Menunggu Pilihanraya...

on Mar 18, 2012

 

Hari ini 28 juta Vladimir dan Estragon yang menjadi warga Malaysia sedang tertunggu-tunggu bila pula Godot Pilihanraya akan sampai. Pilihan raya ke 13 ini dirasakan seperti tak sampai-sampai. Warga Malaysia ketika ini merasakan diri sama seperti seorang banduan yang telah dijatuhkan hukuman mati dan sedang menunggu bila masanya dia akan dibawa ke bilik gantung.

Ibu kota Kuala Lumpur kita ketika ini terus sibuk dengan banjir dan kesesakan lalu lintas. Kuala Lumpur kita ini adalah sebuah kota yang tandus dengan aktiviti budaya. Galerinya kering, sinemanya kontang dan  teaternya muncul  sekali sekala. Gerakan intelektualnya agak nipis dan ringin.

Justeru warga kotanya yang gersang budaya dan keintelektualan akan mengalih perhatian kepada makan. Jika tidak makan mereka akan bersembang tentang politik.  Ini adalah gambaran yang agak tepat juga tentang Malaysia.

Warga yang asyik makan ini menjadi obes dan gedempol. Ini satu kisah yang lain.
Kali ini yang dikisahkan ialah satu kumpulan yang juga tertarik dengan makan. Tetapi untuk mereka ini ada lagi yang lebih menarik — lebih menarik dari makan. Mereka bergelumang dan menghabiskan masa mereka bersembang politik.

Mereka bersembang siang dan malam seolah-olah tidak ada pekara lain yang  menarik untuk mereka. Hidup mereka untuk politik. Siang politik, malam politik — tidur dan bangun sembang politik.
Jangan tersilap. Mereka bukan ahli politik. Mereka hanya suka bersembang politik. Mereka tertarik dengan perkembangan politik. Mereka inilah yang sedang dilanggar oleh 'angst' kerana belum tahu bila pilihan raya akan sampai. Mereka sedang menunggu Godot.

Perbincangan politik terkini ialah tentang tarikh pilihan raya.  Sayangnya, tarikh pilihan raya dalam negara kita ini tidak pernah ditetapkan. Kita tidak seperti Amerika dimana tarikh telah ditetapkan lebih awal. Sistem pilihan raya yang kita pakai ini agak kurang demokratik. Semuanya ditetapkan oleh parti yang berkuasa. Bila Parlimen mula bersidang, bila  Parlimen akan dibubar dan bila pilihan raya akan diadakan semuanya dibawah kuasa parti yang memerintah.

Justeru — sekarang ini kita sedang melihat bagaimana parti politik yang berkuasa — United Malays National Organisation - sedang merancang untuk memastikan tarikh pilihan raya ini akan menyebelahi mereka. Hegemoni gerombolan yang berkuasa ini cukup hebat. Kuasa hegemoni ini juga telah menjadikan  tarikh pilihan raya ini sebagai subjek yang akan terus menerus dibincang berhari-hari.
Hari ini dimana mana kita melepak kita akan terdengar perbincangan tentang tarikh pilihan raya. Di setiap warung, di surau, di kedai kopi, di ruang pejabat — kita akan terdengar soh seh soh seh tentang tarikh pilihan raya.

Apa yang paling menarik ialah kaki sembang politik ini memiliki pelbagai teori untuk menetapkan bila tarikh yang tepat untuk dijalankan pilihan raya. Kalau kita duduk semeja dengan mereka kita mungkin tersalah sangka. Kita akan menyangka mereka ini lulusan Sains Politik dari Havard.  Mereka bukan sahaja dapat memberi komentar malah mereka juga memiliki  keupayaan memberi satu  penganalisaan tentang politik Malaysia terkini.

Mereka yang bersembang politik ini boleh kita masukkan ke dalam beberapa buah bakul. Membakulkan mereka  bertujuan agar kita senang untuk mengenali latar belakang mereka. Memahami latar belakang ini penting kerana dengan mengetahuinya kita akan dapat mengukur sejauh mana keterampilan ilmu para pelabon politik ini.

Kumpulan pertama terdiri dari kontraktor Kelas F. Mereka ini adalah ahli United Malays National Organisation. Mereka memiliki kepentingan tentang bila pilihan raya  akan dijalankan. Mungkin ramai diantara mereka telah melabur dan memberi sokongan dana kepada bakal-bakal calon. Ini perlaburan jangka panjang. Jika calon yang mereka sokong berjaya menjadi YB, maka besar kemungkinan kontrak potong rumput akan dimiliki. Atau — busuk busuk pun boleh menjadi ahli Jawatankuasa Keselamatan Kampung.

Kumpulan kontraktor Kelas F ini sering bersembang di kedai-kedai Mamak. Mereka belum memiliki keupayaan untuk berpindah dari kedai Mamak ke café-café yang menjual cuppucino dan espresso. Waspada!  Matlamat akhir kumpulan ini ialah untuk memiliki dana yang lumayan untuk bergaya duduk-duduk di coffee house dalam hotel lima bintang dan dilayani oleh pelayan genit lagi cun sambil menghisap cigar Havana.

Kumpulan kedua datang dari penyokong parti yang melawan gerombolan United Malays National Organisation. Mereka ini ini mungkin ahli Parti Islam, Parti Tindakan Demokratik atau Parti Keadilan Rakyat. Apa yang saheh - mereka ini bukan kontraktor Kelas F. Mereka ini sebenarnya tidak banyak  bezanya dari kumpulan pertama. Mungkin - pada satu ketika dahulu mereka ini telah disisih dan dipinggirkan oleh gerombolan United Malays National Organisation.

Ramai juga dari kumpulan ini merasa tidak puas hati kerana tidak mendapat 'projek' lalu mereka mencilok masuk ke gelanggang Pakatan Rakyat. Mereka ini juga menunggu Godot. Mereka ingin bertepuk tangan untuk melihat  United Malays National Organisation kalah tertonggeng.

Kumpulan ketiga pula lagi menarik. Mereka ini mengakui diri mereka sebagai 'warga atas pagar'. Mereka tidak berparti. Mereka tidak memiliki kesetiaan kepada mana-mana parti politik. Tetapi mereka amat arif dalam selok belok perkembangan parti-parti yang wujud.  Mereka ini tahu nama pemimpin kesemua parti politik seolah-olah mereka ahli parti. Mereka ini menunggu Godot bukan kerana mereka melabur. Atau ada kenalan yang bertanding untuk jadi YB. Mereka syok kerana inilah saja tahap keinteklektual yang wujud dalam negara kita  ini.

Dalam menunggu Godot dan menetapkan tarikh pilihan raya, pelbagai teori telah dilabonkan. Ada yang berteori bahawa Najib Razak, Presiden United Malays National Organisation masih belum ada keyakinan diri untuk menang. Justeru, belum ada tarikh.

Ada pula teori yang mengatakan bahawa duit belanja untuk pilihan raya masih belum cukup. Duit ini perlu dicari. Felda wajib diapungkan di bursa saham sebagai cara mengumpul dana. Justeru, Najib Razak pada ketika secara 'gila-gila' akan mengapungkan Felda walaupun mendapat tentangan dari peneroka.
Ada juga teori yang berkata bahawa Mahathir Mohamad mahu pilihan raya di adakan tahun hadapan. Ini untuk memberi masa yang lama agar kerenah — berebut nak jadi YB — dalam  United Malays National Organisation dapat diperbaiki.

Juga ada berita yang tersebar tentang Mahathir Mohamad tidak bagitu 'meminati' Najib Razak. Tetapi bekas Perdana Menteri ini tidak berani mengkritik Najib secara terbuka. Mahathir takut kalau kalau Najib Razak juga akan menerima nasib seperti Andullah Badawi yang 'ditibainya' satu ketika dahulu.
Paling menarik ialah bagaimana Sports Toto pada ketika ini sedang sibuk membuat 'special draw'. Mengikut pemerhati politik yang berlabon di kedai-kedai Mamak, ini adalah salah satu cara bagaimana gerombolan United Malays National Organisation mengumpul dana untuk PRU 13.

Teori  United Malays National Organisation mencari dana melalui judi tikam ekor ini menjadi 'heboh-heboh' minggu ini. Para penjudi tikam ekor telah terperanjat dengan berita seorang hamba Allah telah menang RM 20 juta. Tidak cukup dengan ini, pada minggu berikutnya, seorang lagi hamba Allah  telah menang RM 13 juta.

Labon-labon seperti ini menjadikan menunggu Godot semakin rancak. Tetapi apa sebenarnya sedang berlaku?

Tarikh pilihan raya hanya akan diumumkan oleh Muhamad Najib bin Abdul Razak kerana dia Perdana Menteri. Najib Razak akan berjumpa dengan Yang Di-Pertuan Agong untuk membubar parlimen. Kemudian Suruhanjaya Pilihan Raya akan memulakan tugas. Semua ini adalah babak-babak akhir dalam menunggu Godot.

Sabar dahulu! Sebelum Godot sampai 28 juta, Vladimir dan Estragon wajib mengetahui psikologi sosok yang bernama Najib Razak ini. Vladimir dan Estragon wajib tahu bahawa Najib Razak ini tidak pernah 'bertempur' untuk memenangi apa-apa jawatan dalam parti United Malys National Organisation. Dari Ketua Pemuda, ke Naib Presiden, ke Timbalan Presiden dan akhirnya menjawat  Presiden United Malays National Organsiation - semuanya 'jatuh' ke tangan Najib. Kalau dalam permainan badmintan ini dipanggil pukulan 'fluke' — atau kerana bernasib baik. Bukan kerana bertempur dan berlawan.

Justeru 28 juta Vladimir dan Estragon di seluruh Malaysia sedang melihat tingkah laku Najib Razak yang selalu 'kluk klek'. Kluk klek ini adalah istilah orang Terengganu, atau 'flip-flop' mengikut kata orang London. Najib Razak menjadi kluk klek dalam menetapkan tarikh pilihan raya ini kerana dia belum pernah diduga dalam satu pertempuran.

Justeru, Najib Razak juga sedang menunggu Godotnya. Kita tak perlu risau kerana kita semua akan terus mendengar banyak lagi teori-teori dari para pelabon politik. Warung dan kedai Mamak akan terus menjadi medan sembang politik yang lebih hebat dari program politik di kaca TV.
Sebelum Godot sampai, semua  28 juta Vladimir dan Estragon boleh ketawa kerana Najib Razak akan terus berkluk klek untuk menetapkan tarikh pilihan raya. END



By Hishamuddin Rais 


Photobucket

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List