PERGI HAJI NAIK JET PERIBADI...?

on Nov 15, 2011



Naib Presiden Umno, Zahid Hamidi itu menolak dakwaan disiarkan oleh beberapa blog dan SMS yang mengatakan jet peribadi yang beliau naiki untuk mengerjakan haji baru-baru ini adalah milik beliau sendiri.
“Betul, tapi saya tumpang orang punya jet. Kebetulan dia pun buat haji,” kata beliau dalam respons menerusi SMS kepada The Malaysian Insider hari ini.
Dalam respons ringkas itu beliau seterusnya berkata: “Salah ke (tumpang jet kawan ke Saudi)?”
Zahid, Ahli Parlimen Bagan Datok dilantik sebagai Menteri Pertahanan pada 2009 ketika era pentadbiran Najib.
Sebelum itu beliau merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal Islam.
Dakwaan diterima menerusi e-mel menyebut Zahid telah pergi untuk menunaikan haji tahun ini dengan menaiki jet peribadi.
Menurut dakwan itu, isteri beliau Datin Seri Hamidah Khamis telah berada di Madinah terlebih dahulu dan beliau menjemput dengan jet peribadi dan kemudian ke Jeddah.
ZAHID MESTI JAWAB SOALAN DI BAWAH INI
1) Siapa empunya jet peribadi ini, jika sahabat beliau; dengan tujuan apa diberi untuk menggunakan jet peribadi ini. Adakah sahabat beliau yang mempunyai kepentingan dalam Kementerian Pertahanan?
2) Jika beliau menggunakan wang sendiri untuk menyewa jet berkenaan; dari mana beliau dapat wang sebegitu banyak?
Dakwaan itu juga menyebut beliau sering ke Arab Saudi terutama ketika Ramadan dengan rakan kongsi yang sama beliau bernama “Tuan Sheikh Rozi”.
3) Siapa Tuan Sheikh Rozi ini?
Zahid tidak menyebut nama rakan beliau memiliki jet peribadi itu dalam responsnya. Rakyat berhak untuk tahu dan Zahid mesti menjawab soalan-soalan di atas, jangan membisu dan berdiam diri!!!!!

Sumber : Malaysiainsider



Photobucket

Khairy Jamaluddin: Dari Tingkat 4 Ke Bawah Tanah.

on


Tidak kira berapa banyak Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berhujah dan mengemukakan fakta-fakta di blognya (Saya rasa mungkin tidak dikunjungi langsung) atau suratkhabar atas talian untuk memberitahu apa yang berlaku di NFC- versi Umno, ia tetap tidak masuk akal kepada manusia normal.

Setiap hari rakyat Malaysia ingin makan daging lembu sekurang-kurangnya dua kali seminggu jika mereka mampu, sekiranya tidak, satu lagi sumber protein untuk mereka makan adalah ayam yang dianggap masih mampu dibeli. Ikan terutamanya dari laut hampir tidak dapat dibeli disebabkan harga melonjak kepada paras tertinggi dalam tahun-tahun kebelakangan ini. Harga ikan kembong kegemaran rakyat (scomber) adalah kira-kira sebelas ringgit sekilo!


Dengan ini di dalam minda kita, jika NFC boleh menjual daging lembu dengan harga murah untuk orang biasa, ini akan lebih masuk akal. Khairy kemudiannya bolehlah berhujah sehingga semua lembu pulang balik ke kandang dan tiada siapa akan kisah. Pada masa ini, adalah lebih baik baginya untuk menutup mulutnya, dan menjauhkan diri daripada kejatuhan NFC.

Sebelum cerita lembu, ada cerita AP

Skandal NFC sudah semestinya merosakkan imej Sharizat dan juga Najib. Adalah mustahil beliau akan diletakkan untuk bertanding di kawasan yang beliau pernah kalah iaitu lembah pantai atau diberi mana-mana kerusi untuk ditandingi.

Ini akan membuat musuh tradisinya Rafidah Aziz gembira kerana beliau sememangnya menunggu-nunggu saat ini. Bagi Sharizat pula, ini adalah penghujung untuk karier politik beliau yang telah pun dihidupkan kembali. Tapi sekurang-kurangnya, beliau mendapat bonus daripada Umno dalam bentuk kondo mewah dan lembu-lembu.

Pakaian pintar, kelihatan pintar, berjalan pintar tetapi ...

Berbalik semula kepada bekas wira di tingkat 4 ini, dia berpakaian seperti orang pintar, kelihatan bijak, berjalan pun macam orang pintar tetapi serupa dungu apabila dia membuka mulutnya. Jika dia mahu kekal dalam politik terutamanya Umno, dia perlu mempunyai strategi untuk mengukuhkan asasnya. Dia mungkin mempunyai kelayakan kukuh dalam kertas, tetapi untuk tempat beliau sekarang iaitu ruangan bawah tanah, itu adalah lemah. Dia perlu untuk memperbetulkannya dengan pantas.

Kini, beliau mempunyai kerusi di Rembau dan ia relevan kepada Umno dan kepada kerjaya politik beliau sendiri. Jika dia tidak menjadi MP dia akan mati, jadi dia mesti memastikan dia masih dipertandingkan pada pemilihan akan datang.

Untuk ini, beliau harus bekerja keras atau meletakkan semua wang di mulutnya untuk menang dalam pilihan raya dan kekal relevan dalam politik. Sekiranya beliau tidak dipilih untuk bertanding dalam pilihan raya yang akan datang dan ini mustahil memandangkan beliau adalah Ketua Pemuda Umno, maknanya beliau harus membuat pilihan.

Tinggalkan Umno untuk terus hidupkan kerjaya politik peribadi beliau supaya jika pada 40 dia tidak dapat menjadi Perdana Menteri, maka sekurang-kurangnya pada usia 55 tahun, dia masih berpeluang. Ini bermakna, beliau akan mengambil tempat dalam giliran selepas Mukhriz Mahathir (Insan terpilih) atau Nurul Izzah (Pilihan Rakyat) mengambil giliran mereka.

De-facto PM untuk orang yang tidak berguna

Khairy yang kini berusia 35 tahun, dan pernah menerajui para ahli strategi muda yang diupah oleh bapa mertua beliau, bekas Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi dalam tempoh 2004 hingga 2008 pasti merindui pejabat tingkat 4 beliau yang enak di Putrajaya.

Dari de-facto PM, Khairy kini berada di bawah tanah politik Umno. Walaupun dengan portfolio yang kuat sebagai Ketua Pemuda , beliau tidak diberikan jawatan menteri dan ini agak memalukan.

Dan yang lebih memalukan, Mukhriz telah dilantik sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, walaupun ini mungkin hanya melalui campur tangan Maha Kuasa (bapanya dan bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad).

Adakah Dr M pernah memaafkan Khairy

Sekarang semua orang tahu Mahathir membenci Khairy, mereka tidak bergaul dengan baik.Untuk Khairy bangun, dia harus menghadapi musuhnya, Mahathir yang hebat,dan beliau juga harus melawan rasa takutnya pada bekas PM itu. Jika Mahathir mengampunkan Khairy, maka semua akan baik baginya dalam Umno.

Khairy tidak boleh berpaling kepada Najib kerana PM itu pun sedang melawan dajal-dajal kecilnya dari dalam dan luar Umno, dan sama ada Najib mampu untuk mengekalkan kuasa ditangannya sendiri itu adalah sesuatu yang belum pasti. Oleh itu, Khairy tidak mempunyai pilihan tetapi untuk bertempur sendirian tanpa bapa mentuanya disisi. Pilihan lain untuk beliau adalah berhibernasi untuk beberapa tahun dalam dunia perniagaan atau meninggalkan Umno dan menyertai parti politik lain.

Apa pun yang dia pilih, dia harus melakukannya dengan pantas keranan masa tidak menyebelahi beliau dengan semua tekanan yang diterima Umno daripada parti pembangkang berikutan skandal-skandal besar mereka. Sememangnya Umno sedang kehilangan pengaruh mereka dengan begitu cepat sekali kepada pembangkang dan peluang Umno membentukkerajaan seterusnya lenyap.

Malah, ruang bawah tanah mungkin juga akan lenyap untuk Khairy jika dia tidak bertindak cepat sekarang.


Malaysia Chronicle




Photobucket

MCA Bakal Berputih Mata...?

on


Panas: MCA Bakal Berputih Mata, Kerusi Parlimen Kuantan Sah Bakal Di Tandingi Oleh Calon UMNO



Parlimen Kuantan bakal menyaksikan pertembungan tradisi kembali antara UMNO (BN) danParti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihanraya Umum ke-13 akan datang. Perkara itu didedahkan oleh seorang pemimpin vateran UMNO yang rapat dengan proksi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razakkelmarin. 


Maklumat ini pasti membuatkan Ketua MCA Bahagian Kuantan, Dato' Ti Lian Ker (foto) berputih mata sebenarnya. Sebelum beliau dikatakan mahu kerusi Parlimen Indera Mahkota diberikan kepada MCA jika UMNO mahu bertanding di Kuantan. Namun, kini MCA mungkin kehilangan kedua-dua kerusi itu menurut pemimpin terbabit. 


Berdasarkan rekod sudah dua penggal MCA bertemu PKR di Parlimen Kuantan, yang menyaksikan calon parti itu Datuk Fu Ah Kiow tewas kepada Fuziah Salleh dengan majoriti 1,826 undi pada PRU-12 lalu. Fuziah mendapat 18,398 undi, manakala Fu Ah Kiow hanya mendapat 16,572 undi sahaja. Keputusan itu cukup mengejutkan dan memberi tamparan yang cukup hebat kepada Barisan Nasional (BN) untuk merampas semula kerusi itu dari PKR. 


Pada PRU-11 (2004) Fu Ah Kiow berjaya memenangi kerusi parlimen itu dengan majoriti cukup besar iaitu 9,147 undi iaitu lebih tinggi daripada apa yang diperolehi oleh Tun Khalil Yaakob pada PRU-10 (1999). Khalil ketika itu menewaskan Fuziah dengan hanya 7,347 undi sahaja. Harus diingat sebelum zaman reformasi selepas Anwar dipecat daripada UMNO dan kerajaan, kerusi parlimen itu dimenangi oleh Datuk Fauzi Abdul Rahman (UMNO) dengan majoriti lebih besar iaitu 23,096 undi pada PRU-9 (1995). 


Fauzi yang kini merupakan Pengerusi PKR Pahang menang ke atas calon Parti Melayu Semangat 46 (S46) iaitu Noorsiah Tuajib. Fauzi mendapat 33,718 undi, sementara Noorsiah hanya mendapat 10,622 undi sahaja. Tetapi harus diingat, sebelum itu pada PRU-8 (1991) Fauzi hanya menang tipis ke atas calon Semangat 46, Ahmad Mokhtar Hj.Mohamed dengan majoriti 5,867 undi sahaja. Itulah statistik terdahulu bagi kerusi Parlimen Kuantan.

[Kini, nampaknya bagai ada satu mandat daripada Najib untuk memberi laluan kepada UMNO supaya bertanding semula di Parlimen Kuantan. Mungkin kerana melihat Fuziah tidak menang jika penyokong UMNO memilih BN pada PRU-12 lalu. 


Buktinya, BN menang di keempat-empat DUN dalam parlimen itu sedangkan Fuziah menang di Parlimen. Semuanya gara-gara mereka menolak MCA yang bertanding di kawasan majoriti Melayu itu sebenarnya. Terdapat laporan sulit mengatakan UMNO diberi hak untuk merampas kembali kerusi itu dari tangan MCA. Malah, calon yang berkenaan juga disyaki merupakan proksi Najib di situ. Jika ini berlaku, apakah Dato' Ti Lean Ker akan berdiam diri agaknya?. 


Sebelum ini diwar-warkan dia akan bertanding menentang Fuziah disitu. Namun, gara-gara isu Lynas dan melihat majoriti pengundi Cina akan "swing" serta tidak menyokong BN kali ini akhirnya UMNO dipertaruhkan. Soalnya, apakah Ti Lian Ker dapat menerima hakikat ini. Malah, kerusi Parlimen Indera Mahkota yang mahu ditukarkan juga pasti tidak menjadi kenyataan. 


Maknanya pemimpin MCA itu pasti akan berputih mata sekali lagi, selepas dimalukan pada PRU-12 lalu apabila tidak dicalonkan bertanding di mana-mana DUN dalam negeri Pahang. Senario ini pasti menarik untuk disaksikan. Jika dilihat kepada percaturan, siapa pun diletakkan di Kuantan kali ini pasti akan memberi kelebihan kepada Fuziah Salleh kerana beliau adalah "Pejuang Lynas" yang amat disanjung oleh rakyat Kuantan. Jika tiada perubahan pasti UMNO akan bertemu PKR pada PRU-13 ini nanti].

sumber
Photobucket

Bola Sepak Piala FIDLOT

on



Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerahkan kes projek lembu Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) milik keluarga Menteri Pembangunan Wanita Datuk Shahrizat Abdul Jalil untuk disiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurut suruhanjaya itu, keputusan itu dibuat setelah merujuk kepada bahagian perundangan dan pendakwaannya yang mengaklasifikasikan aduan yang diterima bawah kesalahan Kanun Keseksaan.

"Sehubungan itu SPRM telah diminta merujuk aduan tersebut kepada pihak PDRM," kenyataan itu dipetik.

"Ia juga selaras dengan nasihat daripada Lembaga Penasihat dan Pencegahan Rasuah yang meminta SPRM tidak menjalankan siasatan selain daripada kesalahan di bawah ASPRM (Akta Pencegahan Pencegahan Rasuah Malaysia) 2009."

Kenyataan itu juga memaklumkan, keputusan itu sudah dimaklumkan kepada pengadu yang bersetuju dengan tindakan itu.

Sementara itu, NGO Jingga 13 sebagai pengadunya berkata, mereka dimaklumkan kes itu akan disiasat bawah Seksyen 409 melibatkan kesalahan pecah amanah jenayah oleh pekhidmat awam.

"Jingga 13 meminta agar pihak PDRM mengambil sikap telus dan profesional serta segera menyiasat dan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap kes berprofil tinggi ini kerana ia melibatkan wang rakyat yang telah dipecah amanah tanpa rasa bersalah; dan bertanggungjawab melakukan jenayah dan mengkhianati rakyat Malaysia," kata Penyelarasnya Fariz.

Pengadu: Prasangka berlarutan

NGO yang dikaitkan dengan PKR itu pada 11 November membuat laporan pada SPRM berhubung dakwaan penyalahgunaan pinjaman untuk membeli kondominium mewah RM9.8 juta One Menerung di Bangsar, Kuala Lumpur.

Ia ekoran dakwaan PKR bahawa dana daripada pinjaman NFC kepada National Meat and Livestocks Corporations Sdn Bhd (NLMC) digunakan untuk pembelian seunit projek berprestij itu.

Setiausaha agung PKR Saifuddin Nasution mendakwa, tindakan syarikat milik keluarga Menteri Pembangunan Wanita Datuk Shahrizat Abdul Jalil itu merupakan penyelewengan dan bertentangan dengan tujuan pinjaman wang kepada NFC.

Menurut seksyen itu, penjawat awam atau agen yang disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara bagi tempoh tidak kurang dari dua tahun dan tidak lebih 20 tahun, dan dengan hukuman sebatan dan denda.

Dalam kenyataannya hari ini, Fariz juga mengucapkan terima kasih atas komitmen SPRM yang bertindak profesional terhadap aduan pihaknya.

Sementara itu, Setiausaha Jingga 13 Sharifuddin Shafi Muhammad pula mendesak Shahrizat meletakkan jawatan kerana penglibatan keluarganya didakwa "mendatangkan prasangka yang berlarutan".

Malah, katanya, "pendedahan lengkap" beberapa pemimpin PKR gagal dijawab dengan fakta oleh menteri yang didakwa bersikap berdolak dalik.

"Jingga 13 juga benar-benar amat hairan sehingga kini seluruh ahli Wanita Umno terus membisu dengan skandal NFC yang melibatkan ketuanya," katanya. -mk

Ulasan GB

Dalam kes isu Feedlot ini, kita sudah dapat mengagak tindakan SPRM yang "menendang bola" kepada Polis.

Polis pula akan bertindak acuh tidak acuh terhadap sebarang laporan yang dibuat oleh Pakatan Rakyat terhadap salahlaku pemimpin-pemimpin UMNO, berbanding jika sebaliknya laporan UMNO terhadap pemimpin-pemimpin PR.

Kes ini melibatkan wang rakyat yang beratus juta nilainya. Siasatan ke akar umbi perlu dilakukan. Suruhanjaya Siasatan Diraja perlu ditubuhkan, tidak memadai siasatan SPRM atau polis.

Tetapi seperti yang GB nyatakan sebelum ini, PM sepastinya berdiam diri terhadap sebarang desakan untuk penubuhan Suruhanjaya Siasatan kerana beliau awal-awal sudah membela projek berkenaan.

Hanya satu jawapan, Pakatan Rakyat perlu menang PRU13 untuk merampas kerajaan Pusat. Barulah fail siasatan akan dibuka, dan menteri-menteri yang bertanggungjawab itu akan diheret ke muka pengadilan.

Ulasan GB sebelum ini. Petikan:


Kes ini melibatkan wang rakyat yang beratus juta nilainya. Siasatan ke akar umbi perlu dilakukan.

Penyelewengan dan salahlaku seperti yang didedahkan oleh Jabatan Audit egara adalah jelas.

Alasan Shahrizat bahawa keluarganya berhak mendapat projek lembu berkenaan kerana mereka telah bekerja kuat adalah teramat lucu dan dilihat cuba "melembukan" orangramai.

Hubungan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Md. Noh Omar dengan keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat perlu juga disiasat kerana Noh Omar terlalu kuat membela pemberian projek itu kepada Shahrizat. Dan Shahrizat pula cukup bergantung kuat kepada jawapan menteri berkenaan untuk menjustifikasikan keluarga beliau diberikan projek berkenaan.

"(Perkara) ini sudah dijawab dengan panjang lebar oleh menteri pertanian dan industri asas tani.

"Dan daripada apa yang saya dimaklumkan, jawapan daripada beliau itu sangat jelas dan nyata,"


Najib sepastinya akan menolak Suruhanjaya Siasatan ditubuhkan kerana beliau juga telah terlibat awal-awal membela pemberian projek itu kepada Shahrizat.

Tiada pilihan lain, Pakatan Rakyat perlu menang di dalam PRU13 ini bagi mempastikan kesemua penyelewengan dan salahlaku ini terbongkar.

Yang bersalah, seperti yang GB katakan sebelum ini, mengikut hukum kebenaran dan keadilan, perlu dihambat masuk ke penjara. Itu kandang yang sesuai bagi mereka kerana mengkhianati wang rakyat dengan jumlah yang begitu besar.


sumber dari :- Kelab GreenBoc

Photobucket

Shahrizat Jalil Perlu Letak Jawatan

on


Datuk Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) menggesa menteri kabinet yang bertanggungjawab dalam Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) patut meletakkan jawatan.

Bercakap di Dewan Rakyat sewaktu penggulungan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Chor Har berkaitan Rang Undang-undang Perbekalan 2012, Bung berkata, tindakan itu perlu kerana isu tersebut menyusahkan parti.

Beliau yang berang ketika membangkitkan isu yang dikaitkan dengan syarikat milik keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil itu juga mahu tindakan segera diambil kepada pemimpin wanita Umno itu yang didakwa mencalar imej Umno.

"Pendirian saya cukup jelas, macam isu Fidlot, saya memang setuju ini bukan kerja Umno, ini kerja perseorangan. Pada saya orang ini harus bertanggungjawab.

"Kalau saya pada tempat ini, saya letak jawatan, menyusahkan. Dia punya kerja semua musnah. Mana tidak betul, kita kena betulkan.

"Walaupun dia menteri Umno, siapa dia, dia bersalah, letak jawatan lebih baik daripada jadi liabiliti keapda Umno dan Barisan. Kita tegas, sebab kita memerintah negara ini dengan adil," katanya.

Tambahnya lagi kerana seorang individu yang terlibat dengan isu fidlot kebangsaan itu menyebabkan seluruh Umno susah.


"Kerana seorang individu yang terlibat dalam isu fidlot seluruh Umno susah, saya harap letak jawatan segera dan jangan menyusahkan Umno kerana dia kita yang susah nak menjawab setiap pertanyaan rakyat di luar," sambungnya yang juga Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BNBBC)

PKR sebelum ini mendedahkan status dana rakyat sebanyak RM256 juta (RM250 juta dalam bentuk pinjaman dan RM6 juta dalam bentuk geran) telah disalurkan sepenuhnya kepada National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC).

Ini termasuklah pindahan wang ke dalam akaun-akaun deposit tetap milik NFC yang bakinya berjumlah RM119 juta pada 31 Disember 2009, pindahan wang kepada syarikat-syarikat milik keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil sehingga mencecah jumlah RM83 juta pada 31 Disember 2009, perbelanjaan perjalanan luar negara dan keraian berjumlah RM828,000 dalam tahun 2009 dan subsidi kepada restoran Meatworks milik keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil berjumlah RM3 juta dalam tahun 2009.


Photobucket

Tanda-tanda PRU semakin hampir…

on Nov 14, 2011



Semakin terang dan jelas kini hari yang dinantikan oleh segenap lapisan masyarakat semakin hampir. Namun dalam berteka-teki itu, penulis sendiri pun tidak tahu bila tarikh sebenar hari besar ini.

Yang pastinya, beberapa ‘hint’ yang menunjukkan ia bakal menjelma telah pun muncul. Pilihan raya bagaimana pun tidak sama dengan hari raya sebab hari raya akan muncul bila kelihatan anak bulan.

Namun bagi pilihan raya pula, bukan setakat anak bulan, mak bulan, bapak bulan semuanya sudah nampak sepanjang tahun, namun tarikhnya masih menjadi tanda tanya.

Ada tanda-tanda besar yang sudah diperlihatkan antaranya ialah pemansuhan ISA, isu-isu yang memnbabitkan pembangkang semakin hebat diwar-warkan dan segala janji yang mampu membuatkan rakyat senang hati akan dikotakan.

Itu antara tanda-tanda besar akan munculnya pilihan raya umum. Yang pasti semua jentera parti sudah dikerahkan untuk membuat persediaan bagi menghadapi tarikh keramat ini.

Ada yang bersedia untuk menang dan tidak kurang pula yang sedang memikirkan langkah seterusnya bagi mengekalkan survival dalam arena politik tanah air.

Seperti biasa, isu seks, skandal dan rasuah menjadi hidangan umum rakyat di dada-dada akhbar hinggakan penulis sendiri pun sudah naik loya memikirkan kejijikan agenda serta propaganda yang diatur oleh pihak berkenaan bagi memastikan mereka terus memegang tampuk pemerintahan.

Bagi penulis, bukan isu-isu jijik ini yang menjadi kayu pengukur, tapi apa yang dinilai oleh rakyat ialah hak mereka sebagai warga negara. Setakat menjadikan isu skandal seks, liwat dan rasuah sana-sini mana mungkin mampu mengubah pendirian rakyat.

Segala isu yang dimainkan langsung tiada kena mengena dengan keinginan rakyat yang mahukan nasib mereka dibela. Umum mengetahui apa yang sedang dihadapi oleh rakyat terutama golongan berpendapatan rendah, namun siapa yang akan menjadi hero untuk membela nasib mereka?

Kalau ‘Robin Hood’ sendiri pun sibuk mencanang aksi dalam kain orang, bagaimana nasib rakyat yang hampir tenggelam kelemasan dalam sindrom ‘kenaikan’ yang mereka hadapi.

Cuba buka minda dan sematkan dalam hati bahawa mereka yang berjawatan dalam kerajaan semuanya hasil sokongan rakyat yang mengundi mereka. Apa yang berlaku adalah sama sahaja tidak kurang tidak lebih, masing-masing sibuk mengaut keuntungan untuk diri dan juga kroni.

Pemimpin beginilah yang sepatutnya ditumbangkan bagi memberi laluan kepada mereka yang lebih telus memikul tanggungjawab sebagai pembela rakyat. Apa pun segalanya terletak pada tangan anda sebagai pengundi, baik pilihan baiklah habuan, andai buruk pilihan, maka gelaplah masa depan.



Photobucket

KONFLIK AZMIN DAN KHALID...?

on



Kecoh diperkatakan mengenai kewujudan dana khas pilihanraya PR yang berjumlah RM300 Juta. Mana Anwar Ibrahim dapat dana sebanyak ini untuk kerja pilihanraya telah menimbulkan banyak persoalan kepada pemerhati politik di Malaysia.

Anehnya kewujudan dana khas di Pejabat Menteri Besar Selangor ini tidak diuruskan oleh Menteri Besar Selangor iaitu Khalid Ibrahim sendiri, sebaliknya ianya diurus oleh Azmin Ali. Walaupun diletakkan di bawah MBI tetapi Azmin Ali dilihat lebih berkuasa dari Menteri Besar Selangor sendiri iaitu Khalid Ibrahim.

Secara tidak langsung dakwaan ramai pihak dari ahli PKR sebelum ini yang mendakwa Azmin Ali cuba 'merampas' kuasa Menteri Besar Selangor dari Khalid Ibrahim ada kebenarannya. Selain memperlihatkan bahawa Azmin Ali adalah orang kepercayaan Anwar Ibrahim.

Nampaknya Anwar Ibrahim tidak ragu-ragu membelanjakan jumlah yang agak besar untuk pilihanraya demi mencapai cita-citanya untuk menduduki kerusi Perdana Menteri.

Dari blog Gelagat Anwar :

Jangan risau, bukan sahaja ADUN BN yang heboh bertanya mengenai kewujudan Dana Khas RM300 juta di Pejabat Menteri Besar Selangor. Kalangan Ketua-Ketua Cabang PKR juga sedang senyum sampai ke telinga menantikan dana tersebut diturunkan bagi kerja-kerja pilihanraya PKR di Selangor. 
Anwar dengan sendirinya sudah meletakkan PKR di level yang tinggi sedikit. Selepas daripada ini, kesemua pemimpin DAP dan PAS perlu melutut sedikit kepada Anwar untuk mendapat dana pilihanraya. Hebat. 
Dana khas yang diwujudkan atas nama ‘budget code’ MBI ini dikatakan akan diurus oleh beberapa orang tenaga kanan Pejabat MB dan Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor. Anwar mahu diwujudkan penggunaan yang transparent dengan dana ini. Transparent – tetapi masih bertujuan untuk menggerakkan jentera parti. 
Kalangan Ketua-Ketua Cabang PKR di Selangor berasa sangat lega kerana Azmin Ali dikatakan akan menjadi antara tenaga yang diperlukan bagi meluluskan penggunaan dana khas pilihanraya Pakatan Rakyat ini. Nama-nama lain: Rafizi Ramli, Faekah Husin dan seorang akauntan Negeri yang sudah dineutralkan menjadi pencinta Pakatan Rakyat tahap maksimum.
 RM300 juta ini bukan kecil anak. Malahan, dengan sikap Pengarah JPP Selangor yang sangat ‘tidak mesra’ kepada UMNO/BN; dana ini akan memainkan banyak peranan.
Fokus yang diberikan tumpuan adalah prasarana yang diperlukan masyarakat sekeliling. Yang kecil-kecil sahaja. Bawah RM20k insya’Allah boleh dipohon dan diluluskan dengan kadar segera. Perhatian khas dan istimewa diberikan kepada kerusi-kerusi yang dimenangi oleh Pakatan Rakyat. 
Lain-lain tempat akan diberi menurut pertimbangan YB Azmin Ali yang bakal dilantik sebagai ‘core-coordinator’ kepada bajet ini. Lupa dimaklumkan, dana sama turut boleh dikongsi jentera PR yang bermasalah di negeri lain. 
Boleh  tapi tidak dalam jumlah yang banyak. Fokus dan keistimewaan diberikan kepada jentera PKR. Bayangkan sahaja gerakerja pilihanraya PR yang boleh digerakkan dengan dana RM300 juta ini. Sure mantap. 
Khabarnya, beberapa orang wakil PAS Terengganu juga sudah membuat lawatan rasmi kepada YB Azmin untuk mendapatkan bantuan khas. Walaupun dana diletakkan di MBI, namun Azmin diberikan tugas besar dalam mengurus dana ini. 
Yang penting, RM300 juta ini sudah menaikkan SAHAM POLITIK PKR di kalangan teman-teman Pakatan Rakyat. Anwar sudah ada modal politik baru. Tak lah banyak sangat. RM300 juta. Tapi boleh beri kesan jangka panjang.



Photobucket

Tony Fernandes Jangan Melampau...!

on





Beberapa ahli Parlimen Umno hari ini menuduh Tan Sri Azman Mokhtar dan Tan Sri Tony Fernandes telah menipu rakyat dalam urusan perjanjian saham melibatkan Malaysia Airlines (MAS) dan AirAsia Ogos lalu.

Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Mohtar Radin(gambar) mahu Azman, ketua eksekutif Khazanah disoal siasat ekoran keputusan agensi pelaburan kerajaan memutuskan untuk menukar 20.5 peratus saham dalam MAS bagi mengambil 10 peratus saham dalam AirAsia.
“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) harus memanggil Tan Sri Azman... kesemua mereka... jika ada penyelewengan, humban mereka ke dalam penjara,” kata Timbalan Pengerusi BN-BBC ini di Dewan Rakyat hari ini.

“Bagaimana Khazanah boleh diperbodohkan, macam mana boleh jadi bodoh, diperdayakan oleh Tony Fernandes. Jika saya berada dalam kedudukan, saya akan letak jawatan daripada menyusahkan orang lain,” katanya lagi.

“Kemungkinan mereka bukan bodoh. Kemungkinan mereka mendapat keuntungan besar dengan mengaut wang rakyat,” kata beliau dengan kedudukan Tune Air, milik Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, kini memiliki satu perlima pegangan dalam MAS.

Ahli Parlimen Sri Gading Mohamad Aziz juga mendakwa AirAsia dengan jelas menipu publik dan “sekarang cuba untuk menipu MAS.”

“Jika orang macam ini (Fernandes) menguasai kita, astaghfirullah,” katanya ketika membahaskan Bajet 2012.

Bung Mohtar juga berkata bahawa kerajaan tidak harus takut dengan Fernandes.
“Apa sahaja beliau mahu, kita beri. Beliau mahu kenakan caj tambahan bagi lebihan (muatan) bagasi dan hisap darah rakyat miskin.

“Sekarang saya dengar beliau ada rancangan untuk mengambil alih keseluruhan penerbangan dalam negeri dan MAS hanya akan ada penerbangan antarabangsa,” kata beliau sambil menambah, “jika kita beri yang ini kepada beliau, negara akan rosak. Ia tanda berakhirnya dunia bagi kita,” kata beliau lagi.

Katanya, jika kerajaan tidak boleh memberi jawapan yang memuaskan, bermakna “pegawai-pegawai kerajaan bersubahat dengan AirAsia dan ada kepentingan peribadi.”
Perjanjian pertukaran saham antara MAS-AirAsia berhadapan dengan kecaman daripada ahli-ahli politik dan kesatuan sekerja syarikat penerbangan kebangsaan itu.


Photobucket

Sukarnya Membuktikan Anwar Terlibat

on







Semakin hampir tarikh pilihanraya ke-13 maka semakin banyak serangan yang ditujukan kepada tokoh penyatu Pakatan Rakyat Anwar Ibrahim. Terbaharu, beliau akan disiasat pada 17 November ini berhubung  kesalahan membuat laporan palsu terhadap pihak yang menayangkan video seks yang memfitnahnya .
Penyiasatan itu membawa implikasi kemungkinan Anwar bakal didakwa melakukan pembohongan kerana menafikan beliau tidak berzina dengan pelacur sebagaimana yang dipaparkan di dalam video seks yang menggemparkan negara pada April lalu.

Sungguh pun sukar membuktikan Anwar terlibat namun memanggilnya untuk siasatan pembohongan itu menimbulkan persepsi bahawa Ketua Pembangkang itu memang benar-benar melakukan perbuatan terkutuk berkenaan.




Persepsi biar pun tidak benar akan dibawa ke kampung-kampung di mana orang Melayu mendominasi sokongan politik. Di kubu kuat Umno inilah parti itu akan memperbodohkan orang Melayu bahawa jangan mempercayai Anwar yang suatu ketika pernah meliwat dan kini melanggan pelacur pula.

Orang kampung tidak mempunyai kemudahan internet untuk menyemak berita. Hanya yang disogokkan kepada mereka maka itulah nilai yang mereka akan terima bulat-bulat dan dipercayai sehingga ke hari mengundi. Umno-BN mengharapkan penipuan itu akan memenangkan mereka di kawasan Malay Heart Land seperti Kedah, Terengganu, Pahang dan Perlis.

Bukti bodoh


Membuktikan Anwar terlibat berzina sama susahnya membuktikan Anwar meliwat. Dalam kes liwat yang sedang dibicarakan doktor yang melakukan pembedahan tulang belakang ke atas Ketua Umum PKR  dan masih merawatnya, Dr Hoogland mengakui Anwar tidak mungkin melakukan aksi liwat berdasarkan kondisi kesihatannya.

Dr Hoogland menegaskan Anwar tidak mampu untuk berlutut yang akan menimbulkan kesakitan melampau kepada pinggang beliau apabila melakukan aksi tersebut. Apatah lagi untuk memaksa Saiful melakukan aksi, yang menuntut kekuatan ‘seorang tua’ ke atas ‘orang muda’. Itu adalah mustahil.

Lebih sukar lagi membuktikan Anwar melaklukan aksi zina. Alibi twitter dan facebook Anwar telah mengesahkan ketika waktu dirakamkan aksi persetubuhan itu tertuduh aktif mengemaskini akaun dalam laman sosial tersebut. 

Tidak ditunjukkan dalam rakaman watak pelakon yang menyerupai Anwar menghadapi lap top atau bermain-main dengan telefonnya sebelum berlakunya aksi. Begitu juga pada hari kejadian – sama seperti liwat – Anwar mempunyai alibi kukuh beliau berada di rumah bersama keluarga dan beberapa orang pembantunya.

Namun perkara yang paling sukar tentulah aksi persetubuhan itu sendiri. Sebahagiannya telah pun tersebar di internet. Aksi yang tidak boleh dipercayai dilakukan seorang tua berumur hampir 70 tahun. Aksi yang dipertontonkan kepada wartawan melibatkan pelbagai posisi. Terlentang, mengereng dan aksi yang melibatkan pelakon menggunakan kekuatan pinggang yang maksimum. 

Seseorang yang telah tua sukar melakukannya apatah lagi seorang tua yang mengalami sakit pinggang dan mengalami pengecutan saraf belakang. Satu lagi fakta yang sukar diterima adalah ukuran alat sulit pelakon yang terlalu panjang untuk saiz lelaki Melayu. Melainkan lelaki berdarah  campuran. Untuk lelaki mat saleh pun ukuran saiz itu hanya relevan dengan ketinggian tubuh menghampiri 6 kaki. 

Sedangkan Anwar kurang daripada 5 kaki 5 inci. Bagaimanakah agaknya jika kes itu dibawa ke mahkamah dan keterangan doktor hospital HKL diambil kira. Fakta saiz alat sulit telah diukur dalam pemeriksaan ke atas Anwar. Bagaimanakah untuk menipu gambar yang telah dirakam dengan saiz sebenar yang diukur.

Mendakwa Anwar berbohong adalah suatu kerja gila. Namun mengapakah Peguam Negara membenarkan Anwar disiasat membuat laporan palsu?

Strategi makan tuan

Semua itu tidak lebih daripada strategi pilihanraya BN. Sejak 1998 taktik memalukan musuh politik telah menjadi perkara rasmi dalam sebarang kempen pilihanraya. Apatah lagi pada waktu negara menghadapi kemuraman ekonomi dan isu pembaziran, kronisme dan nepotisme yang amat membelenggu. Tidak ada satu jalan keluar yang paling mudah dan ‘meletup’ sehingga rakyat melupakan perkara lain selain isu besar itu.



Puluhan ribu rakyat berkumpul pada 9 julai lalu membuktikan mereka skandal Anwar tidak menjejaskan pembangkang


Isu gosip seks akan menyebabkan rakyat tersentak dan mengalihkan perhatian. Namun adakah masih berkesan taktik yang digunakan sejak 1998 itu? Dari segi taktikal ia adalah langkah bunuh diri menghadapi kesedaran politik rakyat kawasan bandar.

Rakyat yang terbuka dengan  media baru di internet akan mencari sendiri kebenaran. Malah gambar lakonan persetubuhan itu juga mudah ditemui. Sesiapa yang menemuinya pasti ketika itu juga akan tahu mustahil Anwar melakukannya.

Namun Umno-BN masih menaruh harapan kepada pengundi luar bandar yang dianggap lebih bodoh berbanding di bandar. Bagaimanapun hujah itu masih dilihat bertentangan dengan realiti apabila keputusan pilihanraya 1999 menyaksikan rakyat kawasan luar bandar juga mengundi parti pembangkang. Terengganu amat jauh dari media internet tetapi jatuh ke tangan PAS-BA. 

Keadaan yang sama juga dibuktikan apabila 100,000 rakyat keluar ke jalan raya pada 9 Julai lalu. Mengapakah mereka menunjuk perasaan terhadap kerajaan BN yang membela kebenaran dan menidakkan fakta, tanpa BN, Anwar yang amat teruk moralnya akan mengambil alih pemerintahan.

Jawapan untuk soalan itu amat mudah. Rakyat hanya terkejut pada pertama kali kes liwat disebar kepada umum pada 1998. Setahun selepas itu tidak ramai lagi yang percaya. Apatah lagi agenda liwat kedua diatur pada 2008 selepas agenda pertama dibuktikan Anwar tidak bersalah oleh Mahkamah Persekutuan.

Jadi, sekiranya Anwar sekali lagi didakwa atas tuduhan yang mengarut maka rakyat bukan sahaja tidak percaya malah akan menjadi muak. Sama keadaannya dengan himpunan Bersih. Sekiranya tidak ditentang dan disekat serta dibenarkan menggunakan stadium maka tidak ramai akan menyertainya sebagaimana perhimpunan Himpun yang tidak lebih 3,000 orang.

Apabila dihalang maka simpati dan perasaan ingin tahu menyebabkan himpunan itu disertai puluhan ribu. Populariti Anwar sudah dikalahkan Najib dalam usaha pemulihan imej PM yang memberangsangkan. Memfitnah tokoh pembangkang itu hanya akan menimbulkan simpati terbaharu ke atas beliau.

Penasihat Najib amat bodoh jika mengandalkan skandal ini untuk BN menang 2/3 kerusi parlimen dalam PRU tahun hadapan. Sebaliknya PR akan mendapat isu baru dan mudah mempertahankan kawasan yang dimenangi pada 2008. Jangan harap Najib akan mencapai kemenangan besar sebagaimana yang diucapkannya dalam ceramah sejurus selepas kembali dari mengerjakan haji!


sumber
Photobucket

PRU 13 :- PRM Akan Merampas 3 Kerusi PKR

on



Parti Rakyat Malaysia (PRM) hari ini mengumumkan bahawa ia akan bertanding di tiga kerusi yang sekarang ini dipegang oleh PKR pada pilihan raya umum akan datang.

Dalam satu kenyataan media, presiden PRM yang baru dilantik, Rohana Ariffin berkata, parti itu akan bertanding di Balik Pulau di Pulau Pinang dan kerusi Selayang serta Petaling Jaya Selatan di Selangor.

Ketiga-tiga kerusi itu kini dipegang oleh Yusmadi Yusof, William Leong dan Hee Loy Sian.

Melainkan PRM mampu menyelesaikan perkara itu dengan PKR, maka pilihan raya umum kali ini yang dijangkakan seawal tahun depan, akan menyaksikan sekurang-kurangnya pertandingan tiga penjuru di antara kedua-dua parti berkenaan dan BN.


Photobucket

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List