Ikhwanul Muslimin - Kuasa Yang Tak Boleh Dipandang Sepi

on Feb 4, 2011


Di sebalik kemungkinan Presiden Hosni Mubarak akan meletakkan jawatan dalam waktu terdekat semakin jadi kenyataan, pentadbiran Obama dilaporkan mengadakan pertemuan secara kerap yang mungkin bagi membincangkan keadaan negara Afrika utara itu — antara lain mengenai bentuk kerajaan baru yang bakal lahir di Mesir.

Salah satu kumpulan yang kemungkinan mengambil bahagian dalam proses politik pada era pasca-Hosni ialah Ikhwanul Muslimin.

Bagaimanapun persoalannya ialah sejauh mana pentadbiran Obama akan berurusan dengan kumpulan Islam ini jika ia menjadi sebahagian daripada komponen kerajaan baru.

Di sebalik perkembangan itu, dipetik msnbc, pakar strategi kumpulan Islam ini mahu Hosni dan orang kanannya ditanggungjawabkan atas “perbuatan jenayah” mereka terhadap rakyat Mesir selama ini.

“Hosni macam ‘drakula’,” kata Youssef Nada yang pernah bertindak sebagai ‘menteri luar’ pertubuhan itu dan kekal sebagai penasihat berpengaruh sehingga ke hari ini.

“Dia diktator tanpa belas kasihan dan telah membunuh ramai orang.

“Dia mesti dibicara dan perlu ditanggungjawabkan,” kata beliau lagi.

Ikhwanul Muslimin, barisan pembangkang yang lebih tersusun di Mesir, menjadi sebahagian daripada arus perdana sosial negara itu sejak lewat 1920-an. Tetapi ia diharamkan oleh rejim Hosni. Ia diasaskan oleh Hassan al-Banna pada 1928.

Disebabkan pengharaman itu, Amerika Syarikat (AS) hanya mengadakan kontak dalam skala terhad dengan Ikhwanul Muslimin, demikian menurut Pengarah Program Asia Barat Pusat Pengajian Strategik dan Antarabangsa Jon Alterman.

Semalam, Naib Presiden Mesir Omar Suleiman berkata Ikhwanul Muslimin telah dipelawa untuk mengadakan pertemuan dengan kerajaan baru sebahagian daripada dialog kebangsaan dengan semua parti.

Alterman adalah antara sekumpulan penganalisis Asia Barat meminta White House awal minggu ini agar membincangkan keadaan di Mesir yang melalui perkembangan pantas sejak 10 hari lalu.

“White House tidak memberi perhatian dalam soal Ikhwanul Muslimin yang kelihatan terbuka dan sebahagian daripada politik Mesir,” kata Alterman.

“Tiada kebimbangan bahawa sebarang penyertaan Ikhwanul Muslimin (dalam politik arus perdana) akan mengakhiri kepentingan AS di Mesir,” katanya.

Sebaliknya, ada pandangan yang mengatakan kepentingan AS di Mesir mahukan kumpulan Islam itu memainkan peranan dalam politik yang vibran bersama pihak-pihak lain.

Alterman juga berkata, pentadbiran Obama juga faham yang rakyat Mesir turut berpandangan agama harus memainkan peranan dalam kehidupan rakyat sama ada mereka terikat dengan Ikhwanul Muslimin ataupun sebaliknya.

Oleh itu katanya, AS tidak harus mengetepikan Ikhwanul Muslimin hanya kerana mereka sebuah kumpulan Islam.

“White House juga ada pandangan bahawa politik Mesir perlu menggambarkan masyarakat Mesir,” kata Alterman.

“(Perlu diterima bahawa) tindakan mengutamakan rejim sekular autoritarian tidak akan memenuhi kepentingan AS dalam jangka panjang, dan juga tidak akan memenuhi kepentingan Mesir sendiri,” kata beliau.

Skala dan kepentingan detik-detik yang mekar di Mesir mengingatkan Revolusi Iran 1979, yang dibawa dalam rejim Islam.

Samer Shehata, seorang penolong profesor politik Arab di Universiti Georgetown berkata, banyak pihak membuat rumusan yang selari dengan era itu.

“Terlalu ramai di Kongres, dan sudah tentu juga di kalangan rakyat jelata, apabila mendengar politik Islam atau Ikhwanul Muslimin dan sebagainya, tiada fahaman (yang tepat).

“Mereka dengan cepat menganggap (ia sebagai badan yang ada kaitan) Al-Qaeda atau Hamas, malah Hizbullah. Dari segi fundamental, kumpulan ini jauh berbeza,” kata Samer.

Katanya, berbanding Hamas Ikhwanul Muslimin tiada sayap tentera ataupun memiliki senjata dan mengecam keganasan sejak enam dekad lalu.

Bagaimanapun Leslie Gelb, presiden Majlis Hubungan Luar berkata tiada siapa yang boleh memastikan sama ada keadaan itu akan berubah jika pengharaman ke atas Ikhwanul Muslimin ditarik balik.

Ikhwanul Muslimin menekankan ia menyokong demokrasi dan kebebasan bersuara, tetapi ia juga anti-Israel dan menentang perjanjian damai Mesir-Israel.

“Kita tahu rekod dasar luar mereka,” kata Gelb kata beliau dipetik media Barat.

Ikhwanul Muslimin pernah memainkan peranan menyokong bekas presiden Anwar Sadat yang ditembak mati ketika perarakan hari kemerdekaan dan beliau digantikan oleh Hosni pada 1981. Dengan berslogankan “Islam Adalah Penyelesaian”, Ikhwanul Muslimin mahu mewujudkan sebuah negara berlandaskan undang-undang Islam.

Sebelum menyokong kepimpinan Anwar, pada 1966 kerajaan Mesir menjatuhkan hukuman mati ke atas pemimpin utama Sayyid Qutb yang memberi tenaga baru kepada kumpulan ini dan ketika 1980-an, Ikhwanul Muslimin berusaha untuk menyertai politik arus perdana.

Pada pilihan raya 2000, Ikhwanul Muslimin memenangi 17 kerusi di Dewan Perwakilan Rakyat dan lima tahun kemudian menguasai 20 peratus kerusi yang ditandingkan, sekali gus mengejutkan Hosni.

Pada tahun lalu, usaha pemimpin-pemimpin Parti Demokratik Kebangsaan diterajui Hosni memulakan tindakan mengurangkan pengaruh pembangkang dalam pilihan raya Parlimen 2010 termasuklah kumpulan Islam ini.

Kesannya dikatakan berkait rapat dengan kebangkitan rakyat yang disaksikan hari ini. Dan, mereka menghitung hari-hari terakhir Hosni dan dunia negara maju termasuk termasuk AS tiada pilihan melainkan untuk berurusan dengan Ikhwanul Muslimin. 

TMI

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List