Strategi Pakatan menjelang PRU-13

on Dec 17, 2010

Ayuh Pakatan Rakyat... Siapkan strategi menjelang PRU-13




Dengan pendedahan WikiLeaks baru-baru ini, nampaknya bukan sahaja faktor dalaman, malah faktor luaran yang terkena masanya juga akan menjadi elemen penting dalam menukar momentum BN dan PR menjelang PRU-13.

Namun segalanya belum terlambat bagi PR kerana angin perubahan dan momentum politik kedua-dua belah masih boleh berubah secara ketara dalam masa 3 bulan ini bergantung kepada isu-isu semasa.

Untuk menang dalam satu-satu peperangan, adalah mustahak bagi seseorang itu untuk mengetahui musuh dia secara mendalam terlebih dahulu. Selepas itu, barulah seseorang itu menilai apakah senjata yang berada di tangan, dan bagaimanakah ia seharusnya digunakan untuk menyerang kelemahan pihak lawan.

Bab menyerang ini pula ada pelbagai cara, contohnya seseorang boleh menyerang secara depan untuk mengalih pandangan supaya pasukan penghendap boleh menembusi tembok lawan melalui pintu yang lain.

Ataupun seseorang boleh menghilangkan arah tuju serangan lawan dengan melakukan beberapa tindakan yang tidak disangka dan mengelirukan sambil menunggu peluang untuk melakukan serangan padu maut.

Segala strategi bergantung kepada kebijaksanaan penasihat-penasihat masing-masing.

Apakah serangan utama BN pada PR?

Rasuah dan berkroni?

Tidak, kerana ini akan terpalit pada diri sendiri kerana di dalam kamus rakyat jelata, perkataan BN adalah sama sinonimnya dengan perkataan korupsi dan kronisme, jadi isu ini tak akan dapat pergi jauh.

Penyelewengan?

Tidak, kerana ramai lagi Khir Toyo di dalam BN yang tidak didakwa, dan BN sendiri pun sedar, dalam pandangan rakyat jelata, mahkamah dan hakim ini ‘makan gaji kerajaan’ juga.

Kerajaan PR lebih teruk?

Lagilah tidak, siapa yang tak tahu kerajaan negeri kawalan mereka jauh lebih teruk. Tanyalah orang negeri Pahang, negeri Perdana Menteri, sehinggakan pemandu teksi pun kata tak dapat cari makan ditambah pula dengan harga barangan terus meningkat.

Isu PR mengkhianati Melayu?

Inilah satu-satu laungan BN untuk menakutkan orang Melayu daripada PAS, terutamanya. Namun isu kenaikan harga minyak dan barangan keperluan adalah senjata yang dihadiahkan BN kepada PR untuk mematahkan serangan ini.

Di sini, PR juga harus mengeluarkan satu manifesto – bagaimana orang miskin yang berpendapatan RM 2,000 di bawah akan dibantu sekiranya PR berkuasa di negeri-negeri PR, BN dan juga Putrajaya juga.

Isu mengkhianati Melayu juga meliputi isu Timbalan Perdana Menteri yang diolah Umno. Sebenarnya isu ini senang dijawab, PR akan wujudkan lebih daripada satu jawatan timbalan perdana menteri, akan tetapi salah satu jawatan itu akan diwajibkan kepada seorang pemimpin MUSLIM.

Isu kerjasama DAP-PAS?

Di sini, BN dan MCA balik-balik hanya akan menggunakan skrip lama isu negara Islam. Padahal mantan Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat kata Presiden MCA sekarang menyokong Ketuanan Melayu secara senyap-senyap lagilah menampakkan hipokrisi MCA dengan Umno.

PAS kerjasama dengan pemimpin DAP yang sanggup pergi penjara demi menjaga maruah seorang perempuan Melayu dan sekurang-kurang sanggup belajar membaca ayat Quran untuk mendekati pengundi Melayu walaupun mereka tidak dapat lagi menerima Islam sepenuhnya.

Umno pula sanggup bekerjasama dengan pemimpin MCA yang telah terang-terang mengaku berzina di dalam video dan sering kali menghina Islam. Jadi tak susah untuk PR membalas isu ini.

Isu Anwar dan PKR

Memandangkan banyak isu yang tidak boleh diserang BN, jadi apakah cara yang tengah difikirkan BN untuk melumpuhkan PR?
Tidak lain tidak bukan – pisau BN akan terus menghala ke Datuk Seri Anwar Ibrahim and PKR.

Mengapa?

1. BN yakin Anwar ialah ‘elephant glue’ untuk PKR, PAS dan DAP untuk bersama. BN juga yakin bahawa PAS dan DAP akan bercerai talak satu sekiranya Anwar hilang kredibilitinya.

2. BN yakin kerana mereka tidak nampak sesiapa pun di dalam PR dan juga DAP, PAS dan PKR yang boleh menggantikan Anwar buat masa ini.

Disebabkan keyakinan di atas, BN telah merumuskan bahawa mereka hanya memerlukan ‘satu projek’ saja untuk menumbangkan PR, iaitu asalkan mereka dapat menjatuhkan Anwar, PR akan lumpuh dengan sendirinya tanpa perlu mereka melakukan sesuatu.

Oleh itu, segala jentera yang boleh dicapai BN - media, polis, mahkamah dan pendakwaraya telah dikerah untuk memastikan ‘projek’ itu berjaya kerana tiada cara lain untuk menumbangkan sebuah pembangkang yang utuh kerana ketiga-tiga parti komponen yang membela antara satu lain dan tidak dapat dibuktikan oleh institusi di bawah pengajian mereka iaitu SPRM dari segi rasuah, penyelewengan dan juga kronisme.

Bayangkan betapa ‘frustnya’ BN dalam menghalang kemaraan PR.

Jadi bagaimana PR harus mematikan serangan BN ini atau sekurang-kurangnya mengurangkan tekanan pada Anwar supaya PKR boleh bernafas dan memokuskan kembali kepada tugas-tugas reformasi?

Bertambah perit sekarang ialah, PR tidak boleh menafikan bahawa pemilihan PKR yang bising juga telah meluaskan ruang BN untuk menyerang Anwar dan PKR.

BN sedang menggunakan peluang ini sebaik mungkin untuk menenggelamkan semua isu nasional seperti kenaikan harga minyak dengan melemaskan rakyat dengan berita negatif Anwar dan juga PKR. Dan secara jujur dinyatakan di sini, serangan bersepadu BN telah menyebabkan PR dan persepsi rakyat terhadap PR sedikit sebanyak bergoyah.

Namun seperti yang dinyatakan, segalanya masih belum terlambat. Berikut adalah cadangan-cadangan drastik untuk dipertimbangkan ketiga-tiga pihak.

1. Namakan pengganti Anwar secepat mungkin. Dalam erti kata lain, who’s second in command after Anwar in PR and PKR?

2. DAP dan PAS duduk berbincang dan selesaikan masalah negara Islam… sebolehnya –

a. Jika PAS dan PR mendapat persetujuan daripada rakyat, 2/3 majoriti di Parlimen dan persetujuan Yang Di Pertuan Agong untuk melaksanakan konsep negara Islam satu hari nanti, DAP akan tidak akan menolak cadangan PAS untuk melaksanakan dasar Islam yang dihasratkannya.

b. Jika tidak, PAS terpaksa pendamkan hasrat sehingga ia mendapat sokongan majoriti rakyat dan 2/3 majoriti di Parlimen yang yakin dengan konsep negara Islam yang dibawanya.

c. Sehingga hari itu terjadi, DAP tidak boleh membidas PAS atas soal perjuangan Islam, dan PAS juga tidak boleh membidas DAP atas perjuangan sekularnya dan kekal kukuh bersama Pakatan Rakyat sampai bila-bila masa.

Persetujuan ini harus didedah kepada umum.

3. Untuk PKR, puteri reformasi, Nurul Izzah Anwar harus dilantik sebagai Timbalan Ketua Pembangkang bagi pihak PKR di Parlimen untuk membahagikan tugas ayahnya di Parlimen sebagai Ketua Pembangkang.

Anwar harus dilindungi dengan cara berundur daripada menjadi ‘kepala pencetus isu nasional’ kepada perancang strategi PKR dan memperkukuhkan jentera pilihanraya untuk PR dalam masa 3 bulan ini.

BN hanya boleh menyerang pada pemimpin-pemimpin yang mencetuskan isu-isu di Parlimen, dan serangan-serangan pada Anwar akan diminimakan untuk tertumpu pada kesnya di mahkamah.

Dengan ini, PKR boleh bergerak dalam dua arah – satu menjawab tuduhan kes Anwar dan satu lagi menyerang BN yang diketuai Nurul yang jauh lebih baik berbanding daripada keadaan sekarang di mana semua tertumpu untuk menjawab serangan pada Anwar.

Isu PR sama seperti BN

Isu 2 kali 5 ini juga telah mengubah persepsi rakyat terhadap PR. Selain cadangan lepas untuk menonjolkan kelebihan PR berbanding BN menggunakan media baru PR, ada satu lagi cara untuk menunjukkan perbezaan ketara PR dengan BN iaitu dengan memecahkan statistik pengundi mengikut umur, dan bukannya kaum seperti yang suka diberikan SPR.

Di sini, PR mungkin kena melantik unit atau jabatan pilihanraya parti masing-masing untuk mengeluarkan statistik seperti di bawah:

Pecahan pengundi kawasan A versi BN dan SPR:

Melayu: 54.3%

Cina: 26.7%

India: 10 %

Lain-lain: 9%

Kepada

Pecahan pengundi kawasan A versi PR:

Umur:

55 ke atas: 15%

41-54: 20%

31-40: 30%

21-30: 35%

Semua parti komponen BN dipecah mengikut kaum, disebabkan itu SPR mengeluarkan data mengikut pecahan kaum.

Tapi di PR, kita menjunjung dasar masyarakat majmuk dan berbilang kaum di dalam satu parti – setiap kaum boleh memasuki mana-mana parti dalam PR, jadi PR harus menunjukkan perbezaan yang ketara ini dengan lebih drastik dari segi melihat statistik pengundi dari segi umur atau kategori lain yang lebih bersifat majmuk.

Cara ini juga akan dapat menonjolkan kelainan PR dari semua segi politiknya termasuk pentadbirannya kelak di mana soal kaum telah diabaikan secara tersendirinya.

Isu Third Force dan Zaid Ibrahim

Anggaplah Third Force sebagai kawan PR, dan PAS harus juga berkawan dengan Akim atau Kita, sekiranya betul Datuk Zaid Ibrahim akan mengetuainya. PKR tidak perlu berasa kecil hati dan harus berbesar hati dalam situasi ini kerana dalam dunia politik, lebih baik mempunyai seorang kawan lebih daripada seorang musuh.

Third Force yang diketuai Raja Petra dapat diserapkan sebagai satu komponen penyokong untuk PR dan penyengat pada BN sekiranya PR mencaturkan langkahnya dengan bijak.

Ya, PR mungkin terpaksa memberikan beberapa kerusi yang ditandinginya untuk Third Force, seperti PAS memberikan laluan untuk Datuk Ibrahim Ali untuk bertanding di Pasir Mas, namun kelebihan daripada tindakan ini jauh melebihi keburukannya, kerana persepsi di mata rakyat akan berubah kerana PR akan dilihat ‘sanggup berubah’ demi mempertahankan rakyat daripada kerakusan BN.

Ingatlah, orang yang berjaya akan dapat melihat peluang di sebalik apa-apa kepincangan, sebaliknya orang yang akan gagal sentiasa nampak masalah di sebalik apa-apa yang berlaku.

Selamat berkonvesyen di Pulau Pinang. Selamat Maju Jaya.

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List