Realiti seorang banduan di Penjara Sg Buloh - Siri 2
Masuk sahaja pintu Sg Buloh, kami semua di bawa ke kawasan “kuarantin”. Semua diminta memberitahu atau mengisytiharkan (declare) sekiranya ada membawa bersama telefon bimbit. Mujurlah aku tak bawa dan minta isteri simpan. Tiba-tiba salah sorang Cikgu menjerit kuat “ Bukak semua kasut dan selipar, buang tali pinggang dan keluarkan dompet! Aku cakap sekali saja, sapa lambat siap! Tak lama lepas 4 lima saat…Panggggggggg!!! Orang pertama ditampar selang dua baris dari aku kerana lambat bukak kasut !”. Kan aku dah cakap bukak kasut, bukak kasut la…yang duk terhegeh-hegeh tu kenapa…rupanya mamat tu bukan warganegara dan tak paham bahasa Melayu.
Cikgu dah cakap, sape suruh kau datang Malaysia, kau sampai Malaysia ikut undang-undang sini lah. Duduk diam-diam. Kami semua di periksa dengan teliti. Lepas sorang je kena, habis semua banduan dah kecut perut termasuk aku. Jantung mula berdegung kencang! Gedebuk lagi, yang ni pulak lambat bukak tali pinggang. Semua banduan baru seperti kami terlolong mata melihat lepas sorang-sorang kena. Cikgu melaung, siapa-siapa yang tak reti nak ikut arahan dia akan kena!
Semua diperiksa di semua anggota badan. Ya, semua sekali tak ada seinci pun yang terlepas. Bukak mulut tu luas-luas. Dari hujung rambut sampailah ke hujung kaki. Tiba giliran aku, badan diperiksa. Pusing belakang, terpampanglah baju aku yang tertulis “Blackout 505”. Cikgu bersuara perlahan, “Oh, kaulah budak tu ye”. Aku hanya diam dan mengangguk. Terkedu. Tak mampu nak keluar suara. Apa lagi, semua banduan beralih arah mata tertumpu pada aku. Mereka hairan, kenapa bila sampai giliran aku, cikgu berlembut. Kalau giliran mereka semuanya tak lepas dari penampar, penumbuk, dan terajang.
Semua muka banduan tu kelihatan tak puas hati, seolah-olah aku dapat layanan istimewa. Cikgu terus periksa, kasut aku. Dibukak semua tapak kasut, dirobek-robek takut ada apa-apa yang diselit. Dompet aku dibukak, dibukak kemudian Cikgu terjumpa sekeping memori kad dan Sim Kad lama yang sudah rosak. Cikgu mula melenting, “Kan aku dah cakap kalau ada telefon sila isytihar!!!” Aku menjawab, tak cikgu, tu semua dah rosak. Kau ni saja nak cari pasal sambil Cikgu mematahkan memori dan sim kad lama aku tu. Kesalahan pertama aku, hampir-hampir kena makan pelempang. Mujurlah cikgu masih boleh tahan sabar dengan aku.
Habis pemeriksaan pertama, kami semua dibawa ke proses saringan seterusnya. Semua banduan diberi nombor untuk dihafal. No ini dikenal sebagai no SMPP. Entah sampai sekarang aku tak pernah tanya dan tak pernah tahu apa maksud SMPP. Cikgu melaung kuat, “ Mulai sekarang korang semua ni tak dipanggil dengan nama. Korang hanya diberi nombor dan sila hafal nombor masing-masing! ”. Yang tak paham bahasa Melayu sila hafal dalam Bahasa Inggeris, kata cikgu. Mujurlah aku ni jenis cepat menghafal. Selamat peringkat seterusnya. Kesian aku tengok banduan-banduan baru ni tergagap-gagap nak menghafal no lapan angka. Dan no aku ialah 31302770!
Selesai ambil no masing-masing, kami ke saringan seterusnya iaitu proses gunting rambut. Cikgu beri arahan, “ Semua bukak baju dan siap untuk gunting rambut. Dah masuk penjara, kena ikut peraturan penjara.” Aku paham sebenarnya arahan tu ditujukan khas kepada aku memandangkan yang lain-lain tu tak ramai yang berambut panjang. Cikgu datang dekat kepada aku, “ Kau boleh tak gunting botak ni? Dah masuk penjara macam nilah caranya…Aku hanya angguk, ye boleh cikgu…
Semua kena gunting guna skala satu. Pendek betul. Sampai giliran aku gunting rambut, aku letak baju Blackout505 aku di meja belakang. Cikgu datang dekat, “ Kau gunting budak ni guna skala dua. Bagi lain sikit dari banduan-banduan ni.” Aku lega la sikit. Sebab rasanya sepanjang aku hidup sejak zaman sekolah lagi tak pernah botak kepala. Selesai gunting rambut, aku berpusing ke belakang untuk ambil semula baju aku. Malangnya, baju Blackout505 aku telah hilang dikebas hanya sekelip mata. Agaknya apa yang berlaku??
Aku cakap, habislah nasib aku kali ni. Tak jaga barang-barang sendiri. Siaplah kena marah lagi dengan cikgu! Rupanya tidak, sebaliknya Cikgu betul-betul mengamuk kali ni. Memekik kepada semua banduan “ Woi, sape yang ambik baju budak ni!!! Baju hitam berkolar, belakang ada tulis Blackout505!!! Aku dapat tahu sape ambik siaplah korang semua! ” Nah, saat tu penjara mula kecoh. Dan aku lebih dikenali dengan gelaran “Budak Baju Blackout505”. Tak sampai 5 minit lepas tu, sorang Cikgu membawa baju aku. Kau tahu tak aku jumpa baju kau kat mana? Tu kat tong sampah besar belakang blok penjara. Ramai betul yang berminat dengan baju Blackout kau ni. Nah ambik, lain kali jaga elok-elok. Aku hanya mampu ucap terima kasih Cikgu. Kali ni aku rasa banduan-banduan tu dah tengok aku lain macam. Betul-betul lain macam. Mana taknya, disebabkan baju aku hilang, mereka semua kena maki hamun! Alhamdulillah, mujurlah baju aku dapat balik dan sekurang-kurangnya aku dah berjaya sampaikan mesej Blackout505 dalam penjara walaupun ramai tak tahu apa isu blakcout ni!
Habis gunting rambut, kami semua perlu ambil barang-barang keperluan. Selimut, gelas, timba, sabun dan berus gigi. Aku buat-buat cool walaupun agak terkejut sebab tak pernah jumpa berus gigi macam ni melainkan dalam penjara. Korang nak tahu macam mana, kena masuk dulu baru tahu. Sekadar bergurau je. Lepas ambil semua barang-barang, kami semua diberi selipar penjara. Keras betul selipar tu sampai habis merah-merah kaki aku ni. Nasib aku lah selipar baru dah habis stok, aku terpaksa pakai selipar lama dan saiz besar sebelah. Takpelah, memang niat aku bukannya nak bersenang-senang dalam penjara. Aku terima apa sahaja tanpa banyak komplain. Banduan lain yang ada komplain tak pasal-pasal dapat hayungan kayu cota. Jawapan ringkas bagi permintaan mereka.
Petang tu juga aku dapat lihat satu pergaduhan berlaku. Ada sorang banduan yang sekadar bergurau nak baling sampah pada banduan yang lain tiba-tiba tersasar kena pada badan Cikgu. Apa lagi, naik angin Cikgu sampai lunyai banduan tu kena belasah dengan kayu cota. Aku cakap dalam hati, patutlah banyak kali aku dengar cerita banduan mati dalam tahanan. Tapi kami semua mana ada yang berani buka mulut time tu, silap hari bulan siapa-siapa yang buka mulut ke, cuba nak membantu ke, siaplah dia pula yang akan kena balun dengan kayu cota. Semua diam membisu hanya memerhati.
Kami diminta pula untuk tukar kepada baju penjara berwarna ungu. Semua bertukar baju hanya dalam beberapa saat selepas amaran diberi oleh cikgu supaya tukar baju dengan pantas. Ramai yang tanpa rasa malu tukar serta merta di tempat yang sama juga. Aku pula ke belakang dan menukar baju sepantas mungkin. Semua diminta beratur panjang dan sorang-sorang masuk ke bilik cermin gelap. Entah apa la pulak kali ni kami perlu lalui. Badan aku sudah mula naik merah-kemerahan kerana rambut yang baru sahaja dipotong belum habis disapu dari badan, nasiblah mana cukup masa untuk buat semua tu.
Tiba giliran aku masuk. Oh bilik saringan seterusnya. Kali ni (saya hanya cerita realiti) aku diminta buang semua baju dan seluar, tanpa seurat benang. Aku tersentak sekejap. Cikgu dah mula ulang arahan, “ Kau tunggu apa lagi bukak semua lah. Kau dengar tak?? ” Aku bukak semuanya dan Cikgu mula periksa seluruh anggota badanku. Semuanya sekali lagi diperiksa, cumanya kali kedua ini badan tanpa seurat benang pun. Di pusing-pusing badan aku beberapa kali dan kemudian salah seorang daripada 3 Cikgu yang periksa badan aku tu tanya, “ Nama kau apa? Aku jawab 31302770. La, aku bukan tanya nombor la aku tanya nama kau! Cikgu mula melenting. Yelah, sebelum ni diorang dah cakap takkan panggil nama tapi aku pulak yang kena marah kali ni.
Nama saya Safwan cikgu. Oh, kaulah Safwan rupanya. Siaplah aku kena soal siasat kat situ. Kenapa aku buat macam ni, apa kesalahan aku, apa latarbelakang aku, diorang bertiga soal siasat aku dah macam dalam CSI yang selalu aku duk tengok. Masalahnya dalam keadaan aku masih tak berbaju dan seluar. Tak kurang jugak kena maki hamun dengan mereka yang kononnya aku dah gadai masa depan aku, aku dah rosakkan harapan keluarga, bla bla bla. Habis soal siasat barulah aku di minta balut badan dengan hanya menggunakan selimut dan bukannya pakai baju penjara. Rupanya proses saringan kali ni masih belum berakhir.
bersambung…
0 comments:
Post a Comment