JANJI MANIS DATO' NASIR.......???

on Oct 6, 2010



http://buletinonline.net/images/stories/berita34/nasir.gifKUALA NERUS – Ahli Parliman Kuala Nerus, Dato’ Nasir Ibrahim Fikri berjanji akan mengagih-agihkan gerai buah-buahan, secepat mungkin, yang dikatakan telah siap dibina di hadapan Pasar Batu Enam disini.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Jamuan Sempena Hari Raya dianjurkan oleh Persatuan Peniaga dan Penjaja Melayu Kuala Nerus di Pasar Batu Enam semalam 4 Oktober

Pengerusi Persatuan terbabit, Mustafa Ismail ketika ditemui berkata, sepatutnya gerai-gerai tersebut telah lama diagih-agihkan kepada para peniaga kerana gerai tersebut dilaporkan telah siap pada awal tahun ini.

”Kita harap YB Parlimen tidak hanya ‘bermulut manis’ dalam majlis hara raya sahaja, dan benar-benar dapat mengotakan janjinya,”kata Mustafa.

Menurut Mustafa (Gambar bawah, kanan), sebelum ini telah beberapa kali pihak-pihak berkenaan berura-ura untuk menyerahkan gerai tersebut, untuk disewakan kepada para peniaga.

Walau pun Dato’ Nasir mendakwa,  gerai sebanyak 51 buah itu telah siap sepenuhnya dan hanya menunggu masa untuk di agihkan, namun kerajaan negeri belum mengeluarkan apa-apa kenyataan mengenainya.

Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Ahmad Said  tidak dapat memberi kepastian tentang status pembinaan gerai tersebut apabila ADUN Bukit Tunggal, Dr Alias Razak mengemukakan soalan berkaitan.

Bahkan, Ahmad dalam Sidang DUN 8 & 9 Ogos lalu menjawab, beliau tidak tahu menahu tentang pembinaan gerai itu diatas tanah rezab jalan.

Selang beberapa hari selepas itu, pada 15 Ogos, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) telah mendedahkan terdapat hampir 400 buah premis perniagaan dan kediaman yang dibina diatas rezab jalan.

http://buletinonline.net/images/stories/berita34/stopaberucap.jpg
Datuk Bandar, Datuk Adzlan Dagangmerujuk pembinaan yang dibuat oleh warga Kuala Terengganu sepanjang jalan dari Simpang Tok Ku ke Manir  selepas pembesaran jalan berkenaan.

‘‘Pihak bandar raya telah mengenal pasti premis-premis terbabit manakala juruukur yang dilantik sedang menjalankan kerja-kerja untuk memastikan kedudukan premis secara tepat,” ujarnya.

Beliau berkata, selepas kerja-kerja itu siap, notis dijangka dikeluarkan kepada pemilik premis pada penghujung tahun ini bagi mereka merobohkan binaan di atas rizab jalan.

Justeru, bagaimana pula kedudukan gerai buah hadapan pasar Batu Enam yang dibina sendiri oleh MBKT atas rezab jalan?

Kos pembinaan 51 buah gerai dilaksanakan oleh Razali Salleh Corporation Sdn Bhd dengan tender yang dibayar oleh MBKT sebanyak  RM 1,475,100.00.

Dengan itu, gerai yang berkeluasan tidak sampai 12 kaki persegi itu bernilai RM28,923.50 sebuah.

Pembinaannya dilaporkan siap pada Januari 2010, terlewat 5 bulan dari jangkaan siap  pada Ogos 2009.


Jawatan No 2 PKR:- Khalid terus berteka-teki

on


Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau akan mengumumkan jawatan tertinggi yang bakal ditandingi Ahad ini bagi pemilihan PKR bulan depan.

Katanya beliau akan memutuskan jawatan yang akan ditandingi selepas kepulangan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dari Barcelona, Sepanyol dan New York, pada hari tersebut.

"Saya juga akan bermusyawarah dengan pemimpin tinggi parti dan pemimpin Pakatan Rakyat sebelum membuat pengumuman," katanya kepada pemberita di kediaman rasminya di Seksyen 7 di Shah Alam, malam semalam.

Bagaimanapun, katanya, beliau telah mendapat restu daripada Anwar dan presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail untuk bertanding pada pemilihan itu.

Khalid, yang juga ketua cabang PKR Kuala Selangor, juga kecewa dengan beberapa insiden kekecohan pada pemilihan peringkat cabang baru-baru ini dan menganggap tindakan itu bercanggah dengan semangat tulen parti tu.

PKR menetapkan Ahad ini sebagai tarikh akhir bagi pencalonan. Pemilihan bagi jawatan tinggi parti akan diadakan dari 31 Okt hingga 21 Nov ini manakala kongres kebangsaan parti pada 26-28 Nov.

- Bernama

ANTARA ARAHAN KETUA DAN UNDANG-UNDANG........???

on

WarkahDaily – Dengar macam biasa tapi satu tindakan yang dilakukan pihak berkuasa ke atas orang awam yang mengatasi undang-undang boleh menyebabkan negara dalam bahaya.

Bagaimana pihak berkuasa (polis) boleh mengikut arahan orang atasan (ntah siapa) untuk ambil tindakan terhadap orang awam tanpa mempedulikan undang-undang. Tindakan pihak berkuasa yang cuba membelakangi undang-undang boleh menimbulkan satu persepsi buruk dan negara boleh dilanda bahaya.

Orang atasan akan mengawal negara sesuka hati termasuk secara kuku besi walaupun berlaku zalim kerana ianya mendapat kerjasama pihak berkuasa (polis).

Komplot orang atasan (penguasa) dengan pihak berkuasa (polis) boleh dilihat dalam kes perbicaraan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu dan sembilan yang lain kerana dituduh menghalang anggota polis berpangkat Superitenden Mohd Nasir Salleh daripada menyerahkan waran tangkap yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret.

Menurut laporan Harakahdaily, perkara itu telah berlaku di hadapan Plaza Tol Bukit Tambun, Seberang Perai Selatan, lebuhraya PLUS berhadapan susur keluar lebuhraya dari arah Kuala Lumpur ke Pulau Pinang pada jam 7.45 malam 9 Disember 2007.

Kesemua mereka juga dituduh menurut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang mana membawa humuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10 ribu atau kedua-duanya sekali sekiranya disabit akan kesalahan.

Dalam perbicaraan yang diadakan semalam, kesemua yang dituduh terdiri dari Mohamad Sabu, Fauzi Saharat, Abd Rahim Md Ariff, Zairun Azrul Zainal Abidin, Zamarul Aini Abdul Malek, Mohd Bunyamin Ishak, Md Lazim Osman, Abd Razak Ramli, Mohd Sabri Said dan Mohamed Salleh hadir.

Mohamad Hanipa Maidin bersama-sama dengan Aminuddin Zulikifli dan Yusnita Yusoff mewakili kesemua tertuduh.

Apa yang menariknya semasa sesi perbicaraan tersebut, apabila Hanipa menyoal balas saksi pendakwa dalam perbicaraan tadi telah beberapa kali memohon kepastian sama ada ada atau tidak waran tangkap diterima secara bertulis dan diserahkan kepada Mohamad Sabu semasa tangkapan hendak dilakukan.

Saksi pendakwa yang berpangkat ASP itu beberapa kali menyatakan bahawa beliau hanya menurut arahan pihak atasan secara lisan dan tidak ada waran tangkap secara bertulis yang diserahkan kepada tertuduh.

Hanipa untuk beberapa kali mengulangi soalan yang sama kepada saksi pendakwa apakah arahan boleh mengatasi undang-undang atau dari mana-mana kuasa sekalipun sedangkan tertuduh tidak dibekalkan secara hitam putih waran tangkap untuk diserahkan kepadanya.

Namun begitu saksi pendakwa tetap menyatakan beliau hanya menurut arahan pihak atasan walaupun bertindak tanpa waran tangkap yang perlu diserahkan kepada tertuduh.

Antara beberapa soalan menarik yang ditanya oleh Hanipa.

Hanipa: Tertuduh (Mohamad Sabu) tidak ditunjukkan surat waran tangkap, apakah beliau boleh ditangkap begitu sahaja.

Saksi pendakwa: Saya hanya mengikut arahan pihak atasan.

Hanipa: Apakah arahan boleh mengatasi undang-undang atau dari mana-mana pihak sekalipun.

Saksi pendakwa: Saya hanya menerima arahan.

Hanipa: Jika terima arahan apakah tangkapan ini tidak bercanggah dengan undang-undang. Kenapa tidak minta waran tangkap.

Saksi pendakwa: Saya terima arahan ketua sahaja.

Hanipa: Antara arahan ketua dan undang-undang mana yang perlu dipatuhi?

Saksi pendakwa: Undang-undang.

Melalui jawapan yang diberikan saksi pendakwa, amat jelas tindakan yang dibuat oleh pihak polis telah mengatasi undang-undang. Mereka meletakkan orang atasan (penguasa) lebih tinggi daripada undang-undang walaupun saksi mengakui undang-undang lebih tinggi daripada arahan orang atasan.

Jika tidak, mengapa pihak berkuasa (polis) boleh menangkap orang awam tanpa ditunjukkan waran terlebih dahulu. Jika undang-undang lebih tinggi, nescaya tangkapan itu tidak akan berlaku sama sekali walaupun ada pihak tertentu yang mempunyai kepentingan politik sempit cuba mengarahkan tangkapan dibuat.

Jadi amatlah jelas, negara kita berada dalam bahaya jika keadaan itu tidak diperbetulkan. Mungkin pihak yang mempunyai kepentingan politik sempit yang mempunyai kuasa (kerajaan) akan melakukan tangkapan sewenang-wenangnya demi mempertahankan kuasa mereka.

Tak mustahil ianya akan berlaku jika PRU 13, Pakatan Rakyat berjaya menempa sejarah, menang dan menuju ke Putrajaya.

Nostalgia :- Dato' Bahaman.

on

Abdul Rahman bin Tuanku Imam Nuh, lebih dikenali sebagai Dato’ Bahaman ialah orang besar yang menentang penjajahan Inggeris di Semantan, daerah kekuasaannya di Pahang, Tanah Melayu.

Bapa Dato’ Bahaman ialah Tuanku Imam Nuh yang berasal dari Bangkinang, Kampar, Riau. Ibunya pula ialah Rokiah Abdul Rahman, anak perempuan Tok Setia Perkasa Semantan yang berketurunan Bugis dari Sulawesi Selatan. Walaupun beliau dilahirkan di Rantau Panjang iaitu sebuah kampung di daerah Bentong, beliau banyak menghabiskan masa di Pekan kerana berkhidmat dengan Bendahara Ali iaitu ayahanda kepada Sultan Ahmad.


Dato’ Bahaman juga dikatakan pernah menjadi anak angkat kepada Bendahara Ali dan menjadi rakan sepermainan kepada Sultan Ahmad ketika mudanya. Apabila Sultan Ahmad menaiki takhta, Dato’ Bahaman terus menabur bakti kepada tanah airnya.

Dato’ Bahaman telah diangkat sebagai salah seorang Orang Besar Berlapan dan dianugerahkan dengan gelaran Dato’ Setia Perkasa Pahlawan Semantan kerana kerana beliau telah menunjukkan sikap serta kebolehannya sebagai panglima dalam perang saudara antara Sultan Ahmad dan adinda baginda Wan Mutahir serta memimpin pasukan Pahang untuk membantu Tengku Kudin dalam perang Saudara di Klang, Selangor. Selepas kematian Orang Kaya Indera Segara, Dato’ Bahaman telah dilantik oleh Sultan Ahmad sebagai Orang Kaya Temerloh. Dengan pangkat tersebut, kedudukan Dato’ Bahaman adalah sedarjat dengan Orang Besar Berempat dan seringkali diajak berunding oleh baginda Sultan Ahmad.

Seorang yang pandai bersilat dan mempunyai ilmu kebal, kelebihan ini telah menyebabkan Dato’ Bahaman digelarkan ‘Seman Tahan’ oleh penduduk di sekitar kawasan itu sehingga sungai yang tidak bernama ketika itu diberi nama Sungai Seman Tahan dan seterusnya menjadi tempat persinggahan Inggeris. Beliau tidak mengiktiraf pemerintahan Inggeris diPahang sejak awal lagi dan mencetuskan kebangkitan di Pahang.

Awal penentangan

Segala-galanya bermula pada Oktober 1888 apabila British melantik JP Rodger sebagai Residen Pahang. Pihak Inggeris sememangnya sudah lama mengintai peluang untuk menjajah Pahang dan peluang mereka terbuka apabila mengetahui Sultan Pahang bermusuhan dengan dengan adindanya, Wan Mansur. Rancangan Wan Mansur untuk menyerang Sultan Ahmad diketahui British dan bangsa asing itu mengambil kesempatan untuk berbudi kepada Sultan Ahmad dengan mematahkan cubaan serangan itu.

Melihat seolah-olah Sultan Ahmad sudah termakan dengan budi yang ditabur mereka, British mengutuskan Hugh Clifford untuk memujuk Sultan supaya menerima seorang residen untuk membantu baginda memerintah Pahang. British sebenarnya memasang helah untuk menjajah Pahang bagi membolehkan mereka memungut hasil bumi yang banyak di negeri itu. Pihak British seterusnya memujuk Sultan Ahmad bagi membolehkan pihak Inggeris campurtangan di dalam pemerintahan Pahang kerana mahukan hasil bumi Pahang seperti balak, bijih timah, getah, gading, rotan, emas dan padi.

Untuk menangani masalah campurtangan pihak Inggeris di Pahang, Sultan Ahmad mengadakan mesyuarat bersama Dato’ Bahaman, Tok Gajah dan pembesar-pembesar Pahang di Kuala Bera, Temerloh. Selepas mesyuarat sulit yang diadakan di Sungai Salan, Pulau Tawar, Jerantut, semua pihak membuat keputusan tidak bersetuju membenarkan campurtangan pihak Inggeris ke atas Pahang.

Pada tahun 1885, British telah mengangkat Wan Mansur, kekanda kepada Sultan Ahmad menjadi Raja Muda. Berikut berlakunya kematian seorang Cina di istana Sultan Ahmad telah menyebabkan Sultan Ahmad terpaksa menandatangani perjanjian membenarkan British campurtangan dalam pemerintahan Pahang. Walaupun pada mulanya baginda enggan menerima kehadiran bangsa asing, atas beberapa helah dan desakan dari British, Sultan Ahmad akhirnya terpaksa bersetuju untuk menerima seorang Residen British di Pahang.

JP Rodger pada mulanya hanya berkhidmat sebagai penasihat Sultan untuk memerintah negeri tetapi lama-kelamaan lelaki asing itu mula besar kepala. Dia mula mengambil alih urusan mentadbir Pahang serta masuk campur ke dalam adat dan agama penduduk tempatan. Rodger mula merangka pelbagai peraturan sesuka hatinya tanpa berunding dengan sultan atau pembesar negeri. Sultan Ahmad dipaksa meluluskan segala peraturan yang diperkenalkan olehnya. Antara peraturan diperkenalkan Rodger, ternyata melanggar adat resam orang Melayu. Antaranya ialah melarang penduduk membawa senjata atau keris sesuka hati.

Rodger juga melarang pembesar negeri memungut cukai walaupun sebelum itu, semua pembesar diberi mandat oleh Sultan untuk memungut cukai, sebaliknya, Rodger melantik pegawainya, E.A Wise untuk mengutip cukai. British juga melantik E.A Wise sebagai majistret dan pasukan polis di kalangan pegawai mereka bagi mengawal dan mengadili kes jenayah dan secara tidak langsung mengurangkan kuasa pembesar Melayu yang dipertanggungjawab menjalankan tugas berkenaan sebelum itu.

Tindakan Rodger menimbulkan kemarahan pembesar Melayu terutama Dato’ Bahaman. Beliau enggan tunduk kepada perintah British dan terus mengutip cukai di Semantan. Tindakan Dato’ Bahaman itu menyebabkan British menghantar surat amaran kepada beliau tetapi tokoh pahlawan itu tetap tidak mengendahkannya. Tindakan Dato’ Bahaman itu turut disokong penduduk yang enggan bertuankan bangsa asing di tanah air sendiri.

Ketegangan bermula pada bulan Disember 1890 ketika E.A Wise hendak mendirikan sebuah balai polis di Lubuk Terua yang terletak di kawasan Dato’ Bahaman, tanpa sebarang perundingan dengannya. Apabila Hugh Clifford, Pemangku Residen British Pahang, mengetahui hal tersebut, beliau menasihatkan Sultan dan baginda kemudian menitahkan Dato’ Bahaman supaya pergi ke Pekan agar perkara itu dapat disiasat. Oleh sebab Dato’ Bahaman enggan ke Pekan, Sultan mengeluarkan surat perintah yang melucutkan pangkat dan tarafnya sebagai Dato’ Setia Perkasa Pahlawan, Orang Kaya Semantan.

Oleh kerana perlucutan jawatannya oleh Sultan dipengaruhi oleh Inggeris, Dato’ Bahaman bersumpah akan menghalau orang-orang Inggeris keluar dari Pahang kerana mereka telah memalukannya.

Pada Oktober 1891, British menghantar 25 anggotanya ke Balai Polis Lubuk Terua bagi mengawasi tindak-tanduk Dato’ Bahaman. Kemuncak kepada kebiadapan British apabila pihak Inggeris menangkap 3 orang pengikut Dato’ Bahaman di Sungai Semantan ketika sedang memancing ikan. Ketiga-tiga orang pengikut Dato’ Bahaman itu dibawa ke rumah pasung Lubuk Terua untuk diadili dan dihukum. Pihak Inggeris menuduh Dato’ Bahaman menyuruh ketiga-tiga orang itu mencuri hasil hutan tanpa kebenaran dan memerintahkan Dato’ Bahaman ditangkap dan dihukum. Salah seorang pengikut Dato’ Bahaman yang telah ditangkap berjaya melepaskan diri dan memberitahu Dato’ Bahaman tentang rancangan jahat Inggeris.

Dato’ Bahaman kemudiannya meminta pihak Inggeris membebaskan penduduk yang ditahan sebaliknya pihak Inggeris menunjukkan sikap besar kepala dan enggan mengikut arahan berkenaan. Mereka berkeras membawa tahanan itu ke Balai Polis Lubuk Terua untuk ditahan dan dibicara. Kesabaran Dato’ Bahaman berakhir dan beliau bersama pengikutnya menyerang pasukan polis British ketika mereka dalam perjalanan membawa tahanan ke balai polis berkenaan.
Setelah mengetahui peristiwa di Semantan itu, pegawai-pegawai Inggeris Pahang menyediakan tentera untuk melawan penentang Melayu. Ekoran dari itu pada 21 Disember 1891, satu pasukan yang diketuai oleh Clifford dan Tengku Mahmud pergi ke Kampung Kelubi yang merupakan kubu kedua pertahanan Dato’ Bahaman. Di sini berlaku sekali lagi pertempuran antara pihak Inggeris dengan Dato’ Bahaman tetapi pihak Inggeris sekali lagi ditewaskan.

Pada Disember 1891, Tengku Mahmud bersama-sama dengan 200 orang pengikutnya, dan Hugh Clifford bersama-sama dengan 60 orang Sikh di bawah pimpinan Kapten Summer telah mengaturkan gerakan untuk menyerang dan menangkap Dato’ Bahaman dan orang-orangnya. Bagaimanapun gerakan ini menemui kegagalan setibanya di Kelubi kerana keengganan pasukan Melayu bekerjasama dengan pasukan polis Sikh. Pihak Inggeris yang diketuai Hugh Clifford mengalami kekalahan dan terpaksa berundur dan meminta bantuan dari Singapura.

Pada Januari 1892, pihak Inggeris telah memaksa Sultan Wan Ahmad untuk menamatkan kebangkitan Dato’ Bahaman di Pahang. Satu pasukan yang dinamakan “Gerakan Sultan” telah dilancarkan pada 22 Januari 1892 dengan kekuatan 800 orang. Seramai 140 daripadanya mempunyai senjat api yang dipimpin oleh Tengku Ali, Rodger (Residen Pahang), Panglima Garang Yusof, Saiyid Ali Badoh dan Abdullah dari Bera. Gerakan ini juga menemui kegagalan kerana selain daripada hanya dapat memusnahkan 11 buah kubu kecil termasuk Kubu Batu Ampar, jejak Dato’ Bahaman tidak dapat dikesan dan tidak ada tanda-tanda yang memungkinkan Orang Kaya Semantan itu dan pengikut-pengikutnya yang terdekat akan tertangkap. Pada awal bulan Februari, 1892, keadaan tegang dianggap telah berakhir. Untuk sementara waktu, daerah Semantan telah diletakkan dibawah jagaan Abdullah Bera.

Pada Mac 1892, pasukan Dato’ Bahaman berjaya menawan semula Lubuk Terua. Perjuangan Dato’ Bahaman menjadi lebih hebat kerana dibantu oleh Tok Gajah. Pihak Inggeris kalah dan Abdullah Bera terpaksa pulang ke Bera. Kubu Lubuk Terua dikawal oleh orang-orang dari Cempaka dan Buluh. Ternyata mereka bersimpati dengan gerakan penentangan Dato’ Bahaman terhadap Inggeris.

Pada Mei 1892, Inggeris telah menyerang Lubuk Terua lagi. Pejuang Pahang terpaksa berundur ke Kelantan dan Terengganu. Di Terengganu, Ulama Tok Ku Paluh telah menyemarakkan semangat pejuang Pahang untuk berjihad menentang Inggeris. Pada 14 Jun 1894, Kuala Tembeling dan Jeram Ampai berjaya ditawan oleh Dato’ Bahaman bersama 100 orang pengikutnya.
Pada 29 Jun 1894 sepasukan tentera kerajaan Inggeris yang diketuai oleh Jeneral Walker menyerang kumpulan penentang Inggeris yang diketuai oleh Datuk Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau dan Mat Kelubi di Jeram Ampai, Kuala Tembeling, Pahang. Dalam serangan itu Pemangku Penguasa Ulu Pahang bernama Wise, terbunuh bersama empat anggota polis. Serangan tersebut menyebabkan Mat Kilau berundur ke Kelantan. Ini menandakan berakhirnya perang menentang Inggeris di Pahang.

Sir Hugh Clifford, Residen Bristish di Pahang melancarkan serangan secara besar-besaran yang menelan belanja yang banyak, memburu mereka hingga ke Terengganu dan Kelantan.

Gerakan itu dihentikan pada bulan November 1895 apabila Datuk Bahaman, Pawang Nong dan Mat Lela dikatakan menyerah diri kepada kerajaan Siam tetapi diberi tempoh perlindungan dan ditempatkan di Chiengmai pada awal 1896, manakala Tok Gajah dan Mat Kilau diberitakan meninggal di Terengganu.
Kebangkitan Dato’ Bahaman selama 4 tahun (1891-1894) telah menyebabkan pihak Inggeris menanggung hutang yang banyak. Sultan Ahmad dipaksa membayar sebanyak 7200.00 dollar setahun bagi menyelesaikan hutang tersebut.

Pengistiharan persetiaan

Semasa berada di Bunut Payung Kelantan, Dato Bahaman, Mat Kilau, Mat Lela & Mat Kelubi membuat satu pengistiharan persetiaan memberitahu bahawa mereka telah meninggal dunia.


Percubaan bunuh Dato’ Bahaman dan pengikutnya

Percubaan membunuh Dato’ Bahaman dan pengikutnya berlaku di Kuala Lebir, dekat Kota Baru pada tahu 1896. Satu jamuan makan serabai dan bubur jagung muda telah diadakan oleh orang besar adik beradik iaitu Wan Ngah, Wan Nik, Dato’ Lela dan orang besar Lebir. Seramai 15 orang termasuk 8 orang besar Kelantan dan Siam serta 7 orang pejuang Pahang. Kuih Serabai, bubur jagung muda dan air minuman yang dijamukan telah dibubuh racun. Mat Lela telah melarang Dato’ Bahaman dan kawan-kawannya dari menjamah hidangan yang beracun tersebut. Akhirnya, pembesar Kelantan dan Siam yang khianat memohon maaf dan mengakui kesalahan mereka.

Persetiaan sumpah

Memandangkan keadaan tidak selamat, Dato’ Bahaman dan pengikutnya telah mengambil keputusan pergi ke Siam. Sebelum itu satu persetiaan telah dilakukan di Kg. Bukit Haji Pak Jedih, Tanah Merah, dimana para pejuang bersumpah akan menggunakan nama lain dan tidak akan mendedahkan siapa diri mereka sebenarnya. Seramai 7 orang terlibat dalam sumpah persetiaan itu, iaitu Dato’ Bahaman (Panglima Kakap), Mat Kilau (Mat Siam, Mat Dahan, Mat Dadu, Mohamed Ibrahim), Mat Lela (Kilat Senja, Gong Poh), Mamat Kelubi (Tok Janggut).



Pada tahun 1911, Dato’ Bahaman telah kembali ke Kelantan manakala Mat Lela pergi ke Indonesia, sementara 2 orang pejuang lagi telah meninggal dunia di Patani, Siam. Pada tahun 1920, Dato’ Bahaman balik ke Kuantan dan tinggal di Kg. Paya Lalang (Padang Lalang) dengan memakai nama Lebai Deraman. Pada tahun 1926, Dato’ Bahaman berpindah ke Kg. Peramu dan dikenali sebagai Tok Guru Peramu. Mat Kilau pula dikatakan berpindah ke Kg Aur Rompin, Tanjumg Medang, Kg. pasir Panjang, Kg. Batu Tering Pekan, Kg. Batu Lima Jalan Gambang. Mamat Kelubi dan Panglima Hitam tidak diketahui kisahnya. Dato’ Bahaman tinggal di Kg. Peramu sehingga kematiannya.

Syed Mokhtar Bukhary Beli UEM......???

on

Sah Khazanah teliti tawaran Syed Mokhtar beli UEM




Khazanah Nasional Berhad mengesahkan yang ia sedang meneliti tawaran jutawan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary mahu membeli Kumpulan UEM Berhad, konglomerat yang menguruskan pemegang konsesi lebuh raya PLUS dengan mengambil kira rekod kewangan beliau.

Pengarah urusan Khazanah Tan Sri Azman Mokhtar berkata, kerajaan telah pun menerima cadangan daripada syarikat Syed Mokhtar, MMC Corp Berhad untuk mengambil alih syarikat tersebut.
“Khazanah akan melihat pada semua aspek cadangan,” kata beliau.

“Kami juga akan melihat soal situasi apa jua cadangan yang dikemukakan dan rekod latar belakang pembeli,” kata beliau di sini hari ini.
Laporan media yang tidak disahkan menyebut tawaran itu bernilai RM15.6 bilion.

Semalam, MMC memaklumkan Bursa Saham bahawa ia telah memanjangkan tawaran mahu membeli UEM kepada kerajaan tetapi belum memaklumkan kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) agar menyertai konsortium usaha tersebut.

Laporan The Malaysian Insider semalam menyebut Syed Mokhtar dipercayai telah menulis kepada Putrajaya untuk mendapatkan tanah seluas 1,200 hektar di Sungai Buloh dan pusat latihan polis di ibu negara - sebahagian daripada usaha beliau mahu mengambil alih konsesi-konsesi lebuh raya PLUS.

The Malaysian Insider difahamkan, MMC telah mengemukakan bidaan itu kepada Kementerian Kewangan Ogos lalu dan perkara tersebut telah dibawa kepada perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga Menteri Kewangan.

Kumpulan UEM Berhad dimiliki oleh Khazanah, badan pengurusan pelaburan kerajaan.
Bidaan mendapatkan UEM hanya salah satu daripada beberapa usaha digerakkan oleh jutawan kelahiran Kedah ini.

Difahamkan Syed Mokhtar juga telah menulis kepada kerajaan untuk membeli tanah seluas 1,200 daripada 3,000 hektar miliki Institut Penyelidikan Getah (RRI) di Sungai Buloh untuk dibangunkan oleh pentadbiran Najib di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Selain itu, juga difahamkan tokoh perniagaan ini juga mahu mendapatkan Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Jalan Semarak di sini, yang menempatkan Muzium Polis dan pusat logistiknya untuk dimajukan. 

PEMIMPIN UMNO BIAYA PEMBANGKANG...???

on

MUNGKIN Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak tidak menyedari ada pemimpin tertinggi UMNO Pusat yang membiayai pembangkang melalui pemberian projek untuk melumpuhkan musuh politik mereka dan sekaligus mengkhianati perjuangan UMNO.

Aktivis Masyarakat, Abdullahsani Haji Abdul Salleh mendedahkan demikian ketika menghubungi Sabahkini.net untuk memaklumkan bahawa beliau akan membuat pendedahan sedikit masa lagi siapakah tokoh berkenaan dengan menyerahkan segala bukti yang beliau ada.

“Kita tidak sangka sampai begitu mereka bertindak dan saya menyifatkan tindakan desperado ini mencerminkan mereka mula menghalalkan cara untuk mengekalkan kuasa,” kata Abdullahsani yang enggan menamakan pemimpin UMNO terbabit.

Tegas Abdullahsani, beliau memerlukan sedikit masa untuk mendedahkan bukti kerana masih sibuk menjalankan urusan perniagaan dan hanya akan menyerahkan bukti tersebut dalam masa terdekat.

Sebelum ini, Abdullahsani pernah mendedahkan beberapa bukti yang beliau dapat namun belum sampai masanya untuk diketengahkan sebagai tatapan umum.

Mustaffa Kamil Ayub vs Saifuddin Nasution......???

on



Naib presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mustafa Kamil Ayub menafikan dakwaan setiausaha agung parti itu Saifuddin Nasution, bahawa Umno dan Barisan Nasional (BN) terlibat mendalangi kekecohan yang berlaku dalam beberapa mesyuarat cabang PKR.

Beliau berkata pemimpin dan anggota PKR sedia maklum bahawa sistem satu anggota satu undi yang diperkenalkan untuk pemilihan parti itu mempunyai kekurangan dan perlu dibaiki.

"Saya kurang bersetuju (dengan dakwaan itu). Bagi saya, apabila wartawan ajukan soalan ini, saya kata ini proses kali pertama kita menggunakan pendekatan satu anggota satu undi, dan rekod telah membuktikan daripada 180 cabang yang telah mengadakan mesyuarat, hanya tujuh cabang yang ada masalah.

"Sedikit kelemahan mesti diperbaiki, kita telah bincang dan memang ada ruang untuk kita baiki, tetapi saya tidak cenderung untuk menyalahkan Umno dan Barisan Nasional," katanya pada sidang akhbar di sini Jumaat.

Pada sidang akhbar itu, Mustafa Kamil turut mengumumkan keputusannya untuk bertanding jawatan timbalan presiden PKR pada pemilihan parti tersebut bulan depan.

Beliau menyifatkan dakwaan Umno menjadi dalang insiden kekecohan pada pemilihan cabang parti itu sebagai tidak berasas, malah katanya, PKR sepatutnya bertanggungjawab ke atas masalah tersebut, dan bukannya menuding jari kepada orang lain.

Selasa lalu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mencabar Saifuddin supaya mendedahkan identiti mereka yang didakwa menjadi "ejen Barisan Nasional" di dalam parti pembangkang itu

Mengenai keputusannya bertanding jawatan kedua tertinggi dalam PKR itu, Mustafa Kamil berkata ia diputuskan atas kepercayaan meneruskan kesinambungan perjuangan yang bermula sejak 12 tahun lalu, dan menjadikan parti itu sebagai parti masa depan rakyat Malaysia.

Keputusan beliau menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mustafa Kamil, naib presiden parti Azmin Ali dan pengerusi PKR Wilayah Persekutuan Datuk Zaid Ibrahim.

Mustafa Kamil berkata walaupun kedua-dua lawannya mempunyai kehebatan tersendiri, beliau akan terus komited dengan hasratnya untuk bertanding, malah bertegas tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak, sekiranya ada cubaan untuk memujuknya menarik diri.

Beliau berkata tinjauan ke peringkat akar umbi dan maklum balas yang diterimanya menunjukkan kejutan boleh berlaku ke atas dua calon pilihan tersebut.

"Keputusan saya muktamad...saya tidak akan menarik diri sehingga hari pemilihan, dan jika tewas, kita akan bawakan khidmat dalam bentuk lain.

"Tak perlulah saya menyaingi kenyataan Azmin dan Zaid dalam soal ini. Walaupun saya fahamsaya calon 'underdog', saya bukan ahli yang berhormat, bukan senator, bukan juga bekas menteri," katanya. -- BERNAMA



Galas: Angin Mac 2008 sudah berlalu...Betul ke tu...???

on




Ketika semua orang menanti kepulangan Tengku Razaleigh Hamzah dari luar negara pada 9 Oktober ini senario yang jelas terserlah ialah PAS memang gelabah dengan faktor Ketua UMNO Bahagian Gua Musang itu dalam menghadapi pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri Galas. 

PAS sangat mengharapkan Tengku Razaleigh akan ‘buat perangai’ untuk memporak perandakan jentera BN. 

Belum pernah dalam sejarah menjelang pilihanraya kecil PAS begitu sibuk membuat komen danbusybody mengenai lantikan Pengarah Pilihanraya BN. 


Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang Mat Yusoff Abdul Ghani mengakui dalam satu pertemuan dengan Agendadaily faktor Tengku Razaleigh akan memberi kesan besar pada ‘mood’ pengundi Galas.
Di kawasan DUN Galas sekarang daripada 10,330 pengundi, orang Melayu merupakan majoriti kaum Cina seramai lebih kurang 2,400 orang dan Orang Asli 1,754 orang.
Yusoff menjelaskan bahawa senario pilihanraya umum ke 12 sudah mula berubah terutama di kalangan orang Melayu yang antara punca utama kekalahan calon Barisan Nasional Saufi Deraman.
“Ada orang Melayu tak puashati dan tak keluar mengundi, orang Cina pula ada yang terpengaruh dengan PAS kerana ditawarkan hak milik tanah tapi sekarang sudah ada yang merungut kerana tak dapat,” tambahnya.
Menurut Yusoff, keadaan masyarakat di DUN Galas seolah-olah mula menyesali keputusan mereka tidak memberi undi pada BN kerana berdasarkan program yang dilaksanakan UMNO kini mendapat sambutan baik penduduk tempatan.
Mengenai masyarakat Cina yang rata-rata tinggal di sekitar bandar Gua Musang, Yusoff berkata, beliau menyandarkan harapan pada Tengku Razaleigh Hamzah yang berpengalaman selama 45 tahun untuk bersemuka.
“Orang Cina seramai, 2,400 pengundi telah mendapat perhatian Tengku Razaleigh selepas BN gagal pertahankan Galas.Kita sudah buat kerja-kerja awal bagi menyelesaikan masalah orang Cina di sini,” katanya.
Yusoff yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Nenggiri memberitahu seramai 1,754 orang pengundi Orang Asli menuduh PAS telah mengkhianati mereka melalui tawaran saham ladang rakyat.
Katanya, “setiap Orang Asli ditawarkan sebanyak RM200 sebulan sebelum pilihan raya umum 2004, akibatnya lebih 40 peratus Orang Asli memberi sokongan pada PAS. Namun sekarang mereka rasa tertipu kerana tanah-tanah milik mereka telah dijual kepada syarikat besar dan janji RM200 sebulan hanya dinikmati oleh segelintir orang sahaja.”
“Kini, kita telah menerima rungutan Orang Asli tentang sikap buruk, tidak jujur dan janji palsu PAS, mereka kecewa kerana tidak dapat elaun RM200 sebulan dan marah kerana kehilangan tanah,” tambah Yusoff.
PAS akan berdepan dengan kemarahan rakyat Galas kerana kegagalan kerajaan negeri membayar wang pampasan pengambilan tanah peneroka dan kes ini telah menimbulkan pemberontakan rakyat yang sudah lama meneroka kawasan itu terdiri daripada orang Melayu, Cina dan Orang Asli.
Menurut Yusoff, faktor yang boleh menambah peluang kemenangan BN di DUN Galas adalah kerjasama erat antara agensi kerajaan pusat yang menyalurkan bantuan kepada pemimpin tempatan.
Berhubung dengan isu royalti minyak, Yusoff berkata, “PAS terperangkap kerana meminta pertolongan Tengku Razaleigh dalam isu tersebut, PAS juga sudah menyaman Petronas manakala kerajaan pula telah melaksanakan pemberian Wang Ehsan pada rakyat.”
Dalam hal ini, Yusoff meletakkan keadaan PAS cukup tersepit kerana setelah meminta tolong dengan Tengku Razaleigh apakah PAS sanggup pula untuk mainkan isu ini bagi menentang Tengku Razaleigh.
Ketika diajukan soalan tentang calon sesuai bagi DUN Galas, Yusoff berkata, “anak tempatan…Tengku Razaleigh adalah ‘key point’…apa yang penting ketika mengumumkan calon Timbalan Presiden (Tan Sri Muhyiddin Yassin), Ketua UMNO Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh dan pimpinan kanan bahagian semuanya ada di pentas adalah mustahak, saya rasa orangramai akan beri sokongan.”
Katanya, “calon mesti popular di kalangan masyarakat, bukan calon payung terjun, tidak semestinya dalam hairiki parti, mesti orang muda, tanpa terlalu mengambilkira kelulusan dan boleh mengikut kehendak masyarakat.”
Pada pilihan raya umum ke 12, Mac 2008, kerusi Parlimen Gua Musang dimenangi Ketua UMNO Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah manakala dua daripada tiga di DUN dimenangi BN.
DUN Nenggiri dimenangi Mat Yusoff Abdul Ghani yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang dengan majoriti 2,090 mengalahkan calon PKR Mohd Zuki Ibrahim manakala DUN Paloh pula dimenangi Nozula Mat Diah (sekarang) Naib Ketua UMNO Bahagian Gua Musang dengan majoriti 2,833 mengalahkan calon PKR Reizal Abdul Rahim.
DUN Galas dimenangi calon PAS Che Hashim Sulaima mengalahkan calon BN Saufi Deraman dengan kelebihan majoriti 646 undi.
Mengambilkira kedudukan dalam hairiki parti UMNO Gua Musang terdapat beberapa nama penting yang dilihat berpotensi untuk ditonjolkan sebagai calon DUN Galas.
Sayap parti, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Gua Musang Bazlan Baharuddin merupakan seorang usahawan yang mendapat tender-tender membekal makanan bermasak untuk kantin asrama sekolah sekitar Gua Musang merupakan pemimpin muda yang popular di kalangan masyarakat tempatan.
Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Gua Musang pula Datuk Wan Hazani Haji Wan Mohd Nor kini Ahli Dewan Negara (Senator) juga disebut boleh diberi peluang untuk bertanding di DUN Galas. 

Anaknya Nik Nora Hiryani Nik Mohd Yusof merupakan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Gua Musang disifatkan sebagai generasi muda yang berpotensi.

Di kalangan pegawai UMNO Bahagian Gua Musang yang dikatakan boleh ‘disenarai pendek’ untuk menjadi calon N45 Galas terdiri daripada Setiausaha UMNO Bahagian Abdul Aziz Yusof, 49 tahun yang memegang jawatan tersebut sejak 2009. 

Sebelum itu beliau memegang jawatan Bendahari dan berpengalaman sebagai Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Gua Musang selama dua penggal.

Beliau mendapat pendidikan hingga SPM di Sekolah Menengah Teknik Kuantan dan dilahirkan di Bertam Baru dalam DUN Nenggiri.
Bendahari UMNO Bahagian Gua Musang Shukri Ismail merupakan bekas Penolong Pegawai Daerah Gua Musang. Beliau merupakan seorang siswazah universiti tempatan dan sebelum itu merupakan ahli jawatankuasa UMNO Bahagian. Beliau berasal dari Bachok.
Seorang lagi ialah Ketua Penerangan UMNO Bahagian Gua Musang Mohd Bustaman Ibrahim, 49 tahun anak kelahiran Pasir Mas yang sudah lama menetap di Gua Musang merupakan seorang aktif berpolitik.
Beliau sebelum ini pernah menyandang jawatan Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Gua Musang.
Sementara itu, Setiausaha UMNO Bahagian Gua Musang Abdul Aziz Yusof yang dihubungi Agendadaily mengakui sibuk membuat persiapan bagi menghadapi pilihan raya kecil DUN Galas.
Semasa diajukan soalan tentang namanya adalah salah seorang yang disebut-sebut bakal dicalonkan, Aziz berkata, “saya minta pun tidak…lobi pun tidak…kalau diberi tanggungjawab dan diputuskan oleh pucuk pimpinan parti, saya akur…”
Beliau tidak mahu bercakap lanjut dan meminta agar persoalan itu semua diajukan pada Tengku Razaleigh.

Akta Hasutan: Katakanlah kebenaran walaupun ia pahit!

on

Baru-baru ini, kita digemparkan dengan penangkapan dan penahanan seorang kartunis tanahair, Zunar di bawah Akta Hasutan 1948.  Umumnya, perkataan hasutan membawa sebuah konotasi berbentuk negatif, di mana perkataan hasutan merujuk kepada perbuatan mengajak atau mempengaruhi seseorang untuk melakukan sesuatu perbuatan yang salah dan berniat jahat.

Seorang kartunis adalah seorang pelukis yang menggunakan seni lukisan kartun yang dihasilkan bagi tujuan menyampaikan sesuatu mesej kepada masyarakat.  Hasil karya seni seorang kartunis ini dikenali sebagai "satira".  Satira mengikut definisi Kamus Oxford bermaksud "penggunaan janaka, ironi, atau sindiran yang bertujuan untuk mengkritik sesuatu kebodohan atau kejahatan terutamanya dalam konteks politik dan isu-isu semasa."

Satira telah menjadi medium penyampaian sesuatu mesej berbentuk politik dalam proses mengetengahkan sesuatu maklumat yang berkait rapat dengan konflik poltik yang melanda sesebuah masayarakat.  Seni satira merupakan salah satu bentuk manifestasi prinsip kebebasan bersuara dan menyatakan pendapat sepertimana yang telah diperuntukkan dalam Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan dan Artikel 19 Pengisytiharan Hak Asasi Sejagat.

Satira politik


Satira politik secara khususnya dihasilkan bertujuan untuk menimbulkan isu-isu penting berkenaan kepincangan sistem politik yang seringkali cuba ditenggelamkan pihak pemerintah dalam usaha menyembunyikan hakikat sebenar sesuatu isu atau sesuatu fakta yang menjurus kepada kebenaran yang terselindung di sebalik pembohongan.  Satira politik seringkali memaparkan episod-episod hangat sesuatu isu politik yang dicemari penyalahgunaan kuasa, pencabulan hak asasi dan pembohongan secara terang-terangan yang bisa dirujuk dengan fakta yang tidak pernah berdusta.
Satira politik yang dihasilkan seseorang kartunis untuk paparan masyarakat bukan sahaja bertujuan untuk meraikan prinsip kebebasan bersuara seseorang individu, tetapi ia juga dipaparkan kepada masyarakat untuk mencuit nurani dan daya pemikiran masyarakat untuk memikirkan secara mendalam kepincangan politik yang menular dalam pemerintahan negara, dan bagaimana ia mampu memberi kesan buruk kepada negara dan kehidupan masyarakat sekiranya ia dibiarkan bermaharajalela.

Proses yang berakar umbi daripada prinsip kebebasan bersuara dan menyatakan pendapat ini amat penting dalam melahirkan masyarakat yang peduli dan tidak hanya mementingkan diri sendiri.  Melalui proses ini, nilai-nilai keadilan, kebebasan dan kebaikan diberikan tempat yang tertinggi dalam senarai tanggungjawab yang wajib diperjuangkan oleh setiap rakyat yang cintakan keadilan dan kebenaran.  Perjuangan dalam memartabatkan kemuliaan manusia dan perjuangan untuk membina masyarakat madani adalah berlandaskan prinsip menegakkan kebenaran dalam apa cara jua sekalipun di mana kebenaran tidak boleh dibiarkan berkubur tanpa pembelaan.
Dengan kesedaran yang dizahirkan melalui penggunapakaian prinsip kebebasan bersuara, kebenaran dapat ditegakkan di mana ia tidak mampu lagi untuk disembunyikan di mana rakyat akan menjadi hakim yang mengadili pembohongan dan cubaan untuk menyembunyikan sesuatu kebenaran oleh pihak pemerintah.

Oleh yang demikian, cubaan-cubaan untuk mengekang kebebasan bersuara dan menyatakan pendapat dengan menggunakan undang-undang yang tidak berlandaskan prinsip kebebasan dan hak asasi seperti Akta Hasutan oleh pihak pemerintah adalah satu tindakan bacul dan primitif yang jelas bertentangan dengan norma-norma masyarakat yang mendukung prinsip demokrasi dan hak asasi sejagat.

Penangkapan Zunar

Penangkapan dan penahanan Zunar, seorang kartunis yang lantang mengkritk kepincangan sistem politik pemerintah dan sistem kehakiman negara menunjukkan betapa terdesaknya kerajaan Malaysia dalam cubaan menutup penyalahgunaan kuasa dan kebatilan pemerintahan mereka yang jelas lagi nyata.  Tindakan tidak bertamadun pihak kerajaan ini jelas dilakukan dengan tujuan untuk membisukan suara-suara keramat rakyat yang berani bangun untuk menyatakan kebenaran yang cuba diselindungi pembohongan demi pembohongan.
Isu-isu yang dipaparkan melalui kartun-kartun Zunar bukanlah suatu imaginasi kosong atau cerita rekaan semata-mata yang sengaja diada-adakan tanpa sebarang basis, tetapi kartun-kartun tersebut sarat dengan fakta-fakta dan persoalan-persoalan sah berikutan episod-episod pelik tapi benar ceritera politik Malaysia.  Ugutan, penangkapan dan penahanan oleh pihak berkuasa tidak akan bisa menghentikan pencarian dan penyebaran fakta-fakta yang tidak pernah bisu dalam usaha menegakkan kebenaran dan menghapuskan pembohongan.

Realitinya, tindakan berterusan pihak kerajaan mengugut, menangkap dan menahan rakyat yang berpegang kepada prisip kebebasan bersuara dan menyatakan pendapat di bawah Akta Hasutan jelas membuktikan bahawa Akta Hasutan ini dijadikan alat kepentingan politik pihak kerajaan dalam usaha menutup kebenaran yang bisa memakan diri pihak pemerintah jika tidak dikekang.  Dengan menggunakan undang-undang yang tidak berlandaskan prinsip kebebasan dan hak asasi untuk menghalang usaha-usaha rakyat untuk menyampaikan sesuatu fakta dan kebenaran, ia jelas menunjukkan bahawa pada pandangan kerajaan, usaha menyampaikan kebenaran ini adalah sesuatu yang berbentuk hasutan dan berniat jahat.
Betapa ironinya realiti ini dari kacamata pemeritah?  Sedangkan ahli-ahli falsafah dunia sejak sekian lama telah berjuang dalam penulisan dan lakaran sejarah agar kebenaran dan keadilan dijadikan matlamat tertinggi yang wajib didukung sesebuah masyarakat dalam usaha memartabatkan ketamadunan manusia.

Kepahitan kebenaran

Katakanlah kebenaran walaupun ia pahit.  Kepahitan yang jelas tergambar dalam sistem pemerintahan yang korup, sistem kehakiman yang tidak berpaksikan keadilan, penyalahgunaan kuasa, penindasan dan kezaliman terhadap rakyat kebanyakan, bukanlah isu-isu yang asing bagi kita.  Isu-isu ini jika dibiarkan tanpa diketengahkan oleh rakyat yang peduli soal keadilan akan menular dan lama-kelamaan akan menghakis nilai-nilai keadilan dan kebenaran yang sekian lama dicabar dan dicabuli pihak berkuasa.
Oleh yang demkian, masa depan kemuliaan tamadun manusia bergantung kepada kita, rakyat yang tidak jemu untuk menegakkan keadilan dan menumbangkan penindasan dengan mempertahankan prinsip kebebasan bersuara tanpa intimidasi dan ugutan.  Usaha-usaha untuk mengekang kebebasan bersuara dan menyatakan pendapat ini wajib ditentang sekeras-kerasnya kerana tindakan ini jelas mencabul proses pencarian sebuah kebenaran.

Ini dapat dilihat daripada reaksi penagkapan dan penahanan Zunar, seorang kartunis politik yang kritikal dalam menyampaikan isu-isu politik semasa tanah air kepada masyarakat umum, di mana masyarakat sivil dari segenap pelusuk dunia bangun menentang tindakan primitif kerajaan ini.
Pertubuhan-pertubuhan antarabangsa seperti Committee to Protect Journalists (CPJ), Pakistan Press Foundation (PPF) dan Reporter without Borders (Paris-RSF) mengecam tindakan kerajaan yang menangkap dan menahan Zunar di bawah Akta Hasutan.  

Pertubuhan-pertubuhan antarabangsa ini menegaskan bahawa tindakan kerajaan ini bertentangan dengan prinsip kebebasan bersuara dan tindakan ini jelas digunakan untuk mengekang kritikan terhadap kepincangan sistem poltik yang sekian mencengkam rakyat dan negara Malaysia.

Ugutan yang sering digunakan di bawah topeng Akta Hasutan ini perlu diberhentikan di mana Akta Hasutan yang bertindak sebagai alat politik pihak pemerintah ini perlu dimansuhkan agar hasrat sebenar Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak kebebasan bersuara dapat direalisasikan.  Usaha ini penting dalam membentuk masyarakat yang lebih demokratik dan lebih matang dalam menilai suasana politik semasa dalam usaha memperbetulkan kepincangan yang membelenggu negara Malaysia yang dicintai berlandaskan prinsip keadilan dan kebenaran.

Katakanlah kebenaran, walaupun ia pahit!

Fadiah Nadwa binti Fikri:- ahli Lawyers for Liberty dan Setiausaha Kehormat Pusat Bantuan Majlis Peguam Kuala Lumpur.

Pemilihan PKR: Salur Bantahan Kepada JPP Bukan Media

on


 Pemimpin dan ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) digesa supaya tidak menggunakan saluran media sebagai medium menyuarakan pandangan terutamanya berkaitan masalah dalaman parti.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR, Dr Molly Cheah berkata, tindakan menggunakan saluran media bagi membuat sebarang bantahan dan juga dakwaan berkaitan pemilihan parti hanya akan merumitkan keadaan.
"Saya pun hairan kenapa mereka suka mengemukakan bantahan dan juga buat bermacam-macam aduan dan dakwaan kepada orang media.
"Tindakan itu semua tak dapat bantu selesaikan masalah, kami tak boleh rujuk media untuk siasat... kadang-kadang saya sendiri tak sempat baca surat khabar," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Selasa.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai tindakan calon Ketua Cabang PKR Kelana Jaya, Abdul Razak Mohamed Ali yang tewas pada pemilihan Sabtu lalu yang membantah mengenai proses pemilihan melalui satu sidang media Isnin.
Beliau mendakwa terdapat lebih 100 pengundi yang layak mengundi tidak dapat berbuat demikian kerana nama mereka tiada dalam senarai.
Mengulas lanjut Molly berkata, ahli dan pemimpin PKR perlu lebih matang dalam menangani isu-isu dalaman parti bagi mengelakkan dieksploitasi oleh pihak-pihak tertentu.
"Ini adalah masalah dalam keluarga, masalah dalaman... jangan suarakan melalui media.
"Kita kuatir juga kemungkinan pihak media salah tafsiran atau tersalah petik kenyataan berhubung apa yang kita suarakan, keadaan itu pasti akan lebih buruk," katanya.
Oleh itu beliau berharap agar semua pihak menggunakan saluran dan prosedur yang betul dalam menyatakan sebarang aduan atau bantahan.
"Ikutlah prosedur, kalau benar ada kekecohan, ada penyelewengan atau apa jua yang difikirkan bertentangan dengan tataetika pemilihan... buatlah aduan rasmi kepada JPP.
"Kami sedia siasat semua laporan dan aduan yang dikemukakan dengan sebaik mungkin sebelum apa-apa tindakan lanjut diambil," katanya.

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List