudah melawan persepsi ini.”

Melayu dan DAP


Baru-baru ini timbul isu kononnya Mat Sabu akan bertanding di Parlimen Bukit Bintang yang selama ini menjadi kubu kuat DAP.
Beliau secara berhemah, menafikan akan bertanding di Bukit Bintang.
“Apa yang saya sebut dalam wawancara dengan sebuah  akhbar ialah, andai saya dipilih bertanding di Bukit Bintang, dan jika DAP tak bertanding menentang BN, saya yakin saya boleh menang di situ.
“Maksudnya, yang hendak saya sampaikan ialah, keyakinan masyarakat Cina kepada PAS,” jawabnya mudah.

Namun, beliau menjelaskan keadaannya berbeza dengan masyarakat Melayu kerana mereka belum yakin penuh dengan DAP.
Oleh itu, Mat Sabu akui sebagai rakan dalam Pakatan, PAS yang harus melipatgandakan usaha meyakinkan Melayu tentang DAP, selain usaha DAP sendiri.

Jeas beliau lagi, DAP mempunyai medium seperti lidah rasmi Rocket edisi Bahasa Melayu dan laman web Roketkini yang juga dalam Bahasa Melayu, yang boleh diperluaskan capaiannya kepada masyarakat Melayu.
“Itu salah satu usaha untuk menarik Melayu memahami DAP. Melalui medium itu, orang Melayu akan beri tumpuan bila, contohnya Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, sahabat baik saya, memberi semula elaun kepada Sekolah Agama Rakyat, elaun agama, guru KAFA, elaun imam, bilal semua naik dan kemudian beri pula elaun kepada orang hafal al-Quran,” katanya.

Jelas Mat Sabu, semua ini harus sentiasa diberi publisiti kerana perlu untuk DAP menghakis tuduhan UMNO dan rakan-rakan pelampaunya bahawa DAP bukan parti anti-Islam, bukan parti Cina.
“Media kawalan BN seperti lidah rasmi UMNO Utusan Malaysia, TV3, atau RTM memanglah tidak beri liputan. Tetapi kita yang kena bagi tumpuan lebih, sebab kalau benda ini tersebar luas kepada rakyat, orang Melayu tak akan takut lagi dengan DAP bila DAP bersama Pakatan Rakyat memerintah, mereka tak rasa apa-apa.
“Tapi kita kena kerja lebih kuat,” tambahnya.

PAS pikul beban DAP?



“Ya! Kawan-kawan dalam DAP kena faham, bila PAS kerjasama dengan DAP, kami yang menerima beban daripada DAP. Bukan kerana apa, kerana lebih 50 tahun rakyat telah didoktrinkan bahawa DAP ini kafir, DAP ini Cina, DAP ini komunis.
“Kami yang teruk menghadapi tekanan dari UMNO, Perkasa dan badan-badan lain. Kami yang kena pikul beban ni,” katanya.

Menurut Mat Sabu, perkara pertama PAS perlu lakukan ialah meyakinkan ahli-ahli sendiri dan yang kedua, meyakinkan NGO-NGO Islam dan Melayu.
Katanya, Melayu bandar tidak ada masalah mengundi DAP sebagaimana dibuktikan  pada pilihan raya umum lalu di mana DAP menang besar di di Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Negeri Sembilan.
“Selain Melayu kampung, jangan lupa pula dengan Melayu yang bekerja dalam sektor kerajaan. Ini kerana mereka telah didoktrin oleh Biro Tata Negara, yang peruntukannya lebih RM500 juta termasuk Jabatan Penerangan.

“Pegawai-pegawai kerajaan ini berjumlah 1.2 juta yang mana 80 peratusnya Melayu. Kalau 70 peratus dari Melayu itu katakan Melayu UMNO, mereka boleh pengaruhi lagi keluarga mereka.
“Itu juga satu blok yang besar yang perlu kita hadapi, iaitu pegawai kerajaan,” katanya.

Kelemahan


Bila Mat Sabu mengatakan bahawa kerjasama dalam Pakatan perlu dibaiki, ini juga bermaksud ada kelemahan.
Beliau memberi contoh kebanyakan keputusan awal oleh kerajaan negeri Pakatan Rakyat tanpa perbincangan dengan rakan komponen Pakatan lain.

“Contoh kalau Exco PAS nak umumkan sesuatu, kawan-kawan dalam DAP perlu dijelaskan supaya mereka bersedia dengan jawapan-jawapan. Begitu juga bila Exco DAP nak umum sesuatu, PAS perlu bersedia dengan jawapan.

“Sebab perkara-perkara sebegini akan timbul dari masa ke semasa kerana kita dalam masyarakat majmuk, berlainan agama dan budaya.
“Saya tak kata kita sembunyi perkara-perkara ini di bawah karpet tetapi kita mesti cari jalan penyelesaian,” katanya.

Tentang isu cadangan penutupan pusat hiburan di Kedah apda bulan Ramadhan, beliau berpendapat ia sebaik-baiknya dibincang di peringkat Pakatan Rakyat di Kedah.
“Beritahu dulu perlaksanannya. Tapi sebab diumumkan dulu oleh pegawai kerajaan, ia menyebabkan rakan-rakan Pakatan melenting. Akhirnya baru diberi penjelasan bahawa hanya untuk orang Islam sahaja.
“Itu pun selepas dua tiga minggu. Kita telah buang masa bergaduh kes kecil,” jelasnya.

Agama


Mengenai isu beberapa orang Melayu hadir pada majlis makan malam di gereja Metodis Damansara Utama (DUMC) di Selangor, Mat Sabu menjelaskan, PAS mengambil sikap berhati-hati kerana sedar ia adalah helah licik UMNO.

Bagaimana pun, beliau akui ada percanggahan pendapat di dalam kalangan PAS sendiri terutamanya kenyataan Pemuda PAS yang lantang “menyokong” serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap majlis makan malam itu.

Namun, jelasnya lagi. Ahli-ahli PAS tidak goyang pendirian mereka selepas diberikan penjelasan tentang perkara sebenar.

“Ada sesuatu yang istimewa dalam PAS ini. Apa-apa isu pun dalam PAS ini, bila timbul, kita dapatkan pandangan Mursyidul Am kita (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) dan Presiden kita (Datuk Seri Abdul Hadi Awang)” ujarnya.

Menurutnya, memang Pemuda PAS agak agresif dalam memberi pandangan “begitu begini” tetapi bila datang pandangan dari Nik Aziz dan Hadi, semua ahli terbuka hati menerimanya.
Memberi contoh isu penggunaan nama Allah dalam kitab Bible, Mat Sabu berkata, Nik Aziz dan Hadi telah banyak menyelamatkan keadaan di Malaysia dengan memgambil pendekatan Islam sebenar, iaitu mengetahui sepenuhnya butir-butir isu serta menanganinya dengan penuh cermat dan berhikmah.

“Bila pemimpin PAS pergi melawat gereja yang dibakar, dan jumpa paderi, dan ceritakan pula di negara-negara Arab, orang Kristian menggunakan nama Allah, jadi perkara ini mudah diselesaikan.
“Padahal kalau mereka hendak tiupkan semangat pergaduhan, memang senang ketika itu. Tetapi inilah Islam yang diamalkan oleh PAS demi keamanan dan kesejahteraan semua.”

Kisah dua sahabat


Mat Sabu mengkagumi Lim Guan Eng kerana sama prinsip dengan beliau sendiri, iaitu menentang rasuah dan penyelewengan serta mengambil sikap sederhana.
“Saya kagum dengan kesederhanaan beliau terutama dalam menjaga wang rakyat, berjimat cermat, dan dia tidak pernah mengatakan this is my right. Misalnya hak dia untuk naik kapal terbang business class, hak dia untuk tukar kereta baru, hak dia untuk duduk di rumah kerajaan.

“Itu adalah hak beliau, tapi beliau tidak guna hujah-hujah itu. Malah beliau setiasa bersederhana dan guna wang rakyat untuk rakyat, serta saya nampak pendapatan yang bertambah terutama RM88 juta pada tahun pertama memerintah dan pada tahun kedua RM77 juta, tanpa ada hasil-hasil balak dan hasil-hasil lain.
“Maknanya dia dapat menambah pendapatan melalui pengurusan. Ini yang saya rasa kagumlah. Nak kata puas hati 100 peratus, tidak,” katanya sambil ketawa.

Jelasnya lagi, bila sahabatnya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang menyatakan hasrat untuk memerintah seperti Khalifah Umar Abdul Aziz, beliau telah laksanakan cara itu setakat ini.
Guan Eng telah secara tidak langsung menunjukkan dasar DAP melalui kerja-kerja kuat beliau menjaga wang rakyat, ujarnya.

“Ini juga memang prinsip saya dan saya sokong prinsip beliau, iaitu amat tidak suka dengan rasuah dan penyelewengan,” katanya.
Secara berseloroh, Mat Sabu berkata beliau lebih berharta daripada Ketua Menteri Pulau Pinang, dan selepas lebih tiga tahun Guan Eng mentadbir negeri, beliau masih tidak kaya-raya.

Mat Sabu melihat Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang tidak ada penyelewengan sama sekali.
“Setakat yang saya tahu lah. Yang saya tidak tahu, wallahualam. Maksudnya, saya nampak ini sebuah kerajaan yang baik dan beliau juga berjaya mendisiplikan kakitangan kerajaan, sehingga hampir semua majlis perbandaran yang dulunya rugi, sekarang sedang dan telah membuat keuntungan.
“Ini langkah baik yang saya akan bersama menyokong,” jawabnya.

Beliau mnejelaskan, DAP telah mengatasi jauh UMNO-BN dari sudut menjaga hak dan kebajikan orang Melayu dan Islam.
“Kalau yang apa bekas Ketua Menteri Pulau Piang Koh Tsu Koon lakukan dahulu, ternyata DAP sudah jauh ke hadapan, terutamanya dalam Jabatan Kerja Raya, lebih 90 peratus Melayu dapat projek secara sah dan berhak.

“Dalam Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang, lebih 80 peratus. Dalam Jabatan Pengairan & Saliran Pulau Pinang, 100 peratus. Cuma yang tak dapat UMNO, itu yang mereka bising,” katanya.
Bagaimana pun, jelasnya, untuk memenuhi cita-cita Pakatan Rakyat untuk memberi keadilan dan peluang sama rata kepada semua rakyat yang susah, usaha perlu dipertingkatkan lagi.

“Sekarang ini tidak ada publisiti, yang ada cuma yang buruk sahaja dalam media kawalan BN.
“Tetapi membantu masarakat Melayu terutamanya mengenai penyediaan rumah kos rendah, ini mestilah dipertingkatkan lagi oleh kerajaan Pulau Pinang supaya tidak dituduh bahawa mereka yang mampu membeli rumah tinggi sahaja boleh berada di Pulau Pinang.

“Ini kita kena ingat, kalau penggal kedua nanti, jika diberi kuasa oleh rakyat lagi, Kerajaan Pakatan Rakyat mesti tumpukan hal ini. Pembinaan rumah kos rendah mesti diperbanyakkan,” jelasnya mengakhiri perbualan kami.

Roketkini.com

Photobucket

ANTARA PROPAGANDA DAN FITNAH

on





29 OGOS – Sebagai ejen propaganda, media massa seperti lidah rasmi UMNO, iaitu Utusan Malaysia atau media milik rakyat yang dikongkong oleh kerajaan Barisan Nasional, iaitu RTM dan media kawalan BN seperti Media Prima yang menguasai TV3, Berita Harian dan New Straits Times, kerja mereka adalah memanipulasi berita atau maklumat bagi tujuan laba politik.

Dengan menyamar sebagai media massa yang mana lessen penerbitan ditentukan oleh UMNO-BN,  memang itulah kerja-kerja politik versi 1Malaysia.
Walau pun definisi propaganda itu adalah usaha memujuk orang ramai menyokong sesuatu pihak, bentuk propaganda yang dipilih oleh versi 1Malaysia ini hanya ada sejenis, iaitu fitnah.

Apa itu propaganda


Pada hakikatnya, propaganda adalah satu manifestasi kerja memanipulasi data atau fakta, baik nombor, ayat, frasa atau gerak-geri pelaku yang ianya digunakan untuk mempengaruhi sokongan umum menerusi persepsi.

Ia dilakukan secara sistematik dengan koordinasi yang cekap dan dengan penglibatan banyak pihak, baik secara profesional atau pun tidak. Matlamatnya ialah untuk terus kekal berkuasa atau mendapatkan kuasa.
Kerja memanipulasi data adalah kerja orang bijak pandai dan pakar dalam bidang tertentu, baik politik, sosial atau ekonomi. Manipulator atau propagandis bukan orang yang tidak bijak, mereka ini rajin membaca, mahir menganalisa dan faham tentang ramalan atau jangkaan kepada sesuatu tindakan.

Ini bermakna propaganda bukan kerja seorang pengampu yang gila glamor atau contract junkies atau pemfitnah yang jahil dalam segala ilmu pengetahuan.

Di Malaysia, inilah jenis propaganda yang menjadi pilihan UMNO-BN yang sengaja memilih untuk menjadi pemfitnah. Kerja menfitnah ini amat mudah berbanding kerja seorang propagandis terlatih yang wajib membaca dan menganalisa sesuatu bahan dengan mendalam.

Kerja menfitnah hanya memerlukan niat dan kreativiti untuk menyalin, menyunting, menampal dan menuduh seseorang secara sembrono. Kemudian, hasil kreativiti yang tidak lengkap ini akan digembar-gemburkan menerusi imej-imej panas atau sensasi di media mereka.

Memang dalam jangka pendek, fitnah busuk ini mungkin berjaya. Tetapi setelah kekal berkuasa atau mendapat kuasa melalui fitnah, pemerintah akan berhadapan dengan masalah sentimen dan kemarahan rakyat yang telah mereka api-apikan.

Lihat sahaja apa yang telah dan sedang berlaku di bumi Arab sekarang. Kenang semula apa yang berlaku di Soviet Union dan negara-negara satelit komunis pada zaman kejatuhan komunisme. Semua ini bencana fitnah sebagai propaganda.

Impian sebagai propaganda


Salah satu model propaganda yang tersusun yang boleh dijadikan contoh ialah sewaktu era Presiden Franklin D. Roosevelt sewaktu Amerika Syarikat menghadapi Perang Dunia Kedua (1939-45). Pada ketika itu kerajaan Amerika menggunakan agensi kerajaan, penulis dan karyawan, pembikin filem Hollywood, stesen radio dan media cetak untuk meyakinkan rakyat bahawa peperangan menentang Jerman Nazi dan Jepun adalah untuk survival hidup mereka demi mengekalkan cara hidup Amerika.

Cara hidup Amerika ini yang dikenali sebagai The American Dream benar-benar terkesan di jiwa rakyat negara itu yang semuanya dari keturunan imigran dari seluruh dunia.

Mereka mengisi makna itu sebagai cara hidup yang ideal, bebas dan merdeka berbanding sistem fasis, komunis dan lain-lain yang bersifat kuku besi yang mengekang kebebasan dan menindas.
Mesej untuk rakyat Amerika ialah idea cara hidup Amerika yang dianggap murni itu perlu dipertahankan dengan menghantar anak-anak muda Amerika pergi berperang di Eropah menentang tentera Nazi dan fasis Musolini dan kawasan Asia Pasifik untuk menumpaskan Jepun.

Bahan-bahan propaganda ini diteliti oleh pakar-pakar dalam bidang tersebut. Ia melibatkan karyawan seni, penulis dan pengkritik dalam semua bidang. Sekali pun propaganda mereka tidak dapat lari elemen palsu dan fitnah, asas propaganda itu tetap ada justifikasi dan logiknya. Dengan makna lain, mereka bukan hentam keromo.

Jika boleh dibuat perbandingan di antara propaganda Amerika dengan propaganda Adolf Hitler, amat jauh dari segi kualitinya. Walau pun Hitler dikatakan pakar propaganda pada awal pemerintahannya sepanjang 1930-an, apabila Jerman mula menghadapi serangan balas tentera Bersekutu dan gerila rakyat Eropah sekitar 1943, pihak Nazi mula menggelabah.

Fitnah sebagai propaganda


Rata-rata propaganda Nazi tidak masuk akal, simplistik dan tidak ada asas-asas rasional yang kuat.
Propaganda Hitler lebih menyerupai kerja pembohongan dan fitnah.
Nazi mendakwa kaum Yahudi menjadi penyebab orang Jerman tidak maju, mahu merampas hak kulit putih dan sebagainya. Apabila Hitler mendapat kuasa pada 1933, jumlah penduduk Jerman ialah 66 juta sedangkan rakyat berketurunan Yahudi hanyalah 500,000 atau 0.008 peratus daripada keseluruhan penduduk negara itu.

Untuk membangkitkan kebencian Jerman terhadap Yahudi, dakwaan itu disertakan dengan pelbagai slogan termasuk propaganda bahawa hanya kaum kulit putih keturunan Arya yang menjadi tuan di bumi Jerman.
Apabila sebahagian rakyat Jerman mula percaya dengan slogan ketuanan kulit putih ini, ia memudahkan Hitler dan Nazi untuk meminggir dan menindas kaum Yahudi. Mulanya harta mereka dirampas, mereka diasingkan daripada mendatangi tempat-tempat yang dikhususkan untuk kulit putih dan pelbagai bentuk penindasan lain.

Apabila sebahagian besar rakyat Jerman sudah cukup benci dengan Yahudi kerana termakan fitnah dan yakin dengan propaganda bahawa merekalah bangsa tuan di bumi sendiri, mereka memejamkan mata apabila Hitler dan Nazi mula menyembelih kaum Yahudi secara beramai-ramai; semua ini dilakukan atas dasar ‘kewajipan’.

Kita dapat lihat dengan jelas ke mana arah tujuan hasil dari dari kerja fitnah ini. Sedangkan ia bermula dari fitnah yang dianggap kecil dan tidak logik. Daripada sekadar memecahkan tingkap kedai orang Yahudi pada tahun-tahun 1930-an, Jerman Nazi dikatakan telah membunuh 6 juta Yahudi termasuk wanita, kanak-kanak dan orang tua sehingga akhir perang dunia pada 1945.

Bukan Yahudi sahaja yang disembelih dan dibunuh, kaum-kaum lain juga menjadi korban Nazi atas dasar ketuanan mulia kulit putih Jerman. Lebih lima juta lagi kaum bukan Yahudi dibunuh Nazi termasuk kaum kulit putih Poland, Gypsy, orang cacat dan sesiapa sahaja yang mereka anggap sebagai kaum yang rendah taraf.
Inilah bahana propaganda fitnah.

Hala tuju propaganda UMNO



Dengan itu juga mungkin kita dapat menganalisa ke mana hala tuju propaganda fitnah UMNO ini.

* Logikkah di Malaysia yang majoritinya orang Melayu dan beragama Islam untuk mengatakan  DAP sebagai sebuah parti dengan jumlah keahlian kecil begitu berani dan bijak hingga mahu menukar agama orang-orang Melayu menjadi Kristian? Adakah ini cita-cita utama DAP yang terkenal sebagai parti demokrasi sekular?

* Logikkah DAP sebagai parti demokrasi sekular mahu menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian?

* Logikkah DAP sebagai parti demokrasi sosial yang menerima pasaran bebas dengan pemantauan kerajaan bagi memastikan pekerja dan rakyat sentiasa dilindungi, ingin menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara komunis? Di mana logik DAP yang menentang komunisme yang anti-kebebasan dan anti-perniagaan mahu mewujudkan sistem yang ditentangnya sendiri?

* Logikkkah DAP dituduh cauvinis, perkauman dan mementingkan satu kaum sedangkan DAP adalah parti pelbagai kaum dan anti-perkauman? Sedangkan yang sering membuat fitnah itu datangnya dari parti yang hanya mementingkan satu kaum, mahu kepada ketuanan kaum.

Jika pembuat fitnah itu semua mahu menjadi propagandis yang berjaya, dicadangkan mereka meluangkan masa sekurang-kurangnya 10 minit sehari untuk membaca buku-buku yang diiktiraf dunia supaya mereka lebih faham apa itu idea sekular, demokrasi sekular, demokrasi sosial, negara Islam, negara Kristian, komunis dan komunisme, serta makna sebenar cauvinis dan perkauman.

Apakah mereka lupa bahawa PAP pimpinan Lee Kuan Yew (yang mana PAP sering dikaitkan dengan DAP) telah bersekongkol dengan UMNO yang diterajui oleh Tunku Abdul Rahman untuk menghancurkan gerakan komunis di Malaya dan Singapura dahulu?

Bawa-bawalah beristighfar, ada banyak lagi perkara yang penting ingin DAP dan Pakatan Rakyat lakukan di Malaysia ini. Memperbaiki pentadbiran negara, memulihkan dasar ekonomi, menyuburkan demokrasi dan kebebasan serta memastikan pelaksanaan keadilan menjadi keutamaan DAP, PAS dan PKR.

Janganlah kerana tidak mampu untuk lakukan ini semua, dicari jalan mudah dengan menabur fitnah yang akan memberi kesan buruk kepada masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini. Apa guna mendapat kuasa jika rakyat hidup melarat, benci-membenci, malah bunuh-membunuh antara satu sama lain?
Hentikanlah kerja-kerja fitnah terutamanya jika pemfitnah itu mengaku diri manusia beragama. Semua orang sudah beragama, apa perlu sibuk-sibuk hendak menukar agama orang lain. Membuka hati itu bukan kerja manusia. Hanya Tuhan yang menentukan.

Oleh Daing Yahya Roketkini.com


Photobucket

TAJ MAHAL ADA SAINGAN

on



CALCUTTA, India – Sebuah struktur menyerupai stesen angkasa lepas lengkap dengan taman di atas bumbungnya merupakan antara lebih 12 rekaan unik yang tersenarai dalam pertandingan Festival Arkitek Dunia di bandar raya Barcelona, Sepanyol pada tahun depan.

Sekali pandang, struktur futuristik itu kelihatan tergantung di udara pada ketinggian 100 meter dari tanah.

Diberi nama Atmosphere, ia sebenarnya menyambungkan dua bangunan pencakar langit. Reka bentuk struktur berkenaan yang kelihatan lebih hebat daripada bangunan Taj Mahal dihasilkan beberapa arkitek di sini.

Idea untuk menghasilkan binaan tersebut diinspirasikan daripada kehidupan tradisional masyarakat Hindu.

Atmosphere memiliki 80 unit rumah yang sesuai diduduki oleh pasangan berkeluarga.

Antara penyertaan lain yang turut menarik perhatian sempena pertandingan berprestij itu termasuk bangunan reben coklat dan bangunan kulit kerang.  



Agensi

Photobucket

Hujan diramal di Semenanjung pada Aidilfitri

on




KUALA LUMPUR: Negeri di utara dan pantai timur Semenanjung serta ibu kota, Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan dijangka meraikan Aidilfitri dalam suasana hujan yang diramal turun esok sehingga Rabu.

Jurucakap Jabatan Meteorologi Malaysia memberitahu Bernama di sini hari ini, hujan berterusan itu bagaimanapun pada amnya tidak akan menyebabkan banjir.


Akan tetapi kejadian banjir juga bergantung kepada kawasan di negeri terbabit, katanya.

Sementara itu, laporan pada laman web jabatan tersebut menyatakan Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Negeri Sembilan mengalami hujan di beberapa tempat pada sebelah petang esok.

Negeri-negeri lain diramal mendung dengan ribut petir pula dijangka melanda Perak, Pahang dan Johor Timur pada sebelah petang, kata laporan itu.

Pahang dan Terengganu Selatan dijangka mengalami hujan di satu dua tempat manakala cuaca di tempat lain diramal baik pada sebelah malam.

Bagi umat Islam di Sabah dan Sarawak, mereka dijangka dapat meraikan Aidilfitri dalam keadaan cuaca baik pada sebelah pagi untuk tempoh dua hari akan datang.

Ribut petir diramal berlaku pada sebelah petang di Kuching, Samarahan, Miri, Limbang dan Kapit, manakala bahagian lain dijangka hujan, sementara cuaca di Sandakan, Tawau dan Kudat di Sabah diramal baik.

Maklumat lanjut mengenai cuaca boleh diperolehi menerusi www.met.gov.my.

- Bernama 



Photobucket

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List