Krisis Mesir kali ni mengingatkan kita akan erti keamanan dan kebahagiaan yang kita kecapi selama ini. Dalam kita berseronok gembira sekarang, jom saya nak kongsi dengan sahabat2 semua tentang penderitaan yang dialami oleh sahabat2 segama kita jauh nun di Gaza. Mungkin sekarang nasib kita lebih baik...apakah kita telah bersyukur dengan nikmat tersebut?
Mereka jauh sekali untuk mengerti apa itu keamanan, melainkan setiap masa takut, menangis, menjerit, meratapi, sakit, mati, dianiaya , disepak terajang dan dipelaku seperti binatang malah lebih teruk lagi diseksa pelbagai cara, itu lah yang dialami oleh mereka setiap masa dan waktu.
Kebangkitan rakyat Mesir menentang kerajaan zalim Husni Mubarak menjadi persoalaan besar untuk dijawab, apakah nasib rakyat Gaza selepas ini akan lebih cerah dan bahagia? Di bawah ini adalah sebahagian kecil penderitaan mereka, apakah semua ini akan berubah? Jom layan kisah di bawah sebagai pengajaran dan iktibar kepada rentetan kezaliman yang dialami rakyat Gaza.
Moga Allah memberikan kemenangan kepada Umat Islam seluruhnya, moga dirahmatinya.
Mesir membina tembok konkrit bagi menyekat laluan yang dijadikan pintu keluar masuk bekalan makanan, ubat-ubatan, air bersih dan perhubungan penduduk Palestin. Sekatan tersebut menyebabkan rakyat Palestin semakin sukar memperolehi keperluan asas mereka melalu sempadan dengan Mesir.
Berita mengejutkan juga turut berlaku apabila sepasukan petugas kemanusiaan Viva Palestina yang berhasrat untuk membawa ubat-ubatan dihalang masuk oleh pihak berkuasa Mesir. Sekatan sedemikian telah menyemarakkan lagi kemarahan masyarakat Islam terhadap Mesir yang dilihat tidak memberikan ruang kepada rakyat Palestin memperoleh keperluan asas harian mereka.
Sejarah halangan Mesir terhadap Palestin bukanlah satu perkara baru. Semasa pentadbiran Anwar Sadat, Mesir telah dilihat sebagai negara Islam yang terlalu pro-Amerika, terlalu kuat membantu Israel.
Anwar Sadat yang dinobatkan sebagai Tokoh Keamanan pada tahun 1978 sebenarnya menjadi terlalu terdesak apabila menandatangani perjanjian Kem David pada 26 Mac 1979. Perjanjian yang diusahakan oleh Jimmy Carter itu terus dilihat sebagai dosa Anwar Sadat terhadap masyarakat Palestin.
Perjanjian damai Arab–Israel itu hanya ditandatangani oleh Anwar Sadat dan Menachem Begin, manakala lain-lain negara Arab tidak bersetuju dengan cadangan Jimmy Carter. Bagi negara-negara Arab, dengan menandatangani perjanjian tersebut, bererti mereka sebenarnya menyokong Israel dan mengetepikan hak rakyat Palestin yang telah dijajah sejak perang tahun 1948.
Terdapat dua naskhah perjanjian Kem David, iaitu A Framework for Peace in the Middle East dan A Framework for the Conclusion of a Peace Treaty Between Egypt and Israel. Naskhah kedua itulah yang menjadi dasar perjanjian damai Israel dan Mesir dan disebut sebagai Perjanjian Kem David.
Melalui perjanjian damai itu, Israel mengundurkan pasukan tenteranya dari Padang Pasir Sinai secara berperingkat-peringkat. Kawasan Padang Pasir Sinai ditawan oleh Israel dalam peperangan pada tahun 1967. Penyerahan Padang Pasir Sinai kepada Mesir dilakukan oleh Israel pada 25 April 1982.
Sebagai bantahan terhadap Mesir, Liga Arab telah melucutkan keanggotaan Mesir pada tahun 1979 dan memindahkan ibu pejabat Liga Arab dari Kaherah ke Tunis, Tunisia. Walau bagaimanapun, hampir sepuluh tahun kemudian, iaitu pada tahun 1989, Mesir diterima kembali menganggotai Liga Arab dan ibu pejabat Liga Arab dipindahkah kembali ke Kaherah.
Pada 6 Oktober 1981, Anwar Sadat yang berdiri di atas mimbar dalam satu perarakan bagi meraikan kemenangan Mesir ke atas Israel (6 Oktober 1973 dikenang sebagai hari kemenangan Mesir) , Trias Kuncahyono, penulis buku Jerusalem: Kesucian, Konflik dan Pengadilan Akhir (Kompas, 2008) menggambarkan:
“Saat melihat Leftenan Pertama Khaled Islambouli meloncat dari trak dan berlari mendekatinya, Sadat mengora bahawa leftenan muda itu hendak menghormatinya. Sadat sedia bersiap untuk menerima penghormatan. Tidak disangka, seorang perwira lain melemparkan granit tangan dan disusul suara rentetan tembakan yang diarahkan kepada Sadat. Sejumlah peluru yang dilepaskan Khaled Islambouli bersarang ditubuh Sadat. Baru lima puluh detik kemudian pertugas keamanan berhasil menghentikan serangan itu. Sadat dan tujuh orang yang berdiri di sampingnya tewas terbunuh, sedangkan 28 orang lainnya terluka. Inilah akhir perjlananan hidup seorang pencinta damai. Sadat tewas saat bersama rakyatnya memperingati hari kemenangan. Dalam kalendar Hijrah, Sadat meninggal pada perayaan Idul Adha.” (hal. 113-116)
Perjanjian damai Mesir-Israel itu juga dikatakan punca menyebabkan kematian beliau kerana sekumpulan tentera yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan Anwar Sadat yang pro-Amerika dan mengkhianati rakyat Palestin. Konspirasi pembunuhan beliau turut disebut sebagai balasan mengkhianati pejuang Islam, dan terlalu menginginkan sanjungan sebagai wira damai.
Masyarakat antarabangsa hanya mengingati Anwar Sadat sebagai pejuang keamanan kerana perjanjian damai dengan Israel dan tetapi masyarakat Islam melihat beliau sebagai menindas rakyat Palestin. Masyarakat Islam tetap mempersoalkan Anugerah Keamanan yang diterimanya pada tahun 1978 bersama Menahim Begin, Perdana Menteri Israel, kerana selepas perjanjian tersebut, Israel menjadi semakin ganas mengkhianati penduduk Palestin.
Dalam perjanjian tersebut, kedudukan Jerusalem tidak sedikit pun disentuh oleh kedua-dua pihak, kerana Perdana Menteri Israel telah meletakkan syarat mutlak. Jika Jerusalem disentuh, perjanjian tersebut tidak akan mejadi kenyataan. Begin juga tidak bersetuju dengan permintaan Anwar Sadat agar bendera sebuah negara Arab turut dikibarkan di tempat-tempat suci Islam di Jerusalem.
Antara tahun 1967 hingga 1989, Majlis Keselamatan Bangsa-bangsa Bersatu telah mengeluarkan sebanyak 131 resolusi (43 bersifat neutral dan 88 mengkritik tindakan Israel) tidak dipedulikan oleh Israel berhubung sikapnya terhadap Jerusalem.
Sikap pro-Amerika Sadat itulah menyebabkan Israel semakin besar kepala selepas termetrainya perjanjian Kem David. Mesir telah dilihat memusuhi Palestin sejak zaman Anwar Sadat lagi. Mesir tidak pernah memberikan pengiktirafan kepada pejuang-pejuang Hamas, termasuk mengecam bedilan askar Israel terhadap penduduk Palestin.
Mesir terus mengikatkan kepentingannya dan menjadikan perjanjian damai Kem David sebagai alas an untuk berdiam diri atas sebarang tindakan Israel. Perjanjian damai itu sebagai satu kejayaan Amerika Syarikat untuk menamatkan perang Arab – Israel (sejak 1948), dan Mesir beroleh kembali Semenanjung Sinai yang dirampas oleh Israel pada tahun 1967. Walau bagaimanapun, perjanjian tersebut memberikan sumber kekayaan yang besar kepada Israel apabila mereka boleh menggunakan Terusan Suez sementara Selat Tiran dan Teluk Aqaba sebagai perairan antarabangsa.
Amerika Syarikat turut memberikan penghargaan kepada Anwar Sadat walaupun diktehaui bahawa telah mengkhianati dunia Arab. Dengan mengiktiraf Mesir, maka Amerika Syarikat dilihat akan menjadi lebih mudah untuk mendapat sokongan dunia Arab, dan hingga kini masih ada komitmen bersepadu dunia Arab mengenai Palestin.
Mesir menjadi begitu penting kepada Palestin kerana ia merupakan satu-satunya sempadan darat. Palestin seolah-olah sebuah penjara terbuka yang besar, terkepung oleh negara yang menjadi musuh setelah tembok konkrit di bina di kaswasan Semenanjung Sinai.
Sekatan Mesir untuk misi kemanusiaan menyebabkan rakyat Palestin semakin menderita dan sukar untuk hidup. Sekatan itu juga menyebabkan terputusnya hubungan dengan dunia luar dan memberikan kekuatan kepada Israel. Israel tetap tidak menghiraukan desakan masyarakat antarabangsa agar menghentikan penempatan lebih 500,000 pendatang Yahudi di Tebing Barat, sejak berjaya menguasai wilayah tersebut dalam perang 22 hari yang dilancarkan pada 28 Disember 2008.
Rintisan permusuhan Mesir-Palestin disebabkan oleh ketakutan Anwar Sadat dan pemimpin-pemimpin selepasnya terhadap sekatan ekonomi Amerika Syarikat. Mesir sanggup melakukan sekatan kepada pasukan bantuan kemanusiaan untuk menyalurkan bantuan makanan, pakaian dan ubat-ubatan sehingga menyebabkan ianya tersadai. Ada ketikanya ubat-ubatan sehingga melebih tarikh luput masih belum dibenarkan masuk ke Palestin.
Mesir mengambil sikap tidak peduli kepada penduduk Palestin dan lebih setia secara membuta tuli kepada perjanjian damai Kem David daripada mengambil tindakan kemanusiaan terhadap jiran yang sejak 1948 ditindas oleh Israel. Amerika Syarikat memainkan peranan dengan cukup licik menerusi Kem David dan hingga kini Mesir masih menjadi sekutu dan boneka terhormat Amerika Syarikat. Di bawah kepimpinan Hosni Mubarak, Mesir terus mengenakan pelbagai strategi untuk mencengkam penduduk Palestin dan lebih menghormati Israel.
Terhalangnya kemasukan konvoi keamanan Viva Palestina dari London di sempadan Mesir bukanlah sesuatu yang mengejutkan banyak pihak. Ia adalah satu tindakan biasa Mesir yang perlu mendapat lampu hijau Israel atau Amerika Syarikat dahulu sebelum memberikan kebenaran, walaupun kemasukan konvoi itu bukanlah membawa senjata api. Israel tetap bimbang kemasukan kumpulan kemanusiaan dan curiga bersamanya akan turut diseludup masuk senjata, yang akan menyebabkan rakyat Palestin memberontak. Buat masa ini, penduduk Palestin hanya mampu membaling batu atau bahan-bahan tertentu untuk melawan askar Israel yang menyekat kebebasan mereka.
Sekatan Mesir turut mendapat kecaman masyarakat antarabangsa dan dilihat sebagai tidakan tidak berperikemanusiaan. Konvoi yang diketuai oleh George Galloway bertolak dari London pada 6 Disember lalu dan disertai oleh seramai 1,400 aktivis dari 43 negara. Sebagai misi keamanan dan kemanusiaan, secara perancangannya mereka mampu menyampaikan bantuan kepada mangsa dengan teratur dan lancar.
Meskipun akhirnya diberikan kebenaran, tindakan ganas askar Mesir telah mengakibatkan beberapa orang anggota tersebut mengalami kecederaan. Ia mungkin usaha Mesir untuk menakut-nakutkan kumpulan tersebut, tetapi tindakan itu juga dilihat banyak dibayangi oleh kekhuatirannya terhadap kemarahan Israel, dan kecurigaan Mesir mengenai pejuang Hamas, yang mungkin akan menggunakan kesempatan tersebut.
Sikap Mesir terhadap Palestin mencerminkan kepetualangannya dengan Israel. Sebenarnya Mesir lebih melihat sikap membabi buta Anwar Sadat pada 1978, sebagai usaha menindas Palestin, dan disokong oleh Amerika Syarikat. Mesir turut khuatir, serangan askar Israel ke atas penduduk Palestin akan menyebabkan pintu sempadannya bakal lolos dan menerima limpahan pelarian Palestin.
Usaha Mesir menutup terowong dan pintu sempadan, serta menyekat konvoi keamanan Viva Palestina jelas membuktikan Mesir semakin tunduk dengan Israel. Mesir menjadi lebih mudah untuk mengikat kaki dan tangan serta menutup rakyat Palestin. Namun, Amerika Syarikat dan Israel akan tetap memuliakan Mesir sebagai sebuah negara Islam yang berusaha mencipta keamanan, kerana menyekat kegiatan penduduk Palestin. Itulah paradok sebuah negara Islam, yang takut dengan bayang-bayang silam dan tidak mahu mengakui kesilapan. Mesir akan terus dilihat sebagai sebuah negara yang tidak bersimpati dengan Islam, walaupun sebahagian besar pemimpinnya adalah beragama Islam.
Legasi Anwar Sadat diteruskan oleh Hosni Mubarak. Mesir terus melakukan dosa kepada penduduk Palestin dan masyarakat Islam kerana menyokong Israel dan tunduk dengan desakan Amerika Syarikat.
Oleh MONOSIN SOBRI
0 comments:
Post a Comment