Mawi Menangis Kerana "Pak Nil... Ibu Kirim Salam"

on Aug 27, 2010









Mawi bersama semua krew telefilem Pak Nil "Ibu Kirim Salam".
SELEPAS Rumah Baru, Bini Baru, Baru Raya dan Jiwa Kacau, MW Entertainment sekali lagi membawakan sebuah telefilem sempena Hari Raya Aidilfitri ini berjudul Pak Nil "Ibu Kirim Salam".
Telefilem pertama arahan Asmawi Ani atau Mawi ini bakal ke udara pada 17 September 2010, pada pukul 12.00 tengahari di Astro Prima saluran 105.
Menurut Mawi idea asal dan skrip telefilem ini merupakan jalan cerita sebenar yang berlaku kepadanya.
Namun skrip yang ditulis sendiri itu telah ditokok tambah dan disesuaikan mengikut keadaan semasa.
"Idea asal ini adalah daripada pengalaman saya sendiri beberapa tahun lepas. Yang mana seorang budak yang lari dari rumah semata-mata untuk berjumpa saya.
"Budak tersebut ada juga menceritakan pengalaman dia tidur di surau dan mengharungi pelbagai dugaan untuk datang berjumpa saya. Tapi malangnya sehingga kini tiada khabar berita tentangnya.
"Bagaimanapun jalan cerita saya telah ubah dan memasukkan lebih banyak elemen-elemen pengajaran" jelasnya semasa pratonton drama tersebut di rumahnya di Bangi, Rabu.
Dalam pada itu, menurut Mawi yang juga penulis skrip, pengarah dan penerbit telefilem itu juga, pelbagai cabaran yang dihadapai sehingga menyebabkan dia menangis.
"Bukan mudah untuk menyiapkan telefilem ini, pelbagai dugaan yang menimpa saya. Mula-mula skrip saya hilang setelah 30 adegan disiapkan disebabkan komputer buat hal.
"Memang tuhan sahaja yang tahu, saya menangis malam itu sambil termenung mengenangkannya. Mungkin banyak dugaan jika kita nak buat cerita tentang keagamaan ini.
"Bukan itu sahaja, dugaan lebih teruk apabila enam adegan yang sudah siap penggambaran tiba-tiba rosak. Enam adegan itu termasuk menampilkan empat orang "cameo" termasuk saya, Zamani, A.Galak, dan Rizman Ruzaini," katanya.
Mawi yang baru pertama kali mengarah drama memberitahu, pangalaman pertama mengarah sangat mendedahkannya dalam dunia pengarahan.
"Saya banyak belajar dari Jamal Khan yang banyak membantu saya dalam pengarah telefilem ini, selain itu saya tanya sendiri pendapat pelakon-pelakon tentang lakonan mereka, jika mereka tidak puas hati mereka boleh buat sekali lagi," katanya.
Telefilem ini yang mengisahkan seorang remaja istimewa bernama Ramlan berumur awal 20an yang terlalu meminati pengacara popular iaitu Aznil Haji Nawawi dan berhasrat untuk ke Kuala Lumpur bertemu dengan Aznil.
Dalam perjalanan bertemu Aznil, Ramlan telah melalui pelbagai rintangan dan cabaran yang menguji keimanan dirinya. cerita penuh dengan nilai kerohanian ini turut diselitkan dengan lawak jenaka bagi menghiburkan penonton.
Lebih menarik lagi telefilem berdurasi 90 minit ini akan menampilkan seramai 30 orang pelakon antaranya Along Cham, Didi Alias, Angah RL, Joey, Soya, Linda Onn, Yan Kassim, Almy Nadia, Ekin dan Aida Khalida.
mStar

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List