15 JUN 2012 -
Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad hari ini menayangkan video pendek yang didakwa bukti cubaan agen Umno Barisan Nasional (BN) membeli Ahli Parlimen Pakatan Rakyat.
Rakaman sepanjang 3 minit 41 saat itu mengandungi perbincangan antara lima orang di sebuah restoran di ibu negara.
Mereka terdiri daripada dua orang agen yang membuat tawaran, dua orang wakil ahli parlimen (MP) Pakatan Rakyat dan seorang driver kepada agen.
Khalid turut mendedahkan salah seorang agen tersebut adalah bekas ketua AMK Kedah, Zamil Ibrahim yang kini mengaku dirinya sebagai pemimpin Parti Kesejahteraan Tanah Air (Kita).
Antara kandungan perbincangan itu, salah seorang dari wakil ahli parlimen Pakatan itu berkata "Dua juta tak berapa cukuplah".
Lalu disambut oleh seorang lagi agen yang dinamakan Mr. X berkata "kita punya maksimum is like that...".
Kemudian kedengaran Zamil mencelah dengan berkata "kita dapat syiling sahaja...cuma itu Pak Zahrain...".
Rakaman perbincangan itu diakhiri dengan Mr. X berkata "Mula-mula dia dah bagi, lepas tu dia increase...tapi dalam Barisan Nasional sudah ada dah, ini price mana standardized,".
Lalu Zamil mencelah dengan berkata "Directlah!".
Menurut Khalid, rakaman yang didedahkan hari ini (gambar bawah) adalah sebahagian daripada rakaman sepanjang 3 jam.
Menurutnya perbincangan itu dirakam dua tahun lepas selepas beberapa ahli parlimen dari PKR melompat termasuk Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Hashim dan juga Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong.
"Video ini membuktikan bahawa pembelian ahli parlimen Pakatan Rakyat memang dijalankan oleh agen-agen yang bertindak bagi pihak Umno.
"Sebelum ini kita tidak ada bukti, tapi sekarang kita ada bukti dan kita mintak orang yang dinamakan (Zamil) memberi respons," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail juga turut mempersoal kemewahan yang diperolehi Zamil sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Zamil katanya kini tinggal di banglo mewah di Kelab Cinta Sayang di Sungai Petani dan memiliki beberapa kereta mewah.
Sedangkan kata Saifuddin, beliau hanya mengenali Zamil dengan latar belakang seorang penjual burger, dan isterinya hanya penjual alat kosmetik tradisional.
"Dengan latar belakang itu, tidak diketahui dia ada perniagaan yang dapat laba tinggi," katanya.
harakahdaily
0 comments:
Post a Comment