Pakatan Rakyat tetap bersatu lawan kemungkaran Umno Bn

on Aug 27, 2010

Pakatan Rakyat tidak mempunyai keraguan untuk tetap bersatu melawan kemungkaran dan penganiayaan Umno Barisan Nasional terhadap rakyat.
“Kami  beriltizam untuk menentukan hala tuju baru buat rakyat dan negara ini. Menjelang 53 tahun kemerdekaan, sudah tiba masanya negara ini meninggalkan politik perkauman sempit yang seumpama barah merosak masyarakat,” ujarnya Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam kenyataan akhbar Pimpinan Pakatan Rakyat, petang ini.
Menurut mereka, Pakatan Rakyat merasa bertanggungjawab untuk memaknai kembali Kemerdekaan yang berlandaskan Politik Baru yang lebih matang dan mengutamakan kemaslahatan rakyat serta negara ini.
Pakatan Rakyat, kata mereka sedar wujudnya satu muslihat politik oleh pimpinan Umno BN untuk mengapikan sentimen perkauman sempit dan agama bertujuan memecahbelahkan keharmonian masyarakat.
Bagi mereka, politik usang bersifat peras ugut dan memesongkan fakta itu digunakan oleh pimpinan Umno BN kerana mereka berada dalam keadaan terdesak untuk meneruskan kelangsungan kuasa mereka.
Menurut kenyataan itu lagi, demi mencapai cita-cita politik tersebut, pelbagai jentera kerajaan seperti BTN dan media seumpama Utusan Malaysia diperkuda untuk menggugat kesejahteraan rakyat.
Berhadapan serangan bertali arus itu, uajr mereka Pakatan Rakyat tetap beriltizam untuk melaksanakan perubahan demi kemaslahatan rakyat keseluruhannya.
“Kita beriltizam untuk memastikan keharmonian dan perpaduan masyarakat dapat diperteguh serta politik perkauman sempit akan sirna dari negara ini,” ujar mereka.
Pakatan Rakyat, tambah mereka menghormati perjuangan parti masing-masing dalam Permuafakatan Pakatan Rakyat di mana permuafakatan itu sememangnya berlandaskan Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang telahpun disepakati.
Dasar Pakatan Rakyat menyatakan: “Pakatan Rakyat bertekad untuk menyemai persefahaman dan perpaduan di kalangan rakyat berteraskan prinsip memelihara kepentingan bersama. Perpaduan negara mesti mencerminkan kesepakatan, persefahaman serta muafakat sejati antara kaum, budaya dan agama.”
“Kita percaya antara lainnya serangan ini adalah untuk menutup kegagalan kerajaan Umno-BN menguruskan khazanah negara seumpama skandal rompakan saham untuk rakyat termiskin bernilai RM52 billion,” ujar mereka lagi.
Ehubungan itu, mereka menggesa satu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan bagi menyiasat kehilangan hak rakyat tersebut.
“Kita akui sememangnya terdapat perbezaan di antara komponen Pakatan Rakyat, walaupun begitu kita tuntas menggalakkan perbincangan dan bersikap terbuka.
“Ini berbeza sekali jika dibandingkan dengan politik dalaman BN yang mana komponennya sering bertelagah dan bersikap menyembunyikan segala permasalahan,” kata mereka.
Sementara itu, pada sidang media di ibu pejabat PKR, Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat mengulangi konsesus bersama, iaitu mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi Persekutuan di samping menjamin menjamin kebebasan agama-agama lain.
Menurut Anwar yang juga Ketua Pembangkang, sama ada PKR, DAP mahupun PAS masing-masing menyedari perbezaan ideologi sejak sebelum penubuhan Pakatan Rakyat lagi.
Namun, katanya lagi, perbezaan itu tidak boleh menjadikan ketiga-tiga tonggak Pakatan Rakyat itu mengetepikan kezaliman Umno BN ke atas rakyat sejak merdeka, 53 tahun lalu.
Bercakap pada sidang yang sama, Nasharudin berkata, perbezaan pendapat berhubung amalan undang-undang syariah di Malaysia bukan sahaja dihadapi oleh DAP dan PAS.
Malah, katanya negeri-negeri di bawah kerajaan Persekutuan sendiri tidak mengamalkan undang-undang syariah secara seragam.
Sambil menganggap perbezaan pendapat sebagai lumrah, beliau menasihatkan kerajaan persekutuan supaya terlebih dahulu menyeragamkan kaedah perundangan syariah di tanah air daripada melaga-lagakan PAS dan DAP berhubung isu hudud seperti belakangan ini.
Menyambut saranan Nasharudin itu, Lim Guan Eng menegaskan bahawa keutamaan Pakatan Rakyat adalah menghapuskan politik perkauman dan kezaliman yang dilakukan Umno BN.
Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, Pakatan Rakyat menentang kezaliman Umno BN adalah lebih diutamakan daripada mempopularkan ideologi kepartian masing-masing yang hakikinya adalah memperjuangkan keadilan.
Harakahdaily

Tangkapan 3 pegawai Indo: M'sia tak akan minta maaf.

on


Malaysia tidak akan meminta maaf atas insiden penangkapan tiga pegawai kementerian kelautan dan perikanan Indonesia yang didakwa menceroboh ke kawasan perairan Malaysia baru-baru ini, sekalipun benar mereka telah digari dan dipakaikan baju banduan, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

"Kalau betul mereka digari dan sebagainya kita tidak meminta maaf kepada sesiapapun sebab itu adalah undang-undang negara kita, dan sesiapapun yang masuk ke negara Malaysia haruslah menghormati undang-undang Malaysia," katanya kepada Bernamaselepas menerima kunjungan rombongan Duta Belia 2010 Indonesia di Wisma Putra di Putrajaya, semalam.

Anifah mengulas tuntutan parlimen Indonesia yang mahu Malaysia meminta maaf kerana menggari dan memakaikan baju banduan kepada tiga petugasnya itu.

Bagaimanapun, Anifah berkata beliau sedia berbincang dengan kementerian dalam negeri untuk menyemak semula prosedur berkenaan sekiranya ia tidak mendatangkan manfaat kepada mana-mana pihak, memandangkan pencerobohan kawasan itu bukanlah jenayah yang berbahaya.
Pada masa yang sama, Anifah berkata Malaysia tidak mengharapkan permohonan maaf daripada Indonesia berhubung tindakan rakyatnya yang melempar najis ke kawasan kedutaan besar Malaysia di Jakarta Isnin lalu.

Ini memandangkan ia hanya perbuatan segelintir pihak dan bukannya mewakili seluruh rakyat dan kerajaan Indonesia, katanya.
Dalam perkembangan lain, Anifah berkata pihak media, dari kedua-dua Malaysia dan Indonesia juga harus bertanggungjawab dengan laporan masing-masing, dengan memberi laporan yang tepat berdasarkan fakta dan menjaga sensitiviti antara negara.

"Saya menyokong kebebasan media, tapi janganlah kebebasan media itu sehingga mengundang masalah yang lain. Janganlah kebebasan media itu digunakan oleh orang yang punya agenda yang lain," katanya.

Beliau juga memaklumkan bahawa mesyuarat jemaah menteri pada Rabu lalu sepakat untuk menyelesaikan perkara itu secara baik dan meminta rakyat Malaysia supaya bersabar dan bersikap rasional dengan mengelakkan kejadian yang sama di negara ini.

Anifah berkata kementerian dalam negeri juga diminta untuk memastikan keselamatan warga Indonesia di negara ini tidak terjejas berhubung insiden itu.

Katanya Malaysia berharap Indonesia dapat mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang melakukan "perlakuan keji" tersebut memandangkan tanah Kedutaan Besar Malaysia itu mempunyai keistimewaan dan kekebalannya sendiri sepertimana yang tertakluk mengikut Artikel 22 Konvensyen Vienna mengenai hubungan diplomatik 1961.

Beliau berkata lebih-lebih lagi apabila ketua kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat (BENDERA) yang mendalangi serangan itu sendiri mengakui melakukan perbuatan berkenaan dalam blognya, yang boleh dijadikan bahan bukti.

"Jika ia salah di sisi undang-undang Indonesia, saya harap tindakan akan diambil terhadap mereka yang terlibat. Tetapi saya bukannya mahu mengajar Indonesia mengenai apa yang mereka harus lakukan mengikut undang-undang mereka. Kita menghormati," katanya.

Malaysiakini

MELAKA OHH MELAKA....Buaya tembaga mengeram 20 biji telur ditangkap

on


ANGGOTA Perhilitan Melaka dan JPAM berusaha menangkap buaya tembaga di Sungai Putat, Melaka semalam.
MELAKA - Seorang petani terperanjat apabila menemui seekor buaya tembaga yang sedang mengeram di kawasan belukar berhampiran Sungai Putat di sini semalam.
Gui Ah Seng, 64, berkata, dia terserempak dengan buaya tersebut ketika membersihkan kebun sayurnya berdekatan belukar berkenaan kira-kira pukul 2 petang kelmarin.
"Saya mulanya mendengar bunyi menderam dalam satu kawasan belukar dan selepas diperiksa didapati seekor buaya sedang mengangakan mulut. Saya yang ketakutan terus melarikan diri.
"Saya datang ke belukar ini sekali lagi pada pukul 8 pagi tadi (semalam) dan melihat buaya ini masih berada di sini lalu menghubungi Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) untuk meminta pertolongan menangkap buaya," ceritanya ketika ditemui di sini semalam.
Ah Seng berkata, dia bimbang buaya itu akan membahayakan keselamatan para pemancing yang sering menjadikan Sungai Putat sebagai lokasi memancing.
KosmoOnline

Tunku Ismail tiada akaun Facebook

on




JOHOR BAHRU – Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Ibrahim Ibni Sultan Ibrahim, 25, tidak mempunyai akaun laman rangkaian sosial Facebook sendiri.


Menurut sumber terdekat istana, hanya dua orang putera Sultan Johor yang mempunyai laman rangkaian sosial tersebut iaitu Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar, 22, dan adindanya, Tunku Abdul Jalil Iskandar, 20.
Selain kedua-dua putera tersebut, mana-mana laman Facebook yang mendakwa pengendalinya merupakan putera atau puteri kepada Sultan Johor adalah tidak benar sama sekali.
“Hanya Tunku Idris dan Tunku Jalil yang mempunyai akaun Facebook, yang lain-lain (termasuk Tunku Ismail Ibrahim) tiada.
“Malah, Tunku Idris dan Tunku Jalil juga tidak sewenang-wenangnya menerima permintaan mana-mana individu tidak dikenali untuk menjadi rakan dalam Facebook melainkan kerabat dan kenalan terdekat,” kata sumber itu ketika dihubungi.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan muka depan Kosmo! semalam mengenai tindakan seorang lelaki yang dipercayai menyamar sebagai Tunku Ismail Ibrahim dalam Facebook.
Sepanjang mengendalikan dua akaun Facebook iaitu Diari Harian Tunku Mahkota Johor dan Tunku Mahkota Johor (Penasihat Utama TMJ) itu, suspek yang dikenali sebagai Miky telah memuat naik gambar dan aktiviti Tunku Ismail serta melayan komen-komen peminat yang menyangka dia adalah TMJ yang sebenar.
KosmoOnline

Mereka yang tiada bertamadun.........

on


Seorang daripada penunjuk perasaan (dua kiri) membakar Jalur Gemilang yang dipegang dua rakannya (termasuk seorang yang duduk di atas motosikal) semasa berkumpul di hadapan Kedutaan Besar Malaysia di sini, Khamis. Mereka yang dari kumpulan Forum Kebangsaan Indonesia (FKI) turut bertindak liar dengan meludah Jalur Gemilang selain melempar buluh, batu dan selipar kepada pasukan Polis Indonesia yang mengawal keadaan di situ.

Mawi Menangis Kerana "Pak Nil... Ibu Kirim Salam"

on









Mawi bersama semua krew telefilem Pak Nil "Ibu Kirim Salam".
SELEPAS Rumah Baru, Bini Baru, Baru Raya dan Jiwa Kacau, MW Entertainment sekali lagi membawakan sebuah telefilem sempena Hari Raya Aidilfitri ini berjudul Pak Nil "Ibu Kirim Salam".
Telefilem pertama arahan Asmawi Ani atau Mawi ini bakal ke udara pada 17 September 2010, pada pukul 12.00 tengahari di Astro Prima saluran 105.
Menurut Mawi idea asal dan skrip telefilem ini merupakan jalan cerita sebenar yang berlaku kepadanya.
Namun skrip yang ditulis sendiri itu telah ditokok tambah dan disesuaikan mengikut keadaan semasa.
"Idea asal ini adalah daripada pengalaman saya sendiri beberapa tahun lepas. Yang mana seorang budak yang lari dari rumah semata-mata untuk berjumpa saya.
"Budak tersebut ada juga menceritakan pengalaman dia tidur di surau dan mengharungi pelbagai dugaan untuk datang berjumpa saya. Tapi malangnya sehingga kini tiada khabar berita tentangnya.
"Bagaimanapun jalan cerita saya telah ubah dan memasukkan lebih banyak elemen-elemen pengajaran" jelasnya semasa pratonton drama tersebut di rumahnya di Bangi, Rabu.
Dalam pada itu, menurut Mawi yang juga penulis skrip, pengarah dan penerbit telefilem itu juga, pelbagai cabaran yang dihadapai sehingga menyebabkan dia menangis.
"Bukan mudah untuk menyiapkan telefilem ini, pelbagai dugaan yang menimpa saya. Mula-mula skrip saya hilang setelah 30 adegan disiapkan disebabkan komputer buat hal.
"Memang tuhan sahaja yang tahu, saya menangis malam itu sambil termenung mengenangkannya. Mungkin banyak dugaan jika kita nak buat cerita tentang keagamaan ini.
"Bukan itu sahaja, dugaan lebih teruk apabila enam adegan yang sudah siap penggambaran tiba-tiba rosak. Enam adegan itu termasuk menampilkan empat orang "cameo" termasuk saya, Zamani, A.Galak, dan Rizman Ruzaini," katanya.
Mawi yang baru pertama kali mengarah drama memberitahu, pangalaman pertama mengarah sangat mendedahkannya dalam dunia pengarahan.
"Saya banyak belajar dari Jamal Khan yang banyak membantu saya dalam pengarah telefilem ini, selain itu saya tanya sendiri pendapat pelakon-pelakon tentang lakonan mereka, jika mereka tidak puas hati mereka boleh buat sekali lagi," katanya.
Telefilem ini yang mengisahkan seorang remaja istimewa bernama Ramlan berumur awal 20an yang terlalu meminati pengacara popular iaitu Aznil Haji Nawawi dan berhasrat untuk ke Kuala Lumpur bertemu dengan Aznil.
Dalam perjalanan bertemu Aznil, Ramlan telah melalui pelbagai rintangan dan cabaran yang menguji keimanan dirinya. cerita penuh dengan nilai kerohanian ini turut diselitkan dengan lawak jenaka bagi menghiburkan penonton.
Lebih menarik lagi telefilem berdurasi 90 minit ini akan menampilkan seramai 30 orang pelakon antaranya Along Cham, Didi Alias, Angah RL, Joey, Soya, Linda Onn, Yan Kassim, Almy Nadia, Ekin dan Aida Khalida.
mStar

Ekin Jelaskan Dakwaan Mawi Nikah Dalam Diam

on


SEMALAM tarikh paling bermakna dalam hidup penyanyi Asmawi Ani atau Mawi apabila dia menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke 29 tahun. Mawi lahir pada 25 Ogos 1980.
Bagaimanapun ketika sedang meniti bahagia pada ketika ini, rumah tangga Mawi dan isterinya, Nora’asikin Rahmat atau Ekin diuji apabila timbul desas-desus Mawi kononnya berkahwin lain dalam diam.
Malah faktor ketiadaan anak selepas berumah tangga mungkin penyebab kepada desas-desus itu.
Hal tersebut turut diakui oleh Ekin yang mendengar gosip sedemikian tetapi wanita ini tetap percaya terhadap kejujuran suaminya itu.
Ujar Ekin, dia pernah mempunyai perasaan curiga dan mahu bertanyakan hal berkenaan kepada Mawi tetapi hatinya tertutup setiap kali melihat wajah suami setiap kali dia pulang dari bekerja.
“Saya pernah mahu bertanyakan hal itu kepada Mawi tetapi bila saya tengok muka dia, saya tidak sampai hati untuk bertanya kerana takut mengguris hatinya.
“Bukannya apa, saya sebenarnya amat percaya kepada kejujuran Mawi. Kalaulah dia betul-betul kahwin, tentulah saya tahu,” katanya.
Menurut Ekin, dia memahami tugas Mawi sekarang amat sibuk di lokasi penggambaran kerana dia bukan sahaja mencuba peluang menjadi pengarah sebaliknya penerbit drama.
Kesibukan Mawi selama ini kata Ekin hanyalah di lokasi penggambaran dan tidak mungkin dia mahu menduakan isterinya itu.
"Setiap hari dia sibuk di lokasi jadi bila masa dia dikatakan berkahwin seorang lagi? Saya faham itu semua gosip yang tidak berasas,” katanya yang menghadiahkan Mawi sebuah alat permainan X-box sempena hari lahirnya itu.
Bagi Mawi pula bukan mudah untuknya bergelar seorang pengarah kerana sehingga ke hari ini dia masih belajar bidang berkenaan dan berharap masyarakat akan menerima setiap produk yang dihasilkan melalui syarikat produksinya, Mawi World Entertainment.
"Saya masih baru untuk mencuba dalam bidang ini dan mahu melihat penerimaan masyarakat terhadap telefilem saya. Impian saya tinggi iaitu untuk menerbitkan sebuah filem pula suatu hari nanti,” kata Mawi selepas pra tonton drama pertama arahannya, Pak Nil... Ibu Kirim Salam yang akan bersiaran pada 17 September akan datang di saluran Astro Prima, pukul 12 tengah hari.
Sebelum ini syarikat produksi Mawi itu telah menerbitkan sebuah drama berjudul Jiwa Kacau yang disiarkan menerusi saluran Astro Prima lakonan Syed Ali dan Intan Ladyana.
mStar

Anwar Oh Anwar…masih ‘pusing keliling’ tentang hudud......

on


Mereka yang mengenali Datuk Seri Anwar Ibrahim cukup masak dengan stailnya.Bila nampak macam nak jem Penasihat PKR itu beliau mulalah ‘pusing keliling’ dan cepat-cepat alih perhatian ke isu lain.

Inilah halnya semasa sidang akhbar selepas mesyuarat Majlis Pakatan Rakyat di Petaling Jaya Khamis bila beliau ditanya mengenai pertikaian isu undang-undang hudud antara DAP dan PAS yang sedang hangat.

Para wartawan yang hadir memang bertekad nak dapat jawapannya setelah DAP tetap menolaknya manakala PAS mempertahankan impian nak laksanakan undang-undang itu jika berkuasa.

Ini dilihat satu suasana no go bagi pakatan pembangkang itu.

Apa yang semua nak dengar tentulah pendirian rasmi pakatan rakyat dan bagaimana pendirian Anwar sendiri samada memihak pada DAP atau PAS dalam isu berkenaan.

Namun Anwar tidak bodoh hendak menempa nahas politik menyokong pendirian mana-mana satu antara dua parti itu yang sangat diperlukan untuk menunjang impiannya menjangkau Putrajaya.

Maka beliau pun memberi jawapan yang secara umum ‘ selamat’ dengan berkata pakatan rakyat itu tetap berpegang kepada rangka dasar bersama (CPF) - yang dipersetujui oleh pakatan itu Disember lalu – dimana masing-masing parti tidak mempromosi pendirian yang diluar rangka berkenaan.

Katanya masih terdapat ruang untuk berbincang dan tiada siapa dinafikan hak untuk mengemukakan pendirian mereka.

Beliau sebaliknya mendakwa UMNO yang membangkitkan isu hudud dan bertanya apakah pendirian parti itu mengenainya.

Anwar kemudiannya mendakwa perang mulut antara DAP dan PAS mengenai hudud cuma salah faham hasil mainan media yang dikuasai kerajaan untuk alih perhatian pada isu yang lebih besar iaitu mengenai kehilangan ekuiti bumiputra sebanyak RM52 billion.

Beliau berkata fokus harus diberikan pada salahgunakuasa dan penyelewengan kerajaan pusat dari isu seliseh faham antara parti-parti dalam pakatan rakyat.

Anwar semacam lupa isu terbaru polimek undang-undang hudud ialah antara Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Karpal Singh bukan ciptaan UMNO atau sesiapa.

Sebaliknya ia meletus bila Menteri Besar Kelantan menyatakan undang-undang hudud ialah jalan terbaik menyelesaikan masalah sosial di negara ini manakala Pengerusi DAP itu yang sudah diketahui pendiriannya tentang itu tetap menolak.

Apakah UMNO atau BN yang mencipta kenyataan Nik Aziz mendakwa Karpal Singh saja pemimpin DAP yang bising tolak hajat PAS nak laksanakan undang-undang hudud jika berkuasa?

Apakah UMNO dan BN yang cipta jawapan balas Karpal Singh kata bukan beliau seorang saja dalam DAP yang tidak setuju.

Apakah UMNO dan BN yang cipta kenyataan Penasihat DAP Lim Kit Siang kemudiannya menyokong Karpal Singh dengan menegaskan pendiriannya bahawa Malaysia ialah sebuah negara sekular dan pengenalan hukum hudud di negara ini dan pewujudan sebuah negara Islam bukan dasar pakatan pembangkang.- 26/8/2010

AgendaDaily

Keadilan Lakar Sejarah Guna Kaedah Undi Langsung Bermula Hari Ini.

on


SHAH ALAM 27 Ogos - Proses pemilihan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) yang buat pertama kalinya dalam sejarah parti politik tanahair menggunakan pendekatan undi terus atau 'satu ahli satu undi' dalam menentukan barisan pucuk pimpinan untuk tempoh tiga tahun bermula hari.
Kelantan dan Kedah menjadi dua negeri yang mengorak langkah dalam proses yang akan memakan masa beberapa minggu sehingga tarikh pemilihan peringkat cabang yang akan bermula 17 September.
Masing-masing lima cabang di Kedah - Langkawi, Kubang Pasu, Pokok Sena, Alor Setar, Kuala Kedah dan Kelantan - Tumpat, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Pasir Mas, Rantau Panjang akan mula menerima kertas pencalonan mesyuarat agung tahunan.
Hanya anggota yang berdaftar sebelum 27 Jun dibenarkan mengundi bagi 18 jawatan di peringkat cabang  termasuk pengerusi, timbalan pengerusi, naib pengerusi serta 15 ahli jawatankuasa. 
Angkatan Muda KEADILAN dan Wanita pula masing-masing menawarkan 20 dan 10 jawatan dalam sayap mereka.
Permulaan awal bermakna 10 cabang terbabit akan menjadi kelompok cabang paling dahulu  menjalankan pemilihan secara undi langsung dalam KEADILAN yang akan bermula 17 September.
Proses pencalonan akan dijalankan dilokasi yang telah dikenalpasti disetiap cabang antara pukul 10.00 pagi hingga 4.00 petang.
Proses pencalonan ini dipantau ketat oleh pegawai pemantau yang dilantik parti berjumlah 150 orang bagi seluruh negara sehingga habis tempoh pada 12 September.
Nama anggota parti yang dicalonkan akan dipamerkan untuk bantahan selama tiga hari dan selepas sekiranya tiada bantahan dalam tempoh tersebut senarai calon yang layak bertanding akan diumumkan empat hari kemudian oleh jawatankuasa pemilihan pusat.
KEADILAN mempunyai 218 cabang termasuk di Sabah dan Sarawak dengan jumlah ahli hampir 500,000.
Pemilihan akan dibahagikan kepada dua komponen iaitu mesyuarat tahunan cabang serta pemilihan pucuk pimpinan peringkat cabang dan kemuncaknya bagi memilih pimpinan tertinggi parti termasuk jawatan presiden, timbalan presiden, empat naib presiden dan 20 anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP).
Cabang akan mengundi untuk memilih barisan pimpinan pusat antara 29 Oktober dan 21 November manakala keputusan rasmi akan diumumkan pada Kongres Nasional pada 28 November.

Sempat hubungi menantu sebelum meninggal dunia.....

on

RAWANG: Seorang pengurus cawangan Pos Malaysia Berhad yang terbabit dengan kemalangan ngeri sempat menghubungi menantunya bagi memaklumkan insiden dialami sebelum menghembuskan nafas terakhir beberapa minit kemudian.
REMUK...keadaan kereta mangsa yang terbabit dalam kemalangan.
REMUK...keadaan kereta mangsa yang terbabit dalam kemalangan.
pix_topright
Lebih menyedihkan apabila mangsa, Nariah Abdul Malik, 54, maut di samping suaminya, Kamarudin Awang Teh, 62, selepas kereta dinaiki merempuh kuat belakang treler membawa puluhan tan tiang konkrit di Kilometer 448.8, Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran susur Lebuhraya Guthrie, pagi semalam. 

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Selangor, Superintendan Che Husin Omar, ketika dihubungi berkata kejadian berlaku kira-kira jam 6 pagi ketika pasangan suami isteri terbabit dalam perjalanan dari rumah mereka di Jalan Pantai Remis, Ayer Tawar, Perak, menuju ke ibu negara. 

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta dinaiki mangsa di lorong kiri lebuh raya dipercayai gagal mengelak sebuah treler di hadapannya. 

“Akibat rempuhan kuat berkenaan kedua-dua mangsa tercampak ke arah cermin kereta,” katanya. 

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa maut akibat cedera parah di kepala. 


Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat.

“Kamarudin adalah pengusaha kedai makan berhampiran rumahnya. Dia dipercayai dalam perjalanan menghantar isterinya, Nariah yang bekerja sebagai Pengurus Pos Malaysia cawangan Sitiawan, Perak, untuk menghadiri mesyuarat di ibu kota pagi ini,” katanya. 



Sementara itu, suasana bertukar pilu apabila beberapa ahli keluarga tiba ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat berhubung kemalangan.

Menantu mangsa yang dimaklumkan mengenai kejadian sebelum mentuanya meninggal dunia, antara yang awal tiba. Bagaimanapun, mereka enggan ditemubual.

Che Husin berkata, kemalangan itu berlaku ketika keadaan masih gelap.

“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Polis sudah mengambil keterangan daripada pemandu treler terbabit,” katanya.



HarianMetro

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List