Apabila MB Selangor menyatakan akan menubuhkan Suruhanjaya untuk menyiasat penipuan dalam pilihan raya yang lalu, hati saya bertanya, untuk apa? Apakah untuk mencari jawapan kepada kenapa berlakunya lampu padam, dakwat tak kekal dan wujudnya pengundi hantu dalam pilihan raya yang lalu?
Saya bertanya hal ini kerana saya tidak nampak kerelevanannya untuk Suruhanjaya ini ditubuhkan. Soal penipuan SPR dalam pilihan raya yang lalu, jika ada, pastinya akan terbongkar dalam petisyen pilihan raya yang akan dibicarakan nanti. Kita hanya perlu tunggu masanya sahaja.
Pada saya, daripada menubuhkan Suruhanjaya untuk menyiasat penipuan dalam pilihan raya yang lalu, adalah lebih baik dan berfaedah sekiranya sumber dan duit kerajaan Selangor yang ada itu digunakan bagi menubuhkan Suruhanjaya mengkaji kaedah untuk mengatasi masalah kemiskinan rakyat, menyediakan perumahan rakyat, menyediakan bekalan air bersih untuk rakyat dan mengkaji kaedah untuk memantapkan pengurusan kerajaan tempatan.
Ini kerana saya tengok banyak urusan kemudahan awam yang menjadi tanggungjawab kerajaan negeri, khususnya pentadbiran kerajaan tempatan tidak terurus dengan baik. Contohnya, Jalan Reko dari Kajang ke UKM, hujan sedikit sahaja, maka banjirlah jalan dekat dengan stesen minyak Shell sehingga kereta menjadi sesak. Longkang yang ada sempit sekali sehingga gagal untuk menampung air hujan. Sudah bertahun hal ini berlaku, tetapi sampai sekarang pun, masalah semudah itu tidak dapat ditangani oleh wakil rakyat PR atau oleh majlis perbandaran. Saya sendiri sudah letih untuk membuat komen tentang masalah yang perlu diberi perhatian ini.
Ringkasnya, dari terlalu banyak berpolitiking, sudah sampailah masanya kerajaan negeri menumpukan masa untuk memberi pelayanan yang baik kepada masyarakat. Hargai rakyat yang telah memilih untuk mengekalkan kerajaan PR di Selangor. Begitulah!
Mohammad Agus Yusoff
0 comments:
Post a Comment