PETALING JAYA, 28 Nov - Naib presiden Parti KEADILAN Rakyat (KEADILAN) yang baru, Nurul Izzah Anwar berkata, rakyat akan memilih parti yang bermaruah seandainya pemimpin jujur dan berjuang berdasarkan prinsip nilai murni yang tinggi dan bukan berdasarkan personaliti sahaja.
“Kita mesti membezakan antara personaliti dan prinsip yang dibawa personaliti.
“Hanya prinsip dan bukannya personaliti yang mesti diinstitusikan di dalam parti kita,” katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan di Kongres KEADILAN hari ini.
Katanya, KEADILAN bersedia mempelajari apa yang berlaku daripada proses pemilihan yang baru berlangsung melalui pelaksanaan langkah-langkah susulan yang dapat meleraikan keresahan anggota.
Menurutnya lagi, KEADILAN berkebolehan seandainya meremajakan dan menawarkan kepimpinan yang mahir, beramanah dan berpegang teguh kepada prinsip dan asas perjuangan parti.
Sementara rakan sejawatannya, Fuziah Salleh juga turut menggariskan tiga peringatan kepada anggota sebelum yang dikatakan bersedia menghadapi pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) tahun hadapan.
Beliau yang juga pengarah pilihan raya berkata, tersebut adalah mengarahkan jentera pilihan raya di negeri dan cabang mendaftar mengundi penyokong dan anggota sebelum 15 Disember ini.
“Kemudian membuat analisa di kawasan masing-masing, kerana pilihan raya adalah (melibatkan) angka. Ketiga, siapkan jentera pilihan raya di daerah mengundi.
“Insya-Allah, (kalau cukup tiga perkara) hujung tahun ini, boleh lah kita kata, kita boleh bersedia (dengan pilihan raya)… Kita harus bertindak,” katanya yang juga ahli parlimen Kuantan.
Manakala timbalan ketua menteri Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman pula berkata, KEADILAN terus diserang kerana mempunyai kekuatan tersendiri dan dilihat sebagai parti masa depan.
Selain itu, katanya, mereka juga menyerang ketua umum KEADILAN dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana berjaya menyatupadukan rakyat Malaysia di bawah Pakatan Rakyat (Pakatan).
“Siapa sangka DAP boleh membawa bendera PAS, dan penyokong PAS membalut (diri mereka) dengan bendera DAP. Ini yang menakutkan mereka,” katanya.
Manakala Ahli Parlimen Batu, Tian Chua pula berkata, perjuangan KEADILAN adalah hasil daripada perjuangan rakyat yang tertindas.
-Malaysiakini-
0 comments:
Post a Comment