Pemimpin dan ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) digesa supaya tidak menggunakan saluran media sebagai medium menyuarakan pandangan terutamanya berkaitan masalah dalaman parti.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR, Dr Molly Cheah berkata, tindakan menggunakan saluran media bagi membuat sebarang bantahan dan juga dakwaan berkaitan pemilihan parti hanya akan merumitkan keadaan.
"Saya pun hairan kenapa mereka suka mengemukakan bantahan dan juga buat bermacam-macam aduan dan dakwaan kepada orang media.
"Tindakan itu semua tak dapat bantu selesaikan masalah, kami tak boleh rujuk media untuk siasat... kadang-kadang saya sendiri tak sempat baca surat khabar," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Selasa.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai tindakan calon Ketua Cabang PKR Kelana Jaya, Abdul Razak Mohamed Ali yang tewas pada pemilihan Sabtu lalu yang membantah mengenai proses pemilihan melalui satu sidang media Isnin.
Beliau mendakwa terdapat lebih 100 pengundi yang layak mengundi tidak dapat berbuat demikian kerana nama mereka tiada dalam senarai.
Mengulas lanjut Molly berkata, ahli dan pemimpin PKR perlu lebih matang dalam menangani isu-isu dalaman parti bagi mengelakkan dieksploitasi oleh pihak-pihak tertentu.
"Ini adalah masalah dalam keluarga, masalah dalaman... jangan suarakan melalui media.
"Kita kuatir juga kemungkinan pihak media salah tafsiran atau tersalah petik kenyataan berhubung apa yang kita suarakan, keadaan itu pasti akan lebih buruk," katanya.
Oleh itu beliau berharap agar semua pihak menggunakan saluran dan prosedur yang betul dalam menyatakan sebarang aduan atau bantahan.
"Ikutlah prosedur, kalau benar ada kekecohan, ada penyelewengan atau apa jua yang difikirkan bertentangan dengan tataetika pemilihan... buatlah aduan rasmi kepada JPP.
"Kami sedia siasat semua laporan dan aduan yang dikemukakan dengan sebaik mungkin sebelum apa-apa tindakan lanjut diambil," katanya.
0 comments:
Post a Comment