SELAIN KHALWAT BADROL AMIN, ADA PERKARA YANG LEBIH BESAR BERLAKU DI KUANTAN

on Mar 13, 2012




Jika para penganalisis politik menganggap PAS Kedah sedang menghadapi krisis kepimpinan yang runcing, Parti Keadilan Rakyat pimpinan Anwar Ibrahim bertambah lagi kepincangan dalamannya.

Kejadian khalwat yang didakwa membabitkan Ketua Penerangan Negeri Selangor, Dr Badrolamin Bahron dengan isteri orang di Kuantan, 25 Februari lalu, bukan sahaja telah melenyapkan peluang orang kuat Anwar itu untuk menjadi calon pada pilihan raya umum akan datang, tetapi juga secara tidak langsung telah membongkar satu skandal politik yang bakal menggugat masa depan parti reformasi jalanan itu.

Ketika Dr Badrolamin yang dipanggil 'ustaz' di kalangan penyokong PKR, di tahan dalam serbuan oleh pegawai Jabatan Agama Islam Pahang di sebuah hotel di Kuantan, beliau dikatakan berada di ibunegeri Pahang itu kerana menghadiri satu perjumpaan dan taklimat parti.

Maklumat yang tidak diketahui oleh kebanyakan pimpinan PKR peringkat samada di peringkat negeri mahupun di peringkat cabang ialah perjumpaan itu bersifat rahsia dan mereka yang hadir adalah atas jemputan khas sahaja.

Sumber dalaman PKR memberitahu taklimat tersebut dianjurkan di bawah pengawasan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail.

Amat mengejutkan perjumpaan yang turut dihadiri oleh Anwar dan Presiden PKR, Wan Azizah Wan Ismail serta Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar TIDAK disertai oleh Timbalan Presiden, Azmin Ali.

Sumber PKR memberitahu, Saifuddin sengaja mengadakan taklimat khas itu tanpa pengetahuan Azmin dan mengambil peluang keemasan ketika bekas Setiausaha Sulit kepada Anwar itu berada di luar negara.

Lebih mengejutkan mereka yang hadir pada perjumpaan iu adalah individu-individu yang berpotensi besar dipilih sebagai calon pada PRU ke-13 nanti.

Satu kesimpulan boleh dibuat daripada perjumpaan tersebut.

iaitu pengaruh Azmin di dalam PKR semakin berkurangan dan nampaknya beliau kian disisih.

Ini jelas terbukti apabila Anwar dan Wan Azizah merestui taklimat yang dipanggil oleh Saifuddin khas melalui SMS sahaja tanpa sebarang jemputan rasmi secara bertulis.

Dikalangan ahli PKR, menjadi satu rahsia terbuka bahawa Saifuddin dan Azmin tidak sebulu dan Setiausaha Agung itu dilihat sebagai pencabar berpotensi mengugat jawatan Timbalan Presiden yang dipegang Azmi kini pada pemilihan parti tahun depan.

Azmin kini dikatakan sedang 'mengamuk' kerana majoriti mereka yang dijemput Saifuddin ke perjumpaan rahsia itu bukan kroni atau pilihan Azmin sebagai calon yang akan bertanding samada kerusi Parlimen atau DUN.

Azmin dikatakan akan menyuarakan ketidakpuasan hatinya pada mesyuarat Biro Politik parti dalam masa terdekat.

Kehadiran Wan Azizah juga seolah-olah dilihat mengabsahkan teori bahawa beliau sebenarnya tidak sukakan Azmin sejak era Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri lagi.

Apatah lagi pada pemilihan parti 2010, anaknya Nurul Izzah pada satu ketika menimbang untuk turut serta dalam pertandingan merebut jawatan Timbalan Presiden PKR.

Kini apa yang berlaku di Kuantan dua minggu lalu mengesahkan kumpulan Wan Azizah telah melakukan rampasan kuasa terhadap Azmin.

Kumpulan Wan Azizah dikatakan terdiri daripada Nurul Izzah, Saifuddin, Khalid Ibrahim, Tian Chua, Shamsul Iskandar Mohd Akin serta Mustafa Kamil Ayub.

Mereka ini secara terang-terangan menunjukkan rasa tidak puas hati dan setuju dengan tindakan dan dakwaan penyelewengan berleluasa yang didalangi oleh pihak yang didokong Azmin pada pemilihan parti lalu.

Azmin pula di sokong oleh Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin, ADUN Batu Caves dan ADUN Seri Muda, Shuhaimi Mat Shafiei.

Dalam pertelingkahan dua puak dalam PKR ini, Anwar memainkan peranan pecah dan perintah.

Tindakan beliau merestui taklimat rahsia itu seolah-olah mahu mengekang kuasa dan pengaruh Azmin di dalam parti dan memastikan Nurul Izzah satu hari nanti akan mewarisi PKR dari ibunya.

Yang menarik dalam masa terdekat apakah bentuk tindakan politik yang bakal diambil oleh Azmin bagi menyerang balas gerakan Saifuddin bagi mengekalkan kuasa dan pengaruh sebelum beliau kehilangan kedua-duanya.



Photobucket

Artis Diugut Bunuh Kerana 3 Permintaan Pada Perdana Menteri.

on

KUALA LUMPUR: “Apa salah dan dosa saya, hanya disebabkan mengusulkan permintaan cermin kereta gelap kepada menteri, saya menerima banyak ugutan termasuklah mahu dirompak dan dibunuh.



“Saya bimbang keselamatan diri dan isteri yang kini mengandung lima bulan,” kata pelakon dan Timbalan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi atau nama sebenarnya Rozaidi Abdul Jamil, 32.


Itu nasib diterima Zed Zaidi selepas dia yang mewakili Seniman mengusulkan tiga permintaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Maglin Dennis D’Cruz dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada Festival Barisan Nasional (BN) Youth Music 2011 di The Curve, Petaling Jaya, 4 Mac lalu.


Ketiga-tiga usul dipohon adalah peruntukan kuota Rumah Rakyat 1Malaysia (PR1MA), perlindungan insurans dan penggunaan cermin kereta gelap untuk artis namun bagi kes cermin kereta, Zed Zaidi menerima tamparan hebat sejurus dikritik, dimaki hamun selain menerima ugutan rompak dan bunuh oleh pihak tidak berpuas hati dengannya.




“Saya menerima banyak ugutan di facebook, twitter, blog, forum Internet, e-mel, panggilan dan mesej yang mahu membunuh dan merompak saya. 






Ketika pelakon-penerbit Zed Zaidi yang sedang baru hendak menikmati sarapan bersama isterinya, di sebuah kedai, momen santai mereka bertukar menjadi satu insiden memalukan apabila Zed dimaki oleh sekumpulan lelaki di hadapan isterinya, pagi semalam.


Semuanya gara-gara Zed yang juga merupakan Timbalan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) dikatakan akan mewakili persatuan Seniman untuk mengusulkan cadangan bagi memberi keizinan artis memasang cermin gelap, kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, menerusi laporan media sebelum ini. 


Di laman portal murai.com menyatakan insiden itu tercetus apabila pihak berkenaan telah salah faham dengan isu tersebut.


Zed Zaidi memberitahu, sebetulnya itu bukanlah usul yang patut dikemukannya. Sebaliknya usul itu timbul tatkala beberapa media bertanyakan akan hal tersebut. Dan dia hanya sekadar menjawab berkemungkinan besar tetapi ia belum ada dalam bentuk bertulis lagi. Apatah lagi, ia bukanlah usul sah yang akan dibentangkan kepada Kementerian Dalam Negeri ((KDN).


Jelas Zed lagi esok dia akan bertemu dengan Menteri Dalam Negeri iaitu Datuk Seri Hishammuddin Hussein untuk membentangkan usul yang ketiga berkenaan. Apakah usul berkenaan, ada baiknya pihak KDN yang mengumumkannya nanti," katanya.


Mengulas lanjut mengenai insiden memalukan itu, meskipun dia dimaki dan dikutuk dengan macam-macam tuduhan, Zed menegaskan tidak hairan dengan gertakan yang ditujukan terhadap dirinya itu. Namun, jauh disudut hatinya terdetik rasa malu kerana perkara tersebut, berlaku di hadapan isterinya yang sedang mengandung cahaya mata sulung. Oleh sebab kumpulan itu sekadar mengertaknya, Zed tidak membuat sebarang laporan polis.



Photobucket

Hasan Ali Akan Saman Dua Pemimpin Kanan Pas

on



Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor Datuk Dr Hasan Ali Datuk akan menyaman Naib Presiden Pas Datuk Mahfuz Omar dan Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor, Khalid Samad kerana memfitnahnya.

Bekas Exco kerajaan negeri Selangor itu berkata, saman kepada dua pemimpin Pas itu akan difailkan dan dikemukakan segera dalam minggu ini.

“Yang Berhormat Ahli Parlimen Pokok Sena (Mahfuz) minggu lalu kata saya terima RM30 juta dari Kementerian Belia dan Sukan (KBS), minggu ini saya akan saman dia.

“Bila Ahli Parlimen Shah Alam (Khalid) katakan saya dibiaya syarikat besar dan dia sudah namakan pun syarikat ini, saya akan saman dia juga minggu ini,” katanya ketika ceramah Bicara Semasa: Bersatulah Umat Selamatkan Akidah, di Dewan Jubli Intan, di sini.

Ceramah berkenaan dihadiri oleh lebih 1,000 penduduk dari kawasan sekitar daerah ini.

Mahfuz sebelum ini dalam laman portal pembangkang mendakwa terdapat unit di bawah KBS telah menyumbang sebanyak RM30 juta bagi menaja siri ceramah Hasan di seluruh negara bagi menarik golongan muda memihak kepada kerajaan.

Sementara itu, Khalid pula mendakwa Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan Puncak Niaga Bhd sebagai penaja kepada Hasan dan juga JATI.




Photobucket

Shahrizat Tetap Menjadi Liabiliti Kepada Umno/BN

on




Lebih baik Shahrizat lepas semua jawatan


SHAH ALAM - Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil perlu profesional dengan melepaskan kesemua jawatannya bukan hanya tidak mahu disambung sebagai ahli Dewan Negara.

Penganalisis Politik, Prof Dr Ahmad Attory Hussien berkata, beliau disarankan berbuat demikian demi kepentingan negara, parti dan rakyat.

“Karier politiknya telah berakhir. Lebih baik beliau melepaskan semua jawatannya kerana selama ini beliau dilihat sebagai liabiliti kepada Barisan Nasional (BN) dan Umno,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengumuman keputusan Shahrizat berundur sebagai menteri apabila tempoh pelantikannya sebagai Senator tamat pada 8 April ini.

Menurutnya, Shahrizat menjadi mangsa kes mengaitkan suaminya iaitu, Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation (NFCorp), Datuk Dr Mohamad Salleh Ismail yang dikaitkan dengan isu Pusat Fidlot Nasional (NFC).

Beliau berkata, Wanita Umno amnya, perlu menjelaskan kepada rakyat mengenai isu itu.

“Lebih baik beliau melepaskan semua jawatannya meskipun Wanita Umno mengakui kredibiliti beliau.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga dilihat cuba mengekalkan Shahrizat, tetapi rakyat tidak mahu beliau berada dalam Kabinet dan parti lagi,” katanya.

Sementara itu, pemerhati politik, Prof Madya Dr Shamrahayu Abdul Aziz menyifatkan tindakan Shahrizat itu adalah langkah terbaik dan menunjukkan beliau bertanggungjawab sebagai ahli politik.

Bagaimanapun, lebih baik sekiranya beliau melepaskan semua jawatannya kerana isu NFC berkait dengan dirinya dan ia perlu diselesaikan terlebih dahulu.

“Kita bimbang, jawatan dalam parti beri implikasi tidak baik kepada parti. Terpulanglah kepadanya kerana wujud perbezaan di antara jawatan menteri dan dalam parti.

“Secara umumnya dalam parti pemilihan dilakukan oleh ahli-ahli parti manakala jawatan menteri itu berkhidmat dan bertanggungjawab kepada rakyat dan negara,” katanya.

Ditanya mengenai karier Shahrizat akan berakhir disebabkan isu NFC, Shamrahayu menegaskan hidup dan mati di dalam politik akan berlaku banyak kali kepada ahli politik.

“Sekiranya gagal dalam pilihan raya tetapi ‘hidup’ dalam Umno, mereka akan diberikan jawatan menteri. Kekuatan dalam politik memberikan mereka peluang untuk terus berada dalam arena politik.

“Tindakan Shahrizat adalah terbaik dan menunjukkan beliau berpolitik bukan untuk kepentingan peribadi,” katanya.


sumber

Photobucket

BN Selangor Buka Bilik Gerakan Untuk Terus Hulur Bantuan Bantu Mangsa Banjir

on





Barisan Nasional Negeri Selangor hari ini memberi dan menyalurkan bantuan segera kepada mangsa-mangsa banjir di Kampung Lembah Jaya, Ampang sebagai permulaan bagi meringankan beban mangsa banjir di kawasan ini.

Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor,  Datuk Seri Noh Omar berkata, hari ini pihaknya menyediakan 2,000 nasi bungkus kerana difahamkan rumah-rumah di sekitar Kg Lembah Jaya, Ampang ini mengalami kerosakan yang teruk termasuk sebahagian besar dapur dihanyutkan banjir.

“Malam ini Tekun Nasional memberikan sumbangan sebanyak RM5,000 untuk kita mengadakan gotong-royong menyediakan makanan kepada penduduk dan mangsa banjir di sini.

“BN cuba memberikan bantuan makanan kepada mangsa-mangsa banjir yang masih lagi belum dapat mulakan kehidupan seperti biasa, masak di rumah masing-masing,” ujarnya selepas memberikan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir di Kampung Lembah Jaya, Ampang di sini, hari ini.

Dalam masa yang sama, beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN Selangor berkata BN negeri juga menerima bantuan bahan-bahan mentah seperti beras, memandangkan mangsa banjir kini tidak ada dapur untuk memasak, BN Selangor juga memberikan sumbangan sebanyak 331 tong gas dan juga dapur dengan harapan dapat meringankan beban mangsa.

“Kita juga akan memberikan bantuan pakaian kepada anak-anak yang bersekolah, saya difahamkan bahawa pakaian sekolah anak-anak ini telah pun rosak. Jadi untuk memastikan semua mangsa ini akan dapat bantuan yang disediakan BN Selangor, saya minta pimpinan BN di Ampang dan di Hulu Langat  membuat kajian secara terperinci

“Kajian secara terperinci  ini penting supaya tidak ada mana-mana mangsa yang tertinggal. Dalam memberikan bantuan ini, kita tidak ‘memilih bulu’, kita mengamalkan konsep 1Malaysia, maka kita akan bagi kepada semua yang benar-benar memerlukan tanpa mengira fahaman politik,” ujarnya.

Tambah beliau, mangsa banjir di Ampang dianggarkan dalam 331 buah keluarga manakala di Hulu Langat melibatkan 3,000 lebih keluarga yang menjadi mangsa kejadian banjir pada 7 Mac lalu.

“Sehubungan dengan itu, BN Selangor meminta semua pimpinan BN di semua peringkat turun ke akar umbi membuat kajian supaya mereka yang benar-benar yang terlibat yang akan mendapat bantuan dan kita harap tidak ada mana-mana pihak yang akan mengambil kesempatan di atas bantuan kecemasan yang akan kita salurkan ini.

“Saya yakin dengan kerjasama semua pimpinan BN, insya-Allah kita akan dapat bancian yang terperinci dan akan cuba untuk memberikan kepada semua orang yang terlibat,” ujarnya

Sehubungan dengan itu, BN akan terus membuka bilik gerakan banjir di Ampang dan Hulu Langat, bagi meneruskan penyampaian bantuan kepada mana-mana mangsa banjir di dua kawasan ini. -MediaUMNO


Photobucket

Pru 13- New Deal Untuk Sabah Dan Sarawak

on

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjjo0aI4OUqZgUZa2FlPDYPPpaHTXVJj3HAfl6f7bAUSQhtDwqayMq2-1gLBMyDSKK7G0woVAtbxcH9cvPmX_MbR4XhW-GGnKvEl7i1iwae7-9DW74BAXiFFHlocnC2OBU90ZB84zAbsfg/s1600/PRU13.jpg



‘Parlimen akan bubar tamat sessi parlimen yang sedang bersidang” ayat sms saya terima dari seorang blogger pro pembangkang baru-baru ini. Saya bersetuju PRU ke 13 akan diadakan selewat-lewatnya bulan Jun kerana kemelut ekonomi Eropah dan USA akan mulai terasa selepas itu.

Apa pun BN masih ada masa dan PRU boleh diadakan pada bila-bila masa sehingga tempuh penggal berakhir pada 24 April 2013.

Di Semenanjung Malaysia, PRU 13 sudah pasti persaingan antara calon-calon BN dan PR, baik diperingkat negeri mahupun Parlimen. Kemunculan “Third Force” atau parti-parti kecil seperti parti KITA yang buat U-turn, dijangka tidaklah menjejaskan perlawanan satu lawan satu antara BN dan PR.

Di Sabah persaingan sudah tentu dari pelbagai penjuru! Kemunculan parti-parti baru yang muncul menjelang PRU diibarat bagai cendawan tumbuh di musim hujan.

Di Sarawak, fokus hanya tertumpu pada perebutan kerusi parlimen kerana pilihan raya negeri telah diadakan pada bulan April 2011 di mana parti-parti tempatan (PBB, SPDP, dan PRS) telah memberi mandat kepada BN untuk memerintah Sarawak sepenggal lagi. Kecuali parti SUPP yang kalah semua kerusi di kawasan bandar. DAP menang 12 dan PKR menang 3 kerusi.

Dari segi strategi, di Sarawak, Pakatan Rakyat telah berjaya mencapai kata sepakat, di mana hanya satu parti pembangkang mencabar BN. Sebagai contoh N.09-Padungan (23,576) majoritinya pengundi Cina, calon DAP Wong King Wei menang mengalahkan BN-SUPP Sim Kiang Chiok dengan majoriti 7,884, PKR dan PAS tidak bertanding.

Formula yang sama boleh dibuat di Sabah jika ada persefahaman dan pemimpin-pemimpin pembangkang di Sabah mencapai kata sepakat ‘satu matlamat satu perjuangan’. Namun ramai juga melahirkan keraguan, kata sepakat itu tidak akan tercapai kerana BN bijak dengan taktik ‘divide and rule’!

Pada PRU – 12, BN Sabah hanya kalah satu kerusi Parlimen kepada DAP daripada 25 kerusi. UMNO menang -13, UPKO - 4, PBS - 3, SAPP -2, LDP – 1 dan dan PBRS menang 1 (tanpa bertanding).

Diperingkat negeri, BN hampir menang semua 60 kerusi DUN. UMNO – 34, PBS – 12, UPKO – 4, LDP – 3, SAPP – 4, PBRS – 1, MCA – 1, dan parti pembangkang DAP menang satu kerusi.

Ada beberapa kerusi seperti DUN Inanam, Kepayan, Api-Api, Luyang dan kerusi Parlimen Sandakan yang boleh dimenangi parti pembangkang jika tidak berlaku perlawanan 3 atau 4 penjuru antara PKR, DAP dan PAS serta parti pembangkang dan calon Bebas.

Pada PRU akan datang, BN Sabah sudah pasti akan menggunakan pembahagian kerusi yang sama untuk berhadapan dengan PKR, PAS dan DAP. Manakala parti-parti pembangkang di luar Pakatan Rakyat telah mengumumkan bertanding semua kerusi negeri dan Parlimen!

STAR dilaporkan telah mencapai kata sepakat dengan SAPP dan USNO (parti yang belum berdaftar) di bawah satu gagasan yang dipanggil United Borneo Alliance (UBA).

Dengan perkembangan terbaru ini dan jika parti-parti pembangkang di luar PR terus berdegil dengan hasrat mereka bertanding ‘free for all” saya tidak nampak hasrat rakyat untuk merealisasikan perubahan di negeri Sabah akan menjadi kenyataan.

Sejak 4 bulan lalu sebagai Penolong Ketua Penerangan PKR saya dijemput memberi ceramah hampir setiap hari terutama pada hujung minggu di seluruh pelosok negeri Sabah. Saya memberi penerangan matlamat PR ialah menjadi pemerintah alternatif kepada BN diperingkat persekutuan. Berdasarkan keputusan PRU 2008, hanya PR yang boleh kalahkan BN, bukan parti-parti seperti STAR, SAPP atau SPF.

Saya menjangkakan matlamat STAR untuk mengambil alih peranan PBS, UPKO dan PBRS. Walaupun parti STAR begitu lantang membawa isu-isu mengenai hak Sabah seperti Perkara 20 dan royalti minyak namun kepimpinannya tahu, perjuangan itu sia-sia jika BN terus berkuasa diperingkat Persekutuan.

Amat ketara jika kepimpinan STAR enggan berkerjasama dengan PR bermakna parti itu telah bersedia untuk berkerjasama dengan BN. Apa yang diperjuangkan STAR ialah mengambil peranan parti-parti Kadazandusun based seperti PBS, UPKO dan PBRS dan pemimpinnya mendapat kedudukan dan jawatan menteri seperti jawatan yang diberikan kepada pemimpin PBS, UPKO dan PBRS.

Pengundi Kadazandusun benar-benar keliru dengan perkembangan yang berlaku. STAR nampaknya mempunyai banyak kewangan dengan mengadakan perjumpaan besar-besaran. Ada seorang penceramah mendakwa STAR diberi bantuan kewangan berjumlah RM4 juta daripada UMNO untuk memecah belahkan sokongan PR di Sabah.

Apakah dakwaan itu benar? Memang sukar dibuktikan namun STAR telah mampu menggerakkan jenteranya lebih aktif daripada PR dan SAPP.

Dalam satu sessi ceramah di kampong Rosok, Kota Belud pada 9hb Mac lalu, saya beritahu mereka
perjuangan STAR sama seperti PBS pada 1985. Setelah PBS memerintah selama dua penggal, apakah PBS berjaya pulihkan 20 Perkara? Apakah PBS mampu mendesak kerajaan Persekutuan mengkaji semula perjanjian Malaysia 1963? Apakah PBS berjaya naikkan royalti minyak daripada 5%?

Jawapannya TIDAK!

Pada pru 2008, isyarat tsunami tidak sampai ke bumi Borneo. Rakyat Sabah dan Sarawak masih beranggapan rakyat di tanah besar Malaya masih mempertahan BN. Tetapi terbukti daripada keputusan PRU 2008 dan 16 pilihan raya kecil, rata-rata rakyat Malaysia terutama golongan muda mahu reformasi dan menolak transformasi.

Persoalannya, kenapa rakyat Sabah yang terkenal dengan keberaniannya untuk merubah kerajaan tidak mengambil peluang yang terbentang luas untuk sama-sama menumbangkan kerajaan BN yang telah memerintah Sabah selama 49 tahun?

fikir-fikirkanlah....


Oleh Musli Oli

Photobucket

Adakah wanita hari ini penentu generasi hari esok...?

on

Wanita merupakan lebih separuh daripada jumlah penduduk negara ini yang kini telahpun mencecah lebih kurang 28 juta orang.  Demikian pula, wanita juga merupakan separuh daripada populasi dan penghuni bumi.  Pengiktirafan ke atas wanita telah mendorong persetujuan PBB pada tahun 1975 untuk menetapkan bahawa tanggal 8 Mac setiap tahun itu sebagai tarikh rasmi bagi sambutan Hari Wanita Antarabangsa (HWA), iaitu setelah HWA disambut buat kali yang ke-64!



Barangkali tidak ramai yang tahu bahawa tanggal 8 Mac 2012 baru-baru ini merupakan sambutan HWA untuk kali yang ke-101 tahun.  Sekaligus membawa maksud usaha pemberdayaan wanita dari kacamata Barat (termasuk wilayah pengaruh jajahannya) telah dilipatkaligandakan secara terancang lebih kurang satu abad yang lalu, sekalipun kelihatannya agak terkemudian berbanding pengiktirafan ke atas wanita yang telah diberikan Islam, iaitu lebih kurang 1400 tahun yang silam.

Kali pertama HWA ini disambut ialah pada 19 Mac 1911 oleh Austria, Denmark, German dan Switzerland.  Terdahulu, ideanya bermula pada tahun 1910 dalam satu Mesyuarat Pertubuhan Sosial Antarabangsa yang kemudiannya menyaksikan sambutan pada tahun berikutnya melibatkan lebih kurang 1 juta orang wanita, dengan dijayakan bersama-sama dengan kaum lelaki.

Di peringkat negara kita sendiri, HWA telah disambut kali pertamanya pada tahun 1975 dan sebagai rakaman sejarah, negara pada 8 Mac 1975 telah melancarkan Setem Kenang-Kenangan Sambutan Hari Wanita Antarabangsa.  Ironinya, pada masa yang sama terdapat satu lagi tarikh untuk Sambutan Hari Wanita di peringkat Malaysia (dalam negara) iaitu pada tanggal 25 Ogos setiap tahun.  Malangnya, tarikh ini adalah hanya mewakili kepentingan segelintir iaitu sempena sejarah penubuhan Ibu UMNO yang sekaligus tidak zahir daripada pertimbangan yang barangkali adil untuk semua wanita yang realitinya terdiri daripada pelbagai latarbelakang sosial dan ideologi perjuangan serta ideologi politik masing-masing.



Nah, ini antara cabaran kita dalam menyatukan kepelbagaian wanita itu agar upaya duduk semeja bagi membincangkan perihal paling butuh dan paling perlu demi kelangsungan Generasi Hari Esok, yang nantinya bisa belajar bagaimana untuk terus memacu kebangkitan dan kemajuan meski dalam wadah yang cukup berbeda!  Iyya, perbedaan itu sesungguhnya tidak wajar merencat apa jua usaha ke arah yang lebih baik, apatah lagi jika kita meletakkan kepentingan kelangsungan warga manusia dan martabat kemuliaan wanita itu sendiri di neraca kewajarannya.

Siapa wanita hari ini dan apa cabarannya?

Bila kita bercakap tentang siapakah wanita itu pada hari ini, maka kita mesti jujur dalam menyatakan siapakah sebenarnya wanita itu.  Kita tidak boleh bersikap, bila bicara sahaja soal wanita maka kita terperangkap dalam fahaman wanita itu adalah kita semata-mata.  Jika dengan andaian itu, maka tentulah kita sebenarnya gagal untuk sejujurnya memahami, mengenali dan menyantuni segala persoalan yang berhubungkait langsung dengan kehidupan realitas para wanita, sekaligus segala yang berimpak daripada kewujudannya.



Hakikatnya, wanita pada hari ini merupakan entiti rasmi negara yang terdiri daripada pelbagai latarbelakang sosial, ekonomi dan politik.  Ada yang berpendidikan rendah, menengah, tinggi hatta masih ada juga yang buta huruf khususnya di kawasan kampung, desa dan pedalaman terpencil.  Ada yang suri rumah, petani, nelayan, peneroka, peniaga hatta mereka yang berkerjaya dengan profesion-profesion tertentu seperti Peguam, Doktor, Jurutera, Ahli Politik, Aktivis Sosial dan seumpamanya.

Ada juga yang akibat desakan hidup mereka terpaksa menjadi Pelacur, GRO dan menjual maruah samada untuk meneruskan hidup, tidak kurang juga bagi mengejar status dan hidup mewah.  Ada yang merupakan penagih dadah, penghidap HIV, mangsa dera, mangsa keganasan, mangsa perceraian, gantung tidak bertali, ditinggalkan suami tanpa nafkah (di mana 3.4 juta wanita kita merupakan Ibu Tunggal), dirogol, dibunuh, dijual dan dilacur oleh sindiket pemerdagangan manusia yang kita difahamkan Malaysia merupakan salah sebuah negara paling berisiko dengan masalah ini.

Ada yang hidup bebas merdeka, ada juga yang hidup "terpenjara", terpaksa menjadi "hamba" khususnya kepada sebilangan lelaki tidak bertanggungjawab.  Ada yang terperangkap dengan "cinta nafsu", akhirnya kecundang di bawah sinaran neon kota kosmopolitan lantas terpalit zina yang kemudiannya pula menjadi pembunuh bayi-bayi mereka yang tidak berdosa.



Wajar juga kita menginsafi dapatan daripada statistik rasmi negara bahawa setiap 17 minit akan lahir seorang anak luar nikah, setiap 15 minit sebuah institusi rumah tangga akan runtuh (berlaku perceraian), setiap hari lebih kurang 10 orang wanita menjadi mangsa rogol, setiap hari 4 orang kanak-kanak akan hilang, setiap 3 orang daripada 6 orang remaja wanita mengaku pernah melakukan hubungan seks haram dan pelbagai data dan statistik yang cukup menggerunkan kita semua!

Nah, rencam bukan?  Inilah realiti wanita kita pada hari ini.  Justeru, kita semua kaum wanita seharusnya sedar yang pelbagai cabaran besar sedang menunggu kita baik pada masa kini hatta pada masa akan datang.  Bahkan sepanjang tarikan dan hembusan nafas kita, juga pada setiap derap dan langkah kita adalah perjuangan untuk sebuah kehidupan yang lebih bermakna di dunia dan juga di akhirat kelak.



Apatah lagi tanggungjawab kita bagi memastikan kelangsungan Generasi Hari Esok, maka mahu tidak mahu, suka tidak suka - WAJIB untuk kita berubah dan berusaha sedaya mungkin memperbaiki dan memperelokkannya; bukan hanya dengan perasaan, bukan lagi hanya dengan perkataan, tetapi kini WAJIB BANGKIT merubahnya dengan TANGAN dan perbuatan!  18 Mac 2012 insyaAllah pastikan kita semua menjadi penyumbang kepada suatu Kebangkitan Baru:WANITA SUARA PERUBAHAN!

Keyakinan kita, insyaAllah, setiap perjuangan yang benar itu betapa ditekan tetap ia menjalar.  Tanpa dibaja kan tetap ia mekar.  Tanpa udara sekalipun kan tetap ianya segar.  Medium dan seni perjuangan itu luas dakwahnya.  Jangan sama sekali disempitkan sesempit aqal yang tumbesarannya bonsai dalam asuhan Regim!

Rumusan saya, cabaran yang menunggu golongan wanita sekarang terlalu banyak.  Maka adunan kecekapan, kemahiran, kebijaksanaan, kesabaran dan kekentalan semangat hatta seni dalam kepimpinan itu kini suatu yang wajib dimiliki oleh setiap diri di kalangan kita para pejuang wanita yang insyaAllah nantinya akan memastikan kita berjaya mengatasi setiap dugaan, ujian dan rintangan.  Tanpa segala keinsafan, kesedaran dan sifat-sifat ini, kita tidak mungkin upaya menjadi pencorak dan penentu Generasi yang lebih baik untuk negara serta masyarakat kita pada hari esok.



Bangkitlah Wahai Adik-Adikku Wanita-Wanita Muda.
Bangkitlah Wahai Seluruh Denyut Nadi Dan Srikandi Negara.
Jangan Biarkan Langkahmu Hanya Terhenti Di Rumah! Sungguh, Ummah Sedang Menanti Senimu Dalam Berdakwah.  Segala Derita Dan Sengsara Mereka Mesti Disembuh, Mesti Dirawat Dengan Segala Hikmah Dan Fatanah.  HIDUP KEBANGKITAN BARU!

*Aiman Athirah Al Jundi (gambar kiri) ialah Ketua Penerangan Muslimat PAS Malaysia.




Photobucket

PAS Selangor abai kerusi Melayu...?

on



Khamis 1 Mac, saya, isteri dan wartawan Harakah Selangor, Saidah Hairan ke Tanjong Karang dan kawasan sekitarnya, sehingga melewati kawasan Sungai Besar. Meskipun agak kerap ke sana menziarahi keluarga sebelah 'orang rumah', namun kunjungan kali ini lebih kepada tinjauan rambang Harakah terhadap situasi politik Selangor, negeri yang menjadi idaman Najib Razak.

Setiap kali melewati pekan Tanjong Karang, Sekinchan dan Sungai Panjang, ia  mengingatkan saya peristiwa lebih sepuluh tahun lalu, tentang pendedahan salahguna kuasa dan rasuah membabitkan bekas Menteri Besar Selangor, Dr Khir Toyo.

Bersama rakan-rakan yang pernah mengusahakan penerbitan tabloid politik tanpa permit, kami waktu itu mengutip maklumat dan menjejak bukti, termasuk untuk menyiapkan laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (sekarang Suruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia).

Tidak cukup dengan itu, saya bersama Dinsman dan pengarah Nasir Jani turut merakamkan pengambaran video di sekitar Tanjong Karang -- termasuk rumah sewa Khir di Sekinchan, jalan termahal merentasi bendang dan juga mencari reban ayam --  bagi memperkukuhkan dakwaan kami bahawa Khir terbabit dengan pelbagai bentuk penyelewengan dan korupsi.

Seingat saya, Ketua Pembangkang Dun Selangor, Dr Hasan Ali, yang juga Adun Sungai Burong 1999-2004, terbabit sama. Beliau turut membuat aduan rasuah Khir di Ibu Pejabat BPR, di Putrajaya.

Kini, ketika banyak pihak ghairah berbicara (dan berteka-teki) dengan kecenderungan politik pengundi Melayu, bagi saya, kerusi-kerusi yang ditandingi PAS di empat kawasan Parlimen, iaitu Kuala Selangor, Tanjong Karang, Sungai Besar dan Sabak Bernam, perlu didekati dengan lebih rapat.

Selepas tsunami politik empat tahun lalu, ramai beranggapan pengaruh PAS masih tersekat di kawasan majoriti pengundi Melayu dan kampung-kampung tradisi tertentu. Justeru, saya kira Harakah sebagai lidah rasmi parti wajar menjadikan kerusi-kerusi seumpama itu, termasuk di Selangor, sebagai kawasan fokus.

Dalam Pilihan Raya Umum 2008, di kawasan berkenaan, PAS bertanding lima kerusi Dun: Jeram, Sungai Burong, Sungai Panjang, Sabak dan Sungai Air Tawar. Manakala bagi kerusi Parlimen, PAS diberi kepercayaan untuk menyaingi BN di Kuala Selangor, Tanjong Karang dan Sungai Besar.

Bagaimanapun PAS hanya menang di Kuala Selangor, melalui wakilnya, Dr Dzulkefly Ahmad, dengan majoriti 862 undi, tetapi tewas di semua kerusi lainnya.

"Kita perlu menunjukkan prestasi yang baik dalam PRU13 di lima kerusi Dun yang diserahkan kepada PAS itu. Selain memperkukuhkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat, kita juga dapat menangkis tohmahan bahawa PAS hanya menang dengan sokongan pengundi bukan Melayu," kata seorang aktivis PAS yang saya temui.


Jadual 1 menunjukkan peratusan pengundi Melayu dan majoriti kemenangan calon BN untuk lima kerusi Dun berkenaan.

Kerusi                % Melayu  Majoriti BN
Sungai Air Tawar  83.6        123
Sabak                79.7         117
Sungai Panjang    85.4       5,828
Sungai Burong     86.1       2,710
Jeram                73.1       1,476

Pertemuan pertama diatur bersama Yang Dipertua PAS Tanjong Karang, Ustaz Mohamad Judi Sarjo di Pusat Khidmat Masyarakat Dun Sungai Burong.

Beliau yang mudah diajak bersembang menekankan keyakinannya bahawa jentera parti akar umbi sudah bersedia berdepan misi getir menghadapi PRU13, khusus bagi memenangi kembali Dun Sungai Burong, sekali gus memberikan cabaran sengit kepada Noh Omar, Timbalan Pengerusi Umno Negeri dan menteri kabinet, di Parlimen Tanjong Karang.

Namun begitu, Ustaz Judi mengakui, ia bukan tugas mudah, apatah lagi untuk berdepan pelbagai taktik dan strategi licik BN, termasuk penggunaan politik wang. Noh sebagai ahli Parlimen dan pembantu Najib di Selangor pastinya akan memperalatkan apa sahaja untuk mempertahankan kerusinya.

Jika Noh tewas di kampung halaman sendiri, bermakna operasi tawan Selangor berkecai dengan begitu mudah. Justeru, Ustaz Judi mengakui tanggungjawab besarnya, terutama untuk menggembleng setiap potensi kekuatan PAS Kawasan. Saya perhatikan, semangatnya untuk mencipta sejarah cukup tinggi.

Semasa makan tengahari dengan Dr Mohd Yusof Abd Wahab di sebuah restoran berdekatan kliniknya, di pekan Tanjong Karang, bekas calon PAS yang pernah menentang Noh pada 1999 ini, turut menaruh keyakinan bahawa perubahan boleh dicatatkan pada PRU13.

Saya mengenali Dr Yusof lebih sepuluh tahun lalu; kes berkaitan rasuah Khir Toyo yang menemukan kami. Seperti lazimnya, beliau agak kritikal terhadap persiapan jentera parti. Dr Yusof membayangkan program Umno ada kalanya lebih rancak dan berterusan berbanding PAS.

"Umno bukan saja anjurkan karaoke dan acara sukan tetapi juga kuliah-kuliah agama. Kita harus lebih ke depan jika mahu memberi cabaran sengit. Apa pun, saya yakin, jika segalanya direncanakan dengan baik, terutama dengan sokongan pengundi muda yang lebih celik politik, kita boleh menang," ujarnya.

Hasrat saya untuk menemui Ustaz  Mohd Fadzlin  Taslimin, Yang Dipertua PAS Sungai Besar tidak kesampaian. Aturcara programnya hari itu agak padat sehingga jam 4 petang. Saya pula terpaksa berkejar pulang kerana ada temujanji lain sebelum Maghrib.

Ustaz Fadzlin hampir dapat menewaskan Khir Toyo pada pilihan raya 1999 di Dun Sungai Panjang, apabila hanya ketinggalan 165 undi. Bagaimanapun, pada PRU 2008, majoriti Khir, ketika itu MB Selangor, meningkat kepada 5,828 undi.

Di Markas PAS Sungai Besar, saya menemui orang kuat Ustaz Fadzlin, Setiausaha Kawasan, Samsuri Abdul Karim. Beliau yang kaya dengan pengalaman ternyata tidak memandang ringan cabaran Umno setempat meskipun Khir mungkin tidak dicalonkan lagi berikutan keputusan mahkamah baru-baru ini.

Timbalan Pesuruhjaya II PAS Negeri, Ustaz Sallehen Mukhyi, yang turut merancakkan perbualan kami, melontarkan pelbagai input menarik, khusus untuk menangani kawasan-kawasan luar bandar bermajoriti Melayu.

Sallehen juga saya kenali semasa era reformasi ketika beliau menjadi Adun dan Ketua Pemuda Negeri; seperti Dr Yusof, isu Khir Toyo tambah mendekatkan kami.  Dalam PRU12, beliau hanya kalah 117 undi kepada calon BN di Dun Sabak, Warno Dogol.

Meskipun Umno Sabak Bernam berdepan problem dalaman dan dilihat sukar menampilkan calon berwibawa, Sallehen tetap merendah diri. "Kita mesti fikirkan pendekatan lebih baik untuk golongan muda. Saya kira kita ada masalah dalam hal ini," katanya.

Beliau mengakui pimpinan PAS perlu lebih menumpukan usaha di kawasan Melayu secara sistematik, dan bukan sekadar berpuas hati melancarkan program. "Tidak mudah menyusun aktiviti di kampung-kampung. Masyarakat juga tidak begitu terdedah dengan isu-isu mutakhir. Anak-anak muda juga satu cabaran besar," tambahnya.

Untuk kawasan luar bandar yang menjadi gelanggang aktivitinya, Sallehin kelihatan agak bimbang dengan tindakan agresif kerajaan BN yang menyalurkan pelbagai bantuan 'one-off'. Dan saya kira kerisauannya itu, berdasarkan faktor sosio-ekonomi di Sabak Bernam, adalah berasas. Namun tentulah segalanya ada jalan keluar, 'kan?

Sementara itu, dalam konteks keseluruhan Selangor, ada beberapa kerusi Dun yang dilihat berpotensi untuk dimenangi PAS, merujuk keputusan PRU12, seperti ditunjukkan dalam

Jadual 2

Kerusi %           Melayu  Majoriti BN
Seri Serdang      52.1      45
Morib                61.0     286
Taman Templer   55.1     613
Paya Jaras         60.0     642


sumber :- Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Photobucket

Ku Li Akan Tetap Bertanding...?

on Mar 12, 2012



Menjelang piihanraya ini, sekali lagi kedudukan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Ahli Parlimen Gua Musang menjadi bualan dan diperkatakan oleh ramai orang. Ku Li yang dikenali agak kritis terhadap kepimpinan Najib terutama dalam isu royalti minyak untuk Kelantan dan penyenaraian Felda ke Bursa Malaysia ditelah oleh banyak pihak akan digugurkan dalam PRU 13 ini sebagai jalan mudah untuk Najib menghindari sebarang gangguan terhadap masa depan politiknya.

Ku Li yang pernah tewas kepada Mahathir dengan 43 undi pada 1987 dan kemudian mencuba beberapa kali untuk bertanding jawatan Presiden UMNO dipercayai akan terus mencuba lagi dalam pemilihan kali ini, sementelah pula kedudukan Najib yang dianggap terlalu lemah dan dipertikaikan oleh banyak pihak.

Ku Li kemudian menubuhkan Amanah, sebuah NGO pelbagai kaum yang antara perjuangannya untuk menentang rasuah, kronisme dan nepotisme yang dianggap berleluasa dalam pentadbiran sekarang.

Najib yang dilihat kian rapuh dalam menghadapi piliharaya umum kali ini tentunya tidak mahu Ku Li menentangnya untuk jawatan Presiden UMNO dalam pemilihan yang dijangka tidak lama selepas pilihanraya umum atau bergabung tenaga dengan Muhyiddin Yassin misalnya, untuk menjatuhkannya kiranya BN mencapai keputusan buruk dalam pilihanraya nanti.

Dengan tidak ada kedudukan sebagai Ahli Parlimen, Najib beranggapan Ku Li tiada taring lagi dalam UMNO.

Namun belum pun ada sebarang kepastian mengenai kedudukannya, Ku Li tiba-tiba membuat pengumuman bahawa beliau tetap akan bertanding di Gua Musang dalam pilihanraya akan datang ini. Ia lantas memberi gambaran bahawa sama ada dicalonkan semula mewakili BN atau tidak, Ku Li tetap akan bertanding. Mungkinkah mewakili Pakatan Rakyat? Atau mungkin juga sebagai calon Bebas?

Pelbagai andaian timbul apabila kemudiannya, Pas melalui Naib Presidennya, Sallahuddin Ayub menyatakan Pakatan Rakyat sedia menawarkan Ku Li bertanding mewakili Pakatan Rakyat kiranya beliau ditolak oleh UMNO. Dalam masa yang sama, Amanah iaitu sebuah NGO yang diterajui oleh Ku Li melalui Timbalan Presidennya, Kadir Sheikh Fadzir juga sedang menjalin hubungan yang akrab dengan Anwar Ibrahim.

Ini menjadikan kedudukan Ku Li dalam pelbagai kemungkinan dan dilihat mempunyai banyak pilihan kiranya tidak lagi dikehendaki oleh Najib.

Sekiranya dicalonkan semula, Ku Li tetap tidak ada masalah untuk membawa kemenangan buat UMNO dan BN dan kiranya selepas pilihanraya umum ini BN mencapai prestasi buruk, kebarangkalian untuk Ku Li diminta bertanding jawatan tertinggi UMNO tidak boleh ditolak begitu sahaja kerana beliau tetap mempunyai pengaruhnya yang tersendiri dalam UMNO. Jasa dan rekod perkhidmatannya yang cemerlang dalam pelbagai kedudukan sejak sekian lama menjadikan Ku Li tokoh yang "tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas".

Meskipun Ku Li agak veteran tetapi beliau tetap mempunyai pengaruhnya tidak boleh ditolak begitu sahaja dalam UMNO berikutan sumbangan dan jasanya yang banyak ketika berada dalam kerajaan dulu. Walaupun mungkin ramai pimpinan UMNO bahagian-bahagian sekarang terdiri daripada generasi baru tetapi mereka yang seangkatan dengannya, mereka yang masih menghargai jasanya dan golongan yang pernah menerima budi Ku Li, dilihat masih ramai dan menduduki pelbagai jawatan lainnya dalam UMNO bahagian di seluruh negara.

Kiranya Ku Li diketepikan dan beliau memilih untuk bergabung dengan Pakatan Rakyat, tentunya bahana lebih besar sedang menunggu Najib. Dengan menggerakkan rangkaiannya di seluruh negara, UMNO pasti akan menerima kekalahan di banyak kerusi. BN yang masih berada dalam kedudukan 50-50 dengan Pakatan Rakyat, pasti lebih mudah ditewaskan dengan adanya bantuan Ku Li serta para penyokongnya yang turut akan berbuat demikian.

Untuk mempertahankan kerusi Gua Musang, Ku Li memang tidak ada masalah walau bertanding atas tiket apa sekali pun. Sejarah politknya telah membuktikan bahawa Ku Li adaah calon "winnable" sepanjang zaman untuk Gua Musang. Atas tiket BN pun beliau boleh menang dan jika beliau diketepikan oleh UMNO dan bertanding atas tiket lain, Gua Musang tetap miliknya berikutan jasa dan sumbangannya yang besar di kawasan itu.

Dalam sejarah politik Melayu, hanya Ku Li, Anwar Ibrahim dan Shahrir Samad saja yang pernah mencipta kejayaan mampu mempertahankan kerusi Parlimen masing-masing atas tiket parti yang berbeza. Ku Li pernah menang atas tiket UMNO dan Semangat 46 di Gua Musang, Anwar atas tiket UMNO dan PKR di Permatang Pauh manakala Shahrir atas tiket UMNO dan Bebas di Johor Bahru.

Mahathir yang dikagumi kerana berjaya mempertahankan kerusi Perdana Menteri selama 22 tahun pun tidak dapat menandingi mereka ini. Apabila tidak lagi menjadi Perdana Menteri, untuk menjadi salah seorang daripada tujuh perwakilan UMNO Kubang Pasu ke Perhimpunan UMNO pun Mahathir telah gagal.

Najib sendiri yang pernah menang tipis 241 undi di Pekan pada pilihanraya 1999, dilihat tidak mungkin mampu mempertahankan kerusi Parlimennya sekarang jika bukan atas tiket UMNO dan BN.

Bukan itu saja, sebelum Mahathir bertindak memecat Anwar pada 1998, beliau terpaksa memujuk Ku Li supaya membubarkan Semangat 46 dahulu. Hanya setelah Semangat 46 dibubarkan barulah Mahathir memecat Anwar. Secara halusnya, Mahathir sendiri mengakui pengaruh dan kekuatan Ku Li.

Oleh itu, kiranya Najib bertindak mengetepikan Ku Li untuk bertanding di Gua Musang dan kemudian beliau memilih untuk bekerjasama dengan Anwar dan Pakatan Rakyat, nasib lebih buruk sudah boleh dijangka lebih awal akan menimpa Najib, UMNO dan BN.

Meskipun ketika ini Ku Li turut cuba digegar oleh sebilangan kecil kumpulan serpihan dalam UMNO Gua Musang sendiri yang seakan-akan bertindak mahu memastikan Ku Li diketepikan dalam PRU 13 ini, hakikatnya pengaruh dan kedudukan beliau tidak banyak terjejas.

Ini kerana kumpulan serpihan ini didapati tidak begitu berpengaruh meskipun mereka mungkin didalangi oleh pihak-pihak tertentu yang turut berhasrat mengambil alih tempat Ku Li di Parlimen Gua Musang. Tetapi soalnya apakah mereka yang berhajat itu memenuhi ciri-ciri "winnable" seperti yang sering dilaungkan oeh Najib sendiri?

Segala keputusan adalah ditangan Najib sama ada mahu mengekalkan Ku Li atau menggantikannya dengan calon pilihannya di Gua Musang. Tetapi apa pun kemungkinannya, bola tetap di kaki Ku Li dan beliau hanya menunggu masa untuk menentukan pilihannya.



Photobucket

Siapa saya akan undi dalam pilihan raya umum akan datang...?

on



 Bila saya tengok Datuk Seri Najib Razak, hebat juga orangnya. Slogan 1Malaysia cukup baik. Pelbagai bantuan dia beri kepada kita. Bukan sahaja Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), dia juga ada Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) dan nanti kita akan ada perkhidmatan kesihatan 1Care.

 Rasa-rasanya teringin juga nak undi Najib. Tapi dia tak bertanding macam Prresiden Amerika Syarikat. Jadi kalau suka dia pun, saya kena undi Barisan Nasional (BN) yang pakai simbol dacing.

BN bukan Najib seorang

Tapi BN itu bukan ada Najib seorang. Ada ramai menteri dan pemimpin-pemimpin parti komponen seperti UMNO, MCA, MIC, Gerakan, PBB, SUPP, PBS, UPKO dan macam-macam lagi.


Banyak pula mereka ini terlibat dalam macam-macam skandal. Ada tuduhan rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa dan korupsi. Ini tidak baik untuk negara kalau pemimpin jenis ini yang berkuasa.

Malah, selepas didedahkan dengan salah guna kuasa, ada antara mereka yang bongkak menyalahkan orang lain pula. Macam seorang menteri yang mana suami dan anak-anaknya dapat projek jaga lembu. Dengarnya, habis duit rakyat disapu untuk beli kondo di merata dunia, sampai ke Kazakhstan. Daging lembu untuk kita di mana?

Lagi pun, saya sudah sedar bahawa bila kerajaan kata dia bagi peruntukan atau bantuan, itu bukan duit menteri. Itu duit rakyat. Duit itu datangnya dari kutipan cukai dan hasil-mahsul sumber dalam negara.

Ya tak ya juga. Kerajaan mana ada duit sendiri. Dia bukan berniaga. Dia hanya kutip dari rakyat, baik yang miskin mahu pun yang kaya. Lagi pun sumber-sumber negara seperti minyak, gas, pokok, balak, tanaman dan sebagainya, itu hak kita semua sebagai rakyat.

Mana Najib dapat duit?

Tapi kalau difikir balik, bagus juga Najib sanggup beri duit BR1M dan baucar buku dan macam-macam lagi. Apa salahnya kita dapat wang yang sepatutnya kita dapat.

Tapi dari mana pula datangnya duit itu? Mungkin dia buat pinjaman, agaknya. Tapi siapa pula nak bayar hutang itu?

Ada cerdik pandai berkata, zaman Tun Dr Mahathir Mohamad dulu pun dia buat macam itu juga. Dengarnya, bukan saja hari ini, malah bagi tahun-tahun mendatang dan dekad-dekad akan datang, kita dan anak cucu kitalah yang kena bayar semua hutang-hutang ini.

Kita kita bayar hutang kerajaan?

Kenapa pula kita kena bayar? Seperti yang dikatakan tadi, kerajaan bukan syarikat atau badan berniaga. Jadi, kita sebagai rakyatlah yang terpaksa bayar.

Bagaimana cara kerajaan paksa kita dan anak cucu kita bayar? Yang tiap-tiap hari kita kena kena bayar tempat letak kereta, cukai perkhidmatan telefon, cukai perkhidmatan restoran, tol lebuh raya, cukai pintu, bil elektrik dan air, dan entah apa-apa cukai dan caj lagi; yang itu semualah yang kita kena bayar bagi pihak kerajaan.

Memang tak ada salahnya kita bayar jika kerajaan sediakan perkhidmatan yang baik dan bermutu. Masalahnya di Malaysia, segala skandal, pembaziran dan kronisme, itu membaham semua wang rakyat. Jadi kenapa saya kena bayar untuk jadikan orang lain jutawan atau laksawan?

Kalau macam itu, malaslah saya nak undi untuk Najib. Kalau saya beri undi kepadanya, bermakna BN akan terus jadi kerajaan tanpa ada apa-apa perubahan. Malah, mungkin lebih teruk lagi.

Mungkin juga ramai pemimpin BN ingat undi saya kepada mereka bererti saya menghalalkan segala penyelewengan, rasuah dan kronisme mereka.

DILEMA…Maaf, itu tak sanggup saya lakukan. Mungkin saya kena lihat di sebelah sana. Mungkin ada sesuatu yang lebih baik dengan Pakatan Rakyat – PAS, PKR dan DAP- Roketkini.



Photobucket

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List