Yang di Pertuan Agung.......

on Feb 5, 2011




Jika benar Jabatan Perdana Menteri telah mewujudkan satu bahagian baru yg tidak pernah ada sebelum ini iaitu Bahagian Wanita Pertama Negara yg disamakan sebagai FLOM Division (First Lady of Malaysia Division), maka sah Yang di Pertuan Agung bukan ketua Negara Malaysia.


Oleh itu,Jelas dan nyata bahawa Datuk Seri Mohd Najib Razak tidak iktiraf Isteri Yang Dipertuan Agung iaitu Permaisuri Agung sebagai First Lady of Malaysia.



Ini bermakna sekaligus tidak mengiktiraf wujudnya Yang Di Pertuan Agung sebagai ketua negara ini yang sah dari segi Raja berperlembagaan. Secara tidak langsung dia (Najib) telah meletakkan dirinya sebagai ketua Negara Negara dan ketua kerajaan bukan Yang di Pertuan Agung sepertimana yang kita fahami dan termaktub didalam perlembagaan negara.




Kenapa? Kalau di Amerika Syarikat First Lady of Amerika ialah isteri Obama presiden negaranya.




Kalau di negara kita First Lady of Malaysia ialah Permaisuri Agung bukan Datin Seri Rosmah Mansur, kerana ketua negara adalah Yang Di Pertuan Agung.




Jika benar demikian halnya maka jelas dan nyata imuniti raja raja di negara ini sudah tiada kuasa lagi, malahan institusi raja raja hanya alat saja tidak lebih daripada itu.




Yang punya kuasa ialah perdana menteri bukan yang di pertuan Agung lagi.




Mengikut konvensyen dan protokol antarabangsa, kalau sesebuah negara ada Raja dan Perdana Menteri atau Presiden dan Perdana Menteri, maka Raja atau Presiden adalah Ketua Negara (Head of State) manakala Perdana Menteri pula Ketua Kerajaan (Head of Government).




Tetapi ada juga anomali. Misalnya Presiden Perancis. Dia Ketua Negara dan Ketua Kerajaan walaupun dia ada Perdana Menteri yang dia lantik.




Di Amerika Syarikat pula, Presiden Obama adalah Ketua Negara, Ketua Kerajaan dan Ketua Turus Angkatan Tentera (Commander-in-Chief)




Di negara kita, SPB Yang Dipertuan Agong adalah Ketua Negara dan Perdana Menteri adalah Ketua Kerajaan yang mengendalikan pemerintahan.




Ada juga negara yang Perdana Menterinya Ketua Kerajaan dan Governor General adalah "Ketua Kerajaan" mewakili Queen Elizabet seperti Australia, Kanada dan New Zealand.




Di mana Presiden adalah Ketua Negara dan Ketua Kerajaan macam Amerika dan Perancis, isteri mereka diberi gelaran "First Lady" atau Wanita Pertama.




Saya tidak pernah pula dengar orang panggil isteri Perdana Menteri British First Lady.


Tapi hari ini Najib punya hal isterinya di gelar sebagai wanita pertama Negara menerusi penubuhan bahagian wanita pertama Negara di jabatan perdana menteri dan mendapat peruntukan kewangan sama macam kementerian kementerian yang diwujudkan.

sumber :-  http://wargamarhaen.blogspot.com

Sekatan Halal dan Himpunan Haram

on

Suatu refleksi berkenaan hak untuk berhimpun dengan aman dan tanpa senjata dan penafian hak ini oleh pihak berkuasa.
egypt-kl2
Apabila saya mendengar bahawa akan diadakan demonstrasi, saya dengan serta merta dapat menggambarkan apa yang akan berlaku. Demonstrasi itu tidak akan mempunyai permit polis. Polis akan memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak menghadiri protes tersebut. Polis akan membuat sekatan jalanraya untuk menghalang pemprotes daripada turun memprotes. FRU akan dipanggil. Meriam air dan gas pemedih mata akan digunakan ke atas pemprotes. Kemudian, tangkapan akan dibuat.

Apa yang berlaku adalah seperti yang dijangkakan.

Ada yang mempersoalkan mengapa protes tersebut harus dilangsungkan. Menurut mereka, tujuan protes itu diadakan tidak mempunyai merit.
Bagi saya, tujuan sesuatu protes, demonstrasi atau perhimpunan itu tidak penting dan tidak relevan. Apa yang saya pentingkan adalah hak untuk berbuat demikian. Kebebasan asasi untuk berhimpun dengan aman dan tanpa senjata.

Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan memperuntukan bahawa semua rakyat Malaysia mempunyai hak untuk berhimpun dengan aman dan tanpa senjata. Ini selaras dengan Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) yang memperuntukan bahawa setiap orang mempunyai hak untuk berhimpun dengan aman dan untuk berpersatuan.

Hak untuk berhimpun dengan aman adalah hak asasi yang dijamin Perlembagaan dan juga merupakan suatu kebebasan politik dan sivil. Menurut Lord Denning, hakim Inggeris yang terkenal, setiap individu harus dibenarkan untuk melaksanakan hak ini tanpa halangan. Ini kerana perhimpunan aman selalunya merupakan cara tunggal untuk mengetengahkan rungutan atau bantahan kepada perhatian pihak berkuasa.

Perlembagaan Persekutuan tidak membezakan di antara tujuan atau merit mana-mana perhimpunan awam. Seseorang itu mempunyai hak untuk berhimpun samada ianya untuk mendesak pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), menyeru kebebesan badan kehakiman, mendukung apa yang sering dikatakan sebagai ‘hak Melayu’ ataupun untuk membantah ketidakteraturan yang kononnya berlaku di dalam pemilihan dalaman sebuah parti politik. Kita tidak mempunyai hak untuk menentukan perkara mana yang boleh diprotes dan yang mana tidak. Tetapi inilah pendirian yang diambil oleh pihak berkuasa, bagi mereka demonstrasi terhadap serangan Israel ke atas kapal Mavi Marmara adalah halal tetapi perarakan untuk menyampaikan memorandum isu air di Selangor pula adalah haram.

Benar, hak berhimpun ini bukanlah mutlak. Hak ini wujud selagi perhimpunan itu aman. Perkara 10(2)(b) Perlembagaan Persekutuan juga memperuntukan bahawa Parlimen boleh mengenakan "apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persektuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam".

Ini bermaksud Parlimen boleh menggubal undang-undang yang menyekat hak berhimpun bagi kepentingan keselamatan negara atau ketenteraman awam. Sekatan terhadap hak ini di atas apa-apa tujuan lain adalah tidak berpelembagaan.

Apa-apa perbincangan mengenai hak berhimpun di dalam negara ini sudah tentu akan melibatkan persoalan mengenai Seksyen 27 Akta Polis, yang menyatakan bahawa apa-apa perhimpunan, perjumpaan atau perarakan di tempat awam harus terlebih dahulu mendapat permit daripada Ketua Polis Daerah (OCPD) daerah tersebut. Sekiranya permit tidak diperolehi, perhimpunan tersebut dianggap haram.

Pendirian Majlis Peguam adalah bahawa keperluan mendapat permit untuk berhimpun adalah tidak berperlembagaan. Saya tidak berniat untuk menyelami isu ini dengan terperinci dan memberi hujahan undang-undang yang panjang lebar. Cukuplah sekiranya saya menyatakan bahawa Mahkamah telah memutuskan bahawa apa-apa sekatan yang dikenakan ke atas hak individu untuk haruslah berpatutan dan bersekadar (proportionate) terhadap matlamat sah yang mahu dicapai.

Keperluan mendapat permit polis ini terlebih dahulu meletakkan sekatan ke atas hak seseorang warganegara untuk berhimpun berdasarkan kepada budibicara OCPD. Ini adalah sekatan yang tidak berpatutan atau larangan langsung ke atas hak yang dijamin oleh Perlembagaan serta merupakan langkahyang tidak bersekadar bagi melindungi keselamatan negara dan ketenteraman awam.

Hak untuk berhimpun ini tidak boleh disekat oleh pihak berkuasa hanya kerana ia akan menyebabkan kesusahan. Ada yang mengatakan bahawa demonstrasi jalanan menyebabkan kesesakan trafik dan menghalang hak warganegara lain untuk menjalani kehidupan seharian mereka. Walaupun begitu, apa-apa campurtangan pihak berkuasa untuk tujuan ini tidak mempunyai justifikasi mengikut Perlembagaan. 

Apatah lagi apabila kesesakan trafik seringkali adalah disebabkan oleh sekatan jalan raya yang didirikan oleh pihak polis bagi menghalang perhimpunan daripada berlangsung dan bukannya disebabkan oleh perhimpunan itu sendiri. Sekiranya pemprotes dibenarkan untuk berhimpun atau berarak dengan pihak polis memantau keadaan bagi memastikan ianya aman, sudah tentu ia akan seleasai dengan cepat dan tanpa insiden.

Ya, sudah tentu ada jalan-jalan yang akan ditutup disebabkan oleh demonstrasi tersebut. Tetapi jalan-jalan ditutup tiap-tiap hari atas pelbagai alasan. Kuala Lumpur adalah bandar yang dinamik dan bertenaga, pasti ada sahaja acara yang dilangsungkan yang mewajibkan penutupan jalan. Perarakan Maulidur Rasul dan Thaipusam juga menyebabkan kesulitan kepada orang rami, adakah ini bermakna kedua-dua perarakan tersebut harus diharamkan?

‘Tetapi negara ini bukan dimiliki oleh beberapa ribu orang yang berdemonstrasi, ianya dimiliki oleh 27 juta orang!’, ada yang berhujah. ‘Demokrasi menyatakan bahawa hak majoriti harus mengungguli hak minoriti’.

Ini merupakan pemahaman songsang sesetengah pihak tentang demokrasi. Demokrasi tidak menghalalkan kezaliman majoriti terhadap minoriti dan tidak bermaksud bahawa hak minoriti harus diketepikan atau dinafikan. Demokrasi bukanlah majoritarianism. Malahan, ianya menjadi tuntutan demokrasi supaya minoriti diberikan hak untuk menyuarakan bantahan mereka dan ianya harus diberikan pertimbangan yang sewajarnya.

Saya bukanlah peminat demonstrasi jalanan. Ramai yang berkongsi sentimen dengan saya. Tetapi, walau apapun pendapat peribadi kita tentangnya, kita tidak boleh menafikan hak mereka yang ingin berdemonstrasi di tempat awam. Kita tidak boleh memberitahu mereka bahawa mereka seharusnya memprotes di sebuah stadium atau dewan, contohnya. 

Siapakah kita untuk menentukan bagaimana mereka mahu mengamalkan hak mereka? Sudah tiba masanya kita mendukung Perlembagaan itu secara menyeluruh dan bukan hanya memilih untuk mengagungkan peruntukan yang memberi manfaat atau kelebihan kepada kita.

*rencana ini adalah merupakan adaptasi rencana asal di dalam bahasa Inggeris yang diterbitkan di dalam aplikasi iPad the Star pada 16 Disember 2010.



Kuasa siber dan revolusi Timur Tengah

on

Minda Ahmad Lutfi
Ketika banyak pihak bercakap soal pengaruh dan kuasa media baru dalam proses kebangkitan rakyat di Timur Tengah sekarang ini, sekonyong-konyong Kementerian dalam Negeri mengumumkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (AMCP) akan dijadikan lebih komprehensif dan tidak lagi terhad kepada bahan cetak semata-mata. 

Ketua Setiausahanya, Mahmood Adam berkata pihaknya telah meminta Jabatan Peguam Negara mengkaji definisi penerbitan dalam akta itu untuk membolehkan ia boleh meliputi terbitan dalam bentuk multimedia termasuk kandungan internet, Facebook dan perisian. Difahamkan pindaan akta itu dijangka dibentang di Parlimen menjelang sidang Mac ini. Ramai mengaitkan dengan persiapan BN menghadapi pilihan raya umum ketiga.

Reaksi segera sudah dapat diduga. Tanpa bertangguh bantahan dirakamkan. Masing-masing terkejut. Regim Dr Mahathir Mohamad memang terkenal dengan ciri-ciri autoritarian, namun bekas Perdana Menteri itu -- yang juga seorang blogger terkenal -- seringkali menegaskan tidak akan mengamalkan tapisan dan sekatan kepada internet. 

Apakah anak didiknya, Najib Razak, lebih terdesak dan terhimpit sehingga mahu bertindak garang dan ganas? Kedudukan Umno-BN bagai telur di hujung tanduk, namun jika benar AMCP mahu diluaskan skop dan bidang kawal selianya, terutama terhadap kandungan internet, Najib sebenarnya sengaja mengundang parah, yang mungkin natijahnya tidak pernah terfikir olehnya.

Sejak mengetuai Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) lebih kurang sepuluh tahun lalu, bagi mempromosi kebebasan akhbar, saya akui kesukaran yang dihadapi, terutama bagi meraih sokongan dan simpati masyarakat. Ramai yang masih tidak peduli dengan isu-isu sekatan dan kongkongan melampau terhadap media, termasuk golongan wartawan sendiri. Mungkin mereka menyifatkan tekanan pemerintah terhadap media bebas tiada kaitan dengan kualiti hidup rakyat terbanyak.

Beberapa penerbitan berkala yang saya usahakan --  dengan menyewa permitnya daripada rakan-rakan -- diharamkan KDN tanpa sebarang alasan, tanpa sempat mencecah usia setahun. Majalah dua kali sebulan, Detik dan makalah bulanan khas untuk remaja wanita, Wasilah tidak disambung permit menyebabkan lebih 15 kakitangan syarikat Penerbitan Pemuda menganggur secara tiba-tiba. Pengedaran akhbar mingguan, Cabaran, yang juga saya sewa permitnya, diganggu secara intensif oleh KDN sehingga terpaksa ditutup.

Tidak cukup dengan memorandam dan surat bantahan dikemukakan, berulang kali saya naik-turun ibu pejabat Suhakam mengadu hal, selain mengedarkan risalah, kenyataan akhbar dan menghadiri forum terbuka, namun ia tidak cukup untuk menarik perhatian masyarakat. Gimik terakhir sebelum saya menutup pejabat operasi di Medan Idaman, Gombak adalah dengan mengusung keranda Detik sebelum cuba mengusahakan siri penerbitan akhbar tidak berkala, yang mendapat tekanan lebih hebat daripada KDN.

Saya hanya seorang individu kerdil berdepan gergasi KDN. Justeru, terpaksalah saya secara solo bertembung musibah itu, di samping menanggung kerugian lebih RM3 juta.

Tetapi, bagaimana dengan kes pengurangan kekerapan penerbitan Harakah, daripada dua kali seminggu kepada dua kali sebulan, bermula Mac 2000, selepas Umno terkejut besar dengan prestasinya dalam PRU November 1999? Rasanya respons yang ditunjukkan  masyarakat, termasuk pembaca Harakah, juga agak dingin. Mungkin Dr Mahathir sendiri terkejut dengan reaksi "suam-suam kuku" penyokong Barisan Alternatif waktu itu!

Namun, berdepan langkah primitif-jumud pemerintahan Najib kali ini, suasana pasti berbeda. Meskipun butiran pindaan AMCP belum dijelaskan, apa juga yang berkaitan akta preventif adalah bersikap mengongkong dan menyekat semata-mata. (Kini kira-kira 35 undang-undang yang menyekat kebebasan di Malaysia). Motifnya hanya tertumpu untuk menyelamatkan kedudukan Umno-BN, juga mengikat-kuat seteru politiknya dan golongan yang dilihat berbeda pandangan. Proses pendemokrasian sejagat yang turut melanda negara kita terbantut. 

Najib bukan lagi menjolok sarang tebuan, malah mempercepatkan "saat-saat kematian" kerajaan BN. Pembaca Detik atau Suara Keadilan mungkin tidak mengamuk apabila media tradisi itu diharamkan KDN, tetapi bagaimana dengan peminat laman-laman web bebas seperti Malaysiakini, Harakahdaily, Malaysian Insider atau Tranungkite, dan tidak terkecuali 700,000 blogger yang semakin galak menulis apa yang terfikir di minda mereka, atau lebih tepat lagi lebih 9.9 juta pengguna Facebook di Malaysia? Terdapat 16.9 juta pengguna internet di negara ini, merujuk laporan Jun 2009.

Sekatan kali ini adalah operasi rampasan hak asasi besar-besaran, dan tidak lagi khusus kepada mereka yang dilihat berkepentingan politik. Sekalipun pindaan AMCP itu mungkin dikhususkan kepada kandungan internet yang "politikal", ia tetap menyentuh sensitiviti jutaan rakyat yang kini bebas mengakses dunia maya. Saya yakin majoriti rakyat tidak dapat menerimanya dan mudah berang, sekali gus boleh memenuhi protes di jalan-jalan raya.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, yang pernah menggesa agar AMCP dimansuhkan, memberi reaksi: "Mereka ini (8 juta anak muda pengguna Facebook berusia 35 tahun ke bawah) pastinya tersinggung dan tidak dapat menerima pindaan yang mengongkong saluran media dan rangkaian sosial yang sudah menjadi seperti sebati dengan mereka. Janganlah kita bersifat jumud dan mengambil jalan mudah dengan mengetatkan kekangan serta mengeluarkan undang-undang apatah lagi apabila masyarakat semakin bijak dan matang."

Mengulas isu sama, Ketua Pengarang kumpulan dan pengasas bersama Malaysiakini, Stevan Gan menyifatkan pindaan itu ibarat pukulan paku terakhir di keranda bagi kebebasan media di negara ini. "Kebebasan meluahkan pendapat yang serba terbatas dinikmati di alam maya sejak 16 tahun lalu bakal berkubur. Dengan perlesenan, kerajaan boleh mengenakan tekanan politik ke atas media di internet. Paling menggerunkan, Menteri Dalam Negeri yang sebegitu berkuasa itu berhak mengisyitiharkan mana-mana lamanweb sebagai tapak haram. Lebih malang lagi, mengikut akta itu, keputusan menteri adalah muktamad dan tidak boleh dicabar di mahkamah."

Sewaktu rakyat kecewa dengan jaminan tidak tertunai menterinya, Hishammuddin  Hussein untuk meminda Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Polis, pada sesi Parlimen, Oktober 2009 -- seperti dijanjikan dalam sidang akhbar di Putrajaya pada 19 Ogos 2009 -- tiba-tiba kita dikejutkan dengan langkah represif yang begitu ketinggalan zaman. 


II.

Seorang pembaca Harakah yang mahu dikenali dengan panggilan "Makcik Kedah", dari Taman Melati, Hulu Kelang, agak lama tidak menghubungi saya. Selalunya, ada-ada saja idea baru yang dilontarkan. Kadang-kadang beliau menyanyikan lagu-lagu patriotik melalui telefon dan bercerita tentang kisah lamanya  di Bukit Besar. Pandangan beliau terhadap pergolakan politik ada kalanya tak terfikir oleh saya. Isu yang dikemukakan merakyat sifatnya.

Hari itu, ketika saya mendapatkan rawatan susulan selama tiga hari di wad HUKM, Makcik Kedah menelefon. Dia nampak cukup berminat dengan perkembangan Revolusi Jasmin di Tunisia yang berjaya menghalau Presiden Zine El Abidin Ben Ali, 74. Diktator yang berkuasa selama 23 tahun itu melarikan diri ke Jeddah. 

Isterinya, Leila Trabelsi, 53, yang dilatih suaminya sebagai pengganti Ben Ali, terbang ke Dubai dengan jet peribadi -- yang disifatkan rakyatnya sebagai "shopping plane" -- sambil membawa bersamanya wang dan satu setengah tan emas daripada bank pusat, manakala anak-anak mereka ke England. Dalam siri demonstrasi, penunjuk perasaan dilaporkan memekik: "Gantung mereka semua, tapi dapatkan balik emas milik kita dahulu!"

Seperti beberapa panggilan sebelum itu, Makcik Kedah mahu kepastian apakah senario di Tunisia itu mungkin juga berlaku di Malaysia? Saya ketawa kecil, bukan dengan niat mempersenda. Bagaimanapun beliau serius menekan: "Apakah tidak cukup dengan kesengsaraan yang kita tanggung? Rakyat makin susah, nak makan ikan sebesar dua jari pun tak mampu, ramai menderita tetapi orang besar kaya raya, makan rasuah?" 

"Patutnya pemimpin kita yang berada di atas sana, turun ke bawah, melawat orang miskin yang semakin ramai. Kita ni, sampai masanya, rimas duduk fikir nak cari duit baharui insuran dan cukai jalan kereta, macamana nak selesaikan  bil-bil bulanan, keperluan anak sekolah," asaknya lagi.

"Tapi sekarang dah ramai yang senang dan mewah makcik," saya memintasnya. "Kerajaan pula pandai main sentimen untuk lupakan masalah sebenar. Kerja pun masih ada, tak macam di Tunisia, ramai anak muda menganggur. Di Iskandariah, jurang kaya miskin menonjol sangat. Pasaraya di sini masih sendat dengan pelanggan. Tapi janganlah tunggu negara kita jadi macam di sana baru nak lawan ...," tambah saya, menunggu reaksinya. "Betul juga tu, kawan-kawan makcik yang dapat pencen bulan-bulan dekat RM1000, memang nampak macam selesa aja," akuinya.

Selang beberapa hari, Makcik Kedah mengirimkan SMS: "Nak tunggu kebulur baru nak bangkit? Ada stamina ka kita nak lawan kerajaan zalim ini?" Sampai kini saya belum menjawabnya. Mungkin beliau lebih teruja mendengar berita kemarahan rakyat terhadap pemerintahan kuku besi sudah melimpah ke Sanaa, Yemen, mendesak Presiden Ali Abdullah Saleh meletakkan jawatan setelah memegang kuasa sejak 1978.

Bertambah semangat rasanya Makcik Kedah, apabila aksi protes antiregim zalim menuntut Presiden Hosni Mubarak yang memerintah selama 30 tahun berundur, bukan saja tercetus di Kaherah dan Iskandariah tetapi juga merebak ke bandar-bandar lainnya, seperti Suez, 134 km daripada situ. Ribuan penunjuk perasaan ditahan termasuk pemimpin Ikhwan Muslimin. Bilangan yang terbunuh semasa demonstrasi juga semakin meningkat dengan pantas.

Kejatuhan Ben Ali, yang bakal diikuti Mubarak, bukan sahaja menggerunkan regim lain di dunia Arab -- tidak kira sama ada yang mengamalkan sistem monarki atau republik, bermusuh atau bersahabat dengan Israel -- malah memberi isyarat jelas bahawa proses transformasi ini akan menjalar ke peringkat global, terutama di negara-negara Islam.

Bagaimanapun, bagi saya, pemimpin yang mahu menawarkan perubahan, yang berdepan penguasa zalim dan menindas, semuanya harus dekat dengan nurani rakyat, merasai denyut degup jantung mereka, bukan turut dilihat bermewah-mewah dan berseronok dengan kehidupan elitis. Memang suasana di setiap negara berbeda-beda dan tidak memerlukan keadaan menjadi seteruk rantau Arab untuk berlakunya pertukaran regim, 'kan?

Kejayaan mengkagumkan revolusi di Tunisia dalam masa 24 jam dan kini dilihat menjalar ke Mesir juga mengingatkan tentang pengaruh dunia maya atau kuasa siber, yang juga digeruni di Malaysia. Di Mesir, akses internet disekat dan panggilan telefon disekat. Operasi stesen TV Al-Jazeera turut diarah tutup. Jaringan laman sosial seperti Facebook dan Twitter yang cukup berkesan membangkitkan amarah rakyat tertindas di negara tersebut dihalang. 

Jika Mubarak berjaya digulingkan dan pemerintahan yang "benar-benar baru" muncul di Kaherah, pengaruhnya ke atas masyarakat Islam di Malaysia tidak boleh dipandang ringan, apatah lagi jika pemimpin yang dikaitkan dengan Ikhwan Muslimin bakal memainkan peranan penting dalam kerajaan Mesir nanti.

Revolusi Mesir: Sejarah Hitam, Dosa Mesir Kepada Rakyat Gaza

on Feb 4, 2011

Krisis Mesir kali ni mengingatkan kita akan erti keamanan dan kebahagiaan yang kita kecapi selama ini. Dalam kita berseronok gembira sekarang, jom saya nak kongsi dengan sahabat2 semua tentang penderitaan yang dialami oleh sahabat2 segama kita jauh nun di Gaza. Mungkin sekarang nasib kita lebih baik...apakah kita telah bersyukur dengan nikmat tersebut?


Mereka jauh sekali untuk mengerti apa itu keamanan, melainkan setiap masa takut, menangis, menjerit, meratapi, sakit, mati, dianiaya , disepak terajang dan dipelaku seperti binatang malah lebih teruk lagi diseksa pelbagai cara, itu lah yang  dialami oleh mereka setiap masa dan waktu. 


Kebangkitan rakyat Mesir menentang kerajaan zalim Husni Mubarak menjadi persoalaan besar untuk dijawab, apakah nasib rakyat Gaza selepas ini akan lebih cerah dan bahagia? Di bawah ini adalah sebahagian kecil penderitaan mereka, apakah semua ini akan berubah? Jom layan kisah di bawah sebagai pengajaran dan iktibar kepada rentetan kezaliman yang dialami rakyat Gaza.
 

Moga Allah memberikan kemenangan kepada Umat Islam seluruhnya, moga dirahmatinya.

Dosa kerajaan Mesir kepada anak-anak Palestin...terus berjuang menuntut keadilan!





Mesir membina tembok konkrit bagi menyekat laluan yang dijadikan pintu keluar masuk bekalan makanan, ubat-ubatan, air bersih dan perhubungan penduduk Palestin. Sekatan tersebut menyebabkan rakyat Palestin semakin sukar memperolehi keperluan asas mereka melalu sempadan dengan Mesir.
Berita mengejutkan juga turut berlaku apabila sepasukan petugas kemanusiaan Viva Palestina yang berhasrat untuk membawa ubat-ubatan dihalang masuk oleh pihak berkuasa Mesir. Sekatan sedemikian telah menyemarakkan lagi kemarahan masyarakat Islam terhadap Mesir yang dilihat tidak memberikan ruang kepada rakyat Palestin memperoleh keperluan asas harian mereka.
Sejarah halangan Mesir terhadap Palestin bukanlah satu perkara baru. Semasa pentadbiran Anwar Sadat, Mesir telah dilihat sebagai negara Islam yang terlalu pro-Amerika, terlalu kuat membantu Israel.
Anwar Sadat yang dinobatkan sebagai Tokoh Keamanan pada tahun 1978 sebenarnya menjadi terlalu terdesak apabila menandatangani perjanjian Kem David pada 26 Mac 1979. Perjanjian yang diusahakan oleh Jimmy Carter itu terus dilihat sebagai dosa Anwar Sadat terhadap masyarakat Palestin.
Perjanjian damai Arab–Israel itu hanya ditandatangani oleh Anwar Sadat dan Menachem Begin, manakala lain-lain negara Arab tidak bersetuju dengan cadangan Jimmy Carter. Bagi negara-negara Arab, dengan menandatangani perjanjian tersebut, bererti mereka sebenarnya menyokong Israel dan mengetepikan hak rakyat Palestin yang telah dijajah sejak perang tahun 1948.
Terdapat dua naskhah perjanjian Kem David, iaitu A Framework for Peace in the Middle East dan A Framework for the Conclusion of a Peace Treaty Between Egypt and Israel. Naskhah kedua itulah yang menjadi dasar perjanjian damai Israel dan Mesir dan disebut sebagai Perjanjian Kem David.
Melalui perjanjian damai itu, Israel mengundurkan pasukan tenteranya dari Padang Pasir Sinai secara berperingkat-peringkat. Kawasan Padang Pasir Sinai ditawan oleh Israel dalam peperangan pada tahun 1967. Penyerahan Padang Pasir Sinai kepada Mesir dilakukan oleh Israel pada 25 April 1982.
Sebagai bantahan terhadap Mesir, Liga Arab telah melucutkan keanggotaan Mesir pada tahun 1979 dan memindahkan ibu pejabat Liga Arab dari Kaherah ke Tunis, Tunisia. Walau bagaimanapun, hampir sepuluh tahun kemudian, iaitu pada tahun 1989, Mesir diterima kembali menganggotai Liga Arab dan ibu pejabat Liga Arab dipindahkah kembali ke Kaherah.
Pada 6 Oktober 1981, Anwar Sadat yang berdiri di atas mimbar dalam  satu perarakan bagi meraikan kemenangan Mesir ke atas Israel (6 Oktober 1973 dikenang sebagai hari kemenangan Mesir) , Trias Kuncahyono, penulis buku Jerusalem: Kesucian, Konflik dan Pengadilan Akhir (Kompas, 2008) menggambarkan:
Saat melihat Leftenan Pertama Khaled Islambouli meloncat dari trak dan berlari mendekatinya, Sadat mengora bahawa leftenan muda itu hendak menghormatinya. Sadat sedia bersiap untuk menerima penghormatan. Tidak disangka, seorang perwira lain melemparkan granit tangan dan disusul suara rentetan tembakan yang diarahkan kepada Sadat. Sejumlah peluru yang dilepaskan Khaled Islambouli bersarang ditubuh Sadat. Baru lima puluh detik kemudian pertugas keamanan berhasil menghentikan serangan itu. Sadat dan tujuh orang yang berdiri di sampingnya tewas terbunuh, sedangkan 28 orang lainnya terluka. Inilah akhir perjlananan hidup seorang pencinta damai. Sadat tewas saat bersama rakyatnya memperingati hari kemenangan. Dalam kalendar Hijrah, Sadat meninggal pada perayaan Idul Adha.” (hal. 113-116)
Perjanjian damai Mesir-Israel itu juga dikatakan punca menyebabkan kematian beliau kerana sekumpulan tentera yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan Anwar Sadat yang pro-Amerika dan mengkhianati rakyat Palestin. Konspirasi pembunuhan beliau turut disebut sebagai balasan mengkhianati pejuang Islam, dan terlalu menginginkan sanjungan sebagai wira damai.
Masyarakat antarabangsa hanya mengingati Anwar Sadat sebagai pejuang keamanan kerana perjanjian damai dengan Israel dan tetapi masyarakat Islam melihat beliau sebagai menindas rakyat Palestin. Masyarakat Islam tetap mempersoalkan Anugerah Keamanan yang diterimanya pada tahun 1978 bersama Menahim Begin, Perdana Menteri Israel, kerana selepas perjanjian tersebut, Israel menjadi semakin ganas mengkhianati penduduk Palestin.
Dalam perjanjian tersebut, kedudukan Jerusalem tidak sedikit pun disentuh oleh kedua-dua pihak, kerana Perdana Menteri Israel telah meletakkan syarat mutlak. Jika Jerusalem disentuh, perjanjian tersebut tidak akan mejadi kenyataan. Begin juga tidak bersetuju dengan permintaan Anwar Sadat agar bendera sebuah negara Arab turut dikibarkan di tempat-tempat suci Islam di Jerusalem.
Antara tahun 1967 hingga 1989, Majlis Keselamatan Bangsa-bangsa Bersatu telah mengeluarkan sebanyak 131 resolusi (43 bersifat neutral dan 88 mengkritik tindakan Israel) tidak dipedulikan oleh Israel berhubung sikapnya terhadap Jerusalem.
Sikap pro-Amerika Sadat itulah menyebabkan Israel semakin besar kepala selepas termetrainya perjanjian Kem David. Mesir telah dilihat memusuhi Palestin sejak zaman  Anwar Sadat lagi. Mesir tidak pernah memberikan pengiktirafan kepada pejuang-pejuang Hamas, termasuk mengecam bedilan askar Israel terhadap penduduk Palestin.
Mesir terus mengikatkan kepentingannya dan menjadikan perjanjian damai Kem David sebagai alas an untuk berdiam diri atas sebarang tindakan Israel. Perjanjian damai itu sebagai satu kejayaan Amerika Syarikat untuk menamatkan perang Arab – Israel (sejak 1948), dan Mesir beroleh kembali Semenanjung Sinai yang dirampas oleh Israel pada tahun 1967. Walau bagaimanapun, perjanjian tersebut memberikan sumber kekayaan yang besar kepada Israel apabila mereka boleh menggunakan Terusan Suez sementara Selat Tiran dan Teluk Aqaba sebagai perairan antarabangsa.
Amerika Syarikat turut memberikan penghargaan kepada Anwar Sadat walaupun diktehaui bahawa telah mengkhianati dunia Arab. Dengan mengiktiraf  Mesir, maka Amerika Syarikat dilihat akan menjadi lebih mudah untuk mendapat sokongan dunia Arab, dan hingga kini masih ada komitmen bersepadu dunia Arab mengenai Palestin.
Mesir menjadi begitu penting kepada Palestin kerana ia merupakan satu-satunya sempadan darat. Palestin seolah-olah sebuah penjara terbuka yang besar, terkepung oleh negara yang menjadi musuh setelah tembok konkrit di bina di kaswasan Semenanjung Sinai.
Sekatan Mesir untuk misi kemanusiaan menyebabkan rakyat Palestin semakin menderita dan sukar untuk hidup. Sekatan itu juga menyebabkan terputusnya hubungan dengan dunia luar dan memberikan kekuatan kepada Israel. Israel tetap tidak menghiraukan desakan masyarakat antarabangsa agar menghentikan penempatan lebih 500,000 pendatang Yahudi di Tebing Barat, sejak berjaya menguasai wilayah tersebut dalam perang 22 hari yang dilancarkan pada 28 Disember 2008.
Rintisan permusuhan Mesir-Palestin disebabkan oleh ketakutan Anwar Sadat dan pemimpin-pemimpin selepasnya terhadap sekatan ekonomi Amerika Syarikat. Mesir sanggup melakukan sekatan kepada pasukan bantuan kemanusiaan untuk menyalurkan bantuan makanan, pakaian dan ubat-ubatan sehingga menyebabkan ianya tersadai. Ada ketikanya ubat-ubatan sehingga melebih tarikh luput masih belum dibenarkan masuk ke Palestin.
Mesir mengambil sikap tidak peduli kepada penduduk Palestin dan lebih setia secara membuta tuli kepada perjanjian damai Kem David daripada mengambil tindakan kemanusiaan terhadap jiran yang sejak 1948 ditindas oleh Israel. Amerika Syarikat memainkan peranan dengan cukup licik menerusi Kem David dan hingga kini Mesir masih menjadi sekutu dan boneka terhormat Amerika Syarikat. Di bawah kepimpinan Hosni Mubarak, Mesir terus mengenakan pelbagai strategi untuk mencengkam penduduk Palestin dan lebih menghormati Israel.
Terhalangnya kemasukan konvoi keamanan Viva Palestina dari London di sempadan Mesir bukanlah sesuatu yang mengejutkan banyak pihak. Ia adalah satu tindakan biasa Mesir yang perlu mendapat lampu hijau Israel atau Amerika Syarikat dahulu sebelum memberikan kebenaran, walaupun kemasukan konvoi itu bukanlah membawa senjata api. Israel tetap bimbang kemasukan kumpulan kemanusiaan dan curiga bersamanya akan turut diseludup masuk senjata, yang akan menyebabkan rakyat Palestin memberontak. Buat masa ini, penduduk Palestin hanya mampu membaling batu atau bahan-bahan tertentu untuk melawan askar Israel yang menyekat kebebasan mereka.
Sekatan Mesir turut mendapat kecaman masyarakat antarabangsa dan dilihat sebagai tidakan tidak berperikemanusiaan. Konvoi yang diketuai oleh George Galloway bertolak dari London pada 6 Disember lalu dan disertai oleh seramai 1,400 aktivis dari 43 negara. Sebagai misi keamanan dan kemanusiaan, secara perancangannya mereka mampu menyampaikan bantuan kepada mangsa dengan teratur dan lancar.
Meskipun akhirnya diberikan kebenaran, tindakan ganas askar Mesir telah mengakibatkan beberapa orang anggota tersebut mengalami kecederaan. Ia mungkin usaha Mesir untuk menakut-nakutkan kumpulan tersebut, tetapi tindakan itu juga dilihat banyak dibayangi oleh kekhuatirannya terhadap kemarahan Israel, dan kecurigaan Mesir mengenai pejuang Hamas, yang mungkin  akan menggunakan kesempatan tersebut.
Sikap Mesir terhadap Palestin mencerminkan kepetualangannya dengan Israel. Sebenarnya Mesir lebih melihat sikap membabi buta Anwar Sadat pada 1978, sebagai usaha menindas Palestin, dan disokong oleh Amerika Syarikat. Mesir turut khuatir, serangan askar Israel ke atas penduduk Palestin akan menyebabkan pintu sempadannya bakal lolos dan menerima limpahan pelarian Palestin.
Usaha Mesir menutup terowong dan pintu sempadan, serta menyekat konvoi keamanan Viva Palestina jelas membuktikan Mesir semakin tunduk dengan Israel. Mesir menjadi lebih mudah untuk mengikat kaki dan tangan serta menutup rakyat Palestin. Namun, Amerika Syarikat dan Israel akan tetap memuliakan Mesir sebagai sebuah negara Islam yang berusaha mencipta keamanan, kerana menyekat kegiatan penduduk Palestin. Itulah paradok sebuah negara Islam, yang takut dengan bayang-bayang silam dan tidak mahu mengakui kesilapan. Mesir akan terus dilihat sebagai sebuah negara yang tidak bersimpati dengan Islam, walaupun sebahagian besar pemimpinnya adalah beragama Islam.
Legasi Anwar Sadat diteruskan oleh Hosni Mubarak. Mesir terus melakukan dosa kepada penduduk Palestin dan masyarakat Islam kerana menyokong Israel dan tunduk dengan desakan Amerika Syarikat.

Oleh MONOSIN SOBRI

Kalau tidak mahu berubah, rakyat akan mengubahnya.

on

Hosni Mubarak buat kali pertamanya bercakap kepada media dan semalam beliau telah bercakap kepada ABC TV. Dalam temu ramah dengan ABC Hosni berkata yang beliau sudah bosan memegang tampuk kuasa sejak 30 tahun yang lalu dan ingin bersara dari jawatan yang disandangnya sekarang apabila pilihanraya pada hujung tahun ini tiba. Beliau juga tidak berminat untuk meletakkan anak beliau Gamal Mubarak untuk menggantikan beliau seperti mana yang diwar-warkan oleh setengah pihak.

Hosni juga memberi amaran kepada parti Hisbul Muslimin Mesir akan mengalami ‘vacuum’ kepimpinan yang besar jika beliau meletakkan jawatan sekarang dan meminta pihak-pihak yang menentangnya untuk bersabar dan menunggu pilihanraya yang tidak lama lagi akan diadakan. Hosni Mubarak memberi tahu Barak Obama yang Amerika tidak faham situasi di Mesir dan pemikiran rakyatnya dan adalah tidak wajar jika Obama menekannya untuk meletakkan jawatan sekarang.

Kita tidak ada kena mengena dengan Mesir tetapi nilai dan keperibadian kepimpinan itu memang ada kaitannya kerana nilai kepimpinan itu adalah satu nilai yang universal; yang baik diterima dan yang tidak baik itu dihindarkan. Kalau kita kaji dengan terperinci dengan apa yang disebut oleh Hosni itu, alasan yang diberikan itu adalah alasan yang agak biasa didengar kepada mana-mana pemimpin yang sedang dideak untuk mengundurkan diri.

Kalau disini pihak yang memeritah akan menggunakan alasan ‘continuity’ atau kesinambungan pentadbiran itu penting untuk menjana pembangtunan negara dan rakyat. Tetapi jika dibandingkankan dengan apa yang disebut oleh Hosni itu memang tidak ada bezanya dengan alasan pimpinan kita apabila berhadapan dengan rakyat semasa pilihanraya. Matlamatnya sama; iaitu untuk terus berkuasa.

Tetapi lebihnya Hosni kalau dibandingkan dengan pimpinan kita beliau berikrar yang beliau tidak akan lagi mempertahankan jawatannya semasa pilihanraya pada penghujung tahun ini. Disini pula yang ada sikap itu ialah Datuk Husein Onn yang telah dari awal mengumumkan yang beliau tidak akan mempertahankan jawatan Presiden UMNOnya pada pemilihan berikutnya, iaitu pada tahun 1981.

Datuk Husein, sebagai seorang yang datangnya dari keluarga ‘aristocrat. yang ‘magnanimous’ telah mula merasakan yang beliau tidak mendapat sokongan yang bulat hasil dari kekecohan parti disebabkan isu Dato’ Harun Idris. Dato Harun telah menjadi korban dan telah dikambing hitamkan oleh setengah pihak kerana takut dengan pengaruh Ketua Pemuda UMNO itu dalam politik tanahair. Hasil dari rasa tidak puas hati setengah pihak terutamanya dikalangan Pemuda, maka Datuk Husein telah ditentang jawatannya sebagai Presiden UMNO dalam pemilihan 1978 dahulu. 

Syed Jaafar Albar yang ketika itu berusia 62 tahun telah memenangi kerusi Ketua Pergerakkan Pemuda dan kemenagan Jaafar Albar itu merupakan manifestasi jelas tentang pengaruh pemuda yang begitu kuat dan kemenangan Albar itu merupakan isyarat jelas untuk Husein membuat keputusan tentang kepimpinannya. 

Tindakkan Sulaiman Palestin menawarkan diri untuk menyaingi Datuk Husein itu adalah hasil dari permainan politik seseorang yang inginkan Husein cepat-cepat bersara. Husein tidak mahukan UMNO itu berpecah kerana beliau, maka beliau mengumumkan dari awal lagi yang beliau tidak lagi berhasrat untuk mempertahankan jawatan itu dalam pemilihan pada 1981. 

Jika Husein masih mahukan jawatan itu memang mudah bagi beliau kerana beliau telah memenangi pertandingan itu dengan majoriti yang besar kerana Hj Sulaiman hanya mendapat sebanyak 125 undi sahaja. Tetapi Husein sanggup berkorban untuk menjaga keutuhan parti dan kiat mesti juga ingat pengorbanan Husein itu adalah disebabkan ada orang yang mahu mengambil kesempatan diair yang keruh itu untuk mengorbankan beliau.

Begitulah sikap seorang pemimpin jika ianya datang dari keluarga ‘aristocrat’ yang ‘magnanimous’ dan beliau tidak bertindak untuk mempertahankan kuasa dengan melakukan berbagai-bagai helah seperti mematikan partinya dan sebagainya untuk terus berkuasa. Tetapi pemimpin yang bercirikan ‘gentleman’ itu sudah tiada lagi dan jiak ada pun pemimpin seperti ini tidak digemari oleh UMNO. Pemimpin yang berkualiti ini selalunya akan diketepikan secara sistematik untuk memberikan tempat kepada pimpinan yang agak ‘gullible’ dan ‘ungentleman’.

Apa yang berlaku di Mesir sekarang ialah kekosongan kepimpinan seperti apa yang disebut oleh Mubarak itu. Tetapi kekosongan itu adalah hasil dari kerakusan beliau sendiri yang tidak menunjukkan niat untuk berhenti. Tiga dekad pemerintahannya telah melenyapkan semua benih-benih kepemimpinan dinegara itu sehinggakan tidak ada sesiapa lagi yang layak untuk menjadi pemimpin yang ‘viable’ untuk mentadbir Mesir.

Jika kita kaji dimana-mana negara yang dipimpin oleh seorang pemimpin yang duduk ditampuk kuasa dengan begitu lama sesiapa sahaja yang mewarisi kepimpnannya akan menghadapi masalah yang besar. Presiden Tito dari Yugoslavia telah memerintah negara itu selama 3 dekad dan apabila beliau meninggal dunia negara itu telah berpecah kepada lima wilayah dan telah berlaku peperangan pembersihan ethnik yang begitu menyanyat hati bagi orang yang mimpikan kedamainan.

Hallie Salasie dari Ethiopia telah memerintah negara itu selama lebih dari 3 dekad dan akhirnya negara itu jadi muflis dan kucar kacir. Hanya yang didapati dari peninggalannya ialah hartanya yang melebihi 30 billion dollar.

Romania telah bertindak membunuh ketua negaranya dikhalayak ramai setelah memerintah hampir 30 tahun, dan Indonesia telah menggulingkan Suharto setelah menjadi pemimpin kuku besi selama 3 dekad dan kesemua negara-negara yang mana pemimpinnya bergayut kepada kuasa terlalu lama sememangnya akan meninggalkan kekosongan kepimpinan yang akan memudharatkan negara.

Kita juga hampir menjadi begitu tetapi kita lebih demokratik sedikit dari negara-negara yang disebutkan tadi. Tetapi kesan dari tindakkan Mahathir mengekalkan kuasa sebegitu lama memang banyak meninggalkan ‘vacuum’ kepimpinan dan ianya begitu nyata. Selepas kepimpinan beliau negara tidak lagi berada didalam keadaan yang begitu diyakini oleh rakyat. Ini adalah disebabkan semua mereka yang sepatutnya mengambil alih tempat beliau yang berkepimpinan telah tidak berada didalam kepimpinan parti lagi. Semasa Mahathir meninggalkan Putrajaya, yang tinggal hanyalah Pak Lah dan Najib. Maka bergunalah akar-akar ini kerana tiada rotan yang tinggal lagi.

Yang tinggal bersamanya hanyalah barisan apa yang dipanggil sebagai ‘blind sycophants’ yang hanya mengangguk macam burung balam dan Mahathir memunafaatkan sokongan yang diberikan oleh pemimpin pelapis yang tidak bertulang belakang ini untuk menyambung kuasa yang dinikmatinya tanpa banyak halangan. Tidak ada seorang pun pemimpin yang berkemampuan bersamanya untuk meneruskan kepimpinan ‘viable’ bagi negara ini lagi. Siapa sahaja yang ada didalam hiraki parti itulah yang menerima warisan kepimpinan dan inilah yang kita dapati sekarang ini.

Ramai diantara pemimpin kita hari ini ibarat garam. Garam itu penting untuk mengenakkan masakan, tetapi tidak boleh dibubuh terlalu banyak pula; nanti tidak termakan pula masakan itu. Garam hanya perlu setakat sesedap rasa sahaja, tidak boleh lebih.

Sesungguhnya diMesir, Tunisia dan di Yaman keadaan yang berlaku lebih kurang sama dengan apa yang berlaku disini. Tetapi rakyat disini lebih baik dari di negara-negara yang disebutkan tadi. Mereka lebih suka untuk menolak pimpinan negara melalui undi yang ada kepada setiap seorang satu undi itu. DAN eloklah begitu. Kita tidak akan membudayakan cara yang dilakukan oleh rakyat di Mesir, Yaman dan Tunisia itu.

Kita orang Melayu masih lagi ada sedikit adab dan adat. Hanya kita berharap agar kebaikan orang kita Melayu ini tidak dianggap sebagai kelemahan atau kebodohan. Rakyat tidak bodoh. Hanya mereka mempunyai kesabaran yang lebih. Mereka sedang memerhatikan segala-galanya dengan penuh fokus. 

Mereka sekarang sudah tahu yang berkuasa sebenarnya adalah mereka. Mereka tidak rela lagi diperintah untuk membajak sawah seperti kerbau, siang dan malam sedangkan ‘tikus-tikus’ gemuk memakan hasilnya di kepuk padi.

Apa yang dilakukan oleh rakyat Mesir, yaman dan Tunisia itu ialah untuk menghapuskan tikus-tikus yang berkeliaran di merata-rata negara tersebut yang telah membaham segala hasil pembajakkan mereka selama ini. Sekarang mereka mahukan hasil penat jerih membajak itu kembali kepada mereka.

Kita yakin apabila tikus-tikus itu sudah tidak ada lagi hasil padi mereka akan dapat mereka menufaatkan untuk kesejahteraan keluarga setiap rakyat negara itu.

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List