Tuntut hutang: Wartawan nyaris maut

on Aug 27, 2010

SHAH ALAM – Niat seorang wartawan yang mahu menuntut hutang berjumlah RM30,000 hampir meragut nyawanya apabila beliau diserang dan ditetak oleh sekumpulan empat lelaki di perkarangan sebuah kuil di Seksyen 18 di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Noor Azam Jamaluddin berkata, wartawan itu adalah dari sebuah akhbar Tamil dan merupakan warganegara India yang dikenali sebagai Mohamad Yusof Jahir Hussain, 39.
Beliau dikatakan baru sahaja tiba dari Johor.
"Mangsa datang untuk menuntut hutangnya yang telah tertunggak sejak empat tahun lepas dari seorang lelaki yang telah memintanya datang ke kuil berkenaan.
"Sebaik tiba di kawasan kuil, mangsa telah diserang sehingga mengalami kecederaan di bahagian kiri kepala dan juga lengan kiri,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Noor Azam berkata, kesemua suspek terbabit turut melarikan barangan berharga milik mangsa.
Beliau berkata mangsa yang telah 30 tahun menetap di negara ini kemudiannya dihantar oleh orang awam ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang selepas dapat melarikan diri dari kawasan kuil berkenaan.
Noor Azam berkata, polis kini sedang memburu suspek yang dipercayai warganegara tempatan.
"Polis percaya mangsa dan suspek saling mengenali dan kita kini sedang memburu semua suspek bagi membantu siasatan,” katanya.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan. – Bernama

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List