Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Barisan Nasional (BN) tidak terikat kepada desakan mana-mana parti politik atau pemimpin termasuk pembangkang untuk menetapkan tarikh pilihan raya. Beliau yang juga Pengerusi BN dan Presiden Umno berkata mengadakan pilihan raya semasa musim haji juga bukan sesuatu yang baru kerana sejarah menunjukkan ia pernah dilakukan sebelum ini tetapi menegaskan ibadah perlu diutamakan berbanding sebarang urusan lain termasuk pilihan raya.
"Dalam sejarah kita, kita pernah buat pilihan raya masa musim haji. Pilihan raya tahun 1986 kalau tak silap saya. Ada ahli jawatankuasa bahagian saya yang kebetulan hendak dicalon menjadi calon pilihan raya tapi saya tak dapat berhubung dengan dia sebab dia berada di Makkah. Bila dia balik, dia terima hakikat bahawa dia tak dapat jadi wakil rakyat sebab kalau dia bertanding, dia menang pada masa itu," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Menara Dato Onn di sini, 22 Jun lalu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang mendakwa Perdana Menteri akan menanggung dosa sekiranya pilihan raya diadakan pada musim haji. Najib berkata, kerajaan tidak menyekat sesiapa pun yang ingin menunaikan haji, dan mereka wajib meneruskan untuk menunaikan ibadah itu jika ketetapan telah dibuat (untuk mengerjakan haji).
0 comments:
Post a Comment