Tanda-tanda PRU semakin hampir…

on Nov 14, 2011



Semakin terang dan jelas kini hari yang dinantikan oleh segenap lapisan masyarakat semakin hampir. Namun dalam berteka-teki itu, penulis sendiri pun tidak tahu bila tarikh sebenar hari besar ini.

Yang pastinya, beberapa ‘hint’ yang menunjukkan ia bakal menjelma telah pun muncul. Pilihan raya bagaimana pun tidak sama dengan hari raya sebab hari raya akan muncul bila kelihatan anak bulan.

Namun bagi pilihan raya pula, bukan setakat anak bulan, mak bulan, bapak bulan semuanya sudah nampak sepanjang tahun, namun tarikhnya masih menjadi tanda tanya.

Ada tanda-tanda besar yang sudah diperlihatkan antaranya ialah pemansuhan ISA, isu-isu yang memnbabitkan pembangkang semakin hebat diwar-warkan dan segala janji yang mampu membuatkan rakyat senang hati akan dikotakan.

Itu antara tanda-tanda besar akan munculnya pilihan raya umum. Yang pasti semua jentera parti sudah dikerahkan untuk membuat persediaan bagi menghadapi tarikh keramat ini.

Ada yang bersedia untuk menang dan tidak kurang pula yang sedang memikirkan langkah seterusnya bagi mengekalkan survival dalam arena politik tanah air.

Seperti biasa, isu seks, skandal dan rasuah menjadi hidangan umum rakyat di dada-dada akhbar hinggakan penulis sendiri pun sudah naik loya memikirkan kejijikan agenda serta propaganda yang diatur oleh pihak berkenaan bagi memastikan mereka terus memegang tampuk pemerintahan.

Bagi penulis, bukan isu-isu jijik ini yang menjadi kayu pengukur, tapi apa yang dinilai oleh rakyat ialah hak mereka sebagai warga negara. Setakat menjadikan isu skandal seks, liwat dan rasuah sana-sini mana mungkin mampu mengubah pendirian rakyat.

Segala isu yang dimainkan langsung tiada kena mengena dengan keinginan rakyat yang mahukan nasib mereka dibela. Umum mengetahui apa yang sedang dihadapi oleh rakyat terutama golongan berpendapatan rendah, namun siapa yang akan menjadi hero untuk membela nasib mereka?

Kalau ‘Robin Hood’ sendiri pun sibuk mencanang aksi dalam kain orang, bagaimana nasib rakyat yang hampir tenggelam kelemasan dalam sindrom ‘kenaikan’ yang mereka hadapi.

Cuba buka minda dan sematkan dalam hati bahawa mereka yang berjawatan dalam kerajaan semuanya hasil sokongan rakyat yang mengundi mereka. Apa yang berlaku adalah sama sahaja tidak kurang tidak lebih, masing-masing sibuk mengaut keuntungan untuk diri dan juga kroni.

Pemimpin beginilah yang sepatutnya ditumbangkan bagi memberi laluan kepada mereka yang lebih telus memikul tanggungjawab sebagai pembela rakyat. Apa pun segalanya terletak pada tangan anda sebagai pengundi, baik pilihan baiklah habuan, andai buruk pilihan, maka gelaplah masa depan.



Photobucket

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List