"Nota akhir": Keluarga Teoh pertikai kesahihan tulisan dan tandatangan

on Aug 12, 2010

"Nota akhir": Keluarga Teoh pertikai kesahihan tulisan dan tandatangan

Lim Hong Siang
Aug 12, 2010 03:59:48 pm

Ketidakpuasan, kemarahan, kekejutan dan kekecewaan berbaur apabila keluarga mendiang Teoh Beng Hock dipertemukan dengan "bahan bukti baru" setelah setahun inkues kematian Teoh Beng Hock berlangsung. Malah, keluarga Teoh tidak menerima penjelasan Jabatan Peguam Negara berhubung kemunculan "bahan bukti baru" ini, dan mempertikaikan kesahihan "tulisan tangan" dan "tandatangan" pada nota tersebut.

Adik mendiang Beng Hock, Teoh Lee Lan (gambar kanan) mengeluarkan kenyataan pada hari ini sebagai respon kepada perkembangan terbaru yang berlaku dalam perbicaraan inkues kematian Teoh Beng Hock. Selain luahan kepiluan yang ditanggung keluarga Teoh sepanjang tempoh setahun ini, Lee Lan mempersoalkan sama ada Jabatan Peguam Negara cuba menghalang keluarganya daripada menjalani kehidupan biasa, dengan mengemukakan "bahan bukti baru" pada saat-saat terakhir, yang mungkin membawa kepada perbicaraan semula?
Di samping itu, keluarga Teoh membangkitkan beberapa pertikaian terhadap "nota" yang dikemukakan, termasuk bilakah dan dalam keadaan apakah "nota" ini ditulis. Keluarga Teoh mendesak agar kerajaan mengupah seorang pakar untuk mengenalpasti tulisan pada "nota" tersebut, kerana kes ini membabitkan kepentingan awam.

Kenyataan keluarga mendiang Teoh

Saya mewakili keluarga kami untuk memberi respon kepada laporan berita bahawa "bahan bukti baru dikemukakan dalam inkues mendiang Teoh Beng Hock":-

1. Keluarga kami sangat tidak berpuas hati, marah, terkejut dan terkilan, berhubung tindakan Jabatan Peguam Negara untuk mengemukakan bahan bukti baru yang penting, pada ketika inkues ini memasuki peringkat akhir. Keluarga kami mempersoalkan mengapa Jabatan Peguam Negara menyimpan bahan bukti tersebut untuk tempoh setahun, tetapi tidak mengemukakan "bukti" ini kepada inkues. Apakah niat sebenarnya Jabatan Peguam Negara?

Jabatan Peguam Negara tidak mengambil kira kepiluan keluarga kami, yang berulang-alik dari sini ke sana sepanjang tempoh setahun, lantaran daripada inkues yang berlangsung. Malah mereka cuba untuk membawa keluarga kami untuk menjalani pemeriksaan mental. Di manakah mereka mahu letakkan kami? Seandainya inkues membicarakan semula kes ini, bagaimana keluarga kami menanggung keperitan ini? Apakah Jabatan Peguam Negara cuba menghalang keluarga kami untuk menjalani kehidupan seperti biasa?

Siapa yang harus bertanggungjawab apabila Jabatan Peguam Negara menyimpan bahan bukti ini untuk sekian lama?

2. Keluarga kami tidak dapat menerima penjelasan daripada Peguam Negara, Abdul Ghani Patail yang membela dirinya di depan media.

Jabatan Peguam Negara mengakui bahawa mereka dimaklumkan Pegawai Penyiasat, Asisten Suprintendan Ahmad Nazri Zainal tentang "nota akhir" ini pada 7 Oktober 2009, iaitu kira-kira dua bulan selepas kematian Teoh Beng Hock. Namun mereka tidak mengemukakan bahan bukti ini kepada inkues selama ini.

Jabatan Peguam Negara mendakwa bahawa mereka tidak dapat mengesahkan tulisan Beng Hock, yang menjurus kepada penangguhan selama setahun untuk dikemukakan kepada inkues. Sepanjang setahun ini, ahli keluarga mahupun peguam kami menghadiri mahkamah setiap kali perbicaraan inkues, mengapa pula Jabatan Peguam Negara tidak mencari bantuan kami, tetapi memilih untuk menunggu? Ini hanyalah alasan Jabatan Peguam Negara untuk membebaskan diri daripada tanggungjawab!

Dalam kenyataan Jabatan Peguam Negara kelmarin, mereka mendakwa bahawa bahan bukti telah dihantar ke unit berkenaan untuk dijalankan kajian pada 9 dan 20 Oktober tahun lalu setelah ditemui. Kenyataan ini mengesahkan dakwaan bahawa "penangguhan pengemukaan bahan bukti ini selama setahun disebabkan Jabatan Peguam Negara tidak dapat mengesahkan tulisan Beng Hock" adalah pembohongan semata-mata.

Berhubung laporan kajian bahan bukti tersebut, Peguam Negara Abdul Ghani Patail berkata:-

Pertama, bahan bukti tersebut ditulis dalam karakter Cina. Kategori bukti ini gagal dikenalpasti lantaran daripada kekurangkan sampel perbandingan.

Kedua, bahan bukti tersebut ditemui dua bulan selepas kematian Beng Hock. Hasil siasatan dan keasliannya menimbulkan kecurigaan.

Lantaran daripada faktor-faktor di atas, Abdul Ghani Patail memutuskan untuk tidak mengemukakan bahan bukti ini kepada inkues. Kami mempertikaikan motif Jabatan Peguam Negara untuk mengemukakan bahan bukti ini kepada inkues pada saat-saat ini, apakah yang menyebabkan mereka mengubah fikiran mereka?

Ketua Polis Negeri Selangor Khalid Abu Bakar berkata, polis yang menyiasat kes ini telah membuat laporan pada Oktober 2009, ketika menemui bahan bukti ini. Keluarga kami mempertikaikan, mengapa tiada susulan daripada laporan polis ini?

New Straits Times juga menyiarkan pengakuan polis Selangor bahawa pegawai penyiasat agak "cuai", malah mendakwa bahawa ia disebabkan pegawai penyiasat tersebut keturunan Melayu dan tidak memahami karakter Cina dalam nota tersebut. Kami mempertikaikan apakah semua pegawai penyiasat boleh membebaskan diri daripada hukuman yang disebabkan "kecuaian", hanya dengan alasan "tidak tahu membaca"? Atau, kecuaian ini adalah salahlaku manusia, dan kononnya "tidak tahu baca bahan bukti" ini hanyalah samaran semata-mata!

Keluarga kami sangat kecewa terhadap cara penyiasatan Jabatan Peguam Negara yang sebegini. Kami merasai ketidakadilan itu sendiri apabila tiada orang yang perlu bertanggungjawab ketika sistem kehakiman dipermainkan sebegini.

Keluarga kami menganggap bahan bukti tersebut sekadar "nota", bukannya surat terakhir yang ditinggalkan. Kesahihan "nota" yang muncul secara tiba-tiba ini amat diragui, sebaliknya membuktikan bahawa mustahil Teoh Beng Hock membunuh diri. Kami mendapati banyak kecurigaan, termasuk tulisan dan kandungannya.

Pertama, tulisan tangan yang wujud pada "nota" agak berbeza jika dibandingkan dengan tulisan tangan Beng Hock dahulu; keduanya, tandatangan pada "nota" tersebut jelas berbeza dengan tandatangan Beng Hock terlebih dahulu.

Keluarga kami telah menyerahkan dokumen tertentu kepada peguam, dan mencari pakar untuk mengenalpasti tulisannya. Kami menggesa kerajaan untuk mengupah pakar untuk mengenalpasti tulisan tangan, kerana ini kes pembunuhan yang membabitkan kepentingan awam.

Keluarga kami menegaskan,

1. "Nota" ini amat penting, jangan ditutup dengan mudah.

2. Bilakah "nota" ini ditulis?

3. "Nota" ini ditulis dalam keadaan apa?

4. Apakah motif "nota" ini ditulis?

5. Mengapa "nota" ini dikemukakan kepada inkues setahun kemudian?



Forum "Ketidakadilan untuk setahun"



Selain itu, satu forum bertemakan "Injustice for 1 Year: What Say You, Malaysians" (Ketidakadilan Untuk Setahun: Apa kata kamu?) akan dianjurkan oleh Malaysians for Beng Hock pada Isnin depan, iaitu 16 Ogos 2010, di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor. Forum ini dijalankan dalam bahasa Cina, Melayu dan Inggeris, dan antara penceramahnya termasuklah Teoh Lee Lan, Lee Ban Chen, Haris Ibrahim dan Chong Kok Siong.


Sumber:- merdekareview.

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List