Saya ditanya oleh beberapa orang adakah DAP benar-benar ingin mengambil alih negara ini dan pemimpinnya akan menjadi PM jika DAP berkuasa? Jawapan saya kepada soalan itu ialah; jika DAP berjaya menguasai Parlimen pemimpinnya akan menjadi PM dan mengetuai eksekutif negara.
Tetapi adakah itu akan terjadi? Jawapannya adalah TIDAK kerana DAP tidak pernah menurunkan jumlah calon yang cukup untuk mengambil alih negara jika semua calonnya menang di dalam pilihanraya umum. DAP memahami 'limitations' yang ada pada mereka.
Di Sarawak baru-baru ini, DAP hanya bertanding di 15 kerusi daripada jumlah 71 di dalam DUN Sarawak. Di Pulau Pinang sendiri DAP hanya bertanding di 19 kerusi sedangkan untuk mendapat majoriti yang ‘simple’ secara sendirian parti itu memerlukan 21 kerusi setidak-tidaknya. Tetapi DAP hanya menurunkan 19 calon dan memenangi kesemua kerusi yang ditandinginya.
Seperti juga MCA kehadirannya di dalam politik negara bukan untuk mengetuai kerajaan dan menjadi PM kepada negara ini. Di Perak, PAS hanya memenangi kerusi yang kecil bilangannya tetapi DAP yang telah memenangi kerusi yang banyak tidak mengambil kerusi MB kerana undang-undang tubuh negari itu hanya memperuntukkan jawatan MB itu untuk orang Melayu. Maka diberikan kerusi itu kepada Nizar Jamaludin daripada PAS.
Tetapi UMNO telah merampas kuasa melalui permainan politik kotor dan mengambil alih pentadbiran negeri Perak itu. Hanya UMNO sahaja memilih seorang MB yang tidak berapa Melayu sebagai MB negeri itu. Itu bukan salah DAP.
Dalam pilihanraya dahulu DAP telah bertanding kurang dari 50 kerusi Parlimen dan jumlah itu tidak sampai pun 25% daripada keseluruhan jumlah kerusi di Dewan Parlimen kita. Masing-masing bilanglah jumlah kerusi yang dipertandingkan oleh DAP di negeri-negeri lain. Jumlah calon mereka jika menang sekali pun tidak akan membolehkan DAP menjadi tunjang pemerintahan negara.
Hanya mereka bersatu dengan parti-parti yang mereka bersama di dalam ‘coalition’ alternatif untuk memerintah di Pulalu Pinang seperti juga yang berlaku semasa Gerakan memerintah dahulu. Bezanya dulu Gerakan yang didominasi oleh bangsa Cina dan sekarang diperintah oleh DAP parti ‘multi-racial’ yang didominasi oleh kaum Cina juga.
Persoalannya, apa yang menjadi masalah kepada orang Melayu di Pulau Pinang misalnya…atau kepada orang Melayu di seluruh negara? MCA tidak akan membolehkan bangsa Melayu untuk menjadi calonnya di dalam mana-mana pilihanraya sedangkan DAP boleh membenarkan calon daripada orang Melayu jika parti itu mahu menunjukkan dengan secara ‘real’ bahawa parti itu merupakan parti ‘multi-racial’. Jika DAP meletakkan calon Melayu di setengah kawasan, maka parti itu wajar menjadi alternatif kepada MCA. Apa lagi yang orang Melayu hendak memberikan sokongan kepada MCA lagi sedangkan parti itu tidak memberikan apa-apa keuntungan kepada BN?
Malahan MCA sudah menjadi beban yang berat untuk dikendung bersama. Calon-calon MCA terpaksa diletakkan di kawasan yang didominasi oleh orang Melayu untuk mendapatkan sedikit peluang untuk menang, sedangkan DAP merupakan parti yang ‘reliable’ yang boleh membawa sokongan orang Cina jika kita bekerjasama dengannya. Tidak bolehkah BN memikirkan hal ini?
Kenapa tidak diusahakan untuk bekerjasama? Mungkin DAP boleh memberi kerjasama dengan BN tetapi yang menjadi ‘apprehension’ kepada parti itu ialah samada mereka berkeyakinan dengan keseluruhan kepimpinan BN khususnya UMNO yang ada pada hari ini.
Itulah sebabnya jika pemimpin UMNO mampu untuk berkorban demi parti dan bangsanya maka kerjasama itu tidak mustahil boleh dilakukan. Apabila kerjasama itu mampu dilakukan maka kita akan kembali kepada zaman negara mula mencapai kemerdekaan dahulu. Parti Cina mengambil sokongan orang Cina, parti Melayu meraih sokongan orang Melayu dan India mengambil sokongan orang India. Itulah Perikatan dahulu.
Yang masih menjadi masalah ialah orang Melayu sahaja. Orang Cina sudah sepakat berteduh di bawah DAP, Orang India nampaknya sudah kembali bersatu di bawah MIC dengan kompromi yang sedang dilakukan oleh parti itu dengan menyatukan kembali semua ahli-ahlinya yang telah dipecat oleh Samy Vellu dahulu dengan ahli-ahli yang sedia ada.
Pendeknya, orang Cina telah mengambil sikap dan telah pun menunjukkan pendirian mereka. Orang India pula mengambil sikap untuk terus bersama MIC. Hanya orang Melayu sebenarnya yang belum bersatu dan saya merasakan orang Melayu sedang melakukan ‘soul-searching’ dan belum lagi menampakan ‘urgency’ untuk menentukan sikap mereka.
Orang Cina dan India sudah bersedia dan sudah pun menentukan sikap yang baik untuk mereka. Ini negara demokrasi. Orang Melayu sememangnya tunjang kepada politik negara. Tetapi orang Melayu harus menunjukan ‘dispositon’ sebagai peneraju kepada politik negara. Sebagai tunjang, pemimpin Melayu mesti menunjukkan kepimpinan bersih yang hakiki untuk mendapat penghormatan oleh bangsa lain yang kita pimpin sekali.
DAP tidak anti Melayu. Tetapi momokan media dengan parti-parti yang berkuasa telah membuat orang Melayu mempunyai perasaan takut kepada dominasi DAP di kalangan bangsa Cina. Maka yang menggunakan sentimenracist ini adalah UMNO dan ini hakikat. Takkanlah saya keliru kerana saya juga pernah bergiat aktif dalam UMNO dan itu perkara yang di antara sesama Melayu memahaminya.
Jika DAP menunjukkan kepada rakyat bahawa parti itu adalah parti untuk semua kaum maka DAP sepatutnya meletakkan beberapa calon Melayu dan jika ini dilakukan oleh DAP maka yang pasti akan terjadi parti itu akan mendapat sokongan dari sebahagian pengundi Melayu di dalam pilihanraya yang akan datang.
Saban hari rakyat bertambah terbuka dan berfikir dan tidak lagi menerima bulat-bulat apa yang diperkatakan oleh media perdana dan aktivis pro BN yang giat melalui alam cyber dan sebagainya. Zaman berubah dan siasah pun berubah. Sedangkan sungai pun berubah apatah lagi pemikiran manusia yang begitu sophisticated pada hari ini.
Yang menjadi ‘apprehension’ yang terbesar bagi DAP untuk bekerjasama pada pendapat ramai yang saya bertanya ialah DAP tidak berkeyakinan bahawa kepimpinan hari ini boleh melaksanakan tugas kenegaraan dengan penuh tanggungjawab dan telus.
Maka itu masalah UMNO. Tidak tahulah kita samada parti ini boleh melakukan perubahan kerana ianya memerlukan pengorbanan barisan kepimpinan untuk mempastikan UMNO ini relevan lagi kepada keperluan dan kehendak ramai.
Tetapi mahu tidak mahu UMNO mesti berubah untuk tidak menjadi parti yang dipinggirkan oleh rakyat pada masa akan datang. Kehendak rakyat lagi berperanan daripada kehendak pemimpin, kerana tanpa rakyat tiadalah pemimpin. Persepsi buruk yang ada pada UMNO harus dikikis dan ianya hanya boleh dilakukan dengan pertukaran barisan kepimpinan.
0 comments:
Post a Comment