Gula-gula PRK Tenang dan PRU13 mula ditabur......

on Dec 25, 2010

KUALA LUMPUR, 25 Dis — Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) akan membayar Bonus Insentif Produktiviti kepada para peneroka di tanah rancangan seluruh negara berjumlah RM100,916,600.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata bonus itu adalah bagi menghargai sumbangan peneroka terhadap kemajuan industri sawit dan getah Negara selain sebagai insentif kerana menghantar hasil melalui Felda.

Beliau berkata kadar bayaran bonus yang dibayar pada tahun ini ialah minimum RM400 dan maksimum RM1,200 bergantung kepada penghantaran hasil.

“Pembayaran bonus insentif ini melibatkan seramai 94,281 atau 83.70 peratus daripada 112,635 peneroka Felda seluruh negara.

“Bayaran Bonus Insentif Produktiviti Peneroka 2010 akan dibayar secara tunai di pejabat rancangan pada awal Januari 2011,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Najib (gambar) berkata peneroka yang menghantar hasil melalui pengurusan rancangan dinilai berdasarkan penghantaran hasil dari Januari hingga Oktober tahun ini.

“Bagi peneroka sawit, kelayakan minimum ialah 8.01 tan/hektar manakala ganjaran maksimum ialah mereka yang menghantar hasil melebihi 17 tan/hektar ke atas.

“Bagi peneroka getah, kelayakan minimum ialah 600.01kg/hektar dan ganjaran maksimum diberi kepada yang menghantar hasil melebihi 1,400kg/ hektar,” katanya.

Beliau berkata bilangan peneroka yang terlibat dalam penghantaran hasil sawit dan getah ini adalah seramai 30,611 orang manakala 61,170 yang sedang menanam semula bersama Felda akan menerima bayaran maksimum RM1,200 seorang.

“Pada tahun ini, Felda turut memberikan pertimbangan khas kepada peneroka di beberapa rancangan yang prestasi hasilnya rendah sepanjang masa disebabkan tanaman tidak produktif dan menunggu giliran untuk ditanam semula.

“Ini termasuk juga kawasan kebun peneroka yang diambil bagi tujuan pembangunan. Termasuk juga dalam kategori ini ialah tanaman peneroka yang hasilnya rendah disebabkan serangan musuh penyakit seperti ganoderma, serangan ulat bungkus dan lain-lain,” katanya.

Kira-kira 2,000 peneroka terlibat dalam kategori pertimbangan khas itu dan kadar yang diberi kepada peneroka terlibat adalah sebanyak RM400 seorang, katanya.

Najib berkata seramai 18,354 peneroka atau 16.29 peratus pula didapati tidak layak menerima bayaran insentif kerana tidak menghantar hasil kepada Felda dan juga kerana hasil mereka kurang daripada hasil minimum yang telah ditetapkan.

Selain itu, katanya peneroka yang menguruskan sendiri kebun mereka dan tidak menghantar hasil, tidak dibayar bonus insentif ini.

“Kerajaan berharap pemberian bonus ini akan menjadi perangsang kepada peneroka di seluruh negara untuk berusaha lebih gigih bagi meningkatkan produktiviti masing-masing.

“Saya juga ingin mengajak semua peneroka untuk menyertai program bersama dengan Felda selaras usaha berterusan yang dilaksanakan oleh agensi tersebut bagi meningkatkan pendapatan mereka melalui penyelidikan dan khidmat nasihat yang disediakan,” katanya. 

Bernama

Risalah perkauman: DAP buat laporan polis

on

BENTONG, 25 Dis: Susulan penyebaran risalah berbentuk poster yang berbau hasutan dan perkauman yang banyak ditampal oleh pihak tertentu di daerah ini, DAP Bahagian Bentong telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) di sini.

Setiausaha DAP Pahang, Choong Siew Onn berkata, laporan polis terpaksa dibuat dan meminta pihak berkuasa itu menjalankan siasatan rapi kerana kewujudan risalah provokasi bertajuk ‘Kedudukan agama Islam tercabar’ sangat serius sehingga boleh mengganggu gugat ketenteraman penduduk di daerah ini. 

Choong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teras berkata, kelmarin (Rabu) Pengerusi DAP Bentong Ching See Thai telah memberitahunya berhubung risalah yang tertampal di dinding banyak bangunan dan kedai makan berhampiran stesen minyak di bandar Bentong dan pergi melihatnya sendiri.

Menurutnya, risalah tersebut turut memaparkan gambar Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dengan hamburan kata-kata kesat.
“Apa yang tertulis pada risalah itu termasuk penjualan arak secara terbuka tidak boleh dihalang, kuil dibina di kawasan majoriti masyarakat Melayu, kalimah Allah boleh diguna bukan Islam dan kepala pemimpin Melayu dipijak.
“Selain itu, ia turut menyentuh mengenai perarakan Maulidur Rasul di Pulau Pinang diharamkan oleh DAP dan seakan-akan mempertikaikan suara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta Ahli Parlimen dalam Pakatan Rakyat berhubung isu agama Islam semakin terhakis akibat tunduk kepada DAP,” katanya.
Tambah Choong, DAP memandang serius pengedaran risalah seumpama itu kerana boleh menimbulkan suasana tegang dan membakar api perkauman dalam masyarakat berbilang kaum yang mempunyai fahaman dan pegangan agama masing-masing.
Menurutnya, beliau difahamkan risalah seumpama ini ada ditampal di tempat-tempat tertentu yang ditandingi oleh DAP dalam pilihan raya seperti di Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Perak.
“Bagi kami (DAP Bentong) taktik kotor ini sangat berbahaya kerana menghasut dan mencabar kesabaran kaum meskipun kami tidak tahu pihak mana yang melakukannya. Justeru itu kami berharap pihak berkuasa bertindak segera untuk mengelakkan ia berlarutan,” katanya.

Ganti Md Isa Atau PAS Menang.......???

on


Md Isa kata dia tak tau ada orang nak ganti dia. Maknanya dia masih Pengerusi Perhubungan Umno Perlis yang sah hingga Najib ganti dengan orang lain. Itu pun kalau Najib nak ganti. Kalau tak, dia akan kekal sebagai pengerusi.Kalau Najib nak ganti Md Isa, sapa yang boleh ganti dia?



Shahidan Kassim, rasanya tak mungkin. Walau pun tidak mustahil, tapi lantik Shahidan kali kedua agak pelik, jarang-jarang orang buat. Lagi pun, Shahidan tak mesra dengan istana. Tak mungkin salah seorang exco kerajaan negeri sekarang yang juga dari istana akan merelakan Shahidan dilantik semula.


 Syed Razlan, juga agak mustahil sebab dia orang istana. Kalau dia jadi Pengerusi Perhubungan Umno dan ditakdirkan BN menang lagi dalam PRU akan datang, maknanya kerusi MB milik dia.
Tentu agak kurang manis dua beradik berada di singgahsana pemerintahan negeri. Tak mungkin raja Perlis sekarang akan merestui keadaan itu berlaku. Baginda tentu kurang selesa dengan keadaan itu.
Sapa lagi tokoh Umno Perlis yang ada selain Md Isa? Yazid Mat, dia ibarat ubat tamat tempoh. Sudah tidak punya ummpphh lagi untuk memimpin Umno. Prestasinya pun bukan menyerlah sangat sama ada sebagai pemimpin Umno atau pemimpin negeri. Biasa-biasa sahaja.

Radzi Syeikh Ahmad, dia pernah letak jawatan sebagai SU Agong Umno. Suaranya pun jarang kedengaran dan kelibatnya pun jarang nampak di Perlis. Dia duduk dimana pun orang Perlis tak tau. Apa yang orang Perlis tau, rumah dia memang di Perlis.

Azmi Khalid, dia lebih kurang macam Yazid Mat juga. Kalau ibarat tayar, sudah kehabisan bunga dan kalau brek pun tidak mencengkam lagi. Brek di sini berhenti di sana. Sudah tidak makan, ikut kata oranglah.
Sapa lagi tokoh Umno yang ada? Exco-exco yang lain kalau ada yang dilantik jadi Pengerusi Perhubungan Umno tentu kena buli dengan Shahidan kecuali yang jadi geng Shahidan.
ADUN Guar Sanji yang orang sebut-sebut baik dan warak tu pun kena buli dengan Shahidan. Takkan dia Najib nak lantik jadi orang nombor satu Umno Perlis.
Exco dan pemimpin Umno yang lain semuanya tumpang semangkuk sahaja. Kalau Shahidan jadi ketua tumpang mangkuk Shahidan. Kalau Md Isa jadi ketua tumpang mangkuk Md Isa. Nak harap depa tu ada mangkuk sendiri, entah bila. Lebai mangkuk adalah…

Tapi orang kampung bukan kisah sangat dengan itu semua. Bagi depa, asal nampak kelibat dacing saja terus pangkah. Sama ada yang pimpin dacing tu berwibawa atau tidak, itu tidak penting, yang penting dacing.
Petang tadi jumpa Bang Mat Sabu di tempat kenduri. Dia tanya, “Macam mana Perlis, boleh menang?” Entah, garu kepala juga nak jawab. Tak jawab, yang tanya pimpinan pusat. Tanya pula dengan penuh semangat.
Nak kata tak boleh menang, perjuangan PAS mesti sentiasa optimis, meyakini kemenangan. Itu yang diajar dalam usrah dulu-dulu (lama dah tak pi usrah, pasai apa…?).
Nak kata boleh menang, Perlis bukan macam Perak atau Selangor. Cina Perlis bukan macam Cina Perak atau Selangor. PAS Perlis pun bukan macam PAS Perak atau Selangor, atau macam PAS Kedah. Tidak patut sangat tak kata PAS boleh menang.

Tapi nak kata PAS boleh menang, tidak ada pun gelombang itu. PAS memang ada aktiviti, program, mesyuarat tak berhenti, usrah memang kerap, tak percaya tengok diari pemimpin PAS. Penuh!
Macam pernah sebut sebelum ini, ada orang yang tidak pernah merasai kewujudan PAS. Mereka hanya menyedari kewujudan PAS pada musim pilihanraya sahaja, itu pun bila nampak poster bulan tergantung.
Macam mana saya boleh tahu itu semua? Jawabnya, apabila saya bergaul dengan orang biasa, bukan orang kuat PAS.

Salahudin kesal SPRM 'abai' kes MAS, 'cepat' kes Rosli Dahlan

on Dec 24, 2010

KUALA LUMPUR, 24 Dis: Salahuddin Ayub kesal dengan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang cepat mahu membuat rayuan terhadap kes peguam kanan Rosli Dahlan.

Salahudin yang juga anggota jawatankuasa khas suruhanjaya itu berkata, SPRM sebaliknya dilihat masih berdolak dalih untuk bertindak ke atas bekas Pengerusi eksekutif MAS Tan Sri Tajudin Ramli berhubung kerugian syaraikat penerbangan itu.

"Saya terkilan dengan kenyataan SPRM tersebut untuk merayu terhadap kes En Rosli Dahlan kerana mereka tidak menunjukkan minat dan ketangkasan yang sama keatas aduan MAS yang dibuat terhadap Tan Sri Tajudin Ramli berhubung kerugian yang ditanggung MAS semasa diterajui oleh Tan Sri Tajudin. 

"Dalam skandal Sime Darby yang terkini, tindakan sivil dan jenayah telah pun diambil tetapi Tan Sri Tajudin kelihatan kebal dari proses undang-undang. Rakyat bertanya kenapa bagitu jadinya," katanya yang juga Naib Presiden PAS.

Tambahnya lagi, umum mengetahui bahawa En Rosli Dahlan adalah peguam MAS yang mengendalikan kes terhadap Tan Sri Tajudin Ramli. 

Juga umum mengetahui bahawa En Rosli Dahlan dikenakan pertuduhan semasa mewakili Datuk Ramli Yusuff, bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan, yang telah mengesyorkan kepada bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Badawi bahawa Tan Sri Tajudin wajar dikenakan pendakwaan atas beberapa pertuduhan.

Pada 20 Disember lalu, Rosli bebas tanpa dipanggil membela diri selepas Mahkamah Sesyen di sini memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kegagalannya mematuhi satu notis untuk mendedahkan segala maklumat mengenai asetnya.

Hakim Abu Bakar Katar memutuskan bahawa notis yang ditandatangani Timbalan Pendakwa Raya Kanan SPRM Anthony Kevin Morais gagal membuktikan peguam itu merupakan seorang daripada sekutu bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Datuk Ramli Yusof.

Beliau juga memutuskan pendakwaan gagal untuk membuktikan bahawa Rosli secara sengaja gagal memberi maklum balas terhadap notis yang dikeluarkan Morais.

Pada 12 Oktober, Rosli dihadapkan ke mahkamah kerana kerana dituduh gagal mematuhi notis untuk mendedahkan segala maklumat berhubung harta miliknya dalam tempoh dua bulan sebagaimana disyaratkan mengikut notis bertarikh 17 Julai, yang kemudiannya dilanjutkan ke 16 Ogos, satu kesalahan mengikut Seksyen 32 (2) Akta Pencegah Rasuah 1997.

Rosli, 46, rakan kongsi sebuah syarikat guaman terkenal dan seorang rakan karib Ramli, pada hari tuduhan dibaca ke atasnya pada 12 Oktober, 2007 memberitahu mahkamah bahawa pendakwaan terhadapnya sehari sebelum Aidilfitri akan menyebabkan beliau menjadi bahan cemuhan jika ke masjid esoknya untuk bersolat raya.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Zulqarnain Hassan berkata beliau akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu. 

Salahuddin yang juga Naib Presiden PAS itu berkata Rosli adalah peguam Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) yang mengendalikan kes terhadap bekas pengerusi eksekutifnya Tan Sri Tajudin Ramli.

"Hal ini lebih mengecewakan kerana SPRM juga tidak menunjukkan sebaran reaksi terhadap pendedahan bahawa Peguam Negara Tan Sri Gani Patail mempunyai hubungan mencurigakan dengan proksi Tan Sri Tajudin Ramli, seorang yang dikenali sebagai Shahidan Shafie iaitu bekas OKT dalam kes rasuah beberapa tahun dahulu. 

"Hali ini telah pun dibangkitkan oleh Tan Sri Robert Phang, seorang Ahli Lembaga Penasihat SPRM. Tapi sehingga kini Peguam Negara masih membisu," kata Salahudin lagi.

Beliau juga jelasnya terpanggil untuk merujuk kepada ucapan En Rosli Dahlan bahawa dia dimangsakan kerana dikenakan pertuduhan lebih awal sedangkan pada masa itu Ramli masih belum pun dituduh atas sebarang kesalahan. 

Dan kesudahannya ialah setelah Ramli dibebaskan, SPRM masih enggan menarik balik pertuduhan terhadap En Rosli. 

"Ini menunjukkan seolah-olah terdapat elemen salah guna kuasa oleh pihak SPRM dan Peguam Negara.

"En Rosli juga menuduh bahawa terdapat konspirasi membabitkan media arus perdana dengan “rogue elements in the government” atau elemen bajingan dalam kerajaan. Hal ini amatlah menggerunkan," katanya.

Harakahdaily

Perancangan licik musuh untuk memusnahkan Melayu Islam melalui sejarah dan akhbar

on

Kita telah melihat bagaimana liciknya musuh cuba menukar sejarah negara kepada acuan mereka. Melayu dikatakan sekadar Malaysia dan Melaka dikatakan sekadar pelabuhannya sahaja. 

Sedangkan sebelum 1850 Bumi  Melayu itu adalah Champa dan Pattani, Semenajung Tanah  Melayu dengan empayar Johor-Riau -Lingga, Kepulauan Melayu , Mindanao, Borneo, Tanah Jawa (Jawi) dan Sumatera.

Hari ini usahasama penjajah Inggeris, Belanda, Sepanyol,Amerika telah berjaya memecahkan Melayu Raya kepada beberapa negara kecil Malaysia, Indonesia, Brunei dan lokasi yang mempunyai kepentingan penjajah dijadikan negara berdaulat seperti Singapura. Penduduk Islam dipecahkan kepadatannya dengan menjadikan mereka penduduk minoriti di Filipina, Selatan Thailand, Singapura, Vietnam dan Kemboja (Cambodia).

Tidak cukup dengan itu, perancangan halus mereka untuk memusnahkan jatidiri orang Melayu Islam sentiasa berjalan melalui penukaran sejarah (di Singapura, Thailand, Vietnam, Cambodia) serta desakan mereka di akhbar. 

Minggu lepas telah disiarkan berita muka depan akhbar The Sun bertajuk "Biased History". Akhbar The Star pula menyiarkan artikel mendakwa pelajaran sejarah di Malaysia berat sebelah.


Saya difahamkan, pusat kajian yg cuba mengikis tanah air ini dari identiti Melayu dan Islam adalah berpusat di negara jiran. Kajian mereka disebar secara tersusun dan teliti dalam beberapa website. Bahkan kita tidak wajar melihat kritikan dalam akhbar The Sun dan The Star secara berasingan dengan kajian yg dibuat di negara Jiran. Kita begitu berfalsafah perlu membezakan antara Melayu dan Islam sedangkan mereka (kafirun) membelasah Melayu dan Islam sekaligus.


 Antara komen penulis dlm The Star :

a) "I view with concern the substantially lopsided and biased


content of our current form 1-5 history textbook".


b) "There is also lopsided emphasis on Islamic Civilisation. I personally counted that about 39% of the content of the current Form Four History textbook (compared to 15% in the ealier textbook) deals with Islamic Civilisation.


c) Our History textbooks are also biased because they do not tell


the whole truth. For example, why can't we state categorically that


the founder of Malacca (Parameswara) was a Hindu prince from Palembang who died a Hindu"- Komen penulis-  Benarkah dia mati seorang hindu sedangkan dalam sejarah Melaka Sultan Melaka telah diIslamkan ?

Ini merupakan sedikit dari apa yang mereka simpan dan rahsiakan. Seperti mana yg kita tahu bahawa Allah telah memberi amaran bahawa apa yang ada dalam hati mereka lebih besar dari apa yang mereka luahkan.

Sedarlah wahai Bani Jawi, semua ini sebenarnya adalah hiddenagenda yang licik di mainkan musuh.

 

FOMCA : Kaji Semula Saman Ekor.....

on

SHAH ALAM 24 DIS : Kerajaan diminta mengkaji semula saman ekor yang menjadi bantahan rakyat kerana diragui cara perlaksanaanya.

Pegawai Perhubungan FOMCA, Mohd Yusof Abdul Rahman menegaskan kerajaan perlu menilai semula dasar yang kurang berjaya dan menerima rungutan daripada rakyat.
Semalam Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (KASE) yang dipimpin Pakatan Rakyat menganggap pindaaan Akta Pengangkutan Jalan 2010 sebagai percubaan kerajaan untuk menswastakan saman ekor.

"Kita tengok sebelum ini ada beberapa dasar yang kerajaan tarik balik kerana salah satu daripadanya ialah bantahan daripada rakyat," katanya kepada Tv Selangor. 
Yusof juga mempertikaikan dasar yang kerajaan mahu laksanakan apabila tiada kajian dilakukan secara terperinci dan mengambil kira pandangan beberapa pihak yang pakar dalam bidangnya. 

"Kerajaan perlu melihat dan mengkaji sedalam-dalamnya sebelum melakukan sesuatu dasar sebab akhirnya nanti yang akan menimbulkan masalahnya kepada rakyat kerajaan juga," katanya. 

Sebelum ini, PengerusiJawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor atau KASE, Datuk Mahfuz Omar bersama Wakil Rakyat Pakatan Rakyat dan KASE telah menghantar memorandum kepada Agong meminta baginda menolak kelulusan Rang undang-undang ini dan seterusnya memerintahkan agar ia dibahaskan semula di Parlimen.

Memorandum yang disertakan dengan hansard perdebatan Parlimen mengenai isu ini meminta agar Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara tidak menandatangai rang undang-undang yang baru diluluskan Dewan Negara kelmarin pada bacaan pertama.

"Bila mendapat bantahan daripada orang lain, kerajaan kaji balik, ia sebenarnya menjejaskan imej kerajaan sendiri seolah-olah sebelum kerajaan nak memperkenalkan satu dasar, kerajaan tak membuat pertimbangan secara mendalam terlebih dahulu," katanya.

Rasuah punca pendatang haram — Kunta Kinte original

on

24 DIS — Minggu ini Kunta Kinte nak bincang sikit fasal pendatang asing di negara kita yang Kunta Kinte rasa ada sangkut paut dengan amalan rasuah, salah guna kuasa dan kurang kecekapan.

Kalau pendatang Indonesia, Filipina atau Siam, kita tak berapa hairan sangat. Maklumlah kita berjiran dan dari dulu kala lagi mereka keluar masuk wilayah kita.

Ramai orang kita keturunan Indonesia, Siam dan Filipina dan ramai yang ada saudara mara di sana. Ini taklah menghairankan pasal kita asalnya daripada satu rumpun bangsa, iaitu bangsa Melayu.

Tapi bila Kunta Kinte didatangi peminta sedekah tua dari negeri China, Kunta Kinte hairan. Kunta Kinte tahu mereka dari negeri China sebab bila kita cakap Melayu dengan mereka, haram sepatah pun mereka tak faham.

Lagipun kita boleh cam dan bezakan orang tua Cina Malaysia. Yang Kunta Kinte cakap ni memang mereka nampak lain sungguh daripada orang Cina kita.

Kemudian kita baca berita pelawat China yang masuk ke negara kita atas visa pelajar ditangkap jadi tukang urut, GRO, pelacur dan macam-macam lagi.

Kunta Kinte rasa mereka ini bukan pelajar, tapi daripada awal lagi adalah tukang urut, GRO dan pelacur. Mereka dibawa masuk oleh sindiket jenayah antarabangsa guna visa pelajar dengan menipu atau menyogok pihak berkuasa kita. Nak belajar macam mana, sepatah haram bahasa Inggeris pun tak tahu?

Syak wasangka dan kemusykilan Kunta Kinte ni sikit sebanyak terjawab bila seorang bekas Timbalan Ketua Pengarah Imigresen yang bernama Yusof Abu Bakar disabitkan 14 kesalahan sambung pas lawatan pelancong China dengan sogokan RM121,500.

Atas kesalahannya itu, Yusof dijatuhkan hukum penjara 56 tahun dan denda RM620,000. Maaf cakaplah Kunta Kinte terkejut dan dukacita bila hukuman jelnya dikenakan serentak. Jadi dia hanya masuk jel enam tahun.

Kunta Kinte harap pihak pendakwa raya rayu supaya hukuman jel yang lebih berat dikenakan. Kita kena jadikan hukuman berat sebagai amaran dan ingatan kepada kakitangan kerajaan yang dibagi kuasa dan tanggungjawab supaya jalankan tugas dengan cekap, bersih dan amanah.

Tak guna kita bersungut dan marah pasal ada ramai pendatang asing di negara kita kalau kita sendiri malas dan pilih kerja dan pegawai kita sendiri benar mereka masuk secara rasuah.

Mereka akan datang pasal boleh cari makan di sini. Susah macam mana pun di Malaysia, tak sesusah di negeri mereka. Lebih-lebih lagilah bila pihak berkuasa kita rasuah dan khianat. Satu dunia terpa masuk ke negara kita.

Satu lagi, tangkap dan sumbat penerima rasuah saja tak cukup dan tak adil bila ketua-ketua sindiket yang bagi rasuah tak disentuh sebab mereka kenal orang yang lebih atas.

Satu dunia dah tahu dan banyak dah dilaporkan mengenai sindiket penyeludupan manusia yang dianggotai oleh orang Cina yang panggil Snakehead.

Dalam bahasa Inggeris, Snakehead adalah ikan haruan. Ikan haruan jaga anaknya bila anaknya kecil. Tapi ia makan anaknya sendiri dan anak ikan lain bila anak itu dah besar.

Sindiket Snakehead ini seludup manusia dari negeri China ke Amerika, Eropah dan Asia. Mereka kenakan bayaran yang tinggi. Jika yang diseludup itu mungkir janji atau tak mampu bayar balik hutang, Snakehead akan peras ugut keluarga mereka di negeri China.

Jadi kita tidak bolehlah berpeluk tubuh kata sindiket jenayah internasional macam ini tidak terbabit seludup warga negara China ke negara kita guna dokumen palsu dan sogok pegawai kita yang jahat dan curang.

Kunta Kinte juga rasa tak cukup kita sumbat penerima rasuah dalam jel kalau harta yang mereka kumpul secara haram tak dirampas.

Dan tentulah tak selesai masalah penyeludupan manusia ini kalau seorang saja pegawai disumbat ke dalam jel sedangkan ramai lagi anggota penguat kuasa yang rasuah masih bebas. 
 Berita Harian

Mahasiswa golongan ‘Third Force’ semasa PRU nanti – SMM

on

Mahasiswa merupakan golongan ‘third force’ yang bila-bila masa sahaja akan membuat keputusan penentu sama ada mengekalkan kepimpinan yang ada atau menggulingkan kepimpinan baik di negeri Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Rakyat (PR).

Setiausaha Gerakan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Mohd Ridzuan Othman berpendapat, mahasiswa berperanan sebagai ‘check and balance’ yang akan menentukan sokongan kepada kerajaan yang diperintah BN ataupun pembangkang bukan kerana agenda politik mereka tetapi menilai sejauh mana ketelusan, keadilan dan kesaksamaan yang dibawa oleh sesebuah parti dalam negara.

Beliau menegaskan "tidak perlu melabelkan mahasiswa pro kerajaan atau pro pembangkang.

"Jika hak mahasiswa dijamin, jika mahasiswa diberikan ruang bebas berbicara dan melontarkan pendapat, jika AUKU tidak mengekang hidup mahasiswa, jika PTPTN tidak menyusahkan hidup mahasiswa dengan kadar faedah yang tinggi, saya yakin dan percaya mahasiswa sudah celik dan mampu berfikir siapa yang mereka perlu pilih untuk perjuangkan hak-hak mahasiswa ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas tentang kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir kelmarin, yang berkata pemimpin mahasiswa berperanan penting untuk membantu mengembalikan keyakinan di kalangan penuntut universiti supaya menyokong kerajaan kerana trend kebanyakan mahasiswa yang kini lebih cenderung untuk menyokong pembangkang.

Mahasiswa menolak politik sempit

Sehubungan itu, beliau menasihati penuntut universiti agar tidak terpedaya dengan pelbagai tohmahan dan janji-janji yang diberikan oleh mereka kerana ia akan merugikan negara dan rakyat Malaysia.

"Mahasiswa dan mahasiswi perlu membandingkan apa yang dibuat oleh kerajaan di bawah Barisan Nasional dan negeri-negeri di bawah pakatan pembangkang dan menilai sendiri pihak manakah yang lebih berkhidmat kepada rakyat," kata Mukhriz.

Mohd Ridzuan berkata, walaupun kenyataan Mukhriz hanya merupakan pandangan peribadi, ‘ketakutan’ yang dirasai oleh sesetengah pihak terhadap mahasiswa adalah pandangan sisi yang perlu dinilai sebaik mungkin kerana mahasiswa hanya akan memilih kerajaan yang adil dan amanah di dalam pemerintahan.

Beliau menegaskan mahasiswa adalah golongan bersifat bebas dan tegas menolak politik sempit dan perkauman yang menebal, berpendapat tidak tepat jika mengatakan bahawa kerajaan telah memberikan pelbagai kemudahan dan peluang kepada mahasiswa.

"Bagi saya mana-mana parti pun yang memerintah, tanggungjawab sebagai kerajaan adalah membantu rakyatnya.

Jika parti itu tidak mampu menunaikan tanggungjawab, maka mahasiswa akan menghukum di dalam pilihan raya, berteraskan konsep demokrasi berparlimen," katanya.

Barisan Pimpinan Baru PKR Undang Ketidakpuasan.........???

on

Meskipun N.Surendran (gambar bawah) tidak asing untuk NGO yang memperjuangkan hak asasi manusia, namun perlantikan "muka baru" yang tidak mempunyai apa-apa jawatan dalam parti sebelum ini sebagai Naib Presiden PKR, bagaimanapun mencungkil rungutan sesetengah pemimpin, khususnya yang bertanding.

Perlantikan ini sememangnya di luar jangkaan.  Lima orang calon keturunan India yang bertanding untuk jawatan Naib Presiden PKR dalam pemilihan langsung parti pada akhir November lalu, iaitu Xavier Jeyakumar, N.Gobalakrishnan, Sivarasa Rasiah, Manikavasagam dan Suresh Kumar - namun kesemuanya gagal untuk dipilih sebagai Naib Presiden.

Empat orang calon yang meraih undi tertinggi akan dipilih untuk jawatan ketiga ini, dan PKR sebelum ini mempunyai seorang Naib Presiden berketurunan India yang menang melalui pemilihan, iaitu Sivarasa Rasiah, dilihat umum sebagai hasrat perwakilan untuk mencerminkan kemajmukan pimpinan dalam parti berbilang kaum tersebut.

Selepas kegagalan kelima-lima orang calon tersebut, seorang daripadanya dijangka akan dilantik untuk menyandang jawatan Naib Presiden, untuk mengekalkan "kepelbagaian" dalam pimpinan.  Tanpa diduga, Surendran yang tidak bertanding kali ini dilantik, lantas mencungkil ketidakpuasan sesetengah pemimpin berketurunan India, khususnya yang bertanding.

Berbanding penyandang asal, Sivarasa Rasiah, Surendran mampu bertutur dalam bahasa Tamil.  Beliau seorang peguam yang pernah mewakili HINDRAF, berjaya memahat nama kerana giat dan lantang untuk memperjuangkan hak mangsa keganasan polis.  Cuma, beliau tidak begitu menonjol dalam partinya sebelum ini, malah tidak mempunyai jawatan parti sebelum ini.

Manikavasagam: Anwar perlu beri penjelasan

Walaupun mendakwa dirinya agak akrab hubungannya dengan Surendran, Manikavasagam berkata dirinya tidak terkata apa-apa apabila penyokong akar umbinya mempersoalkan, mengapa seorang anggota parti yang tidak bertanding boleh dilantik terus untuk menjadi Naib Presiden?

Secara terus-terang Manikavasagam (gambar kiri) berkata, "Anwar harus memberi penjelasan."

Ketika dihubungi MerdekaReview, ahli parlimen Kapar ini menegaskan bahawa dirinya menerima sepenuh keputusan pimpinan pusat.  Beliau boleh menerima Xavier Jeyakumar yang meraih undi tertinggi antara calon keturunan India, ataupun Gobalakrishnan, malah Surendran yang dilantik untuk dijadikan Naib Presiden sekarang, asalkan bukan Sivarasa Rasiah.

Jadi masalahnya adalah kekecewaan anggota terhadap keputusan Anwar Ibrahim, Ketua Umum PKR.  "Nampaknya kami seolah-olah dipermainkan.  Kami menjelajah ke seluruh negara, berkempen dengan masa dan wang, akhirnya yang dilantik adalah seorang yang tidak bertanding," kata Manikavasagam.

Beliau yang lebih dikenali dengan "Mike" menjangka Surendran mungkin mengalami masa yang sukar selepas ini, kerana terpaksa menjelajah ke seluruh negara untuk berkenalan dengan akar umbi.
Malah Mike berkata, beliau sebelum ini melobi agar Surendran diletakkan untuk bertanding dalam PRK Hulu Selangor, tetapi tidak berhasil.  Mike meneka perlantikan ini adalah keputusan Anwar sendiri, kerana tiada orang yang mengakui apabila Mike bertanya kepada mereka yang kemungkinan mencalonkan Surendran.

Mike berkata beliau bukan bermaksud bahawa pimpinan pusat tidak boleh melantik Surendran sama sekali, tetapi harus membiarkan Surendran bekerja dari peringkat bawah - kerana beliau tidak mempunyai apa-apa jawatan sebelum ini.  "Saya tidak tahu mengapa mereka (pimpinan pusat) meminggirkan ahli parlimen, wakil rakyat yang bekerja keras," katanya.

Bukan itu sahaja, Mike juga merungut perlantikan ini mencorakkan ketidakseimbangan dalam parti.  Daripada tujuh orang Naib Presiden, dua orang berketurunan Cina, iaitu Tian Chua yang dipilih dan Chua Jui Meng yang dilantik- sedangkan bilangan anggota India lebih daripada Cina dalam PKR.  Mike berkata, pimpinan mungkin tidak kisah, tetapi anggota India semestinya kecil hati dengan apa yang berlaku.

Malah, Mike mengkritik Anwar yang lebih sukakan mereka yang "lompat parti" seperti Chua Jui Meng (gambar kiri, kanan), tetapi pemimpin yang taat setia, bekerja dari peringkat akar umbi ini dipinggirkan dalam parti.

Pilih dari yang kalah tidak semestinya pilihan terbaik

Bagaimanapun, ketika dihubungiMerdekaReview, Tian Chua memberi penjelasan bahawa ia tidak semestinya pilihan yang lebih baik untuk melantik mereka yang kalah dalam pemilihan, kerana perlantikan ini mungkin mengundang pertikaian bahawa "pemimpin ini dilantik ikut pintu belakang".

Malah, setelah mengambil kira hubungan antara beberapa orang pemimpin keturunan India ini, pimpinan pusat akhirnya memutuskan untuk melantik seorang muka baru, iaitu Surendran, jelas Tian Chua.  Beliau menambah, Surendran mempunyai hubungan yang baik, sama ada dengan Sivarasa mahupun Manikavasagam.

Pada hakikatnya, "tiada yang berbeza pandangan dari pemimpin lain", kecuali ahli parlimen Padang Serai, Gobalakrishnan (gambar kanan, kiri).  Xavier Jeyakumar mungkin berasa kecil hati, tetapi beliau tidak membantah, kata Tian Chua.

Berhubung kritikan "ketidakseimbangan antara nisbah anggota dengan pimpinan", Tian Chua berkata, "Barisan pimpinan semestinya perlu seimbang.  Pertama, keseimbangan gender, kedua dari segi umur dan akhirnya antara kaum."

Tian Chua menganggap tidak kurang pemimpin keturunan India yang berada dalam pimpinan pusat, termasuk tiga orang yang terpilih, dan tiga lagi yang dilantik sebagai Naib Presiden dan Biro Politik.  Hanya seorang pemimpin Sabah, Darrel Leiking yang dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Agung, ditambah dua orang yang terpilih iaitu Roland Chua Ming Shen dan Christina Liew.  Sebaliknya, hanya Baru Bian seorang dari Sarawak yang dilantik sebagai Naib Presiden.

"Orang kanan" Anwar

Perlantikan "orang kanan" dalam pejabat Anwar Ibrahim tidak terelak daripada kritikan.  Gobalakrishnan misalnya, mengkritik bahawa Anwar sekadar mahukan orang yang setia dan patuh kepada arahan Anwar.
Rafizi Ramli (keempat dari kiri), Ketua Pegawai Eksekutif dalam pejabat Penasihat Ekonomi Selangor dilantik sebagai Pengarah Strategi, sementara bekas orang kanan Anwar, Nik Nazmi Nik Ahmad (berbaju biru) dilantik sebagai Pengarah Komunikasi, dan Sim Tze Tzin (kedua dari kiri) sebagai Timbalan Ketua Penerangan.  "Kebetulannya", ketiga-tiga mereka berasal dari "Generasi Reformasi", yang menarik diri pada saat akhir sebelum pencalonan pemilihan.

Tian Chua (gambar kiri) berkata, jawatan-jawatan tersebut mempunyai fungsi-fungsi tertentu, dan penyandangnya perlu selari dengan pimpinan pusat agar dasar parti boleh dilaksana.  "Penggubal dasar perlu sokongan orang ramai, namun untuk kerja pentadbiran, yang penting bukan populariti, tetapi kemampuan untuk melaksanakan tugas."

Pada masa yang sama, Tian Chua menekankan bahawa senarai pimpinan ini memberi ruang kepada orang muda, "Kalau kami tidak memberi ruang kepada orang muda, maka mereka tidak ada peluang pada masa depan."




Merdekareview

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List